Hikmah Dalam Berbicara


Alhamdulillah, anjang akan menitipkan lagi bicara kali ini berkaitan dengan bahaya lisan sekiranya kita tidak pandai mengendalikan dan menyalahgunakannya. Perlulah diingat bahawa perkataan daripada seseorang itu menunjukkan cerminan hati nuraninya. Cubalah hayati dan jadikan sebagai rujukan dalam berda'wah dengan selalu mendahulukan Kalamullah Ta'ala dan hadis Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Samit bin 'Ajalan Rahmatullahu 'Alaihi berkata dalam Jami'ul 'Ulum Wal Hikam halaman 135 berkata:

ياَ بْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا سَكَتَّ فَأَنْتَ سَالِمٌ فَإِذَا تَكَلَّمْتَ فَخُذْ خَذْرَكَ إِمَّا لَكَ وَإِمَّا عَلَيْكَ

Artinya: Wahai anak Adam, sesungguhnya selama engkau berdiam diri, maka engkau akan selamat, (kerana itu) jika engkau berbicara maka berhati-hatilah kerana perkataan itu akan menjadi penolong bagimu atau hukuman bagimu.

Sering kali kita mendengar orang mengatakan hendaklah berdakwah dengan cara berhikmah. Mereka berdalilkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

" Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan dengan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl, ayat 125).

Ayat ini mengandungi petunjuk bagi para rasul dan pendakwah bagaimana cara menyampaikan dakwah kepada manusia yang bermacam-macam jenis itu. Para pendakwah akan menghadapi pelbagai golongan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, ilmu dan perangai.

Kepelbagaian jenis ini harus dihadapi dengan cara yang sesuai dengan tahap kecerdasan, sepadan dengan iklim budaya fikirnya dan tabiat masing-masing. Ini merupakan dasar-dasar dakwah yang telah digariskan oleh ajaran Islam iaitu mengajak manusia meniti jalan kebenaran yang diperintahkan oleh Allah dengan jalan dakwah terbaik yang sesuai dengan kondisi manusia. Ajaklah kaum cendekiawan yang memiliki pengetahuan tinggi untuk berdialog dengan kata-kata
bijak sesuai dengan tingkat kepandaian mereka. Terhadap orang awam, ajaklah mereka dengan memberi nasihat dan perumpamaan yang sesuai dengan taraf mereka sehingga mereka sampai kepada kebenaran.

Debatlah dengan ahli kitab yang menganut agama-agama terdahulu dengan logika dan retorika yang halus, melalui pendekatan yang baik, lepas dari kekerasan agar mereka merasai puas dan menerima dengan lapang dada. Itulah metode berdakwah yang benar kepada agama Allah sesuai dengan kecenderungan setiap manusia.

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari ayat di atas bahawa seorang pendakwah akan menghadapi tiga jenis manusia iaitu :

1) golongan cendekiawan yang dapat berfikir secara kritis dan mendalam, cepat dapat menangkap sesuatu persoalan. Mereka ini harus didakwah dengan berhikmah, iaitu dengan alasan, dalil dan hujah yang dapat diterima oleh kekuatan akal mereka.

2) Kedua adalah golongan orang awam yang kebanyakkannya belum dapat berfikir secara kritis,
belum dapat menangkap pengertian yang tinggi-tinggi. Mereka hendaklah didakwah dengan nasihat dan pengajaran yang baik iaitu melalui pendidikan yang baik dan mudah difahami.

3) Ketiga adalah golongan yang tingkat kecerdasannya di antara yang tersebut di atas. Mereka ini hendaklah didakwah dengan bertukar-tukar pandangan dan fikiran yang boleh mendorong untuk berfikir secara sihat dalam mencari kebenaran.

Oleh itu, dakwah yang berkesan adalah mengikut kondisi orang yang didakwahnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“ Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing”
(Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun begitu Mohd. Nasir dalam bukunya Fiqh Ad-Dakwah menyebutkan bahawa hikmah itu lebih dari semata-mata ilmu. Ia merupakan ilmu yang sihat, yang sudah dicernakan; ilmu yang padu dengan rasa-periksa, sehingga menjadi daya penggerak melakukan sesuatu yang bermanfaat lagi berguna. Kalau dibawa kepada bidang dakwah ia bermaksud melakukan sesuatu tindakan yang berguna dan efektif.

