Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Syarahan Mufti Ismail Menk




Rakaman di Konvensyen Fiqh Ummah 2012
18 & 19 Februari 2012
PWTC, Kuala Lumpur

Sederap Di Bulan Barakah...


Nasyid : Harapan Ramadhan
Munsyid :
Raihan

Ku Mengharapkan Ramadhan
Kali ini Penuh Makna
Agar Dapat Kulalui
Dengan Sempurna

Selangkah Demi Selangkah
Setahun Sudah Pun Berlalu
Masa Yang Pantas Berlalu
Hingga Tak Terasa Ku Berada
Di Bulan Ramadhan Semula

Ku Mengharapkan Ramadhan
Kali ini Penuh Makna
Agar Dapat Kulalui
Dengan Sempurna

Puasa Satu Amalan
Sebagaimana Yang Diperintah-Nya
Moga Dapat Ku Lenturkan
Nafsu Yang Selalu Membelenggu Diri
Tiada Henti-henti

Ku Mengharapkan Ramadhan
Kali ini Penuh Makna
Agar Dapat Kulalui
Dengan Sempurna
Ku Mengharapkan Ramadhan
Kali ini Penuh Makna

Tak Ingin Ku Biarkan Ramadhan Berlalu Saja
Tuhan Pimpinlah Daku Yang Lemah
Mengharungi Segalanya Dengan Sabar

Ku Mengharapkan Ramadhan
Kali ini Penuh Makna
Agar Dapat Kulalui
Dengan Sempurna

Ku Mengharapkan Ramadhan
Kali ini Penuh Makna
Agar Dapat Kulalui
Dengan Sempurna

Kita Memohon Pada Tuhan Diberikan Kekuatan
Ku Merayu Pada Tuhan Diterima Amalan

Selangkah Demi Selangkah
Dengan Rahmatmu Oh Tuhanku
Ku Tempuh jua


Sahabat...
Masa terlalu pantas berlalu.. jadi ambillah sesuatu yang boleh meningkatkan prestasi kita di Madrasah Ramadhan kli ini agar Ramadhan kali ini penuh makna..

Ambillah kata-kata ini :
Sekiranya dikenal Imam Hassan Al-Banna itu dengan kisah perjuangannya..
Sekiranya diceritakan Umar Abdul Aziz itu dengan kisah pemerintahannya yang adil..
Sekiranya diambil tauladan tentang Bilal bin Rabah dengan kisah kehambaannya yang tinggi...
Jadi.. Apakah pula kisah KITA???

Lihatlah kehebatan daripada kata-kata Sa'ad bin Abi Waqqas :
"Aku adalah anak-anak panah Islam. Campakkanlah aku ke mana sahaja, aku tetap berjuang demi Islam."


Ya Allah Ya Tuhanku... Air mataku mengalir membasahi pipi apabila mengenangkan betapa bertuahnya diri menjadi pilihan-Mu..... memilih aku berada di "Bulan Rahmat" ini Ya Allah... untuk berada di "Bulan Suci" ini..

Aku, hamba-Mu yang lemah dan hina...
Mengharap kasih sayang-Mu...
Mengharap tarbiyah daripada-Mu...
Mengharap maghfirah dan keampunan-Mu...
Mengharap fadilat Ramadhan-Mu...

Ya Allah...
Siapalah aku tanpa rahmat keampunan-Mu...
Maka Engkau Ya Allah..
Jadikanlah ia taman tarbiyyahku...
Jadikanlah ia hari-hari yang lebih baik buatku..
Jadikanlah ia sebagai penghapus dosa-dosaku..
Jadikanlah ia pembaik amalan...

Hanya kepada-Mu lah Ya Allah,
Aku berserah diri...

Anjang seringkali terfikir betapa indah, betapa hebat, betapa mulia dan betapa bersihnya hati Rasul Junjungan Muhammad S.A.W...

Baginda tetap tersenyum walau baginda dibenci...
Baginda tetap tenang jiwa walaupun baginda dimusuhi...
Baginda tetap membantu walaupun baginda disakiti...
Baginda tetap menyeru walaupun baginda diusir...
Baginda tetap menasihati walaupun baginda dicaci...

Namun...
Kenapakah kita mudah membenci apabila dikasari...
Kenapakah kita mudah berputus asa apabila yang dilakukan tidak menjadi...
Kenapakah kita mudah kecewa apabila orang lain tidak memahami...
Kenapakah kita mudah terguris apabila kita dinasihati....

Marilah sahabat-sahabat..
Kita menjana kembali diri yang sekian waktu alpa dan leka...
Maka di dalam Madrasah Ramadhan ini kita bangkit dari tidur yang lama...
Ayuh!!! Mari kita dapatkan keberkatan Ramadhan agar Ramadhan tidak berlalu saja..
Agar Ramadhan kali ini bermakna buat kita...

Tuhan! Engkau pimpinlah kami agar kami dapat melakukannya dengan sempurna..

Kasih Sayang @ Cinta : Taqwa


Salam Sejahtera.. Salam Kemesraan.. Salam Ukhuwwah..

Anjang menulis lagi hanya kerna mahu melebar-luaskan rasa kasih dan cinta Allah S.W.T sebagaimana "Bapa Manusia" iaitu Nabi Adam selepas beliau diciptakan. Allah S.W.T telah memintanya menyebarkan salam buat semua malaikat atas rasa kasih dan sayang iaitu salam sejahtera..

Antara perkara-perkara penting yang perlu kita lakukan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini ialah saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan perkara-perkara kebaikan. Bercerita tentang kasih sayang, sudah tentu ianya berhubung kait dengan fitrah hati. Kasih sayang ini umpama tali yang mengikat hati-hati manusia. Apabila wujudnya kasih sayang, maka lahirlah perasaan kemesraan dan apabila wujudnya kemesraan maka terbitlah kesejahteraan dalam hidup.

Ke manakah hilangnya perasaan kasih sayang dalam masyarakat kita?? Seringkali dada-dada akhbar di negara kita dihiasi dengan berita-berita yang menggemparkan kita. Lihatlah bagaimana dengan kisah 2 orang adik beradik Muhamad Shafril Shamir, 4 tahun, dan Nor Ameelia Syafiqah, setahun, yang ditemui mati dipercayai diracun bapa mereka, Shaari Hamid, 34, sebelum menggantung dirinya. Apa sudah jadi???

Sudah tentu, kita tersentuh hati apabila membaca kisah-kisah sebegini. Inilah nikmat hidup yang semakin hilang dalam masyarakat kita hari ini. Institusi keluarga yang sudah mulai layu kasih sayangnya. Ingat, kekuatan kasih sayang inilah yang membawa kepada kemenangan dakwah Rasulullah S.A.W dan kegemilangan Islam di muka bumi ini.

Sebagai pembaca, apa komen anda tentang nilai kasih sayang. Apakah langkah-langkah yang anda rasakan perlu dilakukan oleh pihak atasan, masyarakat mahupun anda sendiri. Keprihatinan anda menunjukkan anda seorang yang menitik-beratkan kasih sayang dalam kehidupan. Suburkan kasih sayang!!!

Anjang katakan di sini.. Semua faktor yang terjadi adalah disebabkan hilangnya rasa kasih sayang manusia di dalam dirinya. Malah, kebanyakan orang Islam sudah hilang rasa beriman dan taqwa. Ini kerana, taqwa akan hadir apabila perasaan ingin memelihara bercampur dengan rasa bertuhan yang berkait-rapat dengan ilmu agama yang kuat dan kukuh di dalam hatinya.

Namun, cinta tak akan hadir.. dan rindu tak akan berbunga... kasih sayang tak akan muncul.. jika sekiranya tidak ada taqwa di dalam hatinya.. Maka "Ittaqullah", iaitu bertaqwalah kamu kepada Allah hendaklah disemai dengan subur di dalam hati kita.

Oleh sebab itu, suruhan supaya bertaqwa itu seringkali disebut dalam setiap khutbah sembahyang Jumaat yang merupakan rukun khutbah. Kalau tidak disebut taqwa, tidak akan sah solat Jumaat walaupun sembahyangnya khusyu'. Taqwa bukan setakat melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Bukan setakat menunai ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan. Bukan setakat membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bukan juga setakat meninggalkan apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu. Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat kepada Allah. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa yang akan menjauhkan diri kita daripada Allah. Bukan setakat menghadkan diri kepada yang halal sahaja dan bukan setakat itu semua. Namun yang menyedihkan anjang adalah masih terdapat ramai orang tidak faham apa pengertian yang sebenarnya di dalam taqwa.

Walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang taqwa tidak pernah diajar. Jalan untuk mendapatkan taqwa beramal untuk menjuruskan ketaatan kepada Allah semata-mata. Inilah kupasan dan kefahaman tentang taqwa yang dibawa oleh para ustaz, para muallim, orang yang hafaz Quran dan Hadis bahkan juga para mufti dan qadhi. Taqwa itu tersangat dipermudahkan sehingga orang tidak merasakan bahawa taqwa itu penting dan perlu diperjuangkan demi untuk mendapat keselamatan di dunia dan Akhirat. Maksud taqwa sebenarnya lebih dalam dan lebih luas dari itu. Taqwa adalah antara perkara pokok dalam agama.

Orang membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang atau orang menunaikan ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan, tidak semestinya berasaskan taqwa. Mereka taat mungkin kerana ada sebab-sebab lain. Mungkin mahu upah, mahu dipuji, mahu pengaruh atau untuk mengambil hati orang. Mereka meninggalkan apa yang dilarang pun mungkin ada sebab-sebab lain. Mungkin kerana mahu dihormati, mahu menjaga nama dan kedudukan, takut dihukum, takut orang mengata dan menghina atau takut dipulaukan orang.

Apabila disebut taqwa, orang terjemahkan sebagai takutkan Tuhan. Itu tidak betul. Taqwa bukan bererti takut. Taqwa pada Tuhan bukan bererti takutkan Tuhan. Takut kepada Tuhan hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya.

Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Hujahnya ialah ayat Al-Quran seperti berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.” (At-Tahrim: 6)

Di dalam Al-Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah "ittaqu" atau "yattaqi". Di mana, ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna. Di sini "ittaqullah" membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu hendaklah jadikan Tuhan itu pelindung.

Jadikan Tuhan itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari kejahatan. Usaha untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah lahir dan batin. Dengan kata-kata yang lain, perkara yang disuruh itu ialah membina sifat-sifat mahmudah. Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah taqwa.

Taqwa atau wiqoyah telah disalah-ertikan. Maksudnya telah disempitkan. Ia sebenarnya adalah lebih global dan luas. Ia adalah gudang mahmudah dan merupakan himpunan segala sifat-sifat mahmudah. Di situ ada sabar, redha, pemurah, berkasih sayang, pemaaf, memberi maaf, meminta maaf dan sebagainya. Seluruh sifat mahmudah itulah taqwa. Jadi, besarlah erti taqwa. Ia membawa keselamatan dunia dan Akhirat.

Oleh itu, kalau dikatakan ittaqullah, maknanya yang sebenar ialah ‘hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara’. Oleh sebab istilah-istilah Islam telah banyak disalah guna dan disalahertikan, maka hilang berkatnya. Apabila disebut istilah-istilah Islam, tidak terasa apa-apa. Contohnya ialah perkataan ‘khalwat’. Maksudnya mulia iaitu menyendiri dengan Tuhan. Ia satu bentuk amalan sufi. Tetapi maksudnya itu telah diselewengkan dengan membawa erti 'berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi’. Begitulah juga istilah ittaqullah ini. Setiap minggu pada hari Jumaat, dilaung-laungkan di mimbar masjid tetapi para jemaah tidak terasa apa-apa. Berkatnya telah hilang kerana maksudnya telah disalah-ertikan.

Untuk menjadi orang yang bertaqwa ertinya menjadi orang yang berada dalam perlindungan Tuhan atau dalam pemeliharaan Tuhan. Orang yang berada dalam benteng dan kubu Tuhan. Dia selamat dari serangan luar. Serangan luar tidak lut dan tidak mengenai dirinya. Orang bertaqwa itu seolah-olah telah dipakaikan baju besi atau jaket kalis peluru.

Taqwa adalah pakaian jasad batin atau roh. Ia adalah amalan jiwa atau roh. Taqwa adalah perkara dalaman dan banyak melibatkan amalan hati. Kalau sungguh-sungguh diamalkan dan dihayati, akan lahir sifat-sifat mahmudah seperti jujur, adil, benar, berkasih sayang, lemah lembut, pemurah, tawadhuk, pemalu, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, pemaaf, amanah, tekun, rajin, lapang dada, bekerjasama, simpati, belas kasihan dan sebagainya.

Orang yang bertaqwa adalah orang yang luar biasa. Sebab dia manusia yang sudah bersifat malaikat. Sifat malaikat sudah ada dalam dirinya. Dia sudah jadi orang Tuhan. Sebab itulah dia dibantu dan dibela oleh Tuhan. Orang bertaqwa sahaja yang akan selamat di dunia dan di Akhirat.

Hiduplah Bersama Ulama'..


Kali ini anjang mengenengahkan isu mengenai penghayatan suasana ilmu makin berkurang..anda sendiri mengetahuinya..

Cuba tanya pada diri..mampukah kita sentiasa dalam majlis ilmu pada setiap malam...jika ya..alhamdulillah..kita sudah mewujudkan suasana ilmu.. jiika tidak..alangkah malangnya kita... namun sekurang-kurangnya janganlah sampai 40 hari kita tidak berada dalam majlis ilmu.. maka akan keraslah hati kita nanti..

Oleh itu...pakat-pakat meramaikan majlis ilmu dan yakinlah.. kita sentiasa berada dalam rahmat Allah S.W.T... Insya-Allah..

Maka siapakah pula ulama' itu? Sehingga kini banyak perbezaan pendapat dalam menilai siapakah para ulama' itu. Sehingga perlu dijelaskan mengenai hakikat diri para ulama itu sendiri.

Untuk itu kita akan merujuk kepada penjelasan daripada para ulama Salafus Soleh dan orang-orang yang menelusuri jalan mereka. Kata "ULAMA'" itu sendiri merupakan bentuk jama' dari kata "‘ALIM", yang ertinya orang yang mempunyai ilmu.

Untuk mengetahui siapakah ulama itu, kita perlu mengetahui apa yang dimaksudkan dengan "ILMU" dalam istilah syara', kerana kata "ILMU" dalam bahasa yang berlaku sudah sangat meluas. Maka makna "ILMU" dalam syara' lebih khusus iaitu mengetahui kandungan Al Qur’anul Karim, Sunnah Nabawiyah dan ucapan para sahabat dalam menafsirkan keduanya (Al-Qur'an dan As-Sunnah) dengan mengamalkannya dan menimbulkan "KHASYIYYAH" (takut) kepada Allah.

Imam Asy-Syafi’ie berkata:

“Seluruh ilmu selain Al Qur’an adalah hal yang menyibukkan kecuali hadis dan fiqh dan memahami agama. Ilmu adalah yang terdapat padanya "HADDASANA" (telah mengkhabarkan kepada kami - yakni ilmu hadis) dan selain daripadanya adalah bisikan-bisikan syaitan.”

Ibnu Qoyyim menyatakan:

“Ilmu adalah kata-kata Allah, kata-kata Rasul-Nya, kata-kata para sahabat yang tiada perselisihan di dalam akal yang sihat padanya.”

(Al-Aqidah Asy-Syar’iyah: 119-120)

Dari penjelasan makna "ILMU" dalam syara', maka orang alim atau "ULAMA'" adalah orang yang menguasai ilmu tersebut serta mengamalkannya dan menumbuhkan rasa takut kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala . Oleh kerana, dahulunya sebahagian ulama menyatakan "ULAMA'" adalah orang yang mengetahui Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan mengetahui perintah-Nya.

Ulama' adalah orang yang takut kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan mengetahui batasan-batasan syariat-Nya serta kewajipan-kewajipan terhadap-Nya.

Rabi’ bin Anas menyatakan :

“Barangsiapa yang tidak takut kepada Allah bukanlah seorang ulama.”

Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama .”

(Surah al-Fatir: 29)

Kesimpulannya, orang-orang yang menjadi rujukan dalam masalah ini adalah yang berilmu tentang kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya serta ucapan para sahabat. Dialah yang berhak berijtihad dalam hal-hal yang baru.

(Ibnu Qoyyim, I’lam Muwaqqi’in 4/21, Madarikun Nadhar : 155)

Ibnu Majisyun, salah seorang murid Imam Malik mengatakan:

“Dahulu (para ulama) menyatakan, ‘Tidaklah seorang itu menjadi Imam dalam hal fiqh sehingga menjadi imam dalam hal Al Qur’an dan Hadis dan tidak menjadi imam dalam hal hadis sehingga menjadi imam dalam hal fiqh.”

(Jami’ Bayanil ‘Ilm: 2/818)

Imam Syafi’e menyatakan:

“Jika datang sebuah perkara yang musykil (iaitu perkara yang rumit) jangan mengajak musyawarah kecuali orang yang terpercaya dan berilmu tentang AL-KITAB (Al-Qur'an) dan AS-SUNNAH, ucapan para sahabat, pendapat para ulama’, QIYAS dan BAHASA ARAB."

(Jami’ Bayanil ‘Ilm: 2/818)

Merekalah ulama yang hakiki, yang bukan sekadar pemikir haraki, muballigh, penceramah, aktivis gerakan dakwah, ahli membaca kitabullah, ahli taqlid dalam madzhab fiqh dan bukan pula ulama suu’ (jahat) atau daripada ahlil bid’ah. Tapi mereka adalah ulama' hakiki yang istiqamah di atas Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Ya, memang sukar sekali untuk menjawab soalan yang bertanya siapa ulama’ sebenar, kerana ulama’ tidak mempunyai identiti zahir yang boleh dikesan oleh pancaindera,seperti paderi bagi agama Kristian dan sami bagi kepercayaan Buddha atau Hindu.

Tidak ada lambang tertentu atau pakaian khusus yang membezakan antara ulama’ dengan golongan yang bukan ulama’. Juga tidak ada tanda-tanda istimewa yang meletakkan mereka maksum,suci atau kudus.

