Biarlah Masjid Dibina Atas Dasar Taqwa


Gambar di atas ialah Masjid Kristal di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Bersebelahan dengan masjid ini terletaknya Taman Warisan Tamadun Islam yang mana dibina miniature bangunan-bangunan warisan tamadun Islam di seluruh dunia. Maknanya, tak perlu pergi luar negara, datang saja ke Terengganu, entum semua boleh tengok bangunan-bangunan yang megah seperti di luar negara.

Bagaimana sambutannya pada waktu pagi..dikala subuh hari..Pastinya masjid ini akan menangis keseorangan di waktu subuh hari kan, mana tidaknya..siapalah yang berani nak pergi solat pagi-pagi buta di Pulau Wan Man itu? Terpencil dari orang ramai, pasti tangisan masjid ini meleleh dan mengalir ke kuala sungai di sebelahnya.

Betulkah niat asal pembinaan masjid ini bagi menarik pelancongan ke Kuala Terengganu? Seperti Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung yang sentiasa penuh dengan pelancong, namun turut dipenuhi dengan jemaah. Anjang suka bersolat di Masjid Terapung jika berkesempatan. Anjang berharap agar Masjid Kristal turut dipenuhi dengan jamaah.

Sebenar-benarnya yang penting ialah matlamat pembinaan sesebuah masjid itu adalah bagi tujuan beribadah kepada ALLAH S.W.T. Lebih-lebih lagi ia adalah tempat terakhir bagi si faqir mengetuk pintu Allah setelah pintu-pintu rumah si kaya tak terbuka untuknya. Jangan sampai si faqir hilang tempat ia memohon pertolongan. Jangan sampai terhalang untuk dirinya memasuki rumah Allah. Biarlah masjid merupakan tempat yang selamat baginya. Jangan sampai dia dihalang dari menjejakkan kakinya ke dalam masjid tersebut untuk beribadah, atas alasan pakaiannya agak selekeh dan agak lusuh.

Jika untuk menarik pelancong, itu bermakna niat pembinaan telah terpesong secara total. Masih ingat peristiwa Masjid Dhirar yang dibina kaum munafiq? Masjid itu diperintahkan oleh Baginda Rasulullah SAW agar dimusnahkan kerana tujuan pembinaannya ialah untuk menandingi Masjid Nabawi. Padahal Masjid Dhirar dibina dengan batu, pasti lebih cantik berbanding Masjid Nabawi pada masa itu yang hanya terbina daripada batang-batang pohon tamar.

Pada pendapat anjang, seelok-eloknya sebelum pembinaan masjid-masjid yang lain selepas ini, para pemimpin harus berfikir terlebih dahulu tentang nasib masjid-masjid yang sedia ada yang sudah tentu ada yang masih terbengkalai. Kenapa Masjid Kristal dengan cepatnya berjaya dibangunkan?

Cukup-cukuplah membina masjid. Apa yang terpenting ialah pembinaan taqwa dalam hati setiap ahli qoriah untuk datang meng'imarahkan masjid.Mari kita bina semangat untuk ke masjid pula. Semangat untuk beribadah. Baiki masjid-masjid yang sedia ada. Anjang kira itu yang lebih baik. Biarlah sumbangan tersebut berpada-pada dan memberi ‘return’ atau pulangan yang tinggi mengikut lunas-lunas sunnah.

Islam Terbina Atas Dasar Iman Bukan Harta

Kejayaan membina kekayaan dan material dengan kegagalan pembinaan diri beragama tidaklah merupakan satu kejayaan dari pandangan Allah S.W.T. Kerana itulah, Allah S.W.T mengarahkan Nabi Musa dan Harun a.s untuk bertemu Firaun :

ثُمَّ بَعَثْنَا مِن بَعْدِهِم مُّوسَى وَهَارُونَ إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ بِآيَاتِنَا فَاسْتَكْبَرُواْ وَكَانُواْ قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

Ertinya : Kemudian sesudah rasul-rasul itu, Kami utus Musa dan Harun kepada firaun dan pemuka-pemuka kaumnya, dengan (membawa) tanda-tanda (mukjizat-mukjizat) Kami, maka mereka menyombongkan diri dan mereka adalah orang-orang yang berdosa. ( Yunus : 75 )

Dan juga ayat berikut menunjukkan bahawa kejayaan Firaun membina empayar dan tamadun yang tidak didasari oleh pembinaan jiwa dan ruh rakyat adalah GAGAL!, sebagaimana arahan Allah s.w.t ini menunjukkan kejayaan yang gersang dari keimanan kepada Allah adalah 'taghut' atau melampaui batas :-

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى

Ertinya : "Pergilah kamu berdua ( Musa & harun a.s) kepada firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas" ( Toha : 43 )

Kejayaan material di dunia sememangnya bersifat enak dan hebat, ia memang enak kerana itu acuannya, iaitu untuk ujian dan menipu manusia yang tiada benteng iman dan ilmu. Allah s.w.t telah lama mengingatkan kita perihal kejayaan dunia (yang kering dari nilai akhirat) yang memang sifatnya mudah menipu ini di dalam firmannya :-

الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Ertinya : orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan kehidupan dunia telah menipu mereka.. ( Al-A'raf : 51)

Kesan buruk dari kegagalan ini akan terzahir dalam pelbagai bentuk dan rupa. Bermula dari kehancuran rumah tangga. Kehancuran ini seterusnya akan diikuti dengan kesan susulan iaitu kelahiran makhluk perosak dari sebuah rumah, dua rumah, tiga, empat, dua ratus dan seterusnya.