Inilah yang lebih benar kepada memahamkan maksud hikmah dalam erti kata yang lebih luas daripada membatasi erti hikmah kepada alat atau cara menyampaikan dakwah kepada golongan cendekiawan.

Oleh itu, hikmah dalam bidang dakwah diperlukan dalam semua golongan, baik golongan cendekiawan, orang awam atau golongan yang suka bersoal jawab dan berdebat. Perkara ini membawa erti bahawa hikmah itu meliputi cara atau taktik malahan teknik berdakwah yang diperlukan dalam menghadapi golongan tersebut. Dalam Bahasa Melayu, hikmah membawa erti kepandaian dan kebijaksanaan.

Di dalam Al-Quran hikmah disifatkan sebagai anugerah Allah yang paling berharga kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud :

“Dia (Allah) mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa diberi hikmah, maka sesungguhnya dia telah memperoleh kebaikan yang amat besar. ”
(al-Baqarah, ayat 269)

Menurut Al-Quran lagi semua nabi telah diajar hikmah oleh Allah S.W.T. Keistimewaan hikmah yang dimiliki oleh para nabi inilah yang menyebabkan mereka yang paling istimewa dan yang paling berilmu. Hadis nabi juga menyebutkan bahawa hikmah merupakan barang mukmin yang hilang.

Ertinya manusia yang betul-betul layak untuk memiliki hikmah adalah daripada kalangan orang yang beriman. Nabi juga menasihatkan orang mukmin supaya mengambil hikmah di mana-mana sahaja hikmah itu ditemui kerana hikmah itu adalah barang mukmin yang hilang.

Dalam konteks dakwah, Allah S.W.T. telah menjelaskan hikmah dalam beberapa makna mengikut kondisi keadaan yang berlaku. Antaranya hikmah dalam erti kemampuan memilih saat bila harus berbicara dan bila harus diam. Para pendakwah seharusnya mengetahui bilakah saat dia harus berbicara dalam menyampaikan dakwah agar dakwahnya mudah diterima.

Hikmah dalam erti memilih dan menyusun kata-kata. Seorang pendakwah perlu menggunakan bahasa yang baik, tepat dan padat. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berkatakanlah dengan kata-kata yang tepat.”
(al-Ahzab, ayat 70)

Para ulama' menyebutkan qaulan sadida dengan kata –kata yang lurus, kata-kata yang benar dan kata-kata yang tepat iaitu berbicara dengan penuh kejujuran kerana di situlah terletak unsur segala kebahagiaan dan pangkal dari segala kesempurnaan kerana yang demikian itu berasal dari kemurnian hati.

Islam menyarankan supaya pendakwah berhikmah dalam cara perpisahan supaya perpisahan itu benar-benar memberi kesan dalam hatinya atau menjauhi mereka dengan cara terbaik. Dalam hal demikian, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

“ dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.”
(al-Muzammil, ayat 10)

Ayat ini menjelaskan bahawa pendakwah tidak perlu bersusah hati dan sesak nafas dengan tingkah laku yang bengis dan ucapan-ucapan mereka yang kasar. Berpisahlah dengan mereka dengan tingkah laku yang memperlihatkan budi pekerti yang tinggi dan akhlak yang mulia.

Apabila berlakunya sesuatu perdebatan dan diskusi hendaklah berakhir dengan cara terbaik supaya hubungan dakwah tetap terjalin jangan ditutup salurannya untuk menyambung pada suatu saat yang lebih sesuai. Firman Allah yang bermaksud :

“ Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka dan berikanlah mereka pelajaran dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berkesan kepada jiwa mereka.”
(al-Nisa’ , ayat 63)

Allah telah merakamkan kisah nabi Musa berdialog dengan kaumnya yang menyembah Firaun. Firman Allah yang bermaksud :

“ Wahai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan tetapi kamu menyeru aku ke neraka. Kamu menyeru aku supaya kafir kepada Allah dan mempersekutukan-Nya dengan apa yang tidak aku ketahui padahal aku menyeru kamu beriman kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Sudah pasti bahawa apa yang kamu seru supaya aku beriman kepadanya tidak dapat memperkenankan seruan apa-apapun baik di dunia mahupun di
akhirat. Dan sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka. Kelak kamu akan ingat kepada apa yang kukatakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.”
(al-Mukmin, ayat 41-44)

