Betulkah Aku Seorang Muslim Yang Mukmin???


Cuba kita tilik dan nilai diri sendiri selain merutinkan diri dengan menunding jari telunjuk ke depan muka orang lain kerana kita sendiri masih tak sedar yang empat jari lagi telahpun menunding ke arah diri sendiri.. Siapakah kita jika sekadar mengaku diri beriman???

Sebagai hamba Allah yang muslim dan mengakui bahawa dirinya mukmin dalam erti kata beriman dengan sebenar-benar iman, tidak mungkin akan bahagia pada hakikatnya jika...

...dirinya tidak menyandarkan segala perlakuan dan tindak-tanduknya secara Islam sepenuhnya. Sama ada dari segi ucapannya.. ungkapannya.. kenyataannya.. tulisannya.. tindakannya.. penampilannya.. malah dari segi gaya hidupnya sepatutnya perlu seimbang dengan setiap lafaz atau pengakuannya sebagai muslim mukmin yang hakiki.

Manusia selalu tidak akan terkawal dari sudut emosinya jika telah diganggu-gugat oleh nafsu yang berada di dalam dirinya dan syaitan yang selalu membisik-bisikkan ke dalam hatinya untuk melakukan perkara-perkara keji dan mungkar.

Seseorang muslim mampu menjadi mukmin sekiranya melalui proses pentarbiyahan yang sempurna malahan secara istiqomah melakukannya secara berterusan dalam perlaksanaan proses tersebut. Apa tidaknya jika muslim itu telah diasuh dan dididik dengan selalu menghadiri kelas-kelas akidah, fiqh, sirah, tafsir Al-Qur'an, hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W. , tasawwuf dan sebagainya.

Muslim itu selalunya akan keliru dan tidak terarah hidupnya dan jauh dari nilai-nilai agama dalam meniti titian arus perdana teknologi maklumat dan media yang semakin hari semakin tercemar oleh serangan fikiran yang telah di "absorb" masuk ke dalam otaknya jika tidak ditepis oleh hati yang terpenuh dengan suasana keimanan yang kental kepada Allah.

Malang sekali jika pada akhirnya tersungkur dek emosi dan nafsu sendiri yang tewas kerana dijangkiti oleh virus-virus penyakit hati. Malah tanpa sedar sanggup melakukan perlakuan yang bercanggah dengan nilai-nilai murni Islam. Paling ketara sekali ialah penyakit 'NIFAQ' atau sikap kepura-puraan melanda hati sendiri yang telahpun menjadi teras dan rutin kehidupan seharian.

Penyakit 'NIFAQ' ini tidak mengenal seseorang itu sama ada tua atau sudah lama menjadi Muslim, apatah lagi kepada golongan muda-mudi yang jelas kebanyakan mereka hanyut dalam arus permodenan.. dari segi pergaulannya, pakaiannya, hiburannya, makanannya, ucapannya atau percakapannya malah tindakannya langsung tidak mencerminkan seorang muslim yang mukmin. Mereka ini jelas tidak punyai pegangan dan tidak berpedoman dalam hidup. Itulah yang telah dijelaskan dan ditakuti oleh Nabi Muhammad kerana penyakit itu akan melanda umatnya. Sebagaimana sabda baginda S.A.W. yang bermaksud :

"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya dia menjadi kafir dan pada sebelah petangnya dia beriman dan pada sebelah paginya dia menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."

Allah S.W.T juga telah beberapa kali menyebut dengan berulang-ulang kali di dalam Al-Qur'an iaitu sebanyak 37 kali di dalam surah yang berbeza-beza. Allah S.W.T menyebutnya di dalam surah Ali Imran, surah Al-Hasyr, surah At-Taubah, surah Al-Ahzab, surah Al-Fath, surah Al-Hadid, surah Al-Anfal, surah Al-Munafiqun, surah An-Nisa', surah Al-Ankabut dan surah At-Tahrim. Ini menunjukkan betapa bahayanya golongan MUNAFIQ berada dalam masyarakat dan agama.


Teliti betul-betul.. beleklah sebaik mungkin.. tenung kembali diri dan bermuhasabah, sebenarnya ada 30 ciri seseorang itu memiliki sifat MUNAFIQ seperti yang telah dikisahkan Allah dalam Al-Qur'an dan juga hadis-hadis Rasulullah S.A.W.


1. Kurang berzikir dalam hidup sehari-hari (paling kurang bacalah ma'thurat as-sughra)

2. Melakukan solat dalam keadaan terlalu cepat.

3. Suka mencela orang yang baik, taat dan soleh.

4. Memperolok-olok Al-Qur'an, As-Sunnah dan diri Rasulullah S.A.W.

5. Melakukan sumpah palsu.

6. Berat hati untuk berinfaq pada jalan Allah.

7. Tidak ambil peduli terhadap nasib orang-orang ISLAM walau di mana mereka berada.

8. Suka berdusta.

9. Mengkhianati amanah.

10. Celupar mulutnya dalam perbalahan atau perdebatan.

11. Memungkiri janji.

12. Malas melakukan ibadat.

13. Suka menunjuk-nunjuk (riya')

14. Suka menyebar berita bohong.

15. Mengingkari takdir Allah S.W.T.

16. Suka mencaci-maki kehormatan orang yang soleh.

17. Sering meninggalkan solat jemaah (bagi lelaki).

18. Membuat kerosakkan di muka bumi.

19. Tidak ada keseragaman perlakuan zahir dan batin.

20. Rasa takut terhadap kejadian atau kemalangan yang menimpa diri.

21. Terlibat dalam pembohongan yang banyak.

22. Menyuruh berbuat mungkar dan mencegah orang berbuat makruf.

23. Bersikap bakhil walaupun kepada diri sendiri.

24. Lupa Allah.

25. Mendustakan janjinya kepada Allah dan rasul-Nya.

26. Menitik-beratkan soal zahir tanpa menghiraukan yang batin.

27. Sombong ketika bercakap.

28. Tidak memahami Islam dengan baik yang bersifat syumul.

29. Menyembunyikan perlakuannya di depan manusia dengan perbuatan dosa kepada Allah.

30. Senang hati apabila musibah menimpa orang beriman malah dengki terhadap kebahagiaan mereka.


Sahabat Nabi, Huzaifah r.a. pernah berkata :


"Orang MUNAFIQ pada masa sekarang lebih jahat daripada orang MUNAFIQ di masa Rasulullah S.A.W (masih ada dan hidup)"

Ditanyakan kepadanya :

"Mengapa demikian?"

Huzaifah r.a. menjawab :

"Sesungguhnya pada masa Rasulullah S.A.W. mereka menyembunyikan sifat NIFAQ mereka sedangkan sekarang mereka berani menampakkannya"
(Hadis diriwayatkan oleh Farayabi tentang sifat MUNAFIQ [51-51] dengan isnad yang sohih)

Lihatlah kenyataan sahabat baginda S.A.W., Huzaifah r.a. telah menyebutnya sudah 14 abad yang lalu. Jika demikian, bagaimanakah sifatnya dan perangainya golongan MUNAFIQ di abad ini???

YA ALLAH.. JAUHKAN DIRIKU DARI KESEMUA SIFAT-SIFAT MUNAFIQ SUPAYA AKU TERHINDAR MELAKUKAN PERKARA YANG ENGKAU MURKAI DAN MENGAKIBATKAN HALAL BALA ENGKAU KE ATAS DIRIKU.. LINDUNGI AKU DAN BANTULAH AKU MENDAPAT RAHMAT DAN REDHA-MU!!!

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: