Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

iLMu iTu SaNGaT PeNtiNG


Sejak akhir-akhir ini.. anjang semakin terasa betapa kerdilnya diri bilamana ilmu ditambah ke dalam dada, tak kiralah sama ada melalui kuliyah-kuliyah ataupun melalui pembacaan.. anjang dapat rasakan yang diri ini bukannya semakin hebat di hadapan manusia yang akan memuji-muji kita tapi semakin takut anjang dengan azab yang akan menanti sekiranya ilmu yang diperolehi itu tak dilaksanakan pada yang sepatutnya, tak dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, tak diamalkan dengan sepenuhnya.. kerana azab Allah yang pedih di negeri Akhirat kelak akan disediakan buat yang menyimpan ilmu dan tidak diamalkannya.

Perkara yang ingin anjang ketengahkan hari ini ialah berdasarkan sebuah hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud :


" Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Muslim "
( Hadis Riwayat Ibnu Majah )

Daripada hadis yang lain Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda yang maksudnya :

" Kelebihan orang yang berilmu dengan orang yang beribadah ( tanpa ada ilmu di dadanya ) ialah seperti kelebihan cahaya bulan pada malam ke-14 dengan bintang-bintang yang lain "
( Hadis Riwayat Abu Daud )

Malah anjang tertarik dengan kesungguhan yang penuh ketegasan daripada kata-kata Saidina Umar Al-Khattab :

" Carilah ilmu sebelum menjadi pemimpin "

ILMU ALLAH itu tetap tidak akan habis ditulis dan dipelajari walaupun diambil air di lautan sebagai dakwat penanya. Buku dapat mengajar seseorang tentang hikmah dan kebijaksanaan tetapi tidak dapat menjelmakan orang yang bijak.Sebagai contoh mudah : katakan anda ingin belajar berenang..kemahiran berenang tidak dapat dipelajari melalui buku sahaja tetapi dapat dipelajari di dalam air.

Dengan kata lain, apabila seseorang inginkan sesuatu ilmu maka dia perlu berguru dengan orang yang 'alim, yang punyai kemahiran dengan ilmu tersebut. Apatah lagi apabila ingin mendalami ilmu keagamaan.

Setiap daripada kita ingin memulakan perjalanan hidupnya menuju kejayaan tetapi berhati-hatilah dalam mengejarnya..lihatlah pada satu-satu kejayaan itu dan telitilah ia betul-betul..adakah ia benar-benar kejayaan yang kita cari atau sebaliknya? Yang penting di sini ialah, adakah kejayaan itu benar-benar hakiki dan berkekalan, yang boleh membantu kita terlepas daripada azab Tuhan. Lihatlah betapa ramainya manusia yang mengecapi kejayaan tetapi dia lupa kejayaan itu banyak menjerumuskan dirinya ke lembah kemaksiatan kepada Allah S.W.T. Wa na'uzubillah min zaalikalhal..

Jadi KUNCI KEJAYAAN MINDA ialah PUNCA KECEMERLANGAN PEMIKIRAN..
meneliti sama ada ia adalah kejayaan sebenar-benar yang kita cari dan Allah suka dan redhai..

Walaubagaimanapun, Al-Qur'an dan Hadis Nabi Muhammad banyak mengungkapkan beberapa banyak ungkapan motivasi ..antaranya :

bersegeralah
berlumba-lumbalah
bersungguh-sungguhlah
bersabarlah
kuatkanlah kesabaranmu

Lihatlah, antara akhlak orang yang berjaya adalah optimis dan tidak berputus asa, mampu memperbaiki kesalahannya dan keluar daripada krisis serta mengubah kerugian menjadi keuntungan.

KELMARIN sudah pun berlalu,
HARI INI sedang berjalan dan
ESOK belum tiba.

Maka gunalah kesempatan HARI INI kerana kesempatan itu ialah HARTA YANG TERPENDAM.

Berjayanya Tindakan Seorang Mukmin itu apabila dia :
- tidak terlepas daripada akal yang sentiasa berfikir.
- pandangan yang sentiasa membina.
- lisan yang sentiasa berzikir.
- hati yang sentiasa bersyukur.
- bersungguh-sungguh untuk bersabar dalam bekerja.

Mereka yang berjaya dengan sebenar-benar kejayaan itu apabila :
- Diredhai Allah kerana keimanannya.
- Disayangi keluarga kerana kelembutannya.
- Dicintai manusia kerana akhlaknya.
- Dihormati masyarakat kerana manfaat yang diberikannya.

Kerana mereka adalah orang yang berjaya , yang selalu memelihara potensi dirinya dan potensi orang di sekelilingnya...mereka yang berjaya adalah mereka yang akalnya tidak tergugat dengan nafsunya. Kesabarannya tidak tergugat oleh kelemahan dirinya dan tidak terpedaya oleh hasutan serta tidak disibukkan oleh sesuatu yang tidak bermanfaat.

Tiada kejayaan SEMANIS MADU tanpa pengorbanan SEPAHIT HEMPEDU..
Kerana hebatnya sarang lebah itu bermula dengan setitis madu dan usaha yang berterusan..
Mengalah tidak ada sama sekali di dalam kamus orang yang hebat.

Namun, burulah DARJAT KEMULIAAN di sisi Allah S.W.T. walaupun engkau terpaksa dihambat KEHINAAN di sisi manusia.. KEMULIAAN di sisi Allah akan merapatkan kamu dengan manusia, tetapi KEMULIAAN di sisi manusia akan menjauhkan diri kamu dengan Allah.

Lihatlah dan renungilah kata-kata Saidina Umar Al-Khattab :

" Jika aku tidur pada siang hari, urusan umatku tidak akan selesai. Jika aku tidur pada malam hari, urusan peribadiku pula tidak selesai "

Santunilah, Pelajari, Hayati dan Ambil iktibar daripada sifat-sifat para sahabat terdekat Nabi Muhammad S.A.W. iaitu :

SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ memiliki kekayaan yang melimpah, namun beliau juga tampil menjadi khalifah dan pemimpin yang berwibawa dengan membawa keadilan, zuhud, ikhlas dan jujur.

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB punyai semangat tinggi di sisi Allah, tegas di hadapan musuhnya, adil dalam menentukan hukum.

SAIDINA UTHMAN AL-AFFAN mempunyai peribadi yang lemah lembut, ahli dalam melaksanakan solat tahajjud dan gemar berinfaq. Beliau juga pemalu dan lembut hatinya.

SAIDINA ALI KARAMALLAHU WAJHAH adalah seorang perwira yang perkasa, berani dan pemidato yang sangat hebat, yang mendalami ilmu agama. Malah Nabi Muhammad S.A.W sendiri ada pernah bersabda yang maksudnya :

" Aku adalah gudang ilmu, maka Ali adalah kuncinya "

Lihatlah sahabat! Demi mendapatkan makanan, seekor semut akan berusaha naik beribu-ribu kali ke tempat yang tinggi dan seekor lebah akan terus pergi terbang jauh demi mendapatkan setitis madu.

Oleh itu berazamlah, selagi nyawa masih di badan maka selagi itulah kita harus menuntut ilmu. Harungilah sebarang ranjau di hadapan jika mahukan kejayaan yang hakiki.

Allah berfirman yang maksudnya :

" Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? "

Orang yang berusaha itu ibarat menanam pohon tumbuhan yang berbuah. Tumbuhan itu akan tumbuh bercambah dan berbuah. Ketika itu kita akan merasai nikmat dan kepuasan hasilnya.
Gunakanlah pancaindera kita dengan sebaik-baiknya kerana PANCAINDERA ialah ejen kepada kejayaan kita.

SEBAIK-BAIK LENGAN itu ialah lengan pekerja.
SEBAIK-BAIK KEPALA ialah kepala orang yang berfikir.
SEBAIK-BAIK MENGANTUK itu ialah orang yang bersolat tahajjud.
SEBAIK-BAIK KAKI ialah kaki yang melangkah ke hadapan.
SEBAIK-BAIK DARAH ialah darah para syuhada'.

Syair arab ada menyebut :

"Jangan katakan,
Umur masih muda remaja..
Masih banyak kesempatan..
Tetapi renunglah..
Ramai anak-anak kecil yang dikuburkan"

Tanamkan dalam diri..ilmu mesti dicari dan ditimba sebanyak mungkin malah hati pula yang penuh sarat dengan rasa keikhlasan dan mengharap mardhotillah akan dapat menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Mudah-mudahan usaha menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran dipandang Allah sebagai usaha memartabatkan ISLAM di mata dunia.

Ambillah daripada sabda Rasulullah S.A.W. ini yang maksudnya:

" Sampaikan daripadaku walaupun hanya sepotong ayat "
( hadis sohih, riwayat Al-Bukhari daripada Abdullah b. 'Amri b. Al-'Ash )

Wallahua'lam bissowab.


"percayalah, kita adalah juara..maka kekalkan kejuaraan kita itu"
"fokus itu salah satu kunci kejayaan"

"kita boleh bermain tapi jangan main-main"

Kuasa Disebalik Niat


Hari ini agak banyak anjang perolehi apabila berjalan-jalan dengan Tuan Haji Mohd Arif bin Haji Mat Noor.. Anjang dapat menilai dan memerhati gelagat sesetengah student UUM apabila diberitahu oleh Ustaz Yusnaidi, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UUM..

Yang penting di sini ialah pengalaman anjang berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Alumni UUM iaitu Yg. Bhg. Datuk Dr. Ahmad Faiz bin Abd. Hamid kerana ada sedikit perbincangan dengan beliau.. anjang seronok sekali hari ini..Semuanya ada tujuan,di mana di sanalah menentukan nilai disetiap gerak kerja kita adakah akan dipandang oleh Allah Ta'ala atau tidak..

Apa jua perkara yang kita lakukan, yang pasti akan kita mulainya dengan niat. Niat itu merupakan doa dan harapan seseorang. Yakin dan percaya bahawa di setiap perbuatan itu pasti disertai niat .Maka agama Islam juga mengajar kita untuk tidak melupakan niat dalam apa jua kerja yang kita lakukan hendaklah kerana Allah .

Niat atau doa ini sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengubah cara hidup kita. Kuasa tersebut adalah getaran-getaran atau gelombang-gelombang yang mengalirkan tenaga positif yang akan merangsang minda bawah sedar kita dan secara tidak langsung mengubah bio-kimia tubuh untuk melakukan sesuatu.

Apabila seseorang itu berniat, bermakna dia telah memberikan arahan kepada minda dan minda akan mengarahkan keseluruh tubuhnya untuk menyempurnakan apa yang diniatkannya.

Sejak kecil kita bersolat dan berpuasa, kita memulakannya dengan niat. Kita berwudu' juga dimulakan dengan niat. Tetapi adakah kita sedar akan kelebihan niat itu. Islam mengajar kita supaya tidak melupakan niat dalam apa jua pekerjaan kita tetapi tidak ramai yang ingin mengkaji kelebihan niat.

Kuasa fokus akan hadir dengan adanya kuasa niat. Daya tahan juga wujud dengan adanya niat. Ketabahan dan kesabaran juga datang kerana adanya niat.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya hanyasanya akan sah atau diterima sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang dia niat hijrah kepadanya”.

Penghijrahan manusia dari satu tempat ke satu tempat, dari satu tugas ke satu tugas, dari satu hajat ke satu hajat, semuanya akan dilaksanakan mengikut apa yang diniatkan. Maka waspadalah dengan niat anda. Niatlah kerana Allah, insya-Allah.. Allah akan mempermudahkan semua urusan anda... percayalah!

Rajin Berusaha, Sabar bila Susah dan Syukur bila Senang


Daripada Miqdad bin Ma'dikarib r.a daripada Rasulullah S.A.W, baginda bersabda :

"Tidak memakan seorang daripada kamu akan sesuatu makanan yang lebih baik daripada makanan yang diusahakannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud a.s adalah seorang yang memakan makanan hasil daripada titik peluhnya sendiri"

(Hadis riwayat Bukhari)

Allah Taala telah menundukkan langit dan bumi malah segala isinya untuk memenuhi keperluan hidup manusia yang bertugas di atas muka bumi ini sebagai khalifah-Nya. Diciptakan-Nya awan yang membawa hujan, pepohonan yang menghijau, gunung-ganang yang menjulang tinggi, sungai-sungai yang mengalir airnya dan berbagai-bagai jenis binatang, baik yang melata di atas muka bumi atau yang hidup di dalam laut atau yang terbang di udara. Maka segalanya ini ditundukkan oleh Allah untuk kepentingan manusia yang ditugaskan sebagai khalifah yang bertanggungjawab mengatur segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini.

Oleh kerana itu hendaklah manusia melaksanakan tanggungjawabnya dengan mengatur kehidupannya di permukaan bumi ini dengan sebaik-baiknya dan mengusahakan atau memproses segala sesuatu yang telah ditundukkan Allah kepadanya. Maka dengan itu akan majulah kehidupan manusia ini dan akan bertambah banyaklah faedah yang didapati dari segala bahan mentah yang telah disediakan di hadapannya.

Jadi, hendaklah manusia itu rajin bekerja atau memproses bahan mentah yang telah disediakan di hadapannya seperti halnya Nabi Daud a.s. yang berusaha sebagai tukang besi, Nabi Nuh a.s. sebagai tukang kayu, Nabi Sulaiman a.s. sebagai raja yang mengatur pemerintahan dan Nabi kita Muhammad S.A.W yang berusaha memelihara kambing pada waktu kecilnya, berniaga pada waktu remajanya dan memimpin negara setelah baginda berhijrah ke Madinah dan seterusnya.

Begitu pula kita lihat di kalangan para sahabat. Ada yang berniaga seperti Abu Bakar r.a, Umar r.a. , Uthman bin Affan r.a dan Abdurrahman bin 'Auf r.a. Ada yang bertani seperti kebanyakakn orang-orang ansar dan begitu dengan yang lain.

Orang mukmin adalah orang yang bertuah dalam hidupnya walaupun dia terpaksa berhadapan dengan berbagai-bagai ujian hidup yang penuh dengan liku-likunya. hidupnya selalu tenang dan tidak punyai banyak masalah. Dia memiliki ketenangan jiwa yang diburu oleh orang-orang yang mencari kepuasan hidup dalam dunia ini.

Namun, mereka pasti tidak menjumpainya kalau bukan dengan iman. Kepuasan hidup dan ketenangan jiwa hanya akan dinikmati oleh orang yang benar-benar beriman. Di mana hatinya tenang dalam menghadapi berbagai-bagai keadaan. Apabila dia berada dalam kenikmatan dan kesenangan, dia akan bersyukur kepada Allah dan menggunakan nikmat itu untuk mencari keredhaan Allah S.W.T, baik untuk kegunaan dirinya sendiri atau untuk kebaikan orang lain sebagai sedekah atau pertolongan. Dia memahami dunia ini hanyasanya tempat ujian dan kesusahan dan akhirat nanti adalah tempat kebahagiaan yang sebenarnya.

Mereka yang beriman itu tak mudah lupa daratan dan sentiasa bersyukur atas nikmat pemberian Allah. Tidak mudah mengikut hawa nafsu dan bertindak sesuka hati kerana mereka yakin dengan janji Allah buat mereka selepas masa yang di nanti akan tiba sewaktu mereka dibangkitkan semula di padang Mahsyar kelak...

Ya Allah..Kau takdirkanlah diriku ini mati dalam husnul khatimah..dan janganlah Kau matikan diriku dalam su'ul khatimah..Kau golongkanlah aku bersama-sama mereka yang solihin dan 'abidin yang mukhlisin.. Amien..

Motivasi Di Dusun Resort

Banner Kem Motivasi Belajar Power


Memberi sedikit kata-kata aluan dan taklimat program

Peserta Kem Motivasi Belajar Power di Dusun Resort

Saya mengingatkan kepada adik-adik semua bahawa kita sebenarnya adalah juara :

“ YOU ARE THE CHAMPION – KAMU ADALAH SANG JUARA”

Ungkapan ini sebenarnya telah pun diungkapkan buat adik-adik di saat adik-adik memenangi suatu perlumbaan di alam rahim Si Ibu. Ungkapan ini telah pun adik-adik gondol sejak pertama kali adik-adik menghirup udara pabila adik-adik keluar melihat dunia ini. Adik-adik semua memang telah ditakdirkan untuk dilahirkan sebagai Sang Juara. Apakah adik-adik tidak menyedari hakikat yang telah diberikan Allah kepada adik-adik?

Yakin dan percayalah adik-adikku...
Apabila adik-adik telah sedar akan makna hakikat KEJUARAAN yang telah disandang sejak lahir, adik-adik semestinya tidak akan pernah untuk melontarkan sesuatu perkataan daripada mulut adik-adik sama ada adik-adik ingin untuk MENYERAH, MENGELUH DAN BERPUTUS ASA.

Mengapa adik-adikku, kita ditakdirkan sebagai Sang Juara ????

Kembalilah kita membuka helaian sejarah yang panjang tentang asal usul diri kita.
Kedua orang tua kita, ibubapa di saat mereka melakukan hubungan, di saat dan di ketika itulah adanya di sana suatu proses yang akan terbentuknya sebuah janin dalam rahim Si Ibu. Di saat itu jualah akan adanya proses di mana berjuta-juta sel /sperma daripada Si Ayah berlumba-lumba untuk bergabung dan menyatu dengan sel telur Si Ibu.

Bayangkan adik-adik, bilangannya itu berjuta-juta…dan semua itu merupakan saudara-saudara adik-adik.

Tapi berapakah yang menang? Siapakah Si Pemenangnya ? Siapakah yang mendahuluinya?

Ketahuilah adik-adik..
Adik-adiklah juaranya..
Adik-adik yang telah menjuarai perlumbaan itu.

Namun di sana masih ada halangan.Bukan mudah dan cepat embrio tersebut untuk menghirup udara dunia. Di sana adik-adik telah pun merentasi halangan yang berat dan juga melalui waktu yang sangat panjang (selama sembilan bulan).

Dalam proses menuju kemenangan sebagai manusia pun tidaklah mudah. Banyak di sana rintangan dan juga perubahan-perubahan bentuk yang harus adik-adik jalani. Pada saat perhitungan waktu yang telah ditentukan, akhirnya adik-adik telah ditakdirkan keluar sebagai pemenang...

Sebagai sang JUARA.

Alhamdulillah..Sebagai sang Juara, adik-adik juga beruntung kerana dilahirkan sebagai seorang muslim..Malah adik-adik telah diazankan ke telinga adik-adik dengan kalimat keramat..
Hayya ‘Alal Falah
( Marilah Menuju Kejayaan ).
Betapa besar sambutannya atas kemenangan adik-adik sebagai Sang Juara.

Nah, apakah sekarang adik-adik masih belum sedar akan hakikat kejuaraan yang telah disandang pada diri adik-adik semua?

Oleh itu, jangan adik-adik sia-siakan kesempatan hidup ini. Jalanilah hidupmu sebagai sang juara dan KEKALKANLAH KEJUARAAN DIRIMU ITU!!!

Jangan pernah rasa ingin menyerah………. !!
Jangan pernah rasa ingin berputus asa……….. !!
Jangan pernah rasa ingin mengeluh…………. !!

Kita punya kekuatan untuk melawan dan keluar dari semua masalah.

Ingatlah akan berjuta-juta saudara adik-adik yang telah adik-adik kalahkan…
Ingatlah pada sambutan kemenangan yang telah orang tua adik-adik berikan…
Adik-adik, kamu semua adalah mutiara yang tak ternilai harganya...
Tidak pernah terlahir seorang juara yang tidak mempunyai nilai...
Jangan sia-siakan kematian saudara-saudaramu dan jangan pula kamu sia-siakan kemenangan kamu!!

“…….YOU ARE THE CHAMPION…….”

Semoga adik-adik akan bersemangat untuk belajar dan semangat untuk beribadah.
Semoga kemenangan adik-adik itu merupakan titik awal kejuaraan masa yang akan datang dan berkekalan.
Amien….Amien….Amien…..
Ya Rabbal 'Alamin..

Bersabarlah dengan ujian Allah..

Biarlah apapun jenis ujian buat kita sama ada ia berbentuk cubaan mahupun penderitaan. Kita mesti ingat bahawa sebenarnya ia adalah sebahagian daripada hidup kita.

Namun kadang-kala kita antara sedar atau tidak, sebenarnya cubaan itu dan penderitaan itu adalah sebuah proses menuju sebuah keindahan dan kebahagiaan hakiki.

Percaya atau tidak? Nilailah sendiri..

Thabat hati dan istiqomah walaupun secangkir dalam hati itulah mampu menangkis semua mehnah di hadapan.

Allah swt membentuk kita malah memang penderitaan yang Allah berikan pada kita membuatkan kita sakit, terseksa, penuh penderitaan. Kekadang menyebabkan aliran air mata dan hilangnya harta. Mungkin dengan cara itulah Allah SWT merubah dan bentuk diri kita menjadi baik dan terbaik dan dapat memancarkan cahaya hidayah-Nya.

Jika sekarang ini Allah SWT masih uji kita dengan cubaan dan penderitaan yang cukup membuatkan kita sakit, pedih dan terseksa. Anggaplah cubaan dan penderitaan itu adalah sebuah proses kita menuju kebahagiaan hakiki di Akhirat.

Ingatkah sahabat dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mulk, Allah berfirman yang maksudnya :

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji siapa di antara kamu yang baik amalannya"

Cubaan itu adalah sebuah kenikmatan yang diberikan Allah SWT untuk membentuk dan menjadikan kita lebih maju dan lebih hebat, Allah nak melihat siapa di antara hamba-hamba-Nya yang kuat kesabaran dan kuat beramal soleh walaupun dia ditimpa bermacam-macam ujian yang berat.

Kita tahu bahawa cubaan itu akan menghasilkan sebuah keberanian, ketekunan, kesungguhan, dan pengalaman.

Biarlah keberanian, ketekunan, kesungguhan dan pengalaman memperoleh buah yang matang. Apabila kita mengalami penderitaan dan cubaan, maka betapa indahnya jika berlapang dada dan tidak kecil hati kerana seorang kekasih untuk melihat kesetiaan kekasihnya adalah dengan melihat bagaimana dia mampu sabar dalam menderita. Anggaplah penderitaan itu sebagai ujian kerana kasih dan sayangnya Allah terhadap diri kita itulah maka Allah memberikan penderitaan itu di dalam hidup kita.

Ujian itu memang menyakitkan tapi setelah proses itu selesai maka kita akan melihat betapa cantiknya Allah membentuk kita dengan cubaan dan penderitaan yang kita hadapi.

Sahabat!

Percaya dan yakinlah bahawa seluruh cubaan yang diberikan Allah itu pasti ada hikmahnya, kerana Allah tidak berbuat sesuatu perkara itu dengan main-main kepada hamba-hambaNya. Dan pastilah ada di sana suatu kemanfaatan disebalik ujian itu buat diri kita.

Kalau kita belum dapat merasakan hikmah itu maka kita harus selalu bermuhasabah diri. Mungkin kita tidak selalu menyelami apakah hikmah dan balasan yang akan diberikan Allah buat kita di Akhirat kelak. Allah sayang akan hambaNya yang ada tersimpan perasaan kasih dan sayang dalam hatinya.

Ingatlah dan percayalah sahabat...selama mana kita benar-benar yakin dengan ketentuan Allah dan beriman akan adanya suatu hari di mana manusia yang patuh dan taat pada semua perintah Allah akan mendapat ganjaran yang sebaiknya di sisi Allah.

Percayalah..percayalah dan percayalah!!!

Allah sentiasa kasihkan hamba-hambaNya yang beriman dan redha terhadap segala ujian.

7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan


Pokok yang sihat berpunca daripada akar yang kuat dan mendapat sinaran mentari serta curahan air hujan yang secukupnya. Akar yang kuat dapat menyokong pokok agar tidak mudah tumbang di tiup angin kencang.

Inilah analogi untuk sesebuah organisasi. Apabila individu di peringkat akar umbi berilmu , ber-etika, bertoleransi, berakhlak yang tinggi, dan mempunyai budaya kerja yang cemerlang, hasilnya pastilah suatu organisasi yang kukuh dan berjaya, yang tidak mampu di goyah oleh apa jua perubahan dalam persaingan global hari ini.
Anda mahukan individu yang;

Cemerlang – di peringkat personal?
Gemilang – di peringkat jabatan?
Terbilang
– di peringkat nasional?

Boleh, jika anda mula melakukan transformasi ke atas cara setiap individu mengendalikan kehidupan mereka. Budaya program 7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan® ini mampu membantu anda mencapai ketiga-tiga objektif di atas.

MENGENAI PROGRAM:

Program 7 Tabiat memberi tumpuan kepada prinsip yang memandu kehidupan seharian kita – baik dari segi personal, interpersonal mahupun pengurusan dan organisasi. Prinsip ini boleh diaplikasikan pada bila-bila masa dan tidak terbatas dari segi geografi, sosio ekonomi mahupun jenis industri.

Di peringkat personal, bengkel ini menanamkan nilai-nilai kejujuran dan kemuliaan. Ini akan memberi ruang ke arah saling mempercayai sesama individu dan semangat kerjasama akan menular dangan cara spontan. Ini dapat mengeratkan silaturrahim di antara warga keluarga dan organisasi. Semangat saling mempercayai ini memudahkan inisiatif seperti pemberian mandat / perwakilan kuasa (empowerment) untuk dipratikkan di peringkat pengurusan. Organisasi perlu berganding bahu melahirkan individu yang berwawasan , berani serta bersemangat untuk menangani masaalah.

Dr Stephen Covey pernah mengatakan untuk mencapai hasil yang berlipat ganda, kita harus mengubah cara pemikiran kita pada dasarnya tentang sumber manusia. Mereka adalah asset yang paling bernilai bagi sesebuah organisasi. Program 7 Tabiat ini merupakan satu-satunya program yang menegakkan ciri-ciri yang dapat meningkatkan keberkesanan inidividu serta juga organisasi. Ia berlandaskan prinsip semulajadi dan boleh dipraktikkan oleh semua golongan.

Program 7 Tabiat bukanlah sekadar satu “acara” (event) yang memberi motivasi, menghibur dan kemudian dilupai dalam masa yang singkat. Program ini merupakan suatu proses yang memberi inspirasi yang dapat membawa perubahan positif untuk SEUMUR HIDUP

Program 7 Tabiat ini akan menjadi pemangkin kepada inisiatif-inisiatif lain untuk mempertingkatkan lagi keberkesanannya.

Tabiat 1 – 3 akan membantu peserta menanjak dari tahap pergantungan ke tahap kebebasan. Ia dapat membina akhlak dan peribadi yang lebih baik dan kuat ke arah Kemenangan Peribadi. Ini bagaikan akar pokok yang akan menyokong pokok agar tidak tumbang apabila di tiup angin kencang.

Tabiat 4 – 6 akan membantu peserta menganjak paradigma dari tahap kebebasan ke tahap saling pergantungan bagi mencapai Kemenangan Umum. Ini membolehkan peserta mendapat faedah bersama dalam perhubungan dengan orang lain.

Tabiat 7 bagaikan hujan dan matahari yang memberi tenaga kepada pokok untuk terus hidup dengan subur.