Ini merupakan dialog antara nabi Musa yang menyeru ke arah kebaikan dan keselamatan sementara kaum Firaun menyeru ke arah syirik kepada Allah. Akhirnya nabi Musa mengingatkan mereka bahawa pasti mereka akan mengetahui kebenaran apa yang ia perkatakan dan berlakunya perpisahan dengan kaumnya dengan cara terbaik. Ini juga termasuk
dalam berhikmah dalam berdakwah. Hikmah dalam berdakwah juga bermaksud dakwah harus mengikut keutamaan dari segi kerja-kerja yang akan dilakukan.Perlu memfokuskan kepada sesuatu isu dan aktiviti yang dapat memberi sumbangan kepada umat Islam sehingga dakwah dapat tampil di tengah masyarakat dengan kehadiran yang dinanti-nantikan.

Misalnya keutamaan mendidik umat adalah satu keutamaan kepada gerakan dakwah. Keutamaan lainnya adalah melihat isu semasa dan mencari jalan keluar yang dapat mengembangkan pengaruh di tengah masyarakat misalnya kerja dakwah dalam mengatasi kemiskinan, hak-hak asasi manusia dan agenda penyatuan ummah.

Hikmah dalam berdakwah juga bererti dakwah harus sesuai dengan realiti setempat. Dakwah mesti membumi di tempat mana ia berpijak, bukan melangit sehingga tidak dapat diamalkan di dalam kehidupan manusia.

Nilailah Taqwa Kita.. Perbaharuilah Ia...


Sahabat-sahabat yang Anjang hormati kerana Allah,

Anjang kembali apabila melihat suasana hari ini makin kacau dengan keadaan masyarakat yang saling menyalahkan yang lain. Maka di sini anjang mengajak semua agar sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya..hanya ini dan anjang tegaskan lagi kata-kata anjang, hanya ini yang anjang sarankan kepada semua yang membaca di sini. Mudah-mudahan kita mendapat kebahagiaan di dunia malahan juga di akhirat.

Sahabat-sahabat yang berbahagia,

Islam adalah Agama yang syumul. Di mana Islam mengajar dan menuntut kita agar menjadi hamba Allah yang bertakwa. Islam merupakan satu landasan hidup. Beramal dengan Islam bererti melahirkan individu yang mencerminkan aqidah dan akhlak Islam, melahirkan umat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup yang dibawakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. melalui Islam sebagai ad-din. Melaksanakan Islam sebagai syariat perundangan dan peraturan hidup serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan, adalah suatu intipati kepada matlamat takwa itu sendiri.

Seluruh amalan yang berpandukan takwa ini, merupakan suatu tuntutan daripada syara’, dan ia menjadi kewajipan ke atas setiap diri individu Muslim sehinggalah tertegaknya satu umat yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum Muslimim sepenuhnya. Maka di sinilah sebenarnya Islam mengiktiraf insan yang bertakwa itu sebagai insan yang cemerlang. Firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 40-41 yang maksudnya :

" Dan sesungguhnya Allah akan menolong agamanya (Agama Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha berkuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah..

Umat yang terbilang adalah terhasil dari insan-insan yang cemerlang. Manusia atau insan yang cemerlang adalah diukur dari beberapa sudut, di antaranya:

1. Cemerlang Aqidah Dan Ibadah.

Beriman kepada Allah akan melahirkan individu Muslim yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan amanah demi kebaikan dunia dan akhirat. Di dalam iman itu terangkum unsur-unsur utama iaitu ilmu pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang utuh dan keyakinan yang kukuh. Ketiga-tiga unsur inilah yang membentuk iman yang teguh, seterusnya menjadi benteng daripada melakukan kejahatan dan maksiat. Beriman tanpa ketaatan melalui amal ibadah adalah sia-sia. Insan yang cemerlang aqidah dan ibadahnya akan tergambar melalui amal perbuatan sehariannya, bahkan inilah tujuan Allah S.W.T. menjadikan manusia itu untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah di dalam surah az-Zaariyat ayat 56, yang maksudnya :

" Dan (ingatlah) tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku."

2. Cemerlang Fizikal Atau Jasmani.

Kita dituntut supaya menjaga kesihatan tubuh badan serta akal kerana dengan tubuh badan yang sihat, seseorang itu dapat bekerja mencari rezeki yang halal lagi baik bagi diri dan keluarga. Selain itu, dengan tubuh badan yang kuat dan sihat, kita dapat mempertahankan diri dari diceroboh maruah dan harga diri, menjaga keselamatan, keamanan serta kedaulatan negara dari diganggu gugat dan dicemari. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim :
" Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari seorang mukmin yang lemah."

3. Cemerlang Akal Dan Emosi.

Begitu juga, kita umat Islam dituntut supaya cemerlang akal dan emosi. Tuntutan menjaga kesihatan tubuh badan dan menjaga akal adalah berkait rapat, kerana akal yang sejahtera terletak di dalam tubuh badan yang sihat. Ini dipetik dari kata-kata ulama:

"Akal yang sejahtera ada pada tubuh badan yang sihat"

Oleh sebab itu, agama kita iaitu Islam sangat menitikberatkan soal makanan halal lagi baik. Maka dengan makanan yang halal lagi baik inilah yang membina tubuh badan yang sihat serta akal yang cerdas. Untuk menjadikan akal berfungsi dengan cemerlang, maka tidak ada jalan lain iaitu dengan belajar bersungguh-sungguh dan menimba ilmu pengetahuan sehingga mencapai tahap kepakaran atau mahir dalam apa-apa bidang sekalipun, baik dari sudut duniawi mahupun ukhrawi.

Justeru manusia yang berilmu, cemerlang akal, cemerlang rohani dan jasmani akan dapat melahirkan buah fikiran yang bernas, idea yang mantap, dan yang paling penting dapat mengawal emosi atau perasaan dalam apa keadaan sekalipun, lebih-lebih lagi dalam keadaan gawat, malah dalam masa yang sama mampu berfikir secara matang mencari jalan penyelesaian.

Sahabat-sahabatku yang dirahmati Allah,

Wajar kita melihat sepintas lalu, sirah baginda Rasulullah S.A.W. dan para sahabat radhiyallahu 'anhum, baik dari golongan muhajirin mahupun golongan Ansar, mereka berjuang bermati-matian berkorban jiwa raga, harta benda dan anak pinak semata-mata demi memartabatkan Islam agama tercinta. Islam yang dahulunya dagang, maka insan-insan cemerlang (para sahabat) yang dididik oleh Rasulullah S.A.W, telah berjaya membina suatu ketamadunan yang sungguh luar biasa, mencakupi bidang peradaban manusia, sastera, perubatan, perundangan, sains, matematik, astronomi, botani dan sebagainya.

Bukan murah pengorbanan yang ditagih, tidak ternilai keringat, air mata dan darah yang gugur membasahi bumi, hasilnya sedang kita nikmati ini adalah di atas jasa-jasa serta pengorbanan mereka yang terpahat dalam ingatan seluruh umat Islam dan lipatan sejarah silam.

Sahabat-sahabatku yang berbahagia,

Sesungguhnya, telah terbukti bahawa generasi para sahabat dan zaman beberapa abad selepas itu merupakan generasi terbilang yang seharusnya kita contohi dan kita teladani. Mereka itu bukan sahaja cemerlang aqidah, cemerlang dalam penerokaan ilmu, cemerlang rohani dan jasmani, bahkan mereka itulah yang telah mencetuskan ketamadunan dan teknologi moden yang ada pada hari ini. Di antara pengajaran yang boleh diambil di dalam usaha kita mengejar impian untuk menjadi umat terbilang ialah:

1. Kita hendaklah terlebih dahulu membangunkan modal insan sebagai teras yang mendasari peradaban manusia itu sendiri.

2. Kita perlu sedar bahawa kekuatan umat Islam tidak hanya bergantung kepada keupayaan fizikal dan kelengkapan material semata-mata, bahkan kekuatan yang sebenar adalah terhasil dari gabungan antara keupayaan fizikal dan material serta dilengkapi kemantapan rohani.

3. Untuk menjadi umat terbilang, suatu bangsa itu hedaklah sentiasa menjunjung ketinggian akhlak. Seorang penyair Mesir Ahmad Syauqi Bek pernah berkata di dalam syairnya yang ertinya :

" Kemuliaan atau maruah suatu bangsa itu terletak pada ketinggian akhlaknya, jika hilang akhlaknya maka hilanglah maruah bangsa itu".

4. Untuk menjadi umat terbilang, kita hedaklah bersikap terbuka dan sanggup berhijrah dengan mempelajari apa jua bidang pengetahuan, pengalaman serta pencapaian negara-negara luar yang lebih maju di atas kejayaan yang telah mereka capai. Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya :

" Hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) itu hilang dari genggaman orang mukmin, kutiplah ia di mana sahaja ia didapati."

5. Hendaklah mempunyai daya saing dan daya juang yang tinggi dalam melakukan sesuatu usaha, kajian atau ciptaan baru tanpa mengenal erti jemu dan letih walaupun memakan masa yang lama.

6. Kita juga hedaklah berkongsi kemajuan yang telah kita capai dengan mana-mana pihak yang memerlukan pertolongan dari sudut kepakaran atau sebagainya, sesuai dengan permintaan dan keupayaan mereka, kerana dari situlah negara kita akan dikenali dan dihormati, seterusnya menjadi contoh kepada negara lain.

" Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Wanita Muslimah Mukminah Yang Solehah...


Sungguh beruntung bagi wanita solehah kerana dia akan menjadi cahaya bagi keluarganya dan berperanan melahirkan generasi dambaan ILAHI. Malah di negeri akhirat, Allah akan menjadikannya bidadari syurga. Oleh kerana itu, para pemuda jangan sampai tersalah dalam memilih pasangan hidup. Pilihlah wanita solehah untuk dijadikan isteri dan pendamping hidup yang teramat setia malah sentiasa menjaga akhlaknya di mana jua dia berada.

Siti Khadijah r.'anha. adalah merupakan "figure" iaitu contoh terbaik seorang isteri solehah di mana dia yang menjadi penenteram batin, pendukung setia, dan penguat semangat suami dalam berjuang dan beribadah kepada Allah S.W.T. Beliau telah berkorban dengan harta, kedudukan, dan diri beliau demi membela perjuangan suaminya iaitu Rasulullah S.A.W. Begitu kuatnya kesan kesolehan Khadijah r.'anha., sehingga nama beliau banyak disebut-sebut oleh Rasulullah S.A.W. walau beliau telah meninggal.

Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah An-Nuur pada ayat 30-31, "Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara farji (kemaluan) - nya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara farji- nya dan janganlah mereka menampakkan perhiasan kecuali yang biasa nampak daripadanya.

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah." (Hadis Riwayat Muslim).

Ciri khas seorang wanita solehah ialah di mana dia mampu menjaga pandangannya. Ciri lainnya pula ialah dia senantiasa taat kepada Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Make up- nya adalah basuhan air wudhu' sahaja. Lipstiknya pula adalah dia memperbanyakkan zikir kepada Allah S.W.T. di mana pun dia berada. Celak matanya adalah dia sentiasa memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Jika seorang muslimah menghiasi dirinya dengan perilaku taqwa maka akan terpancar cahaya kesolehan daripada dirinya.

Wanita solehah tidak mahu kekayaan termahalnya berupa iman akan diputar-belitkan oleh fitnah dan juga godaan-godaan syaitan terkutuk. Dia juga sangat memperhatikan kualiti dalam setiap butiran kata-katanya. Tidak ada dalam sejarahnya, seorang wanita solehah suka menjerit-jerit saat mendapatkan sesuatu kesenangan. Dia akan sangat menjaga setiap tutur katanya agar bernilai bagaikan untaian intan yang penuh makna dan bermutu tinggi. Dia sedar benar-benar bahawa kemuliaannya itu adalah bersumberkan daripada kemampuannya menjaga diri (iffah).

Wanita solehah itu murah senyumannya kerana senyuman itu sendiri adalah sedekah. Namun, tentu saja senyumannya itu adalah pada tempatnya. Tidak setiap lelaki yang dijumpainya akan diberikan senyuman manis. Maksudnya, senyumannya itu adalah senyuman ibadah yang ikhlas dan tidak menimbulkan fitnah bagi orang lain. Cubalah bayangkan jika kaum wanita bekerja keras berlatih memberikan senyuman manis semata-mata untuk meluluhkan hati lelaki...bukankah itu merupakan fitnah yang besar dan impaknya dapat mengucar-kacirkan iman setiap pemuda atau lelaki yang melihatnya?

