Kejayaan membina kekayaan dan material dengan kegagalan pembinaan diri beragama tidaklah merupakan satu kejayaan dari pandangan Allah S.W.T. Kerana itulah, Allah S.W.T mengarahkan Nabi Musa dan Harun a.s untuk bertemu Firaun :
ثُمَّ بَعَثْنَا مِن بَعْدِهِم مُّوسَى وَهَارُونَ إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ بِآيَاتِنَا فَاسْتَكْبَرُواْ وَكَانُواْ قَوْمًا مُّجْرِمِينَ
Ertinya : Kemudian sesudah rasul-rasul itu, Kami utus Musa dan Harun kepada firaun dan pemuka-pemuka kaumnya, dengan (membawa) tanda-tanda (mukjizat-mukjizat) Kami, maka mereka menyombongkan diri dan mereka adalah orang-orang yang berdosa. ( Yunus : 75 )
Dan juga ayat berikut menunjukkan bahawa kejayaan Firaun membina empayar dan tamadun yang tidak didasari oleh pembinaan jiwa dan ruh rakyat adalah GAGAL!, sebagaimana arahan Allah s.w.t ini menunjukkan kejayaan yang gersang dari keimanan kepada Allah adalah 'taghut' atau melampaui batas :-
اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى
Ertinya : "Pergilah kamu berdua ( Musa & harun a.s) kepada firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas" ( Toha : 43 )
Kejayaan material di dunia sememangnya bersifat enak dan hebat, ia memang enak kerana itu acuannya, iaitu untuk ujian dan menipu manusia yang tiada benteng iman dan ilmu. Allah s.w.t telah lama mengingatkan kita perihal kejayaan dunia (yang kering dari nilai akhirat) yang memang sifatnya mudah menipu ini di dalam firmannya :-
الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا
Ertinya : orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan kehidupan dunia telah menipu mereka.. ( Al-A'raf : 51)
Kesan buruk dari kegagalan ini akan terzahir dalam pelbagai bentuk dan rupa. Bermula dari kehancuran rumah tangga. Kehancuran ini seterusnya akan diikuti dengan kesan susulan iaitu kelahiran makhluk perosak dari sebuah rumah, dua rumah, tiga, empat, dua ratus dan seterusnya.
Lahirnya Seorang Mahkluk Perosak
Kegagalan rumah tangga akan melahirkan kanak-kanak dan individu yang sakit jiwa dan ruh, sehingga menjadi makhluk perosak di dalam rumah, di sekolah dan di luar rumah.
Jika ia seorang lelaki, ia mungkin akan berfungsi sebagai makhluk perosak dalam rumah seperti merogol adik, kakak atau pelopori sumbang mahram, derhakai ibu bapa. Perosak di sekolah sebagai perogol rakan sekolah, berzina, membuli, gangster, terlibat ajaran sesat dan karut seperti black metal dan mungkin merosakkan kereta guru, cederakan guru dan lain-lain.
Perosak di luar rumah dan sekolah adalah sebagai penagih dadah, merompak dan akhirnya boleh menjadi mahkluk perosak keamanan manusia lain.
Jika ia seorang wanita pula, ia berfungsi sebagai alat kepada syaitan setiap hari. Tujuannya adalah untuk merosakkan iman setiap hati dan mata orang beriman. Akhirnya bolehlah si lelaki lemah iman serta gagal menahan nafsunya tadi bertindak ganas untuk menculik, merogol, membunuh, mencari kekayaan untuk membeli kasih palsu sang wanita hiasan dan lain-lain. Maka rosaklah rumah tangga yang sudah retak..hancur sehancur-hancurnya.
Sebagaimana disebutkan oleh Nabi s.a.w :-
المرأة عورة فإذا خرجت استشرفها الشيطان وأقرب ما تكون من ربها إذا هي في قعر بيتها
Ertinya : "Wanita itu adalah aurat (seluruh tubuhnya kecuali tangan dan wajah menurut jumhur ulama), dan apabila ia keluar dari rumah, maka Syaitan akan menghiaskannya (sehingga mampu menarik padnangan lelaki), dan paling hampir wanita dengan tuhannya adalah apabila ia berada di rumah" (Riwayat at-tirmidzi, no 1173, 3/476 ; Ibn Hibban, 12/413 ; Imam Tirmizi berkata : Hasan Gharib ; Syuaib Arnout : Sanadnya sohih ; Albani : Sohih )
Imam Al Hafiz Muhammad Al-Mubarakfuri menyebutkan bahawa wanita dihiasi Syaitan adalah apabila ia keluar dengan perhiasan ditayangkan (termasuk auratnya) yang sengaja untuk menarik perhatian lelaki kepadanya. (Tuhfatul ahwazi , 4/283)
Tindakan Kita
Keluhan tanpa usaha dan kembali kepada silibus kehidupan yang tiada keraguan padanya iaitu al-quran dan al-hadis pastinya tidak mampu menghasilkan ketenangan yang diidamkan oleh semua. Tiada tudingan jari diperlukan di sini, semua perlu dimulakan dari diri sendiri. Dan wajib disampaikan dengan serius dan usaha gigih keluar sempadan rumah kita kepada rakan, jiran dan orang ramai. Kembalikan mereka kepada Islam...
Allah melihat usaha bersungguh kita semua dan bukan hasilnya. Allah menyebut :-
Ertinya : "dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya" ( An-Najm : 39 )
Jangan sombong diketika kita senang dan janganlah ditunggu musibah menimpa untuk dijadikan 'bateri' dan momentum kepada melakukan amal soleh. Kembalilah saudara dan saudariku. Moga kita semua berjaya.
Allah mengeji orang yang hanya kembali dan mengangkat tangan berdoa tatkala ditimpa kesusahan dan ketakutan, kerana orang begini biasanya akan kembali melupakan Allah di waktu senang dan sihat mereka, Allah s.w.t menyebut :-
وَإِذَا مَسَّ الإِنسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَآئِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَى ضُرٍّ مَّسَّهُ كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
Ertinya : Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan. ( Yunus : 12 )
Kita Bimbang
Saya faham, kita semua merasa bimbang dengan keselamatan diri dan ahli keluarga kita sekarang ini. Hinggakan hasrat untuk membawa anak perempuan ke masjid juga boleh menjadi ancaman kepada anak. Mana tidaknya, masjid kelihatan penuh dengan pelbagai jenis manusia. termasuk yang bukan mencari Allah s.w.t, tetapi mencari 'kasut baru' (untuk dicuri) atau mangsa.
Sesungguhnya tanpa disedari, ia mungkin adalah hasil tangan kita semua juga dek kerana terlalu leka mencari harta dunia, hingga dilalaikan pembinaan jiwa anak dan kelaurga. Segeralah nasihatkan diri, seluruh keluarga dan rakan taulan kita agar tidak menjadi penyumbang lagi kepada kezaliman. Hanya dengan ilmu dan amal mampu menyelamatkan, dan Allah pasti membalas kezaliman dengan kesan yang buruk secara merata tanpa mengira lagi kamu terlibat atau tidak.
Ingatan Allah :-
فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَالَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ هَؤُلَاء سَيُصِيبُهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَمَا هُم بِمُعْجِزِينَ
Ertinya : Maka mereka ditimpa akibat buruk dari apa yang mereka usahakan. Dan orang-orang yang zalim di antara mereka akan ditimpa akibat buruk dari usahanya dan mereka tidak dapat melepaskan diri ( Az-Zumar : 51 )
Berdoa dan berusahalah kita, bersama-sama..
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:
Post a Comment