Hari ini merupakan hari terakhir kita berada di Tahun 1432 Hijriyyah. Selepas solat Asar maka kita akan mula membuat persediaan untuk menjejakkan kaki ke Tahun Baru Hijrah 1433 dengan sama-sama membaca doa akhir tahun. Begitu jualah, selepas Maghrib nanti, bermulalah detik Tahun Baru Hijrah 1433 yang bakal membuka helaian demi helaian kitab amalan kita yang baru. Maka sepatutnya, jangan kita lupa memulakannya dengan doa awal tahun, agar diri kita terpelihara daripada maksiat angkara nafsu dan syaitan sepanjang Tahun Baru hijrah 1433 nanti. Masalahnya, adakah kita sedar ataupun masih alpa akan kehadiran Tahun Baru Hijrah 1433 ini?
Di sini, anjang ingin menarik perhatian sahabat semua dengan satu pertanyaan.. Apakah kita semua benar-benar menghayati erti kata sebenar HIJRAH itu? Fikir-fikirlah sendiri.. Lihat di masjid sahabat semua, ternyata sudah banyak program-program tertentu akan disusun demi mengisi sambutan ma'al hijrah ini bukan? Hari Jumaat baru-baru ini, masih tergiang-giang di telinga anjang perkataan Hijrah daripada mulut seorang Khatib yang anjang cukup sayang sepanjang hayat anjang. Beliau adalah Haji Daud bin Haji Yusoff, ayahanda anjang sendiri.. Beliau menasihati dirinya dan anak qariah agar memahami betapa pentingnya erti hijrah itu dan melaksanakannya dalam erti kata merubah diri kepada yang lebih baik sebagai hamba Allah. Malah berusaha untuk menjadikan diri, orang yang berilmu, orang yang belajar, orang yang mendengar akan ilmu jua nasihat serta orang yang cintakan ilmu..
Baiklah, anjang juga tak mahu terlepas pandang untuk menulis artikel pendek mengenai Hijrah diakhir-akhir tahun 1432 ini, demi memulakan penghayatan dan persediaan kita menempuh Tahun Baru Hijrah 1433 nanti..
Erti sebenar Hijrah dari segi bahasa adalah berpindah manakala dari segi istilah berpindah kepada yang baik dari yang buruk.
Namun, orang lebih memandang maksud bahasa dari maksud istilahnya.. Perjuangan hijrah tidak diterapkan ke dalam hati sanubari mereka yang hanya hidup berlatarkan pentas leka dan alpa yang terus hayut bermimpi dalam arus khayalan ciptaan mereka sendiri..
Apakah kita seperti mereka? Jadi, apakah pengisian kita pada tahun ini? Apakah seimbang hal dunia akhirat yang kita lakukan pada tahun 1432 ini? Apakah sudah memadai amalan kita pada 1432 untuk memartabatkan kita semua sebagai muslim sejati?Apakah semua yang dilakukan pada 1432 kerana Allah? Apakah semua yang dilakukan berdasarkan syariat atau pun melalui pemikiran liberal semata-mata?
Walaupun kali ini merupakan Hijrah ke-1433 tetapi masih kita sedar perilaku sesetengah golongan masih lagi bersikap dan berkelakuan seperti di zaman jahiliyah lagaknya.. Zaman di mana mereka bertindak menggunakan nafsu dan tidak berasaskan akal fikiran.
Walaupun Malaysia diisytihar sebagai negara Islam, tetapi pengisytiharan itu bagaikan tiada kesan sehingga sekarang. Masyarakat masih melakukan larangan Allah. Pihak tertentu telah banyak mengambil kesempatan atas kealpaan kita yang asyik terlena dibuai arus kemodenan yang dihidangkan dengan hiburan dan keseronokkan yang melampau..
Maka waspadalah dan ambillah iktibar dengan kita memahami erti sebenar hijrah yang perlu dan patut hadir dalam perubahan diri kita sebagai seorang individu yang bergelar muslim mukmin, tidak dapat lari daripada lima (5) aspek penting :
Pertama : Peningkatan iman kita kepada Allah Taala
Kedua : Peningkatan dari sudut ilmu agama
Ketiga : Peningkatan dari sudut amal kebaikan dan ibadah yang ikhlas
Keempat : Perubahan nafsu ke arah kebaikan iaitu nasfu yang muthma'innah
Kelima : Perubahan akhlak, peribadi muslim yang kamil.
Jangan jadikan diri umat Islam yang jumlahnya ramai pada hari ini hanya seumpama buih-buih di lautan, tidak dapat berbuat apa-apa dan mudah diperkotak-katikkan oleh musuh, sesuai dengan peringatan daripada hadis Nabi Muhammad S.A.W.
Biarlah kita di antara umat Nabi Muhammad S.A.W yang masih punyai semangat pemuda-pemudi Islam terdahulu, yang mana mereka telah beriman dengan sebenar-benar iman. Bangunlah! Bangulah untuk berjihad di jalan Allah demi mengembalikan keagungan Islam dipersada dunia.
Dalam konteks yang lebih luas lagi, hijrah kita sekarang lebih membawa erti berpindah daripada kejahiliahan Barat kepada keIslaman yang sebenar, daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kesesatan kepada hidayah, daripada kekufuran nikmat kepada keimanan hakiki, daripada syirik kepada tauhid, daripada kebatilan kepada kebenaran, daripada kejahilan kepada keilmuan, dari pada kepalsuan kepada kebenaran, daripada kehinaan kepada kemuliaan, dan daripada kemungkaran kepada kema'rufan. Dengan kata lain, aspek hijrah yang penting ialah yang berasaskan ilmu agama yang mantap dan telus (ikhlas) semata-mata kerana Allah Taala.
"Maksud daripada sebuah hadis baginda S.A.W : Dari ‘Aisyah, beliau berkata : Rasulullah S.A.W bersabda :Tidak ada hijrah setelah penaklukan kota Mekkah, akan tetapi hijrah dari sudut jihad dan niat, dan jika kalian diminta untuk pergi berjihad maka pergilah"
[Dikeluarkan oleh al-Bukhari No. 2783 kitab al-Jihad wa as-siyar dan Muslim No. 1864 , kitab al-Imaarah]
Masih ingatkah lagi bagi sahabat-sahabat yang menjadikan Forum Perdana Ehwal Islam dan Semanis Kurma sebagai rancangan yang mesti diikuti dan ditontoni.. Anjang ada mengutip beberapa butir nasihat di dalamnya :
1. Jadikan diri kita sebagai generasi yang celik Al-Qur'an dan menghayatinya dalam kehidupan seharian.
2. Menghayati sirah Rasulullah dan menjaga lidah serta mempamerkan akhlak yang mulia.
3. Mempertingkatkan amal ibadah khususnya amalan qiamullail (bangun malam).
4. Tunduk pada titah perintah Allah dalam segenap amal perbuatan seharian.
5. Cerdas dan cergas dalam merubah diri ke arah kebaikan.
6. Fikir yang positif dengan melaksanakan apa yang dikata serta lakukan apa yang baik.
7. Mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu daripada ingin merubah sikap orang lain.
"Ingatlah.. Jika kita ada masa untuk Allah sudah pastinya Allah akan ada masa untuk bersama kita"
Renung-renungkanlah bersama demi HIJRAH kita ke arah yang TERBAIK!
0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:
Post a Comment