Wanita solehah juga harus pintar dalam bergaul dengan sesiapapun agar di sana dia mampu menjauhkan dirinya dari fitnah dan godaan syaitan laknatullah. Dengan pergaulannya itu akan bertambah ilmunya terus-menerus sebab dia akan selalu mengambil hikmah daripada orang-orang yang dia temui. Kedekatannya kepada Allah S.W.T. semakin baik sehingga hal itu membuahkan kebaikan bagi dirinya mahupun orang lain yang berada di sekelilingnya. Pendek kata, hubungan kemanusiaan dan taqarrub kepada Allah dilakukannya dengan sebaik mungkin.

Dia juga selalu menjaga akhlaknya. Salah satu ciri bahawa imannya kuat adalah dari kemampuannya memelihara rasa malu. Dengan adanya rasa malu, segala tutur kata dan tindak-tanduknya akan selalu terjaga dan dikawal. Tidak akan sama sekali dia berbuat sesuatu yang menyimpang daripada bimbingan Al-Quran dan As-Sunnah. Dan tentu sahaja godaan syaitan bagi dirinya akan semakin dan sangat kuat. Jika dia tidak mampu melawan godaan tersebut, maka kualiti imannya itu akan berkurang. Semakin kurangnya iman seseorang wanita, maka semakin kurang rasa malunya. Semakin kurang rasa malunya, maka semakin buruk kualiti akhlaknya.

Pada prinsipnya, wanita solehah itu adalah wanita yang taat kepada Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Rambu-rambu kemuliaannya bukan dari beraneka aksoseri yang dia gunakan. Justeru, dia selalu menjaga kecantikan dirinya agar tidak menjadi fitnah bagi orang lain. Kecantikan satu saat mampu menjadi anugerah yang bernilai tetapi jika tidak hati-hati, kecantikan itu mampu menjadi sumber masalah yang akan menyulitkan pemiliknya sendiri.

Saat mendapat keterbatasan fizikal pada dirinya, wanita solehah tidak akan pernah merasa kecewa dan sakit hati. Dia yakin bahawa kekecewaan adalah sebahagian daripada sikap kufur nikmat. Dia tidak akan merasa rendah diri dengan keterbatasannya. Peribadinya begitu indah sehingga make up apa pun yang dipakainya akan memancarkan cahaya kemuliaan. Bahkan, kalaupun dia tanpa make up sedikit pun, kecantikan jiwanya akan tetap terpancar dan menyejukan hati tiap-tiap orang yang berada di sekitarnya. Kerana dia yakin betul bahawa Allah tidak akan pernah mengurangi dalam memberikan kurniaan kepada hamba-hamba-Nya. Makin dia menjaga kehormatan diri dan keluarganya semakin Allah akan memberikan kurniaan terbaik baginya di dunia dan di akhirat.

Jika ingin menjadi wanita solehah, maka banyak-banyakkanlah belajar dari lingkungan sekitar dan orang-orang yang soleh dan berilmu yang anda temui. Ambillah ilmu-ilmu agama daripada mereka. Bahkan anda mampu mencontohi isteri-isteri Rasulullah S.A.W. Seperti Siti Aisyah yang terkenal dengan kecerdasannya dalam berbagai bidang ilmu. Dia terkenal dengan kekuatan pemikirannya. Seorang isteri seperti beliau adalah seorang isteri yang mampu dijadikan gudang ilmu bagi suami dan anak-anak.

Boleh jadi wanita solehah itu muncul dari sebab keturunannya. Apabila kita melihat seorang pelajar yang baik akhlaknya dan tutur katanya senantiasa sopan, maka dalam bayangan kita tergambar diri seorang ibu yang telah mendidik, mengasuh dan membimbing anaknya menjadi manusia yang berakhlak iaitu puteri yang mempunyai tahap keperibadian yang tinggi dalam budi pekertinya. Adalah sulit untuk membayangkan, seorang wanita solehah munculnya tanpa didahului sebuah proses yang memakan waktu dalam sudut didikan dan asuhan. Di sini faktor keturunan memainkan peranan penting. Begitu pun dengan pola pendidikan, lingkungan, keteladanan dan lain-lain adalah faktor-faktor penyebabnya. Apa yang nampak adalah merupakan satu gambaran bagi sesuatu yang tersembunyi.