Kesulitan ini timbul kerana di akhir-akhir ini ada orang yang tidak lagi menilai ulama’ berteraskan kepada ilmu, akhlak, kesolehan, kewarakan dan ketakwaannya. Tetapi lebih cenderung menamakan ulama’ itu semata-mata kepada mereka yang berkelulusan tinggi dari pusat pengajian tinggi Islam atau mereka yang bekerja dalam jabatan-jabatan yang berhubungan dengan urusan pentadbiran agama.

Paling anehnya terdapat juga mereka yang melabelkan ulama’ itu pada mereka yang dapat mencipta imejnya melalui pemakaian. Di samping itu mereka yang berpidato dengan membaca ayat-ayat al-Quran dan Hadis dalam ucapannya juga dianggap sebagai ulama’.
Kecenderungan seumpama ini menyebabkan timbulnya kekeliruan tentang pengertian dan konsep ulama’ sebenar sehingga “madlul” ulama’ menjadi kabur. Lebih-lebih lagi apabila ada pihak-pihak tertentu yang gigih memperalatkan institusi ulama’ bagi kepentingan diri.

Sebelum ini tidaklah sepayah hari ini untuk mengenali ulama’. Walaupun tidak ada seorang di kalangan mereka yang mendakwa dirinya sebagai ulama’, tetapi mereka dikenali dan diiktiraf umum sebagai ulama’.

Pengiktirafan yang diberi adalah kerana ilmunya yang memberi manfaat, tutur katanya meninggalkan kesan yang segar, buku-buku dan hasil penulisannya tersebar luas dan akhlaknya menarik. Mereka adalah penegak perkara-perkara baik (makruf) dan penghalang segala keburukan (mungkar) yang meliputi mungkar, kejahilan, kemiskinan, kemunduran dan segala bentuk kelemahan.

Mereka adalah golongan yang selaras dengan apa yang disebutkan oleh al-Quran sebagai golongan yang paling takut kepada Allah. Firman Allah S.W.T bermaksud:

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.

(Al-Fatir : 28)

Ertinya ulama’ itu adalah golongan yang gemar kepada apa yang diredhai Allah dan jauh daripada apa yang dimurkaiNya. Mereka adalah contoh teladan atau obor masyarakat.

Syeikh Mustapha Masyhur dalam bukunya, “Al-Qiadah Wal-Jundiyah” telah mencatatkan beberapa ciri yang patut ada pada seseorang yang bergelar ulama’. Antaranya:

1) Sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.
2) Jauh daripada penyakit hati yang dapat menghancurkan amal usahanya, seperti riya', sombong dan sebagainya.
3) Berperangai penyantun, kasih sayang, lembut dan ramah.
4) Suka bersahabat dengan semua orang tanpa memilih orangnya.
5) Benar dalam kata-kata, perbuatan dan juga sikapnya.
6) Pemaaf dan mampu menahan marah.

Di samping itu ada pula golongan yang membuat ukuran ulama’ dari sudut kepentingan diri dan puak. Ulama’ yang tidak dari golongannya dikatakan jahil dan bukan ulama’.

Mungkin si A itu benar-benar alim orangnya, dapat memahami kitab-kitab tradisi, dapat membaca tuntutan masa dan kehendak tempat dan ramai pula murid yang berguru dengannya. Tetapi jika pandangan dan fikirannya tidak sealiran dengan golongan tertentu, maka alimnya si A itu tidak diberi pengiktirafan oleh golongan yang berkenaan.

Jika si A ini tidak alim orangnya, tidak pernah belajar agama, tetapi berimej agama dan petah berbicara agama, maka ulama’lah dia.

Terdapat segelintir masyarakat terpengaruh dengan mereka yang dikatakan sebagai ulama’ sehingga ada perkara yang mungkar menjadi makruf manakala yang makruf menjadi mungkar.

Mereka tidak tahu membezakan antara ulama’ sebenar yang dikatakan sebagai pewaris Nabi dengan orang yang berlakon sebagai ulama’ atau yang mencari habuan dunia
semata-mata.

HIDUPLAH BERSAMA ULAMA HAKIKI...AKAN TERPANDULAH HDUP KITA!!!

Wallahu a’lam.

Keselarasan Antara Do'a Dan Usaha


Kali ini anjang kembali untuk memperingatkan lagi tentang Iman dan Taqwa kita kepada Allah SWT. Ini adalah kerana dua unsur penting iaitu Iman dan Taqwalah yang akan mewarnai dinamika ibadah kita kepada Allah S.W.T.

Iman secara batin, Taqwa secara lahir...

Lihatlah kepada kehidupan kita yang adanya batin dan adanya lahir. Begitulah juga jika kita nak merealisasikan tentang do'a dan usaha kita. Do'a tanpa usaha adalah sia-sia, sebaliknya usaha tidak disertai do'a kurang berkatnya. Iman secara batin maka sukar untuk dilihat kerana adanya di dalam sanubari.. hanya yang nampak adalah Taqwanya...

Iman seseorang itu tak mungkin dapat kita lihat sekiranya tidak dilihat dari sudut taqwanya di dalam ibadahnya, solatnya, zakatnya, dan hajinya. Begitulah kira-kira ibadah seseorang itu, digerakkan dari batin maka akan dizahirkan oleh lahirnya atau tingkahlakunya.

Yakin dan percayalah hanya dengan do'a dan usaha dapat mengisi Iman dan Taqwa seseorang hamba kepada Khaliqnya.

Dengan Iman kita berdo'a,
Dengan taqwa kita berusaha.
Do'a dan Usaha untuk merealisasikan Iman dan Taqwa... Ya, supaya mudah mengingat rangkaiannya, disingkat ayat ini dengan "DUIT" (ia juga di antara perkara yang sangat penting yang harus dimiliki)...

Termasuk membina dan membentuk keluarga yang bahagia, do'a dan usaha harus dipanjatkan selalu dan merupakan faktor yang tersangat penting dalam pencapaiannya. Di dalam Al-Qur'an Al-Karim diajarkan oleh Allah S.W.T melalui tiga jenis do'a khusus untuk keluarga, banyak do'a di dalam Al-Qur'an, semuanya ada 66 ayat, daripada 66 ayat inilah terdapat tiga jenis do'a yang khusus untuk keluarga.

Pertama di dalam surah Ali Imran pada ayat ke-38, yang kedua di dalam surah Ibrahim pada ayat yang ke-40, yang ketiga di dalam surah Al-Furqan pada ayat ke-74, inilah konsep do'a yang diajarkan oleh Allah S.W.T., di dalam Al-Qur'an untuk membentuk dan membina keluarga yang bahagia, sejahtera, aman di dunia dan akhirat.

Yang pertama di dalam surah Ali Imran pada ayat 38 :

" Di sanalah Zakaria berdo'a kepada Tuhannya seraya berkata " Wahai Tuhan, kurniakanlah kepadaku zuriat keturunan yang baik daripada Engkau, Engkau Maha Mendengar akan segala do'a ".

Jadi ibubapa atau bakal menjadi ibubapa seharusnya meminta kepada Allah S.W.T. supaya diberi anak ( keturunan atau zuriat ) yang baik.

Yang kedua di dalam surah Ibrahim ayat yang ke-40 :

"Wahai Tuhanku ! Jadikanlah aku orang yang tetap mendirikan solat, juga di antara keturunanku, Ya Tuhan kami ! Kabulkan do'a ku " !

Kalau yang pertama tadi meminta keturunan yang baik, yang keduanya berdoa meminta menjadi ahli ibadah yang taat dan patuh supaya yang baik tadi menjadi benar kerana banyak orang yang baik belum tentu lagi benar. Maka perlulah kita meminta kepada Allah S.W.T. supaya jadikan kita berkeadaan baik lagi benar.

Dalam do'a di atas yang kita minta supaya menjadi ahli ibadah ( yang selalu mendirikan solat ). Ini adalah kerana pokok ibadah itu merupakan solat. Maka jenis ibadah yang lainnya kalau dihitung bahkan tidak akan terhitung banyaknya. Dalam hal ini, solat merupakan ibadah paling pokok dan menentukan Taqwa dan Iman seseorang.

Yang ketiga, do'a buat keluarga ada di dalam surah Al-Furqan pada ayat ke-74 yang maksudnya:

" Dan orang-orang yang berdo'a itu (mereka meminta) : " Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata hati ( kami ), dan jadikanlah kami Imam bagi orang-orang yang bertaqwa ".

Sebagai keterangannya mereka memohon kepada Allah supaya diberikan mereka anak dan isteri yang akan menjadi Qurrata a'yunin atau yang selalu menyenangkan hati, nikmatnya bukan main lagi jikalau kita mempunyai keluarga atau anak yang menjadi Qurrata a'yunin itu. Seorang suami atau lelaki yang bakal mendirikan rumahtangga perlulah meminta kepada Allah S.W.T. supaya mempunyai isteri dan anak yang menyenangkan hati, menyejukkan perasaan, menenteramkan pemikiran. Di mana pengertian perkataan atau kalimah Qurrata a'yunin ini tersangatlah luas maknanya.

