Lailatul Qadri Khairum Min Alfi Syahr

Alhamdulillah..cukup terasa dengan kehadiran Ramadhan pada tahun ini..mana tidaknya, sebaik sahaja kita menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-51.. terus sahaja disambung dengan memasuki madrasah Ramadhan. Kita yang sudah berbekalkan semangat kemerdekaan ini, seharusnya kita dapat memerdekakan juga diri kita daripada belenggu hasutan Iblis, Syaitan dan nafsu. Memerdekakan kesemua fitnah yang selalu disusun dan diatur strateginya oleh panglima-panglima Iblis Laknatullah.
Ramadhan Karim...Ramadhan yang mana diikat dan dirantai segala Iblis dan Syaitan.
Segala puji dan puja hanyasanya layak dipersembahkan buat Allah, Tuhan Yang Maha Agung dalam penciptaan-Nya. Dialah yang menjadikan langit dan bumi, pergantian malam dan siang. Dialah yang menjadikan pada bulan Ramadhan ini terdapat satu malam yang paling istimewa iaitu Lailatul Qadr. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, penghulu para nabi dan rasul. Salam sejahtera buat keluarga baginda, para sahabat dan muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah dijemput oleh Allah S.W.T.
Dengan segala kerendahan hati, kupersembahkan buat para pembaca yang dikasihi tentang bagaimana mencari malam al-Qadar ini? apakah tanda-tandanya? malah apakah doa yang patut diucapkan pada malamnya?
Di sana terdapat banyak pendapat para ulama' tentang masa dan tempat terjadinya malam al-Qadar ini.
Inilah pendapat yang masyhur daripada Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa malam al-Qadar itu akan ada di setiap tahun. Pendapat ini berdasarkan kepada pendapat Abdullah bin Mas'ud yang mengatakan sesiapa yang beribadah di setiap malam dalam tahun itu, nescaya akan memperolehinya.
Di dalam Sohih Muslim daripada Zarr Ibnu Hubaisy dinyatakan sebagai berikut :
Aku bertanya kepada Ubay bin Ka'ab, katanya : "Saudaramu Ibnu Mas'ud mengatakan sesiapa yang menegakkan ibadah setiap malam dalam tahun itu, pasti dia akan memperolehi malam al-Qadar." Lantas Ubay berkata : Abdullah r.a. berkata demikian adalah kerana mengingatkan agar manusia tidak lalai sedangkan beliau sendiri sebenarnya sudah tahu bahawa malam itu hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja. Iaitu pada sepuluh yang terakhir tepatnya pada malam kedua puluh tujuh."
Demikianlah yang difahamkan oleh Ubay daripada Abdullah bin Mas'ud.
Kemudian Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang maksudnya:
"Malam al-Qadar itu berlaku pada tujuh malam terakhir (bulan Ramadhan). Pada pagi hari (esoknya) matahari terbit bersih tanpa sinaran yang kuat. Maka aku menunggu-nunggu (kenyataan Rasulullah S.A.W. ) lantas aku dapati (keadaan matahari) sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W itu"
Al-Bazzar meriwayatkan seperti itu di dalam musnadnya.
Daripada Umar ibnu al-Khattab r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W ada bersabda yang maksudnya :
"Carilah ia ( malam al-Qadar itu ) pada malam-malam yang ganjil di sepuluh malam yang terakhir"
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya'la dan al-Bazzar. Malah rijalul-hadis iaitu Abu Ya'la adalah thiqah (orang yang boleh dipercayai).
Selain itu, tersebut dalam musnad Imam Ahmad dan Mu'jam al-Kabir, at-Tabrani dan Abdullah bin Shamit r.a. bahawasanya dia bertanya Rasulullah S.A.W tentang malam al-Qadar, maka dijawab baginda S.A.W. dalam sabdanya yang bermaksud :
" ( Malam al-Qadar itu ) adalah pada bulan Ramadhan. Oleh itu, maka carilah malam tersebut pada sepuluh malam yang terakhir. Ia terjadi pada malam-malam yang ganjil. Iaitu malam ke-21,atau malam ke-23, atau pada malam ke-25, atau pada malam ke-27, atau malam ke-29 ataupun malam terakhir Ramadhan. Maka sesiapa yang mendirikannya ( mengerjakan ibadah pada malam harinya ) serta menuntutnya dengan penuh keimanan dan bermuhasabah ( megharapkan pahala daripada Allah ) dan bertepatan baginya ( amalnya dengan malam al-Qadar itu ) maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu dan terkemudian."