Banyak wanita boleh sukses. Namun tidak semua mampu menjadi solehah. Solehah atau tidaknya seorang wanita bergantung ketaatannya kepada aturan-aturan yang Allah pimpinkan. Dan aturan-aturan tersebut berlaku universal, bukan sahaja berlaku bagi wanita yang sudah menikah, tetapi juga bagi remaja puteri yang belum berumahtangga. Tidak akan rugi jika seorang remaja puteri menjaga sikapnya saat mereka berinteraksi dengan lawan jenis yang bukan mahramnya. Bertemanlah dengan orang-orang yang akan menambah kualiti ilmu, amal dan ibadah kita. Ada sebuah ungkapan mengatakan, Jika kita ingin mengenal peribadi seseorang maka lihatlah teman-teman di sekelilingnya. Usahakanlah kita mampu memberikan warna yang baik bagi orang lain, bukan sebaliknya di mana kita sendiri yang diwarnai oleh pengaruh buruk orang lain. Awas situasi sebegini berlaku kepada kita. Maka berhati-hatilah dalam menjaga kualiti akhlak kita.

Jika para wanita mampu menjaga diri dan memelihara akhlaknya, maka iman kaum lelaki akan semakin kuat. Cahaya kesolehan wanita mukminah akan menjadi penyejuk sekaligus peneguh hati orang-orang yang beriman. Apalagi bagi kaum muda remaja yang sangat selalu digoda dengan godaan nafsu syahwat dan bisikan-bisikan iblis laknatullah. Mereka harus dibantu dalam melawan godaan-godaan tersebut atas keperibadian yang ditonjolkan oleh wanita solehah.

Peranan wanita solehah sangat besar dalam keluarga bahkan dalam negara. Kita pernah mendengar, bahawa di belakang seorang pemimpin yang sukses atau berjaya ada seorang wanita yang sangat hebat. Jika wanita solehah ada di belakang para lelaki di dunia ini. Maka mampu kita bayangkan, berapa banyak kesuksesan dan kejayaan yang akan diraih. Selama ini wanita hanya ditempatkan sebagai pelengkap saja iaitu hanya mendukung dari belakang, tanpa peranan tertentu yang serius. Dalam sebuah keterangan dinyatakan bahawa jika buruknya akhlak wanita mampu menjadi penyebab yang akan menghancurkan sesebuah negara. Bukankah wanita itu adalah penguat negara? Bayangkanlah, jika tiang-tiang yang menjadi penompang kepada bangunan itu rapuh, maka sudah pastinyalah bangunan tersebut akan roboh dan rata dengan tanah. Sehingga tidak akan ada lagi yang tersisa kecuali puing-puing yang nilainya tidak seberapa.

Jadi andalah wahai para wanita..puteri-puteri Islam untuk memilihnya... apakah anda akan menjadi tiang yang kuat atau tiang yang rapuh? Jika ingin menjadi tiang yang kuat,anda seharusnya terus berusaha menjadi wanita solehah dengan mencontohi keperibadian isteri-isteri Rasulullah S.A.W. Dengan terus berusaha menjaga kehormatan diri dan keluarga serta memelihara farji, maka pesona wanita solehah akan terus melekat pada diri anda. Maka Yakin dan Percayalah pada kata-kata ini!

Ringkasan Formula NW 1




Kali ini ingin sekali anjang berkongsi dengan sahabat-sahabat semua.. iaitu tentang kajian warna organ tubuh badan kita dalam kaedah CVT bagi merawat diri.. kerana ianya lebih praktikal malah adanya hubung-kait yang sangat rapat dengan kaedah rawatan ISLAM.. terlihat ianya merangkumi aspek rohani dan jasmani.. bermula daripada formula NW 1 sehinggalah ke NW 20.. insya-Allah, akan anjang bawakannya satu persatu..

Berikut ialah ringkasan keterangan Formula NW 1:


