Showing posts with label Cetusan Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Cetusan Ilmu. Show all posts

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1433


Salam Ma'al Hijrah buat semua sahabat-sahabatku yang dikasihi..
Pada hari Ahad minggu hadapan bersamaan 27 November 2011 maka bermulalah detik Tahun Baru Hijrah 1433, di mana akan membuka lembaran-lembaran amalan yang baru dan menutup lembaran-lembaran amalan yang lama..

Alhamdulilah kerana kita masih diberi peluang untuk bernafas dan menikmati nikmat-nikmat daripada MAHA PENCIPTA SEKALIAN ALAM sampailah ke saat ini.. Apakah pula azam kita pada Tahun Baru Hijrah 1433? Barangkali ada yang terlupa untuk menyambut tahun baru hijrah kerana terleka dengan kehidupan yang sementara ini. Apapun, marilah sama-sama kita ingat- mengingati agar kita tidak lagi alpa, lupa dan leka pada suatu perkara yang dapat menambah kebaikan dalam amalan kita.

PENGERTIAN AWAL MUHARRAM

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah S.A.W berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah S.W.T melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING :
~ 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
~ 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku :
~ Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
~ Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
~ Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
~ Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
~ Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
~ Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
~ Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
~ Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
~ Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
~ Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
~ Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
~ Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
~ Hari pertama Allah menciptakan Alam.
~ Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
~ Hari pertama Allah menurunkan hujan.
~ Allah menjadikan 'Arasy.
~ Allah menjadikan Luh Mahfuz.
~ Allah menjadikan alam.
~ Allah menjadikan Malaikat Jibril.
~ Nabi Isa diangkat ke langit.

DOA AKHIR TAHUN

Doa Akhir Tahun dibaca 3x pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata :
"Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun"

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun pula, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Doa Akhir Tahun ialah :



Maksudnya:
Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah SWT berselawat ke atas junjungan kami Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Ya Allah! Wahai Tuhan Kami, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini terhadap hal-hal yang Engkau larang aku untuk melakukannya dan aku masih belum bertaubat. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat atas kelalaianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian atas apa yang Engkau redhai dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepada-Mu.

Ya Allah Wahai Tuhan Kami, Wahai yang Maha Pemurah, Wahai Yang Maha Agung dan Wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepada-Mu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas junjungan kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengaruniakan kesejahteraan ke atas mereka.

DOA AWAL TAHUN

Doa Awal Tahun dibaca 3x selepas Solat Maghrib (waktu maghrib) pada malam satu Muharram.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata :
"Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".

Doa Awal Tahun ialah :



Maksudnya:
Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah SWT berselawat ke atas junjungan kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Ya Allah Wahai Tuhan Kami, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. Yang awal dan atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang berlimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu disepanjang tahun ini dari syaitan dan para pembantunya dan dari bala tentaranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Amalan-Amalan Sunat :
Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam seperti :-

~ Berpuasa.
Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.
Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
~ Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
~ Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3x
~ Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3x

Semoga dapat kita berkongsi kepada semua. InsyaAllah.
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1433.

Pengertian Usul Fiqh


Usul Fiqh dilihat dari nama dan laqob (gelarannya) untuk suatu cabang ilmu yang dikenali dan boleh kita ertikan bahawasanya Usul Fiqh adalah suatu cabang ilmu yang membahaskan dalil-dalil fiqh secara umum dan cara bagaimana mengambil faedah dari dalil tersebut malah Usul Fiqh juga membahas keadaan orang yang mengambil faedah tadi.[1]

Dalam pengertian di atas mengandungi 3 perbahasan dari perbahasan-perbahasan ilmu Usul yang empat (4) iaitu:

  1. Dalil Fiqh Yang Umum” iaitu dalil-dalil yang ada dalam syariat yang disepakati dan
  2. Cara bagaimana mengambil faedah dari dari umum tersebut” yakni menetapkan hukum-hukum syariat dari dalil-dalil syariat, maksudnya adalah cara-cara mengambil dalil. Misalnya dalil yang bersifat umum dan yang berupa larangan, yang masih umum atau khusus, yang mutlak atau muqayad (ada pengikatnya), menyeluruh dan yang dijelaskan.
  3. “Keadaan orang yang berdalil" iaitu ahlul ijtihad. Termasuk dalam perbahasan ini, perbahasan tentang pertentangan 2 dalil dan juga cara merojihkan dalil tersebut dan juga perbahasan fatwa kerana ini di antara pengkhususan ahlul ijtihad dan juga termasuk di dalamnya perbahasan tentang taklid kerana orang bertaklid itu mengikuti ahlul ijtihad.

Satu perbahasan dalam ilmu usul yang tidak tercangkup dalam pengertian di atas iaitu perbahasan tentang HUKUM-HUKUM" kerana perbahasan Usul Fiqh adalah perbahasan tentang Dalil-Dalil. Sehingga perbahasan hukum dengan tinjauan ini dianggap sebagai pendahuluan dari pendahuluan ilmu Usul Fiqh yang tidak masuk dalam perbahasan Usul Fiqh.

Bagaimanapun, perbahasan ilmu ini ada empat (4) iaitu Dalil-Dalil, Cara Berdalil, Ahlul Ijtihad dan Hukum-Hukum. Jika diperhatikan kita akan mendapati pembahasan hukum itu di antara perbahasan-perbahasan yang ada dalam ilmu ini. Sama saja disebutkan dalam pengertian untuk Usul Fiqh tersebut atau tidak disebutkan. Ia sama sahaja dianggap perbahasan untuk ilmu usul ini atau tidak.

Pengertian Usul Fiqh pula ditinjau dari susunan katanya pengertian mencakupi kata “Usul” dan kata “Fiqh”.

Kata Usul (اصول) di dalam Bahasa Arab diambil dari kata tunggalnya “Asal” (اصل)

Malah pengertian secara bahasa pula adalah sesuatu yang menjadi sandaran yang lain[2]. Menurut istilah digunakan secara umum pengertianya adalah Dalil. semisal ucapan kita “Asal dari permasalahan ini adalah kitab (al Qur’an) dan as-Sunnah maksudnya adalah dalil dari perbahasan ini adalah al-Qur’an dan as-Sunnah. Walaupun terkadang digunakan dengan makna yang lain, hanya saja dalam usul fiqh yang digunakan asal yang bermakna Dalil [3].

Adapun kata Fiqh secara bahasa bermakna pemahaman dan digunakan dengan makna ilmu dan kepandaian [4]. Secara istilah adalah suatu ilmu membahaskan tentang hukum-hakam syariat yang berkaitan dengan amal yang diperoleh dari dalil-dalil yang terperinci [5].

[Kitab Ma’alim Usul Fiqh]

Penterjemah : Abu Ahmad al Astary al Maidany


[1] .lihat : kitab Qowaidul Usus:21 dan Syarah Kaukib Munir:1/44

[2] .lihat kitab Misbah Munir:16

[3] .lihat kitab Syarah Kaukib Munir:1/39.

[4] .lihat Kitab Mujmal Lughah:2/703, Kitab Asas Balaghah:346, Lisanul Arab:13/522-523, Masobih Munir:479, Mu’jam Wasit:2/698 dan untuk tambahan lihat pembahasan tentang pengertian Fiqh oleh Doktor Umar Abdul Aziz. Dhomnu Majlatil Buhus Fiqhiyyah Al-Mu’asyirah. Bahagian pertama:155-157.

[5] .lihat Mukhtasor Ibnu Lahm:31, Syarah Kaukib Munir:1/41, al-Madhol ila Mazhabil Imami Ahmad:57.

Persediaan Sesi 2011/2012 : Madah Usul Fiqh

Pengertian Ilmu Usul al-Fiqh

Perkataan Usul al-Fiqh berasal dari dua perkataan Bahasa Arab, iaitu Usul dan al-Fiqh. Dari segi bahasa, Usul bererti asas, sumber, kaedah atau dalil, manakala al-Fiqh membawa maksud memahami sesuatu perkara. Dari segi syarak pula, al-Fiqh bererti pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili.

Hasil daripada gabungan Usul dengan al-Fiqh, maka terbentuklah satu istilah yang tersendiri iaitu Usul al-Fiqh. Ilmu Usul al-Fiqh membawa definisi ilmu tentang kaedah-kaedah mengistinbat hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dari dalil-dalil tafsili.

Sejarah Perkembangan Ilmu Usul al-Fiqh Zaman Rasulullah S.A.W.

Pada zaman Rasulullah S.A.W., hukum-hukum diambil dari wahyu (al-Quran) dan penjelasan oleh baginda (as-Sunnah). Segala masalah yang timbul akan dirujuk kepada Rasulullah S.A.W. dan baginda akan menjawab secara terus berdasarkan ayat al-Quran yang diturunkan atau penjelasan baginda sendiri. Namun, terdapat sebahagian Sahabat yang tidak dapat merujuk kepada Nabi lantaran berada di tempat yang jauh daripada baginda, misalnya Muaz bin Jabal yang diutuskan ke Yaman. Baginda membenarkan Muaz berijtihad dalam perkara yang tidak ditemui ketentuan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Zaman Sahabat

Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W., sebarang masalah yang timbul dirujuk kepada para Sahabat. Mereka mampu mengistinbat hukum terus dari al-Quran dan as-Sunnah kerana:
penguasaan bahasa Arab yang baik;

mempunyai pengetahuan mengenai sabab an-nuzul sesuatu ayat atau sabab wurud al-hadis;
mereka merupakan para Perawi Hadis.

Hal ini menjadikan para Sahabat mempunyai kepakaran yang cukup untuk mengistinbatkan hukum-hukum. Mereka menetapkan hukum dengan merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sekiranya mereka tidak menemui sebarang ketetapan hukum tentang sesuatu masalah, mereka akan berijtihad dengan menggunakan kaedah qias. inilah cara yang dilakukan oleh para mujtahid dalam kalangan para Sahabat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abu Talib. Sekiranya mereka mencapai kata sepakat dalam sesuatu hukum maka berlakulah ijma'.

Zaman Tabi'in

Pada zaman ini, cara ulama' mengambil hukum tidak jauh berbeza dengan zaman Sahabat kerana jarak masa mereka dengan kewafatana Rasulullah S.A.W. tidak terlalu jauh. Yang membezakannya ialah sekiranya sesuatu hukum tidak terdapat dalam al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijma', mereka akan merujuk kepada pandangan para Sahabat sebeum berijtihad.

Oleh sebab itu, idea untuk menyusun ilmu Usul al-Fiqh belum lagi muncul ketika itu. Inilah cara yang digunakan oleh para mujtahid dalam kalangan tabi'in seperti Sa'id bin al-Musayyib, 'Urwah bin az-Zubair, al-Qadi Syarih dan Ibrahim an-Nakha'i.

Zaman Kemunculan Ilmu Usul al-Fiqh

Pada akhir Kurun Kedua Hijrah, keadaan umat Islam semakin berubah. Bilangan umat Islam bertambah ramai sehingga menyebabkan berlakunya percampuran antara orang Arab dan bukan Arab. Kesannya, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan orang-orang Arab sendiri menjadi lemah. Ketika itu timbul banyak masalah baru yang tiada ketentuan hukumnya dalam al-Quran dan as-Sunnah secara jelas. Hal ini menyebabkan para ulama' mula menyusun kaedah-kaedah tertentu yang dinamakana ilmu Usul al-Fiqh untuk dijadikan landasan kepada ijtihad mereka.

Pengasas Ilmu Usul al-Fiqh

Ilmu Usul al-Fiqh disusun sebagai satu ilmu yang tersendiri di dalam sebuah kitab berjudul ar-Risalah karangan al-Imam Muhammad bin Idris as-Syafie. Kitab ini membincangkan tentang al-Quran dan as-Sunnah dari segi kehujahan serta kedudukan kedua-duanya sebagai sumber penentuan hukum.

Skop Perbahasan Ilmu Usul al-Fiqh

Antara skop perbahasan dalam ilmu Usul al-Fiqh ialah:

Dalil-dalil syarak: merangkumi dalil-dalil yang disepakati dan dalil-dalil yang tidak disepakati.
Dilalah (دلالة): merangkumi kaedah-kaedah istinbat hukum dari nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.
Ta'arudh dan Tarjih (تعارض وترجيح): perbahasan tantang percanggahan antara dalil-dalil serta Jalan jalan penyelesaiannya.
Ijtihad dan Mujtahid: merangkumi persoalan taqlid dan muqallid.
Hukum-hukum Kulli: merangkumi hukum-hukum taklifi dan hukum wad'ie.

Cara Penulisan Ilmu Usul al-Fiqh

Rencana Utama: Cara Penulisan Ilmu Usul al-Fiqh

Selepas al-Imam as-Syafie, terdapat ramai ulama' yang menulis ilmu Usul al-Fiqh. Cara penulisan mereka dibahagikan kepada dua: Tariqah al-Mutakallimin dan Tariqah al-Ahnaf.


Bibliografi

1. Muhammad bin Ariffin, Muhammad Zaini bin Yahya, Afandi bin Sahi, 2004. Pendidikan Syariah Islamiah Tingkatan 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Mohammad Hashim Kamali, 1999. Principles of Islamic Jurisprudence (Second Revised Edition). Selangor Darul Ehsan: Ilmiah Publishers Sdn. Bhd