Bahawa ia ( malam al-Qadar ) berlaku pada malam ke-27. inilah pendapat yang dipegang oleh ramai para sahabat dan selain mereka. Dalam perkara ini, seakan-akan Ubay bin Ka'ab bersumpah, bahawa malam al-Qadar itu tidak pernah berlaku kecuali pada malam ke-27. Sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis sohih. Ditanyakan orang kepadanya : "Apakah alasannya bahawa kamu boleh mengatakan sedemikian, wahai Abu Munzir (gelaran kepada Ubay bin Ka'ab)? Ubay menjawab : "Dengan alamat dan tanda-tanda yang pernah dikhabarkan kepada kami oleh Rasulullah S.A.W. iaitu pada pagi harinya matahari tidak bersinar kuat."
Dinyatakan dalam sohih muslim, jilid 2 halaman 828 dalam "kitabus Shiyam"
Para Ulama' telah bersepakat mengatakan bahawa malam al-Qadar itu akan tetap ada dan tidak akan diangkat bahkan ia akan senantiasa ada sehingga hari Qiamat.
Al-Qadi 'Iyad pernah mengatakan berkenaan sesuatu kaum (segolongan umat Islam) yang meragukan tentang adanya malam al-Qadar tersebut lantas mereka mengatakan bahawa malam al-Qadar itu telah diangkat maksudnya tidak ada lagi berdasarkan sebuah riwayat yang mengatakan "Fa Rufi'at" yang bermaksud "lantas malam itu diangkat" .
Ini merupakan suatu kesilapan orang-orang yang meragukan tentang kekalnya malam al-Qadar tersebut, kerana pada akhir hadis telah menolak pendapat mereka. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya :
"....lantas malam itu diangkat, mudah-mudahan itu lebih baik bagi kamu. Oleh yang demikian carilah olehmu malam tersebut pada malam ketujuh atau kesembilan."
Demikianlah yang tersebut dalam hadis sohih Bukhari, yang padanya juga mengandungi penjelasan tentang maksud "terangkat" tersebut. Maksud "terangkat" di situ ialah terangkat kewujudannya.. Kalau bukan, masakan Rasulullah sendiri menyuruh kita mencarinya.
Ibnu 'Athiyyah daripada Abu Hurairah r.a. bahawa maksud dengan "terangkat" itu ialah terangkatnya tanda-tandanya. Malam di mana perhubungan mutlak antara isi langit dan bumi. Malam di mana permulaan turunnya Al-Qur'an Al-Karim ke dalam hati junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. Malam yang terjadinya suatu peristiwa besar yang belum pernah disaksikan oleh bumi dari segi dalil, keagungan dan kesannya terhadap kehidupan manusia. Malam yang dihuraikan padanya semua urusan dengan penuh hikmah merupakan rahmat daripada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Malam yang agung, di mana kemampuan manusia berfikir tentangnya amatlah terbatas dalam mencapainya.
Oleh itu, kita harus petik faedah-faedahnya yang tak ternilai dan jangan lambat-lambat untuk memahaminya. Maka katakanlah : "Aku akan mencapainya..aku akan berusaha mencapainya.."
Saidatina 'Aisyah r.anha. , ummul mu'minin pernah bertanya Rasulullah S.A.W :
"Apakah pendapat engkau sekiranya kebetulan aku mendapati malam al-Qadar itu, apakah yang mesti aku ucapkan padanya?"
Maka Rasulullah S.A.W. menjawab, bacalah :
"Ya Allah, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemaaf dan suka kepada kemaafan. Oleh itu maafkanlah (segala kesalahan) aku.."


0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: