Showing posts with label Khutbah Juma'at. Show all posts
Showing posts with label Khutbah Juma'at. Show all posts

Khutbah Juma'at 20 Januari 2012



Khatib : Al-Fadhil Ustaz Faizal 

قال تعالى : ( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ) 
(آل عمران:102)

Sidang Juma'at yang dihormati Allah..

Bertaqwalah kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengar sebenar-benar taqwa, semoga kita ditempatkan satu tempat yang terbaik di sisi Allah Ta'ala kerana orang yang bertaqwa itu merupakan orang yang sentiasa akan dipandang tinggi di sisi Allah sebagai hamba-Nya..

قال تعالى : ( إن أكرمكم عند الله أتقاكم )
Yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang yang mulia di sisi Allah adalah orang yang bertaqwa dikalangan kamu".
قال تعالى : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ 

فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ 

تَأْوِيلاً 

Sidang Juma'at yang berbahagia..

Kita adalah manusia yang mana diberikan segala macam ni'mat oleh Allah Ta'ala yang tidak pernah putus-putus sedangkan kita selalu saja leka dan alpa dalam mensyukuri ni'mat pemberian-Nya itu..

Maka hendaklah kita bersyukur dalam ertikata yang sebenar dengan tidak hanya mengucapkannya dibibir mulut dengan lafaz "Alhamdulillah"..

Buktikanlah kesyukuran kita itu kepada-Nya dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya iaitu dengan melakukan segala ketaatan dan meniggalkan segala larangan-Nya..

فاذكروني اذكركم.....

Ingatilah Allah, maka natijahnya.. Allah akan mengingat kita apabila kita melaksanakan setiap apa yang telah diperintahkan kepada kita dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh-Nya.

Ingatlah ! beruntunglah bagi siapa yang mengingat Allah kerana Dia akan menambahkan lagi ni'mat itu kepada hambanya yang brsyukur..
لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ
Maka bagi sesiapa yang kufur, natijahnya..
 وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Tunggulah azab yang pedih kerana Dia telah mengurniakan ni'mat kepada mereka tetapi mereka terus melakukan kemungkaran dengan melakukan dosa dan maksiat serta lalai dalam mensyukuri apa yang telah diberi Allah kepada mereka..

Sesungguhnya, janji Allah itu benar..

Maka dikesempatan yang ada ini, selagi nafas masih lagi berfungsi, selagi nyawa belum ditarik daripada diri.. Saya nasihatkan untuk diri saya dan anak jema'ah sekalian..

Bertaubatlah dan banyakkan istghfar kepada-Nya..
Setiap anak Adam seringkali melakukan kesilapan dan kesalahan, sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang selalu bertaubat..

كُل ابن آدم خطاء، وخَير الخطائين التَّوابون

Khutbah Juma'at 13 Januari 2012


Khatib : Haji Daud bin Haji Yusoff

Sidang Juma'at yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah dan taatlah kepada Allah, Pencipta 'Alam Yang Maha Berkuasa di dalam segala sesuatu.. Semoga Allah memberi kesempurnaan kepada diri kita bagi mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan yang boleh mendekatkan kita untuk mengenal Khaliq Rabbul Jalil.. Malah mendorong kita mentaati-Nya dengan melaksanakan segala suruh perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya..

Sesungguhnya Allah telah berfirman di dalam surah An-Nahl, ayat ke-78 :

Yang bermaksud : 
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepadamu pendengaran dan penglihatan serta hati (iaitu aqal fikiran) supaya kamu bersyukur".

Di dalam surah Az-Zumar, ayat ke-9, Allah berfirman :

Yang bermaksud :
"Katakanlah lagi (kepadanya) : Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang yang memiliki akal yang sempurna".

Pujangga pernah berkata :
"Fa-izzu bi 'ilmin wa laa bi jahlin abadan, An-naasu mautaa wa Ahli 'Ilmi ahyaa"

Bila kita renung kejadian diri kita, dikandung oleh ibu kemudian dilahirkan dan dibesarkan di dunia tanpa kita mengetahui apa-apa pada mulanya. Hanya tahu menangis apabila lapar, dahaga dan takut.. Senyum  dan ketawa ketika kenyang dan suka. Malah Allah telah membekalkan buat kita beberapa pancaindera untuk mengerti dan mempelajari, merasa dan bertindak. Mata dan telinga untuk melihat dan mendengar, akal pula membuat penafsiran dan penjelasan ketika mendalami sesuatu perkara baru..

Sidang Juma'at yang dimuliakan,

Maka, lebih-lebih lagi mendalami ilmu Fardhu 'Ain, ilmu yang menjadi asas bagi Agama Islam dalam mempersahkan segala amal ibadah yang dilakukan kepada-Nya di setiap saat dalam kehidupan seharian kita. Allah telah menjelaskan bahawa darjat seseorang itu akan dinaikkan martabatnya apabila bertambahnya ilmu pengetahuan seiring dengan amal kebaikan yang dilakukannya kepada Khaliq.

ILMU, IMAN dan AMAL adalah tiga perkara yang tidak boleh dipisahkan. Ketiga-tiga aspek ini perlu berada pada setiap individu muslim agar amalannya diterima di sisi Khaliq. ILMU yang tinggi tanpa IMAN membuatkan manusia hilang pertimbangan. IMAN merupakan batu asas yang menjadikan landasan dalam menentukan ILMU dan AMAL yang dilakukan tidak tersasar dari kehendak ISLAM.

Sempena tahun 2012 ini, marilah sama-sama kitamemberi penumpuan kepada diri kita, anak-anak kita, ahli keluarga kita, kawan-kawan kita serta orang di sekeliling kita untuk mendapatkan ilmu pengetahui yang berguna dan bersepadu. Tekankan kepada ilmu agama kerana ia adalah asas kepada segala ilmu yang ada. Timbulkan minat mempelajarinya. Beri galakan kepada semua agar mendalaminya. Semoga ia mampu menjadikan kita masyarakat yang bermaklumat demi mengembalikan semula kegemilangan umat ISLAM yang lampau.

Di dalam surah Al-Ankabuut, ayat ke-69, Allah berfirman :

Yang bermaksud :
"Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (iaitu jalan yang Kami redhai) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang sentiasa berusaha memperbaiki amalannya".

Khutbah Jumaat : 16 Dis 2011



Khatib : Haji Daud bin Haji Yusoff


Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin..
Subhanahu Wa Ta'ala, wa'dut Thoi'ien bi Jannaatin Na'im..
Wa tawa'adal 'Aashiin bin Naaril Jahiim..


Wa asyhadu An Laa Ilaha Illallah Al-Qoo-il.... ila Aakhir..

Amma Ba'du, 
Faya 'ibaadallah.. ittaqullah... uu-shiikum wa iyya-ya bitaqwallah..
Faqad faa-zal muttaquun..

Sidang Jumaat yang dihormati. Marilah bersama-sama kita bertaqwa kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benar taqwa. Ini kerana, taqwa bukanlah sekadar pengakuan dengan lisan sahaja tetapi dinilai yang sebenar-benarnya di sisi Allah S.W.T. ialah dengan melaksanakan di atas pengakuan itu dan meninggalkan segala larangan-Nya semata-mata kerana Allah S.W.T.. Mudah-mudahan, kita mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di Akhirat.

Sidang Jumaat sekalian..

Mimbar hari ini menyeru agar kita senantiasa bertaqwa kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benarnya, iaitu menjalankan segala suruh perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Tajuk Khutbah hari ini ialah : KEPENTINGAN MAKANAN YANG HALAL KEPADA UMAT ISLAM

Menurut sepertimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat yang ke 68..

Yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu"

Sebagai umat Islam, kita perlu mengetahui.. Apakah yang dimaksudkan dengan makanan yang halal itu. Makanan yang halal membawa maksud : Makanan yang diproses daripada sumber-sumber yang halal. Para Ulama' telah menggariskan makna makanan yang halal dengan beberapa sifat.

Pertama : Makanan yang halal yang boleh dikatakan halal apabila yang membuatnya itu terdiri dari kalangan umat Islam.

Kedua : Makanan yang dihasilkan itu adalah daripada sumber-sumber yang halal sama ada berupa wang ringgit ataupun dari bahan-bahannya.

Ketiga : Makanan yang dihasilkan itu perlu mempunyai roh Islam yang datang daripada umat Islam itu sendiri. Sekiranya makanan itu datang daripada kaum Kafir. Maka makanan itu mempunyai roh Kafir di dalamnya.

Oleh itu, saban hari di dalam akhbar-akhbar tempatan mendedahkan masalah-masalah yang timbul, yang melibatkan makanan harian kita.. Antaranya, masalah ayam yang disuntik atau tidak disembelih mengikut landasan syari'at dan masalah "Mee Darah" (iaitu mee yang diuli dengan sejenis bahan kimia yang merbahaya) dan masalah kacukan antara kambing dengan serigala atau dengan kaedah GMO (penggunaan benih tiruan) dan seumpamanya.

Apabila tersebarnya perkara-perkara sebegini, kita harusnya peka sewaktu membeli-belah.. Kita hendaklah pastikan apa yang hendak dibeli itu adalah merupakan makanan yang halal bagi mengelakkan prasangka yang buruk. Lebih baik kita mengutamakan barangan keluaran Bumiputra dan yang mempunyai logo halal daripada pihak JAKIM..

Sering diperkatakan di negara kita bahawa ingin menjadikan Malaysia sebagai Hub Halal Dunia. Rentetan itu, maka seharusnyalah kita sebagai umat Islam di Malaysia memainkan peranan dan mengambil peluang ini untuk mencebur diri dalam perusahaan makanan bagi memperbanyakkan hasil barangan keluaran umat Islam.

Merujuk kepada ayat yang saya bacakan di awal tadi, Allah S.W.T. menyeru umat Islam agar memakan sesuatu makanan yang halal lagi suci.

Fikirkanlah, sebagaimana kajian yang dilakukan secara saintifik membuktikan bahawa setiap makanan itu mempunyai roh sekiranya ia dihasilkan oleh umat Islam. Sudah pasti, roh keIslaman akan menjelma di dalam makanan tersebut. 

Sidang Jumaat yang dikasihi..

Mengapa kita perlu makan makanan yang halal lagi suci. Ini kerana, makanan yang halal dan baik akan memberi zat untuk kesihatan tubuh badan. Kesannya, ia akan menguatkan dan menyihatkan anggota badan akan sentiasa mampu melakukan ibadah kepada Allah Ta'ala. Hasilnya menjadikan umat Islam menjalinkan hubungan yang baik sesama mereka serta mengelakkan perasaan hasad dengki.. Malah melahirkan akhlaq terpuji dan melahirkan umat Islam yang kuat pegangan aqidahnya.

Sidang Jumaat yang berbahagia..

Perlu diingatkan bahawa makanan yang ingin kita miliki mestilah hasil daripada jalan yang dihalalkan oleh Allah S.W.T. sepertimana terdapat pada ayat ke 29, surah An-Nisa' :

Yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan kecuali dengan jalan yang perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuh sesama sendiri. Sesungguhnya Allah Ta'ala sentiasa mengasihi kamu".


Faktor Kejayaan Yang Abadi


Alhamdulillah.. kini anjang bertandang ke teratak buruk ini sekali lagi demi untuk berkongsi sedikit dengan sahabat-sahabat sekalian mengenai khutbah Jumaat pada hari ini. Di mana anjang telah mendengarnya di Masjid Tanjong Pauh, Jitra. Ya, khutbah kali ini telah disampaikan oleh Ustaz Wan Muhammad Dzul. Ustaz Wan Muhammad Dzul sebenarnya akan berpindah ke negeri lain.. anjang tak pasti lagi ke mana Ustaz Wan akan berpindah... malah inilah khutbah beliau yang terakhir di Masjid Tanjong Pauh ini..

Anjang sertakan bagaimana dialog anjang dengan beliau sebaik sahaja selesai menunaikan solat fardhu Jumaat. Anjang menunggu beliau menyudahkan solat sunat, sejurus beliau bingkas bangun untuk pulang. Anjang mendekati beliau dan terus menyatakan hasrat anjang untuk mengambil sedikit sebanyak apa yang disampaikan di dalam khutbahnya tadi.. tanpa banyak bicara, Ustaz Wan Muhammad Dzul memberikan artikel yang disusun olehnya kepada anjang.. anjang dengan keberatan menyambut artikelnya. "Ustaz, saya nak mengambil point-pointnya sahaja.." ulas anjang kepadanya. "Tak mengapa..ambillah..lagipun ustaz masih ada menyimpan artikel ini dalam komputer.. ambillah.." balasnya. "Terima kasih, Ustaz.." ujarku yang terharu ketika mengambil artikelnya. Beliau tersenyum.. anjang membalas senyumannya.

Sebaik sahaja anjang bersalaman dan beredar dari perkarangan masjid.. anjang teringat untuk membelikan hadiah buat sahabat baik anjang yang kini berada di Negeri Terengganu Darul Iman. Anjang bertolak dulu ke Pekan Jitra kerana ada hal dengan pihak bank. Sejurus sahaja selesai. Anjang terus pergi ke Bandar Alor Setar, menuju ke City Plaza dan mencari-cari satu kedai. Akhirnya anjang temui jua apa yang anjang cari itu.. Alhamdulillah..

Baiklah sahabat.. tujuan anjang menulis belum terlaksana lagi kan? Hmmmm... Sekarang anjang akan berkongsi dengan sahabat semua khutbah Ustaz Wan Muhammad Dzul.. selamat menghayatinya ya..

Alhamdulillahil Ladzi Anzala 'Alainal-Qur'an.. Hudan Lil 'Alamin.. Asyhadu An La Ilaha Illallah.. Wahdahu Laa Syariikalah.. Syahaadatan Tunjiina Biha Minasy Syirki Wal AaaFaat..

Wa Asyhadu Anna Muhammadan 'Abduhuu Wa Rasuuluh.. Arsalahu Bil Huda Wa Diinil Haq..

Allahumma Solli Wa Sallim Wa Baarik 'Ala 'Abdika Wa Rasuulika.. Sayyidina Muhammad.. Sayyidil Mursaliiin.. Wa 'Ala Aaalihi Wa Ashaabihi Ajma'iin.. Ammaa Ba'du, Fayaa 'Ibaadallah..

Uuusiiikum Wa Iyyaaa Bi Taqwallah.. Faqad Faazal Muttaquun..

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian..

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian. Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa sepertimana yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala dalam firmannya :

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan kamu mati sebagai seorang yang muslim"

Sidang Jumaat Sekalian..

Khutbah Jumaat pada hari ini akan memperkatakan tentang faktor kejayaan seorang muslim.

Seorang sahabat Nabi S.A.W. iaitu Ibnu Mas'ud r.'anhu pernah berkata pada suatu hari kepada anak saudaranya : "Wahai anak saudaraku! Tidakkah kamu melihat alangkah ramainya manusia?". Jawab anak saudaranya : "Ya". Lalu berkatalah Ibnu Mas'ud r.'anhu : "Tidak ada kebaikan bagi mereka melainkan bagi orang yang selalu bertaubat/kembali kepada Allah dan orang-orang yang bertaqwa (iaitu takut hanyasanya kepada Allah Ta'ala)..

Kemudian beliau bertanya lagi kepada anak saudaranya : "Wahai anak saudaraku! Tidakkah kamu melihat betapa ramainya manusia?". Jawab anak saudaranya : "Ya". Lalu Ibnu Mas'ud berkata lagi : "Tidak ada kebaikan bagi mereka melainkan bagi orang yang berilmu dan mereka yang belajar".

Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.'anhu pernah bertanya kepada salah seorang sahabat Nabi S.A.W. yang bernama Ubay bin Ka'ab r.'anhu berkenaan dengan taqwa. Kata Umar r.'anhu : "Wahai Ubay! Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa?". Ubay bertanya kembali kepada Umar r.'anhu : "Wahai Umar, adakah kamu pernah melalui satu jalan yang berduri?". Jawab Umar r.'anhu : "Ya". Tanya Ubay lagi : "Apakah yang kamu lakukan semasa melalui jalan tersebut?". Jawab Umar r.'anhu : "Saya melangkah dengan berjaga-jaga dan berhati-hati". Lalu Ubay menjelaskan kepada Umar r.'anhu : "Demikianlah yang dikatakan taqwa itu".

Apa yang hendak dijelaskan oleh sahabat Nabi yang bernama Ubay r.'anhu itu ialah orang yang bertaqwa di dalam dia menghadapi kehidupan dunia ini yang penuh dengan godaan, penuh dengan tipu muslihat.. Dia amat berhati-hati agar tidak sama sekali terjebak dan tidak terjerumus di dalam perkara yang dimurkai Allah S.W.T. Dia amat memelihara dirinya dari tergoda dan termakan dengan godaan musuh-musuhnya yang terdiri dari :

1) Hawa Nafsunya Sendiri.
2) Syaitan dan Iblis.
3) Golongan Kuffar dan Munafiqin.
4) Golongan Penzalim dan Pembid'ah,
5) Dan Golongan Yang melakukan kemungkaran.

Saidina Umar Al-Khattab r.'anhu pernah berpesan :

"Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah Ta'ala dan timbanglah ia sebelum kamu ditimbang oleh Allah Ta'ala".

Muslimin, Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian..

Setiap daripada kita menginginkan kejayaan dalam hidup di dunia ini. Kita amat bimbang jika kita ditakdirkan gagal oleh Allah S.W.T. Namun harus kita sedari bahawa faktor kejayaan yang paling utama dalam kehidupan kita sebagai manusia malah sebagai hamba Allah ialah kita harus meyakini bahawa faktor asas kejayaan seseorang muslim itu ialah dengan dia berpegang teguh pada agama Allah S.W.T. iaitu Islam.

Apabila seseorang itu menganut Islam dan berpegang teguh dengannya. Maka dia memiliki asas yang paling utama untuk berjaya. Kejayaan yang kita impikan bukanlah kejayaan setakat di dunia sahaja tetapi juga kejayaan di alam akhirat yang kekal abadi. Lantaran pentingnya Islam inilah, Allah S.W.T. mengutuskan para rasul-Nya di mana mereka tidak datang melainkan dengan membawa agama yang satu iaitu agama Islam.

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah S.W.T. untuk menjadi pegangan dan tatacara kehidupan manusia di setiap zaman. Agama yang lain dari Islam jika dianuti oleh manusia nescaya dia tidak mencapai keredhaan Allah Ta'ala dan kehidupannya di dunia seterusnya di negeri akhirat di mana seseorang itu akan berada di dalam kancah kerugian dan kemusnahan. Firman Allah Ta'ala :

"Sesungguhnya Ad-Deen (iaitu agama yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam".
(Surah Ali Imran : 19)

"Sesiapa yang mencari agama selain dari agama Islam. Maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi".
(Surah Ali Imran : 85)

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. meletakkan faktor kejayaan manusia kepada 3 perkara iaitu :

1) Islam.
2) Rezeki yang mencukupi ( yang boleh difahami sebagai kemajuan material/kebendaan).
3) Sifat qana'ah ( iaitu redha dengan pemberian Allah kepadanya).

"Sesungguhnya berjayalah orang Islam dan dikurniakan rezeki yang cukup serta diberikan sifat qana'ah oleh Allah dengan apa yang dikurniakan kepadanya".
(Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Umar r.'anhuma)

Dalam hadis di atas Rasulullah S.A.W. tidak menafikan peranan material atau harta benda (yang diungkapkan dengan kalimah rezeki) sebagai salah satu faktor kejayaan dan kebahagiaan manusia. Namun baginda meletakkan Islam adalah syarat paling asas dan paling utama. Kemajuan material atau kebendaan jika tidak bertunjangkan kepada Islam nescaya kemajuan tersebut akan mendatangkan lebih banyak mudharat kepada manusia dari mendatangkan manfaat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian...

Mungkin ada dikalangan kita akan berkata : "Bagaimana boleh dikatakan bahawa Islam merupakan syarat kejayaan paling utama, sedangkan negara-negara maju pada hari ini seperti Amerika Syarikat, Jepun, Britain dan sebagainya ..mereka semua pun tidak menganut agama Islam malah mereka telah mencapai kejayaan?"

Memang benar negara-negara yang dikatakan maju itu telah berjaya dari sudut ekonomi dan material. Namun adakah mereka benar-benar mengecapi kejayaan hidup yang sebenarnya? Iaitu kejayaan dalam ertikata yang sebenarnya bukan hanya kejayaan dari satu sudut (iaitu ekonomi atau material semata-mata) tetapi kejayaan dari pelbagai sudut kehidupan manusia merangkumi rohani, kejiwaan (psikologi), akhlak/etika, hubungan sosial, kekeluargaan dan sebagainya.

Tidak guna sekiranya harta kita banyak dan ekonomi kita kukuh tetapi masyarakat kita porak-peranda lantaran dari berlakunya keruntuhan rohani dan akhlak, zina yang berleluasa dengan lahirnya anak luar nikah yang begitu membimbangkan, pembunuhan tanpa hak, musnahnya institusi kekeluargaan dan berleluasanya kes-kes jenayah dalam negara yang tidak terkawal. Namun inilah yang telah terjadi dalam masyarakat dunia hari ini terutamanya negara-negara maju bahkan telah menular dan berjangkit ke negara kita, Malaysia.

Menurut seorang ulama' dan ahli fikir Islam yang terkenal iaitu Dr. Yusof Al-Qardawi di dalam bukunya : "Islam dan Tamadun hari esok", Tamadun moden hari ini telah melahirkan beberapa akibat negatif.. hasil daripada sikapnya yang selalu meminggirkan agama. Di mana kecelakaan dan kepahitan darinya tidak putus-putus dirasai oleh manusia zaman ini. Kesan-kesan negatif tersebut ialah berlakunya : keruntuhan akhlak, krisis dalam rumahtangga (keluarga), keresahan jiwa (psikologi), kecelaruan akal fikiran, jenayah yang berleluasa dan lain-lain lagi.