Lahirnya Seorang Mahkluk Perosak

Kegagalan rumah tangga akan melahirkan kanak-kanak dan individu yang sakit jiwa dan ruh, sehingga menjadi makhluk perosak di dalam rumah, di sekolah dan di luar rumah.
Jika ia seorang lelaki, ia mungkin akan berfungsi sebagai makhluk perosak dalam rumah seperti merogol adik, kakak atau pelopori sumbang mahram, derhakai ibu bapa. Perosak di sekolah sebagai perogol rakan sekolah, berzina, membuli, gangster, terlibat ajaran sesat dan karut seperti black metal dan mungkin merosakkan kereta guru, cederakan guru dan lain-lain.

Perosak di luar rumah dan sekolah adalah sebagai penagih dadah, merompak dan akhirnya boleh menjadi mahkluk perosak keamanan manusia lain.

Jika ia seorang wanita pula, ia berfungsi sebagai alat kepada syaitan setiap hari. Tujuannya adalah untuk merosakkan iman setiap hati dan mata orang beriman. Akhirnya bolehlah si lelaki lemah iman serta gagal menahan nafsunya tadi bertindak ganas untuk menculik, merogol, membunuh, mencari kekayaan untuk membeli kasih palsu sang wanita hiasan dan lain-lain. Maka rosaklah rumah tangga yang sudah retak..hancur sehancur-hancurnya.

Sebagaimana disebutkan oleh Nabi s.a.w :-

المرأة عورة فإذا خرجت استشرفها الشيطان وأقرب ما تكون من ربها إذا هي في قعر بيتها

Ertinya : "Wanita itu adalah aurat (seluruh tubuhnya kecuali tangan dan wajah menurut jumhur ulama), dan apabila ia keluar dari rumah, maka Syaitan akan menghiaskannya (sehingga mampu menarik padnangan lelaki), dan paling hampir wanita dengan tuhannya adalah apabila ia berada di rumah" (Riwayat at-tirmidzi, no 1173, 3/476 ; Ibn Hibban, 12/413 ; Imam Tirmizi berkata : Hasan Gharib ; Syuaib Arnout : Sanadnya sohih ; Albani : Sohih )

Imam Al Hafiz Muhammad Al-Mubarakfuri menyebutkan bahawa wanita dihiasi Syaitan adalah apabila ia keluar dengan perhiasan ditayangkan (termasuk auratnya) yang sengaja untuk menarik perhatian lelaki kepadanya. (Tuhfatul ahwazi , 4/283)


Tindakan Kita

Keluhan tanpa usaha dan kembali kepada silibus kehidupan yang tiada keraguan padanya iaitu al-quran dan al-hadis pastinya tidak mampu menghasilkan ketenangan yang diidamkan oleh semua. Tiada tudingan jari diperlukan di sini, semua perlu dimulakan dari diri sendiri. Dan wajib disampaikan dengan serius dan usaha gigih keluar sempadan rumah kita kepada rakan, jiran dan orang ramai. Kembalikan mereka kepada Islam...

Allah melihat usaha bersungguh kita semua dan bukan hasilnya. Allah menyebut :-

Ertinya : "dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya" ( An-Najm : 39 )

Jangan sombong diketika kita senang dan janganlah ditunggu musibah menimpa untuk dijadikan 'bateri' dan momentum kepada melakukan amal soleh. Kembalilah saudara dan saudariku. Moga kita semua berjaya.

Allah mengeji orang yang hanya kembali dan mengangkat tangan berdoa tatkala ditimpa kesusahan dan ketakutan, kerana orang begini biasanya akan kembali melupakan Allah di waktu senang dan sihat mereka, Allah s.w.t menyebut :-

وَإِذَا مَسَّ الإِنسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَآئِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَى ضُرٍّ مَّسَّهُ كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

Ertinya : Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan. ( Yunus : 12 )

Kita Bimbang

Saya faham, kita semua merasa bimbang dengan keselamatan diri dan ahli keluarga kita sekarang ini. Hinggakan hasrat untuk membawa anak perempuan ke masjid juga boleh menjadi ancaman kepada anak. Mana tidaknya, masjid kelihatan penuh dengan pelbagai jenis manusia. termasuk yang bukan mencari Allah s.w.t, tetapi mencari 'kasut baru' (untuk dicuri) atau mangsa.

Sesungguhnya tanpa disedari, ia mungkin adalah hasil tangan kita semua juga dek kerana terlalu leka mencari harta dunia, hingga dilalaikan pembinaan jiwa anak dan kelaurga. Segeralah nasihatkan diri, seluruh keluarga dan rakan taulan kita agar tidak menjadi penyumbang lagi kepada kezaliman. Hanya dengan ilmu dan amal mampu menyelamatkan, dan Allah pasti membalas kezaliman dengan kesan yang buruk secara merata tanpa mengira lagi kamu terlibat atau tidak.

Ingatan Allah :-

فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَالَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ هَؤُلَاء سَيُصِيبُهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَمَا هُم بِمُعْجِزِينَ

Ertinya : Maka mereka ditimpa akibat buruk dari apa yang mereka usahakan. Dan orang-orang yang zalim di antara mereka akan ditimpa akibat buruk dari usahanya dan mereka tidak dapat melepaskan diri ( Az-Zumar : 51 )


Berdoa dan berusahalah kita, bersama-sama..


Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman