Al-Qur'an Penawar Duka

MUSIBAH kematian orang tersayang atau kehilangan harta
benda, kemusnahan tempat tinggal adalah ujian yang
terpaksa dilalui oleh seluruh umat manusia. Di sebalik
kesedihan dan kedukaan itu hadir perkhabaran gembira
kepada mereka yang menghadapinya.

Allah yang Maha Kuasa memberi isyarat bahawa
perkhabaran gembira di sebalik kesedihan itu. Allah
menurunkan ujian kepada umat manusia untuk menunjukkan
bahawa Allah Maha Kuasa untuk mengaturkan segala
perkara berkaitan perjalanan alam.

Firman Allah bermaksud: "Dan kamu tidak dapat
menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun).
Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan seluruh alam." (Surah
at-Takwir ayat 29).

Ujian juga simbolik sebagai perbandingan antara orang
yang taat dan ingkar. Ini juga untuk melihat sejauh
mana kesabaran dan ketaatan hamba-Nya menerima ujian
itu.

Seterusnya, ujian itu membentuk keperibadian dan
mengangkat martabat serta menghapuskan dosa yang
dilakukan. Ujian yang diterima juga adalah medan
memperkasakan kesabaran dan membiasakan diri serta
menetapkan pendiriannya untuk meneruskan kehidupan.

Kehidupan yang dipayungi ujian perlu diiringi dengan
sabar dan tabah kerana ini adalah tahap iman paling
tinggi di sisi Allah.

Dua peristiwa terpenting dalam sejarah Islam yang
mengharu dan menggoncang iman serta kesabaran boleh
dijadikan landasan sebagai panduan mendidik jiwa
menerima qada dan qadar Allah.

Peristiwa itu dihadapi Rasulullah saw iaitu kematian
Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib Bin
Abdul Mutalib.

Peristiwa itu dicatatkan oleh ahli sejarah sebagai
tahun duka cita atau kesedihan bagi Rasulullah. Abu
Talib ialah bapa saudara Baginda yang memeliharanya
sejak kecil. Beliau memimpinnya pada masa remaja dan
selepas Baginda dewasa. Ketika Nabi diangkat menjadi
utusan Allah, Baginda dicemuh dengan pelbagai bentuk
tindakan. Abu Talib walaupun tidak menerima dakwah
Baginda dan tidak memeluk agama Islam, beliau yang
melindungi Baginda daripada perbuatan jahat orang
Quraisy.

Selepas kematian Abu Talib, Nabi menerima tamparan
hebat dengan kematian isteri Baginda, Khadijah. Beliau
adalah wanita yang sentiasa bersama Rasulullah ketika
senang atau susah. Khadijah juga penghibur pada saat
Baginda gelisah. Isteri yang taat, patuh dan berbudi
mulia.

Selepas kematian Khadijah, Rasulullah berasakan
kehilangan yang besar. Kesepian dirasai Baginda dengan
hilang kegembiraan pada wajahnya untuk berdakwah. Pada
saat itulah penderitaan yang teramat sangat
menyelubungi Baginda.

Kaum Quraisy turut menggandakan tentangan terhadap
Baginda selepas kematian dua pembela dan pelindung
Rasulullah ketika ditimpa kesusahan.

Anaknya, Saidatina Fatimah melihat keadaan itu dengan
penuh kesedihan. Lantaran itu, beliau menangis di
hadapan Rasulullah. Baginda memujuknya dengan berkata:
"Janganlah menangis wahai anak kesayanganku, Allah
melindungi ayahmu daripada kejahatan manusia."

Namun Allah mengurniakan ketabahan dan kesabaran pada
jiwa Rasulullah dan Baginda kembali tenang untuk
meneruskan perjuangan menyampaikan risalah Allah.

Peristiwa kewafatan Nabi juga lembaran penting dalam
sejarah Islam yang turut menggoncang iman dan
kesabaran umat Islam seluruhnya. Pada saat kota
Madinah diselubungi kesedihan, sebilangan sahabat
tidak menerima hakikat itu.

Antaranya ialah Saidina Umar Al-Khattab. Umar
menghunuskan pedangnya dan menggertak akan membunuh
sesiapa yang mengatakan Baginda sudah wafat. Umar
seolah-olah kebingungan tidak mahu membenarkan berita
kewafatan itu.

Abu Bakar As-Siddiq mententeramkan Umar. Beliau
walaupun dalam kesedihan, menenangkan sahabatnya
dengan berkata: "Wahai manusia! Sesiapa menyembah
Muhammad, sesungguhnya Muhammad sudah wafat. Namun,
sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah tidak
mati."

Kewafatan Rasulullah adalah ujian yang maha hebat
kepada umat Islam untuk menerimanya dan memberi kesan
besar kepada iman seseorang. Hal ini berlaku kepada
sanak saudara, sahabat handai, jiran dan rakan taulan,
khususnya seluruh umat Islam. Justeru, Islam sentiasa
menyarankan umatnya mengharungi kehidupan yang dilanda
musibah dan malapetaka dengan penuh kesabaran dan
kecekalan hati.

Bagi mengubat kedukaan dan kesedihan akibat ditimpa
musibah, Islam menawarkan penawarnya. Firman Allah
bermaksud:

"Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.
(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu
kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah
kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali.
Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai
kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan
mereka itulah yang mendapat petunjuk hidayah-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 156 - 157).

Kalimah (istirja) iaitu Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi
Raji'un adalah penawar paling mujarab dan berguna bagi
orang yang ditimpa musibah. Sesiapa yang mendengarnya
serta menghayatinya pasti akan terhibur dan lapang
dada menerima ujian itu dengan penuh reda.

Ujian pasti menimpa mereka yang beriman dan memberi
nilai paling berharga kepada keimanan seseorang. Dalam
melayari kehidupan yang ditakdirkan oleh Yang Maha
Esa, usaha, doa dan tawakal perlu beriringan.