Kesan-kesan buruk di atas tidak perlu kita buktikan lagi kerana ia juga sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Jika kita renung dan kita tilik sedalam-dalamnya, semua kesan negatif itu berpunca daripada sikap manusia hari ini yang meminggirkan agama dan memandang mudah kewajipan-kewajipan dalam beragama. Mereka merasakan cukuplah dengan duit yang banyak dan ekonomi yang kukuh untuk mencapai kejayaan dan kebahgiaan. Namun jangkaan mereka itu meleset sama sekali kerana kebahagiaan dan kejayaan sebenar adalah mustahil untuk dicapai tanpa agama Islam.

Inilah yang telah diperingatkan Allah Ta'ala kepada kita:

"Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkan dirinya pada hari Qiamat kelak dalam keadaan buta".
(Surah Thaha : 124)

"Peringatan Allah" yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah perintah Allah Ta'ala dengan apa yang terkandung di dalam Islam itu sendiri kerana Islam adalah satu-satunya agama daripada Allah Ta'ala yang diutuskan melalui para rasul yang membawanya.

Menurut Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya iaitu "Tafsir Al-Qur'an Al-'Aziem" ketika menafsirkan ayat di atas : "Ma'isyatan Dhanka" iaitu penghidupan yang sempit. Ini ialah dengan merasai kesempitan dunia di mana orang yang berpaling dari peringatan Allah Ta'ala itu tidak akan mencapai ketenangan di dalam jiwanya dan tidak akan merasai kelapangan dada.

Bahkan dadanya akan senantiasa merasa sempit dan resah walaupun zahirnya di mana kehidupan dunianya begitu mewah, walaupun dia dapat memakai pakaian yang dia sukai, memakan makanan yang dia gemari dan tinggal di rumah-rumah yang dia minati. Akan tetapi oleh kerana di dalam hatinya tidak ada keyakian kepada Allah Ta'ala dan tidak ada hidayah/petunjuk maka dia akan terus berada di dalam jiwa yang resah, fikiran yang bercelaru dan sentiasa terumbang-ambing dalam hidupnya. Inilah yang dimaksudkan kehidupan yang sempit di dalam ayat tadi.

A'uuzu billlahi Minasy Syaitoonir Rojiim.. Wal 'Asri.. Innal Insaanalafi Khusr...
Baarakallahu Lii Wa Lakum Fil Qur'aanil 'Aziem.. Wa nafa'anii Wa iyyakum bima fiihi minal Ayaati Wal Zikril Hakim.. Wa Taqabbala Minnii Wa Minkum Tilaawatahu Innahu Huwassamie'ul 'Aliem...
Aqulu Qaulii Haaza.. Wa Astaghfirullahal 'Aziem.. Lii Wa Lakum.. Walisaa iril Muslimien Wal Muslimaat..Innahuu Huwal Ghafuurur Rahiem...
Khutbah Kedua
Sidang Jumaat sekalian...
Marilah kita kembali kepada Islam dalam ertikata yang sebenarnya. Ramai di kalangan kita pada hari ini mengakui dirinya seorang muslim. Mereka mengatakan bahawa agama mereka adalah Islam. Namun adakah mereka benar-benar mengerti apakah sebenarnya Islam itu? Apakah makna sebenarnya kalau benar mereka seorang muslim?
Islam bukanlah semata-mata suatu penamaan atau satu slogan tetapi ia adalah pemahaman. penghayatan dan amalan. Seorang muslim yang sejati bukanlah orang yang hanya pandai mengakui yang dirinya menganut Islam atau menamakan dirinya dengan nama Islam tetapi juga dia hendaklah memahami apakah itu Islam dengan menghayati segala ajaran dan tuntutan serta beramal dengan syari'atnya.
Seorang muslim yang sebenar ialah orang yang menumpukan seluruh kehidupannya kepada Islam. Hanya, aqalnya dan perasaannya mestilah ditumpukan kepada Islam sepenuhnya iaitu dengan mempelajari Islam, memahami Islam, menghayati Islam seterusnya mengamalkan ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, dia yakin bahawa Islamlah satu-satunya peraturan hidup daripada Allah Ta'ala yang dapat mengekalkan fitrah (kejadian) manusia dan menjadi syarat kejayaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah Ta'ala), (dan tetaplah di atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya"
(Surah Ar-Rum : 30)
Marilah kita berdoa dengan sebanyak-banyaknya kepada Allah Ta'ala dengan memohon daripada-Nya agar kita senantiasa dikurniakan hidayah dan petunjuk, diberikan kesedaran untuk beramal dengan Islam dan dikurniakan kekuatan yang berpanjangan untuk memperjuangkan hukum-hakam-Nya di atas muka bumi ini.
Di hari yang mulia ini, di tempat yang diredhai maka marilah sama-sama kita mengucapkan selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W....
Allahumma Solli 'Alaa Sayyidina Muhammad Wa 'Alaa Aali Sayyidina Muhammad Kama Sollaita 'Alaa Sayyidina Ibrahiem Wa 'Alaa Aali Ibrahiem Fil 'Aalamien Innaka Hamidum Majied..
Allahummagh Fir Lil Muslimiena Wal Muslimaaat.... Wal Mu'miniena Wal Mu'minaat.. Al Ahyaa' iminhum wal Amwaaat... Allahum Anzil Rahmati 'Alaina.. Wa 'Alaa Sultoonina Sultan Abdul Halim MU'azzam Syah..
Allahumma A'izzul Islama Wal Muslimin.. Wa Ahlikil Kafaroti Wal Munaafiqien.. Wa Ahliki A'daaa Aka Ad-Deen..
Rabbana Laa Tuzigh Quluubana Ba'da Izhadaitana Wa hablana min Ladun Ka Rahmah..
Innaka Antal Wahhaab...
'Iebaadallah.. Innallaha Ya'muru Bil 'Adliwal Ihsaan.. Wa Ieetaa Izil Qurbaa Wa Yanhaa 'Anil Fahsyaa' iwal Munkar Wal Baghy.. Ya 'iezukum la 'Allakum tazakkaruun..
Fazkurullahal 'Aziem yazkurkum... Was Aluunamin Fadhlikum Yu'tikum Wa Lazikrullahu Akbar... Wallahu Ya'lamu Maa Taths Na'uuun...
Wa Aqiemus Solah..

6 Dekad Nakbah.. Khutbah Jumaat Hari Ini..


Hari ini Hari Jumaat bertarikh 16 Mei 2008, semalam merupakan tarikh keramat di mana terbentuknya Sebuah Negara Haram Israel Di Bumi Palestin..Khutbah hari Jumaat ini mebincangkan tentang perkara ini...Dr. Shukri sebagai Khatib menekankan kepada semua para jemaah tentang perlunya ada sikap prihatin terhadap isu umat ISLAM sekarang lebih-lebih lagi menimpa Bumi yang menjadi KIBLAT PERTAMA UMAT ISLAM SATU KETIKA DULU sebelum peristiwa ISRA' DAN MI'RAJ...

Saya cukup terkesan dengan teks ucapan Khatib pada Jumaat kali ini..

(Sempena 60 tahun Nakbah (malapetaka) pembentukan Negara Haram Israel sejak 15hb Mei 1948)

Istilah Nakbah mungkin adalah satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.

NAKBAH bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam buat penduduk asal bumi Palestin, orang-orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.

Pencetus penubuhan negara Yahudi

Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan pengasas gerakan Zionis di dalam gagasannya yang kemudiannya dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Israel) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan Negara Zionis di Palestin.

Pemangkin pendudukan haram Yahudi di bumi Palestin

British yang merupakan sekutu kuat gerakan Zionis telah sentiasa menyebelahi mereka dengan mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917 apabila kerajaan British telah memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi di Palestin. Ini merupakan usaha yang paling jahat dalam sejarah peradaban dunia kerana dengan jelas ianya mencabuli perjanjian antarabangsa. Dengan angkuhnya deklarasi ini telah menidakkan hak dan aspirasi penduduk bumi Palestin yang sah yang kemudiannya telah diikuti dengan penjajahan Palestin oleh tentera British.

Selepas itu berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah dan Rusia ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas samada dengan cara kekerasan mahupun dengan cara penipuan oleh pendatang Yahudi.

Peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Isu Palestin semakin panas dan mula dibawa ke peringkat antarabangsa di atas tuntutan British yang meminta supaya PBB memasukkan isu tersebut ke dalam agendanya. Laporan Badan Penyelidik Antarabangsa Palestin (UNSCOP) milik PBB telah mengakui tentang ketidak-adilan pengambilan tanah serta cadangan pembahagian bumi Palestin kepada dua buah negara yang berasingan iaitu Palestin dan Yahudi. Namun rentetan duka Palestin semakin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah.