Tiga jenis do'a di atas itu mudah untuk kita membacakannya, maka bacalah ketiga-tiga do'a itu sekaligus di dalam do'a yang kita panjatkan kepada Allah S.W.T. Do'a ini memiliki maksud yang sangat luas daripada Allah S.W.T. Do'a sudah kita bicarakan hanya tinggal usahanya sahaja, maka bagaimanakah pula usahanya ?

Kita lihat dahulu bagaimana jalur dari intipati Taqwa yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam merealisasikan ayat "Qu anfusakum wa ahli-kum naaro". Menjaganya adalah dengan Taqwa, maka membina manusia itu tidak mampu seperti metode ilmu fekah. Ini adalah kerana jikalau metode ilmu Fekah, yang halal dimakan, yang haram dibuang.

Maka berlainan dalam metode kali ini kerana membentuk dan membina keluarga memakai metode Tasawuf, yang baik dipelihara, yang jelek diperbaiki. Jadi, sekiranya kita mempunyai atau memiliki anak atau suami/isteri yang jelek dan nakal, jangan dibuang.. tetapi harus diperbaiki. Perintah memperbaiki ini dalam Islam bukan ketika ditengah jalan, tapi sejak dari awal.. cuba kita lihat daripada intipati do'a-do'a di atas tadi... Do'a itu berlaku untuk masa kelahiran, sebelum kelahiran dan setelah kelahiran.

Sekiranya belum mempunyai anak, sudah meminta anak yang baik. Mungkin kita terlambat dalam mengetahui do'a ini. Tidak mengapa daripada tidak mengetahuinya sama sekali, sebab ini do'a Nabi Allah Zakaria. Baginda berdo'a sebelum baginda mempunyai anak, sampailah anak itu lahir. Baginda masih tetap berdo'a. Usaha membentuk anak yang baik harus mengikuti ajaran Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. sendiri pernah bersabda yang maksudnya, bagi anakmu yang lahir, bacakanlah Azan ditelinga kanannya, kumandangkanlah Iqamat ditelinga kirinya.

Memang betul Azan untuk memanggil orang solat, kalau di tempat atau di waktu solat itu sendiri. Menurut Tafsir Ibnu Abbas, kalimah Azan itu ada tujuan masing-masing. Yang tergantung waktu bila dan di mana ianya dikumandangkan. Kita lihat zaman Nabi Muhammad S.A.W., azan mengigati akan masuknya waktu subuh satu jam sebelum datang waktunya dikumandangkan Azan Subuh. Maka begitu juga apabila tiba waktu subuh, Azan lagi yang kedua kalinya. Pertama Bilal yang mengazankannya, keduanya pula oleh Ibnu Maktum.

Tujuan Azan yang pertama untuk membangunkan orang yang sedang tidur. Azan yang kedua sebagai pemberitahuan bahawa waktu solat subuh sudah datang, Uthman bin 'Affan radhiyallahu 'anhu mengumandangkan Azan Jum'at dua kali. Pertama, lebih kurang satu jam sebelum waktu Jum'at datang. Azan ini dikumandangkan di tengah pasar, maksudnya untuk mengingatkan orang yang sedang berdagang atau berniaga kemudiannya barulah Azan yang kedua masuk waktu Jum'at di dalam Masjid.

Jadi kalau kita meneliti kejadian-kejadian atau peristiwa-peristiwa ini, bererti tujuan Azan itu di mana ditempatkan di situ mempunyai maksud tersendiri. Waktu perang Rasulullah S.A.W. memerintahkan Azan untuk memohon kemenangan kepada Allah S.W.T.

Azan yang kita bicarakan tadi itu adalah sebagai rasa syukur kita kepada Allah S.W.T. kerana kebesaran Allah S.W.T. memberikan kita satu kurniaan ( iaitu anak ). Maka ungkapan syukurnya adalah dengan membesarkan Allah S.W.T. kerana anak adalah merupakan satu kurniaan dan nikmat daripada Allah S.W.T.

Kalau kita meneropong lebih jauh lagi, setiap diri kita manusia akan didampingi oleh syaitan ketika mana dia dilahirkan sampailah sekarang. Syaitan ini telah pun memohon kepada Allah S.W.T. sebelum manusia berkembang biak dengan banyaknya. Dia telah memintanya kepada Allah dan permintaannya antara lain:

"Wahai Tuhanku, anak Adam kau beri rumah, maka berikanlah aku rumah. Kata Allah, rumahmu adalah kamar atau bilik mandi. Oleh itu, Nabi Muhammad S.A.W. mengajarkan kita apabila kita ingin menjejakkan kaki ke kamar mandi ada do'anya, kerana ia adalah rumah syaitan. Kemudian syaitan meminta lagi...Anak Adam Kau beri mereka tempat duduk, maka berikanlah aku tempat duduk. Kata Allah, tempat dudukmu ialah di pasar-pasar. Maka sekiranya kita mahu masuk ke pasar diajarkan berdo'a, kerana ia merupakan tempat duduk-duduknya syaitan. Lalu syaitan meminta lagi, Anak Adam Kau beri kitab sebagai pedoman dan petunjuk. Kitabmu kata Allah, adalah syair-syair lagu yang menyesatkan. Maka kalau kita selalu menyanyikan lagu-lagu barat yang sensual dan lagu Dangdut ...maka yang sangat asyiknya bukan main itu adalah merupakan petunjuk syaitan sampai kita lupa kesemuanya. Tetapi syaitan akan lari tercirit-birit kalau mendengar laungan azan. Ini antara lain manfaat Azan. Setelah dikumandangkan Azan kepada bayi yang baru dilahirkan, kata Rasulullah S.A.W., berilah dia makanan yang "halalan thayyiban" ( iaitu dimaksudkan air susu ibunya ).

Yang ketiga, berikanlah dia nama iaitu berilah anak dengan nama yang bagus dan baik pengertiannya, yang ada identiti Islamnya. Ini kerana daripada sabda Nabi S.A.W. yang maksudnya, nama itu mempengaruhi keperibadian seseorang.

Islam tidak kekurangan nama, sumber atau rujukan nama boleh diambil daripada nama Allah (cuma diletakkan hamba atau 'abd di depannya). Begitu juga nama Nabi, nama Rasul, nama sahabat Nabi, nama daripada Wali, daripada ayat Al-Qur'an, pokoknya ialah sumber pengambilan nama-nama di dalam Islam ini tidak akan pernah habis, cabangnya dan sumbernya banyak sekali.

Persoalannya, mungkin kita belum mengenal atau mengetahui nama-nama daripada Islam itu sendiri. Memberi nama yang baik kepada anak, sesuai dengan permohonan kita kepada Allah, seperti tertera dalam do'a yang berasal daripada ayat Al-Qur'an di atas. Ini sebagai langkah usaha kerana nama merupakan panggilan dan seruan iaitu bermaksud do'a yang sering kita laungkan panggilan buat anak-anak kita.

Kewajipan yang ke-empat mengaqiqahkan anak sebagai ungkapan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T. Dua ekor kambing kalau mendapat anak lelaki, seekor kambing kalau anak perempuan. Aqiqah tidak terikat oleh waktu, berbeza dengan ibadah Qurban. Aqiqah boleh dilakukan bila-bila saja, asal anaknya belum akil baliqh. Memang utama jika kita lakukan di masa kelahiran iaitu hari ke-tujuh. Kalau kita mendidik anak dimulai dengan cara-cara seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W., insya-Allah kita digolongkan sebagai orang yang selalu bersyukur. Iman itu kata Nabi ianya memiliki dua sisi. Sisi yang pertama ialah sabar dan sisi yang kedua ialah syukur.

Malah bukan saja ia mensyukuri anak kerana ia baru lahir tetapi mensyukuri nikmat yang lebih jauh dan panjang lagi, iaitu rezeki, usaha dan lain-lain. Hakikat syukur itu kalau menurut Imam Ghazali ialah sekiranya mahu melihat orang yang selalu bersyukur itu memiliki tiga syarat.

Pertama, dia mengenal apakah itu nikmat, ertinya : yakin nikmat itu datangnya daripada Allah S.W.T bukan daripada yang lainnya.

Kedua, dia mengetahui manfaat nikmat itu sendiri, kita sering lupa akan kemanfaatan nikmat.

Kita tidak selalu ingat...
Nikmat mata untuk apa?
Nikmat telinga untuk apa?
Nikmat memiliki gigi untuk apa?

Jarang sekali kita menyedari kemanfaatan pemberian-pemberian Allah S.W.T. yang sangat berharga dan tak dapat ditukargantikan itu. Kita selalu akan ingat apabila sebahagian kecil daripada pemberian-pemberian Allah itu sudah berkurang fungsinya kerana terkena penyakit atau mengalami gangguan.

Yang ketiga, orang menggunakan nikmat itu sesuai dengan kehendak yang memberi nikmat. Ini yang sering dilupakan dan tidak dipedulikan oleh manusia kerana umumnya manusia itu menggunakan nikmat Allah S.W.T. kepada tujuan yang tidak sesuai dengan kehendak-Nya. Seharusnya semua pemberian Allah S.W.T. ini digunakan sesuai dengan kehendak-Nya. Begitulah juga apabila memperoleh rezeki, maka gunakanlah sesuai dengan kehendak Allah S.W.T.

Kembali kepada do'a yang kedua iaitu untuk dapat menjalankan kewajipan solat ini. Maka kewajipan di masa kanak-kanak, sepatutnya kita mampu melihat berilmunya anak-anak itu adalah disebabkan ilmu yang sering dipertontonkan kepadanya daripada perbuatan-perbuatan kita sebagai ibubapa.

Jadi dalam hal ini orang tua punyai kewajipan menyekolahkan anaknya. Kata Nabi Muhammad S.A.W., tidak ada yang paling utama pemberian orang tua kepada anaknya selain pelajaran akhlak yang baik sejak dia masih kecil. Pendidikan lain, ajarilah anak kamu tentang solat sejak umurnya tujuh tahun. Petunjuk mendidik anak ini sesuai melalui do'a di atas tadi agar kita memperolehi zuriat keturunan yang baik.

Cara mengajari anak mengerjakan solat dengan baik, sesuai dengan do'a di atas. Apa tidaknya dengan permulaan daripada perbuatan kedua orang tuanyalah, maka barulah anak tadi mengikuti apa yang diperbuatkan oleh kedua orang tua mereka. Jadi kalau kita menyuruh anak bersolat, maka semestinyalah kita sebagai orang tua perlu mendahulukan dalam mengerjakan solat itu. Barulah kita mampu menyuruh anak-anak kita bersolat. Sekiranya ingin menyuruh anak mengaji, mestilah orang tuanya terlebih dahulu mengaji.

Biasanya anak yang berumur tujuh tahun ini, mereka akan mengambil apa yang dilihat dan didengari oleh mereka seterusnya akan diikutinya. Apa yang dilihatnya akan terus disimpannya, malah akan diikutinya dengan penuh semangat. Dalam hal pelaksanaan beribadah kepada Allah S.W.T. ini, anak umur tujuh tahun kalau melihat ayah dan ibunya mengerjakan solat atau membaca Al-Qur'an, dia akan mengikuti apa yang dikerjakan oleh orang tuanya. Jadi dengan anak kecil tidak perlu menggunakan dalil-dalil.

Dalam Tafsir Ibnu Katsir dijelaskan metode mengajar ada tiga.
1) Pertama, untuk mereka yang pintar iaitu pengajarannya dengan "bil hikmah". Iaitu dengan dalil.
2) Kedua, buat mereka yang sedang. Maka kita mestilah melalui pengajaran yang baik.
3) Yang ketiga, apabila bersama dengan anak-anak yang masih kosong ibarat kain putih. Maka kita mestilah bermujahadah dengan baik, iaitu : lebih banyak perbuatan seimbang dengan ucapan. Berikan contoh kepada mereka model begini dan begini. Jangan menggunakan dalil kerana mereka sudah tentu belum mengerti tentang dalil.

Mungkin akan menimbulkan salah faham atas disebabkan oleh gara-gara dalil yang diberikan. Oleh itu, kepada mereka seperti ini maka yang paling tepat adalah memperlihatkan banyak contoh amal yang baik (sifat mahmudah) agar ditiru dan diikuti. Inilah antara lain bentuk-bentuk usaha mendidik anak agar kita melahirkan zuriat keturunan yang baik, sesuai permintaan dan do'a kita kepada Allah S.W.T. sebagaimana yang tercantum di dalam tiga jenis do'a yang perlu menjadi ungkapan dan permohonan yang kita panjatkan setiap hari.

AMALKAN IA DAN LAZIMKANLAH DI DALAM DOA YANG KITA PANJATKAN KEPADA ALLAH!!!!.......

Hikmah Dalam Berbicara


Alhamdulillah, anjang akan menitipkan lagi bicara kali ini berkaitan dengan bahaya lisan sekiranya kita tidak pandai mengendalikan dan menyalahgunakannya. Perlulah diingat bahawa perkataan daripada seseorang itu menunjukkan cerminan hati nuraninya. Cubalah hayati dan jadikan sebagai rujukan dalam berda'wah dengan selalu mendahulukan Kalamullah Ta'ala dan hadis Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Samit bin 'Ajalan Rahmatullahu 'Alaihi berkata dalam Jami'ul 'Ulum Wal Hikam halaman 135 berkata:

ياَ بْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا سَكَتَّ فَأَنْتَ سَالِمٌ فَإِذَا تَكَلَّمْتَ فَخُذْ خَذْرَكَ إِمَّا لَكَ وَإِمَّا عَلَيْكَ

Artinya: Wahai anak Adam, sesungguhnya selama engkau berdiam diri, maka engkau akan selamat, (kerana itu) jika engkau berbicara maka berhati-hatilah kerana perkataan itu akan menjadi penolong bagimu atau hukuman bagimu.

Sering kali kita mendengar orang mengatakan hendaklah berdakwah dengan cara berhikmah. Mereka berdalilkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

" Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan dengan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl, ayat 125).

Ayat ini mengandungi petunjuk bagi para rasul dan pendakwah bagaimana cara menyampaikan dakwah kepada manusia yang bermacam-macam jenis itu. Para pendakwah akan menghadapi pelbagai golongan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, ilmu dan perangai.

Kepelbagaian jenis ini harus dihadapi dengan cara yang sesuai dengan tahap kecerdasan, sepadan dengan iklim budaya fikirnya dan tabiat masing-masing. Ini merupakan dasar-dasar dakwah yang telah digariskan oleh ajaran Islam iaitu mengajak manusia meniti jalan kebenaran yang diperintahkan oleh Allah dengan jalan dakwah terbaik yang sesuai dengan kondisi manusia. Ajaklah kaum cendekiawan yang memiliki pengetahuan tinggi untuk berdialog dengan kata-kata
bijak sesuai dengan tingkat kepandaian mereka. Terhadap orang awam, ajaklah mereka dengan memberi nasihat dan perumpamaan yang sesuai dengan taraf mereka sehingga mereka sampai kepada kebenaran.

Debatlah dengan ahli kitab yang menganut agama-agama terdahulu dengan logika dan retorika yang halus, melalui pendekatan yang baik, lepas dari kekerasan agar mereka merasai puas dan menerima dengan lapang dada. Itulah metode berdakwah yang benar kepada agama Allah sesuai dengan kecenderungan setiap manusia.

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari ayat di atas bahawa seorang pendakwah akan menghadapi tiga jenis manusia iaitu :

1) golongan cendekiawan yang dapat berfikir secara kritis dan mendalam, cepat dapat menangkap sesuatu persoalan. Mereka ini harus didakwah dengan berhikmah, iaitu dengan alasan, dalil dan hujah yang dapat diterima oleh kekuatan akal mereka.

2) Kedua adalah golongan orang awam yang kebanyakkannya belum dapat berfikir secara kritis,
belum dapat menangkap pengertian yang tinggi-tinggi. Mereka hendaklah didakwah dengan nasihat dan pengajaran yang baik iaitu melalui pendidikan yang baik dan mudah difahami.

3) Ketiga adalah golongan yang tingkat kecerdasannya di antara yang tersebut di atas. Mereka ini hendaklah didakwah dengan bertukar-tukar pandangan dan fikiran yang boleh mendorong untuk berfikir secara sihat dalam mencari kebenaran.

Oleh itu, dakwah yang berkesan adalah mengikut kondisi orang yang didakwahnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“ Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing”
(Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun begitu Mohd. Nasir dalam bukunya Fiqh Ad-Dakwah menyebutkan bahawa hikmah itu lebih dari semata-mata ilmu. Ia merupakan ilmu yang sihat, yang sudah dicernakan; ilmu yang padu dengan rasa-periksa, sehingga menjadi daya penggerak melakukan sesuatu yang bermanfaat lagi berguna. Kalau dibawa kepada bidang dakwah ia bermaksud melakukan sesuatu tindakan yang berguna dan efektif.

Inilah yang lebih benar kepada memahamkan maksud hikmah dalam erti kata yang lebih luas daripada membatasi erti hikmah kepada alat atau cara menyampaikan dakwah kepada golongan cendekiawan.

Oleh itu, hikmah dalam bidang dakwah diperlukan dalam semua golongan, baik golongan cendekiawan, orang awam atau golongan yang suka bersoal jawab dan berdebat. Perkara ini membawa erti bahawa hikmah itu meliputi cara atau taktik malahan teknik berdakwah yang diperlukan dalam menghadapi golongan tersebut. Dalam Bahasa Melayu, hikmah membawa erti kepandaian dan kebijaksanaan.

Di dalam Al-Quran hikmah disifatkan sebagai anugerah Allah yang paling berharga kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud :

“Dia (Allah) mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa diberi hikmah, maka sesungguhnya dia telah memperoleh kebaikan yang amat besar. ”
(al-Baqarah, ayat 269)

Menurut Al-Quran lagi semua nabi telah diajar hikmah oleh Allah S.W.T. Keistimewaan hikmah yang dimiliki oleh para nabi inilah yang menyebabkan mereka yang paling istimewa dan yang paling berilmu. Hadis nabi juga menyebutkan bahawa hikmah merupakan barang mukmin yang hilang.

Ertinya manusia yang betul-betul layak untuk memiliki hikmah adalah daripada kalangan orang yang beriman. Nabi juga menasihatkan orang mukmin supaya mengambil hikmah di mana-mana sahaja hikmah itu ditemui kerana hikmah itu adalah barang mukmin yang hilang.

Dalam konteks dakwah, Allah S.W.T. telah menjelaskan hikmah dalam beberapa makna mengikut kondisi keadaan yang berlaku. Antaranya hikmah dalam erti kemampuan memilih saat bila harus berbicara dan bila harus diam. Para pendakwah seharusnya mengetahui bilakah saat dia harus berbicara dalam menyampaikan dakwah agar dakwahnya mudah diterima.

Hikmah dalam erti memilih dan menyusun kata-kata. Seorang pendakwah perlu menggunakan bahasa yang baik, tepat dan padat. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berkatakanlah dengan kata-kata yang tepat.”
(al-Ahzab, ayat 70)

Para ulama' menyebutkan qaulan sadida dengan kata –kata yang lurus, kata-kata yang benar dan kata-kata yang tepat iaitu berbicara dengan penuh kejujuran kerana di situlah terletak unsur segala kebahagiaan dan pangkal dari segala kesempurnaan kerana yang demikian itu berasal dari kemurnian hati.

Islam menyarankan supaya pendakwah berhikmah dalam cara perpisahan supaya perpisahan itu benar-benar memberi kesan dalam hatinya atau menjauhi mereka dengan cara terbaik. Dalam hal demikian, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

“ dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.”
(al-Muzammil, ayat 10)

Ayat ini menjelaskan bahawa pendakwah tidak perlu bersusah hati dan sesak nafas dengan tingkah laku yang bengis dan ucapan-ucapan mereka yang kasar. Berpisahlah dengan mereka dengan tingkah laku yang memperlihatkan budi pekerti yang tinggi dan akhlak yang mulia.

Apabila berlakunya sesuatu perdebatan dan diskusi hendaklah berakhir dengan cara terbaik supaya hubungan dakwah tetap terjalin jangan ditutup salurannya untuk menyambung pada suatu saat yang lebih sesuai. Firman Allah yang bermaksud :

“ Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka dan berikanlah mereka pelajaran dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berkesan kepada jiwa mereka.”
(al-Nisa’ , ayat 63)

Allah telah merakamkan kisah nabi Musa berdialog dengan kaumnya yang menyembah Firaun. Firman Allah yang bermaksud :

“ Wahai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan tetapi kamu menyeru aku ke neraka. Kamu menyeru aku supaya kafir kepada Allah dan mempersekutukan-Nya dengan apa yang tidak aku ketahui padahal aku menyeru kamu beriman kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Sudah pasti bahawa apa yang kamu seru supaya aku beriman kepadanya tidak dapat memperkenankan seruan apa-apapun baik di dunia mahupun di
akhirat. Dan sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka. Kelak kamu akan ingat kepada apa yang kukatakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.”
(al-Mukmin, ayat 41-44)

Ini merupakan dialog antara nabi Musa yang menyeru ke arah kebaikan dan keselamatan sementara kaum Firaun menyeru ke arah syirik kepada Allah. Akhirnya nabi Musa mengingatkan mereka bahawa pasti mereka akan mengetahui kebenaran apa yang ia perkatakan dan berlakunya perpisahan dengan kaumnya dengan cara terbaik. Ini juga termasuk
dalam berhikmah dalam berdakwah. Hikmah dalam berdakwah juga bermaksud dakwah harus mengikut keutamaan dari segi kerja-kerja yang akan dilakukan.Perlu memfokuskan kepada sesuatu isu dan aktiviti yang dapat memberi sumbangan kepada umat Islam sehingga dakwah dapat tampil di tengah masyarakat dengan kehadiran yang dinanti-nantikan.

Misalnya keutamaan mendidik umat adalah satu keutamaan kepada gerakan dakwah. Keutamaan lainnya adalah melihat isu semasa dan mencari jalan keluar yang dapat mengembangkan pengaruh di tengah masyarakat misalnya kerja dakwah dalam mengatasi kemiskinan, hak-hak asasi manusia dan agenda penyatuan ummah.

Hikmah dalam berdakwah juga bererti dakwah harus sesuai dengan realiti setempat. Dakwah mesti membumi di tempat mana ia berpijak, bukan melangit sehingga tidak dapat diamalkan di dalam kehidupan manusia.

Nilailah Taqwa Kita.. Perbaharuilah Ia...


Sahabat-sahabat yang Anjang hormati kerana Allah,

Anjang kembali apabila melihat suasana hari ini makin kacau dengan keadaan masyarakat yang saling menyalahkan yang lain. Maka di sini anjang mengajak semua agar sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya..hanya ini dan anjang tegaskan lagi kata-kata anjang, hanya ini yang anjang sarankan kepada semua yang membaca di sini. Mudah-mudahan kita mendapat kebahagiaan di dunia malahan juga di akhirat.

Sahabat-sahabat yang berbahagia,

Islam adalah Agama yang syumul. Di mana Islam mengajar dan menuntut kita agar menjadi hamba Allah yang bertakwa. Islam merupakan satu landasan hidup. Beramal dengan Islam bererti melahirkan individu yang mencerminkan aqidah dan akhlak Islam, melahirkan umat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup yang dibawakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. melalui Islam sebagai ad-din. Melaksanakan Islam sebagai syariat perundangan dan peraturan hidup serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan, adalah suatu intipati kepada matlamat takwa itu sendiri.

Seluruh amalan yang berpandukan takwa ini, merupakan suatu tuntutan daripada syara’, dan ia menjadi kewajipan ke atas setiap diri individu Muslim sehinggalah tertegaknya satu umat yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum Muslimim sepenuhnya. Maka di sinilah sebenarnya Islam mengiktiraf insan yang bertakwa itu sebagai insan yang cemerlang. Firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 40-41 yang maksudnya :

" Dan sesungguhnya Allah akan menolong agamanya (Agama Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha berkuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah..

Umat yang terbilang adalah terhasil dari insan-insan yang cemerlang. Manusia atau insan yang cemerlang adalah diukur dari beberapa sudut, di antaranya:

1. Cemerlang Aqidah Dan Ibadah.

Beriman kepada Allah akan melahirkan individu Muslim yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan amanah demi kebaikan dunia dan akhirat. Di dalam iman itu terangkum unsur-unsur utama iaitu ilmu pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang utuh dan keyakinan yang kukuh. Ketiga-tiga unsur inilah yang membentuk iman yang teguh, seterusnya menjadi benteng daripada melakukan kejahatan dan maksiat. Beriman tanpa ketaatan melalui amal ibadah adalah sia-sia. Insan yang cemerlang aqidah dan ibadahnya akan tergambar melalui amal perbuatan sehariannya, bahkan inilah tujuan Allah S.W.T. menjadikan manusia itu untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah di dalam surah az-Zaariyat ayat 56, yang maksudnya :

" Dan (ingatlah) tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku."

2. Cemerlang Fizikal Atau Jasmani.

Kita dituntut supaya menjaga kesihatan tubuh badan serta akal kerana dengan tubuh badan yang sihat, seseorang itu dapat bekerja mencari rezeki yang halal lagi baik bagi diri dan keluarga. Selain itu, dengan tubuh badan yang kuat dan sihat, kita dapat mempertahankan diri dari diceroboh maruah dan harga diri, menjaga keselamatan, keamanan serta kedaulatan negara dari diganggu gugat dan dicemari. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim :
" Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari seorang mukmin yang lemah."

3. Cemerlang Akal Dan Emosi.

Begitu juga, kita umat Islam dituntut supaya cemerlang akal dan emosi. Tuntutan menjaga kesihatan tubuh badan dan menjaga akal adalah berkait rapat, kerana akal yang sejahtera terletak di dalam tubuh badan yang sihat. Ini dipetik dari kata-kata ulama:

"Akal yang sejahtera ada pada tubuh badan yang sihat"

Oleh sebab itu, agama kita iaitu Islam sangat menitikberatkan soal makanan halal lagi baik. Maka dengan makanan yang halal lagi baik inilah yang membina tubuh badan yang sihat serta akal yang cerdas. Untuk menjadikan akal berfungsi dengan cemerlang, maka tidak ada jalan lain iaitu dengan belajar bersungguh-sungguh dan menimba ilmu pengetahuan sehingga mencapai tahap kepakaran atau mahir dalam apa-apa bidang sekalipun, baik dari sudut duniawi mahupun ukhrawi.

Justeru manusia yang berilmu, cemerlang akal, cemerlang rohani dan jasmani akan dapat melahirkan buah fikiran yang bernas, idea yang mantap, dan yang paling penting dapat mengawal emosi atau perasaan dalam apa keadaan sekalipun, lebih-lebih lagi dalam keadaan gawat, malah dalam masa yang sama mampu berfikir secara matang mencari jalan penyelesaian.

Sahabat-sahabatku yang dirahmati Allah,

Wajar kita melihat sepintas lalu, sirah baginda Rasulullah S.A.W. dan para sahabat radhiyallahu 'anhum, baik dari golongan muhajirin mahupun golongan Ansar, mereka berjuang bermati-matian berkorban jiwa raga, harta benda dan anak pinak semata-mata demi memartabatkan Islam agama tercinta. Islam yang dahulunya dagang, maka insan-insan cemerlang (para sahabat) yang dididik oleh Rasulullah S.A.W, telah berjaya membina suatu ketamadunan yang sungguh luar biasa, mencakupi bidang peradaban manusia, sastera, perubatan, perundangan, sains, matematik, astronomi, botani dan sebagainya.