FORMULANW1
NAMA FORMULAVITALWHITE
WARNASINAR PUTIH
FREQUENCYBawah1 nanometer mengampiri 0 nanometer
WAKTURESONAN2jam selepas Isyak hingga selama 2 jam
(11.00 malam hingga 1.00 pagi)
PSIKOLOGI KETIKA SIHATLigat,mood, semangat.
PSIKOLOGI KETIKA SAKITAngau,termenung, hilang semangat.
KAWASAN
  1. Kelenjar Pineal
KAITAN/ TANDA / SIMPTOM
  • Perlu untuk semua keadaan pada sistem immmune(alternatif kepada immunisasi).
  • Aktif berlebihan
  • Kejutan kemalangan
  • Luka / mengawal virus.
  • Memulihkan semangat.
  • Meningkatkan keyakinan.
  • Hilang keceriaan.
  • Lembab dalam pergerakan.
  • Malas.
  • Mudah terperanjat.
  • Tenaga keseimbangan untuk lelaki.
  • Delusi dan halunisani.
  • Kekaburan kesedaran (koma).
  • Kelesuan yang menyeluruh.
KETERANGAN FORMULA
  • Meningkatkan dan menguatkan tindak balas kepada semuaformula yang lain.
  • Kegunaan seisi keluarga.
  • Mengawal kelenjar Pineal / mengawal aktiviti utamasemua sistem kelenjar yang lain.
  • Gangguan tenaga luar (halusinasi) yang dianggap benaroleh pesakit.
  • Fungsi vital penting dalam mengawal peredaran darah.

Seminar Fisiologi Dan Applied Kinesiology








Assalamu'alaikum sahabat-sahabat anjang yang dikasihi.. moga-moga anda semua sentiasa sihat-sihat hendaknya di bawah lembayung maghfirah dan mardhiyyah Allah Subhanahu Wa Ta'ala...

Anjang kembali ke teratak ini untuk berkongsi pengalaman anjang semasa mengikuti Seminar Fisiologi dan Applied Kinesioligy yang di anjurkan oleh Dr. Ariffaizal bin Mohd Nor Ariffin.. anjang mula bertolak dari Kedah pada pukul 11 malam lebih kurang.. banyak juga perhentian yang anjang singgah.. di tapah, di gopeng, di sungai buluh... dan akhirnya anjang sampai di Kuala Lumpur dalam pukul 5 pagi, singgah sebentar di Masjid Kampung Baru untuk menunaikan solat fardhu Subuh.. sungguh berbeza apabila dibandingkan dengan amalan Masjid Muttaqin di Jitra, Kedah kerana selepas solat Subuh..

Ya, imam sememangnya seperti biasa berwirid mengikut wirid ahli Madinah cuma hanya ditambah dengan membaca surah yasin dan akhirnya berdoa..namun begitu ia tidaklah menjadi perkara yang luar biasa kerana amalan itu perlu bagi seseorang mukmin membiasakan dirinya setiap hari.. iaitu dengan membaca Al-Qur'an di mana seseorang muslim mukmin itu sangat perlu membaca dan menhayatinya adalah bagi mendekatkan lagi kepada Pencipta jasad dan roh iaitu Allah Subhanahu Wa Ta'ala..

hmmm...anjang sambung semula ya...ya..di mana kursus atau seminar yang anjang ikuti ini dibuat pada 1 Mac 2009..iaitu pada Hari Ahad yang lalu.. bertempat di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur iaitu di Kuala Lumpur International Hotel, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur..

Objektif seminar ini dibuat ialah untuk :

- memahami konsep getaran tenaga warna dan kaitannya dengan organ tubuh badan kita.

-mengenali organ tubuh manusia dan karakter yang dipengaruhinya.

-mempelajari teknik mendiagnosis menggunakan Applied Kinesiology.

-mengetahui petua penjagaan kesihatan keseluruhan dalam amalan sehari-hari dalam kehidupan kita seharian.


Petua Kesihatan Menyeluruh :

- setiap organ tubuh kita mempunyai pengaruh karakternya.

- tahap kesihatannya boleh dipengaruhi oleh faktor pemakanan dan amalan seharian begitu juga cara berfikir seseorang..HARUS DIINGAT ITU YA SAHABAT!!!!

- mengenali dan memahami organ dengan lebih dekat akan membantu kita mengenal penyakit, memberi kelegaan kepada penyakit tersebut, mencegah dan merawat penyakit.

- dengan mengawal faktor persekitaran anda seperti pemakanan, amalan harian dan cara berfikir akan membantu mengekalkan tahap kesihatan anda pada tahap yang paling optimum..

Apa itu Applied Kinesiology?

- kaedah tindak balas otot untuk menguji tenaga berdasarkan niat yang mempunyai fokus dan jelas.

- merupakan salah satu kaedah pemeriksaan tenaga tubuh bagi tujuan mengenal pasti penyakit, kelemahan dan penentuan rawatan yang tepat dalam ikhtiar merawat melalui kaedah Colour Vibration Therapy.

- boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.