Ketetapan ini sangat bercanggah dengan prinsip PBB sendiri iaitu untuk melaksanakan ketetapan hak-hak bangsa dari segi kebebasan dan penentuan nasib mereka sendiri. Rakyat Palestin yang terlibat dengan isu ini tidak langsung diminta pendapat dan keizinan malahan mereka mengalami kezaliman dan penindasan yang amat dahsyat.

Penglibatan tentera dari Liga Negara Arab yang digembar-gemburkan itu hanyalah merupakan tragedi apabila mereka telah ditewaskan dengan mudah oleh angkatan tentera pengganas Yahudi yang juga telah meresap ke dalam pimpinan tentera Liga Negara Arab.

Dengan kekalahan yang mengaibkan tentera Arab di dalam peperangan ini dan diikuti dengan penaklukan 78 % bumi Palestin, Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel yang merdeka diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948.

Tertubuhnya Israel adalah Malapetaka Palestin

Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800 000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9hb April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang-orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Dalam serangan itu, wanita-wanita yang hamil telah dibelah perutnya dan dikeluarkan janin dan bayi hidup-hidup dari rahim ibunya. 52 orang kanak-kanak pula telah disiksa di depan ibu bapa mereka, lalu mereka dibunuh dan dipenggal kepalanya.

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,”Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil Sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Tentera tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.

Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya. Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan, penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.

Enam Dekad Nakbah

Kini 60 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan Negara Palestin terus diganyang Yahudi Zionis sehinggakan :

1. Rejim Zionis terus yang melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini yahudi telahpun merampas dan menguasai kira-kira 90 % dari keseluruhan bumi Palestin.

2. Peningkatan serangan ke atas Masjid Al Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian qiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka MengYahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al Aqsa dan mendirikan Kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang.

3. Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Di kalangan mereka adalah orang-orang tua, kanak-kanak malahan juga wanita yang hamil lagi sakit.

4. Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.

5. Ramai di kalangan kanak-kanak palestin yang telah dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil.

6. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.

Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini.


7. Dijangkakan seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 60 tahun yang lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai di dalam sejarah peradaban dunia.

8. Rejim Zionis kini berterusan menyiksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui pemimpin kanan mereka sebagai holocaust yang lebih hebat.

Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Peranan masyarakat antarabangsa

Fakta-fakta sejarah, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa amat memihak kepada rakyat Palestin yang berhak memiliki ketuanan dan kedaulatan di bumi mereka sediri.

Rejim Zionis Israel kini mendapati bahawa mereka tidak boleh mengawal keadaan rakyat dan negara Palestin. Malahan mereka terpaksa membuat berbagai pendekatan yang keras mahupun dengan cara berkompromi untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat Palestin. Mereka menggunakan pelbagai strategi terutamanya dengan mempengaruhi sekutu kuat mereka iaitu Amerika Syarikat untuk menangai permasalahan yang terus berpanjangan.

PBB dan masyarakat antarabangsa yang sentiasa memperjuangkan keadilan semestinya teguh dalam membuat pendirian dan tidak dipengaruhi oleh lobi Yahudi Zionis di dalam membuat dan melaksanakan keputusan-keputusan mereka. Kependudukan dan negara Palestin mesti dikembalikan kepada pemilik asal yang sah yang pernah mendiami bumi ini sejak sekian lama.

Peranan umat Islam

Bumi Palestin adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana di situlah letaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mi’raj, Tanah Suci umat Islam yang ke tiga yang juga merupakan bumi para Nabi. Isu Palestin bukanlah sekadar isu untuk orang-orang Palestin atau orang-orang Arab sahaja. Bahkan isu ini adalah isu penting yang berkaitan dengan keimanan untuk semua umat Islam di seluruh dunia.

Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini. Negara –negara Islam perlu berani dan ikhlas membantu terutamanya dari segi kemanusiaan setelah ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban dalam krisis yang berlarutan sekian lamanya.

Di Malaysia

Kefahaman mengenai isu ini masih perlu diperluaskan lagi di kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai melalui penulisan di akhbar-akhbar dan majalah, ceramah-ceramah dan pameran-pameran serta media elektronik. Sumbangan kemanusiaan pula mesti dipergiatkan bagi membantu rakyat Palestin yang telah sekian lama tertindas. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Malaysia seharusnya menjuarai isu sejagat ini, bukan sahaja di kalangan kita bahkan di persada antarabangsa.

Persoalannya, adakah kita telah berbuat sesuatu bagi meringankan beban dan kesangsaraan yang mereka alami selama ini?