MANFAAT PROGRAM:
-Mengimbangkan semua aspek kehidupan anda (karier dan keluarga)
• Menggantikan perasaan kelesuan minda (burnt-out) dengan tahap kepuasan pencapaian yang tinggi
• Meningkatkan kepercayaan (diri)
• Meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja anda
• Menguruskan masa dengan lebih berkesan
• Menjadikan anda seorang yang lebih berpengaruh apabila anda mengetahui erti/makna diri anda yang sebenarnya.
• Mewujudkan satu budaya kerja kearah mencapai visi dan misi
• Mewujudkan etika kerja, minda dan sikap yang positif serta keluhuran daya kepimpinan.
• Menjurus kepada CEMERLANG, GEMILANG dan TERBILANG

Anda akan dapati mereka yang telah menghadiri program ini lebih berkeyakinan dan berketrampilan serta menyenangi persekitaran pekerjaan mereka , peningkatan dalam produktiviti dan kualiti perkhidmatan. Sesungguhnya, anda perlu menghadiri program ini untuk merasai keberkesanannya.

APLIKASI BUDAYA 7 TABIAT DALAM BEBERAPA OBJEKTIF KMK.

Program Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) di sektor awam diwujudkan berlandaskan pengurusan yang bersifat kemanusiaan dan menggalakkan penyertaan setiap individu didalam organisasi. Ini adalah satu manifestasi tentang kepentingan sumber manusia bagi sesebuah organisasi.

Melalui program 7 Tabiat, anda akan dapati cara untuk memenuhi objektif KMK dengan menggunakan salah satu atau gabungan beberapa daripada 7 Tabiat berkenaan.

Contohnya :
1. Pembangunan Diri:.Tabiat 1, 2, 3
2. Peningkatan kualiti:- Tabiat 1, 2,3,5,6,7
3. Peningkatan dalam Perhubungan dan Sikap:- Tabiat 1, 4,5,6
4. Pengurusan pembaziran:- Tabiat 3, 4, 5,6
5. Kepuasan bekerja:- Tabiat, 1, 2, 3,6
6. Pengurangan Kos:- Tabiat 1,3, 4, 6
7. Peningkatan Produktiviti:- Tabiat 1, 2,3,5,6
8. Kesempatan Untuk Menyelesaikan Masalah:- Tabiat 1, 2,5,6
9. Pembinaan Pasukan:- Tabiat 1, 2, 3, 4,5,6
10. Hubungan pegawai dan pekerja lebih rapat:- Tabiat 1, 2, 4,5,6
11. Menarik minat lebih ramai lagi dalam melaksanakan kerja:- Tabiat 1,2,4, 5, 6
12. Meningkatkan penyertaan pekerja:- Tabiat 1, 2, 3. 4,5,6,7
13. Mengurangkan ketidakpuasan hati:- Tabiat 1, 4,5,6

RANGKA KURSUS 7 TABIAT

1) Jadi Proaktif
Focus kepada menerima tanggungjawab dan menganjak paradigma

2) Mula dengan Mengingati Matlamat
Membawa kepada penyatuan kumpulan dan organisasi ke arah satu visi

3) Utamakan Perkara Penting Dahulu
Mengutamakan perkara penting dahulu

4) Fikirkan Menang-Menang
Membantu dalam menambahkan keuntungan kedua-dua pihak dengan pemikiran “Abundance Mentality”

5) Usaha Memahami Dahulu kemudian untuk Difahami
Membantu dalam memahami masalah dan mengukuhkan komunikasi ke arah penyelesaian masalah

6) Bersinergi
Menghasilkan pilihan yang lebih berkesan

7) Menajamkan Gergaji
Membantu supaya sentiasa mengekalkan keberkesanan

Jadi, mulakanlah proses untuk memenuhi cabaran sebenar anda dengan membaca dan menghadiri program

7 TABIAT ORANG YANG AMAT BERKESAN®.
ingin mendapatkan risalah lanjut klik di sini ...