Bukan murah pengorbanan yang ditagih, tidak ternilai keringat, air mata dan darah yang gugur membasahi bumi, hasilnya sedang kita nikmati ini adalah di atas jasa-jasa serta pengorbanan mereka yang terpahat dalam ingatan seluruh umat Islam dan lipatan sejarah silam.

Sahabat-sahabatku yang berbahagia,

Sesungguhnya, telah terbukti bahawa generasi para sahabat dan zaman beberapa abad selepas itu merupakan generasi terbilang yang seharusnya kita contohi dan kita teladani. Mereka itu bukan sahaja cemerlang aqidah, cemerlang dalam penerokaan ilmu, cemerlang rohani dan jasmani, bahkan mereka itulah yang telah mencetuskan ketamadunan dan teknologi moden yang ada pada hari ini. Di antara pengajaran yang boleh diambil di dalam usaha kita mengejar impian untuk menjadi umat terbilang ialah:

1. Kita hendaklah terlebih dahulu membangunkan modal insan sebagai teras yang mendasari peradaban manusia itu sendiri.

2. Kita perlu sedar bahawa kekuatan umat Islam tidak hanya bergantung kepada keupayaan fizikal dan kelengkapan material semata-mata, bahkan kekuatan yang sebenar adalah terhasil dari gabungan antara keupayaan fizikal dan material serta dilengkapi kemantapan rohani.

3. Untuk menjadi umat terbilang, suatu bangsa itu hedaklah sentiasa menjunjung ketinggian akhlak. Seorang penyair Mesir Ahmad Syauqi Bek pernah berkata di dalam syairnya yang ertinya :

" Kemuliaan atau maruah suatu bangsa itu terletak pada ketinggian akhlaknya, jika hilang akhlaknya maka hilanglah maruah bangsa itu".

4. Untuk menjadi umat terbilang, kita hedaklah bersikap terbuka dan sanggup berhijrah dengan mempelajari apa jua bidang pengetahuan, pengalaman serta pencapaian negara-negara luar yang lebih maju di atas kejayaan yang telah mereka capai. Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya :

" Hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) itu hilang dari genggaman orang mukmin, kutiplah ia di mana sahaja ia didapati."

5. Hendaklah mempunyai daya saing dan daya juang yang tinggi dalam melakukan sesuatu usaha, kajian atau ciptaan baru tanpa mengenal erti jemu dan letih walaupun memakan masa yang lama.

6. Kita juga hedaklah berkongsi kemajuan yang telah kita capai dengan mana-mana pihak yang memerlukan pertolongan dari sudut kepakaran atau sebagainya, sesuai dengan permintaan dan keupayaan mereka, kerana dari situlah negara kita akan dikenali dan dihormati, seterusnya menjadi contoh kepada negara lain.

" Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Menjadi hamba Allah Yang Ikhlas Bersyukur...

Semaklah rahsia-rahsia kedahsyatan ibadah seharian kerana di sana terdapat rawatan bagi kesihatan dari bangun tidur sehinggalah merebahkan kembali diri di tempat pembaringan...

dan bersiaplah untuk berkata dengan seyakinnya :

"..sejak dahulu beginilah ISLAM.. manfaatnya tiada akhirnya..."

- kesemua itu adalah merupakan gaya hidup sihat Rasulullah S.A.W. ternukil dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis baginda S.A,W. terkumpul dalam kitab "Al-Adzkar Imam Nawawi" dan kitab " At-Tib An-Nabawi". Daripada mula proses bangun daripada tidur untuk membersihkan diri iaitu mengambil wudhu', mandi, bersolat dan sebagainya sehinggalah kepada kembali untuk tidur.

Inilah sekelumit perihidup sihat Rasulullah S.A.W. yang ideal dan mampu kita ikuti dengan istiqomah. Terlihat sangat beratkah??? Insya-Allah tidak.

Jadi bacalah kitab "Al-Adzkar" dan "At-Tib An-Nabawi"..

"SELAMAT MEMBACA DAN MENGHAYATINYA...YANG PENTING AMALKAN DALAM KEHIDUPAN SEHARI-HARI...."

Ibu Yang Pertama Tapi Ayah Bukan Yang Kedua


Bercerita tentang ibu dan ayah, macam-macam cerita boleh saya kisahkan. Masing-masing ada peranannya. Apabila bercerita tentang kasih, tentang sayang, ayah jarang disebut-sebutkan.

Cuba kita teliti lagu-lagu yang ada sama ada lagu balada atau nasyid, amat sukar kita menemui lagu yang berbicara tentang ayah. Kalau di televisyen sekalipun, jarang sangat diraikan hari ayah secara ekslusif, tetapi apabila hari ibu, macam-macam tayangan sempena meraikan ibu. Tidak pentingkah seorang ayah atau siapakah ayah sebenarnya kepada kita?

Saya pernah bertanyakan sahabat-sahabat saya..saiful dan mad sebelum ini tentang erti kasih dan sayang seorang ayah terhadap mereka bila duduk jauh diperantauan orang. Sejauh mana kepentingan ayah untuk mereka atau dalam erti kata mudah, waktu bilakah ayah diperlukan dalam kehidupan mereka?

Rata-rata sahabat saya menjawab kasih sayang mereka untuk ayah, tidak berbelah bagi, tetapi apa yang boleh saya simpulkan bahawa rata-rata daripada mereka sangat memerlukan ayah apabila dalam kesusahan, apabila inginkan wang dan apabila memerlukan sesuatu untuk diri sendiri.

Bagi mereka, ayah bukan tempat mereka meluahkan masalah. Mungkin benar mungkin juga tidak. Seorang sahabat saya berceritakan tentang ibubapanya. Katanya, dia kurang rapat dengan ibu berbanding ayah kerana ibunya garang dan ayahnya sangat penyayang, memahami dan selalu memberikannnya semangat. Baginya, ayahnya sangat istimewa. Apapun terpulang kepada setiap individu untuk menilai dan menghargai ayahanda dengan cara apa dengan syarat, jangan dilupai dan jangan dibandingi jasa ayah.

Saya percaya ramai akan mendahulukan ibu dalam setiap apa jua perkara, walhal untuk meminta wang daripada ayah sekalipun, ibu sebagai tawassulnya. Percaya atau tidak kebanyakan kita memang begitu. Namun tidak dinafikan masih ada yang mendahului ayah dalam hal-hal yang tertentu dan dalam bahasa mudahnya menyamakan hak ayah dan ibu.

Bahz bin Hakim dari ayahnya dari neneknya berkata: "Saya telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, siapakah harus saya taat terlebih dahulu?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu." Kemudian siapakah? tanya saya lagi. Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu." Saya bertanya sekali lagi dan Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ibumu." "Kemudian siapa?" tanya saya lagi." Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ayahmu, kemudian yang terdekat dan yang dari kerabat."


Ayah; insan istimewa yang jarang kita sedari

Sebenarnya sedar atau tidak, ayah sangat penting dalam kehidupan kita. Percayalah tanpa seorang ayah, kita sudah tentu tiada di bumi ini. Ayah insan istimewa yang jarang kita sedari kepentingannya.

IBu.. Ibu... Ibu.. memang ibu ialah insan yang sentiasa penting dalam kehidupan kita. Kalau tanpa ayah kita masih boleh tabah dan gembira hidup di dunia ini, tapi tanpa kasihnya ibu, hidup kita terasa sunyi dan kosong. Ayah bukanlah insan yang melahirkan kita. Allah telah menetapkan si ibu adalah insan yang sesuai untuk melahirkan manakala si ayah dengan kudrat yang dianugerahi Allah padanya lebih bersifat kepada berkorban, mencari nafkah dan melindungi keluarga. Sedar atau tidak, jasa ayah tidak kurang hebat berbanding dengan ibu kita.

Cubalah kita teliti ayah kita bagi yang masih mempunyai ayah.

Ayah adalah insan kental yang tabah dan sabar mencari sesuap nasi dan keperluan untuk keluarganya. Ayah sekalipun penat tetap tabah dan teguh bekerja. Ayah jika dibandingkan, ketelitian terhadap anak-anak sedikit kurang jika dibanding dengan ibu.

Namun ayah sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk kita. Apa yang perlu kita sedar, ayah juga ada hati dan perasaan untuk meraih setitik perhatian keluarga. Ayah juga sebenarnya mengharapkan perhatian seperti mana yang ibu-ibu perolehi.


Ya..saya patut bersyukur dengan dilahirkan dalam keluarga saya sekarang ini..
Di dalam keluarga ini, saya mendapat kasih sayang yang tak berbelah bagi..

Terima kasih mak..
Terima kasih ayah..


Pesanku kepada kalian semua termasuk juga diriku sendiri..


Rendahkan diri kita kepada kedua ibubapa kita serendah-rendahnya dan doakanlah akan kedua-duanya:


"Ya Tuhan, Kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana keduanya telah memeliharaku dimasa kecil. "
(Al Isra' :24)

Peringatan Buat Diriku

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam :
خيركم خيركم لأهله وانا خيركم لأهلى
“ Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap ahli keluarganya dan aku merupakan orang yang terbaik daripada kamu terhadap keluarga” .

(Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 3892 dan Ibn Hibban).


Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”

Ayat di atas merupakan siri sifat mulia yang Allah SWT senaraikan di dalam surah al-Furqan sebagai sifat “Ibaad ar-Rahmaan” atau “hamba-hamba bagi Tuhan yang Pengasih”. Ia meliputi sifat-sifat mukmin secara individu, mukmin sebagai da’ie, mukmin yang mentaati Allah sesempurnanya dan mukmin yang mencegah dirinya dari sifat-sifat keji dan perlakuan jenayah yang mencela Tuhan lagi mendatangkan mudarat kepada sesama manusia.

Namun, salah satu daripada sifat keutamaan hamba-hamba Allah ini, adalah sifat dan peranannya sebagai pemimpin kepada keluarga. Bukan sahaja beliau berusaha gigih membentuk diri sebagai seorang mukmin yang sejati, beliau juga tidak lupa untuk membawa keluarganya ke gerbang kejayaan yang hakiki. Ini adalah sifat sebenar bagi orang yang berjaya, kerana mereka yang berjaya bukanlah dari golongan yang berjaya sendirian. Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersama-sama dengannya. Dan sudah tentulah orang lain yang paling utama untuk dibawa bersama ke mercu kejayaan adalah isteri dan anak-anak.

Walau bagaimana pun, doa seorang mukmin yang bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya ini, mestilah diteliti dengan cermat kerana terdapat banyak sentuhan halus al-Quran yang wajar dijadikan bahan penitipan tarbiah.

Mungkin bagi seorang suami dan bapa yang ‘biasa’, doanya bersahaja. Dia akan memohon kepada Allah SWT supaya menjadikan isteri dan anak-anaknya sebagai orang-orang yang bertaqwa. Mungkin beliau akan berkata “Ya Allah, jadikanlah diriku, isteri dan anak-anakku sebagai orang yang bertaqwa”.

Namun kehalusan al-Quran (Lathaa’if Qur’aaniyyah) mengolah doa seorang suami dan bapa yang bersifat dengan sifat Ibaad ar-Rahmaan dengan cara yang lebih teliti. Renungi kembali ayat al-Quran tersebut:





“Serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”


Doa tersebut menggunakan konsep Imam dan Makmum di dalam pengendalian peranan suami dan bapa. Ia lebih kukuh kepada mendatangkan makna seorang mukmin yang sejati kerana doa ini adalah doa yang di dalamnya ada amali. Ia bukan doa yang miskin usaha, sebaliknya doa yang disertai dengan pengorbanan, kesusahan dan ikhtiar. Mana mungkin begitu mudah kita memohon agar Allah mengurniakan ‘penyejuk mata’ melalui isteri dan anak-anak tanpa terlebih dahulu kita berikhtiar, sebagai memenuhi Sunnatullah yang memberi kepada yang berusaha?

Sesungguhnya doa ini amat besar maknanya. Ketika menadah tangan memohon hidayah dari Allah, mohonlah dengan sedar supaya Allah menjadikan kita terlebih dahulu sebagai insan paling bertaqwa, kerana yang paling bertaqwa itulah sahaja yang layak menjadi imam bagi makmum yang bertaqwa.

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu. Di atasnya ada malaikat yang amat keras dan mengerikan. Mereka tidak sekali-kali membantah apa sahaja yang Allah perintahkan, bahkan mereka terus melaksanakan apa yang diperintah (oleh Allah)” [At-Tahrim 66 : 6]

Siapakah Kita.....??? Ikhlaskah???


Gambar di atas ini hanyalah contoh untuk membayangkan kepada kita semua di manakah nilainya kita di hadapan Pencipta???


Wahai Tuhanku Yang Esa, aku tidak layak ke Syurga-Mu
Namun aku tak sanggup ke Neraka-Mu
Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku
Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dosa-dosa besar.

Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai
Terimalah taubatku Wahai Tuhan Yang Maha Tinggi
Usiaku berkurangan setiap hari
Dosaku pula bertambah setiap masa.

Tuhanku, hamba-Mu yang kerap kali berbuat maksiat telah datang kepada-Mu
Senantiasa berbuat dosa, dan sesungguhnya telah berdo’a kepada-Mu
Jika Kau ampunkan, maka itu adalah hak-Mu
Dan jika Kau tinggalkan, maka siapa lagi yang hendak aku harapkan seperti-Mu.

Kadang-kadang kita lupa...lupa bahawa diri kita ini adalah manusia yang diciptakan Tuhan sebagai hamba-Nya untuk menjadi khalifah kepada segala makhluk di dunia ini...tapi kita lalai dan leka hanyut di dalam peredaran zaman tanpa kita menyedari bahawa kita telah jauh daripada redha dan rahmat Tuhan.

Sebaliknya kita sibuk mengejar harta dunia..sedangkan Tuhan telah menyiapkan dunia selengkap-lengkapnya...TANPA SEMPADAN. Tanpa perlu diubahsuai demi apa yang dikatakan sebagai TEKNOLOGI...memodenkan kehidupan manusia..Kita telah hanyut di dalam dunia yang kita cipta sendiri...

Saya berkata sedemikian bukanlah bermaksud saya menolak kemajuan tetapi biarlah kemajuan itu didasari oleh SYARI'AT. Apabila segala perbuatan dan tindakan kita itu telah jauh dari syari'at ALLAH S.W.T. Maka kita akan hanyut di sebalik tembok-tembok batu yang kita bina sendiri yang telah menghalang pemandangan kita kepada alam ciptaan Allah. Masa tetap beredar dan sejarah membuktikan tanpa teknologi, wujud beberapa tamadun yang mahsyur dari segi pengkayaan ilmiah, sosial dan ekonomi sehingga kadang-kadang diluar jangkaan...oleh itu, renungilah...siapa kita???

Jangan kita pandang kekurangan, keburukkan dan kecacatan orang lain tapi kita pandang diri kita sendiri, tunding jari ke muka sendiri terlebih dahulu daripada menunding jari ke muka orang lain..kita hanya tahu menunding satu jari kepada orang lain sedangkan empat jari lagi telah menunding ke arah diri sendiri..jadi, apakah kita sempurna zahir dan batin???.

Alangkah ruginya mempunyai sifat tercela ini, selalu menilai kelebihan diri sendiri daripada orang lain. BERAQALLAH untuk banyak BERFIKIR dan HATI banyak BERZIKIR.

Virus yang sedang teruk menular zaman ini adalah virus penyakit hati, walau dimana kita berada dan dengan siapa kita dampingi virus ini berlegar disekeliling kita. Punca dari virus ini adalah minda yang tak pernah berfikir kekurangan diri sendiri.

Kita harus mewujudkan rasa ikhlas dalam beribadah, sama ada solat, puasa, haji, dan sebagainya dengan cara yang benar, iaitu menyempurnakan segala syarat, rukun, sunnah, dan adab-adabnya.

Hal ini tidak akan mungkin dapat ditunaikan oleh seorang hamba kecuali jika saat pelaksanaan ibadah-ibadah tersebut dia penuhi dengan perasaan yang sangat kuat (menikmatinya dengan penuh khusyuk), juga dengan kesedaran penuh bahawa Allah senantiasa memantaunya hingga dia merasa bahawa dia sedang dilihat dan diperhatikan oleh Allah.

Seorang hamba haruslah merasakan bahawa Allah senantiasa memantaunya, kerana dengan inilah dia dapat menunaikan ibadah-ibadah tersebut dengan baik dan sempurna. Inilah maksud daripada sabda Rasulullah S.A.W yang berbunyi :

“Hendaklah kamu menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tak dapat melihat-Nya, maka ingatlah bahawa sesungguhnya Dia melihatmu.”

Maka, selain jenis ibadah yang saya sebutkan tadi, yang tidak kalah pentingnya adalah juga jenis ibadah lainnya seperti
jihad, hormat terhadap mukmin, mendidik anak, menyenangkan isteri, meniatkan setiap yang mubah untuk mendapat redha Allah.

Oleh sebab itulah, Rasulullah S.A.W. menghendaki umatnya senantiasa dalam keadaan seperti itu iaitu senantiasa sedar siapakah kita dan tujuan kita diciptakan jika kita ingin mewujudkan keikhlasan diri dalam beribadah.

Nilailah...siapakah kita di hadapan PENCIPTA???

Tazkirah...sebagai peringatan

“Bersempena dengan kedatangan hari sembilan (tasu’a) dan sepuluh (‘asyura) Muharram ini mengingatkan anjang tentang perkara yang disunatkan buat kita berpuasa pada hari-hari berkenaan. Sekurang-kurangnya berpuasalah pada sepuluh Muharram. Ini seperti yang ditunjukkan dalam hadis-hadis berikut;

عن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم صام يوم عاشوراء وأمر بصيامه. مُتَّفّقٌ عَلَيهِ

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).


عن أبي قتادة رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم سئل عن صيام يوم عاشوراء فقال: ((يكفر السنة الماضية)) رَوَاهُ مُسلِمٌ


Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)


وعن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُما قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم: ((لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع)) رَوَاهُ مُسلِمٌ

Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” (Riwayat. Muslim).


Semoga Allah merahmati kita semua dalam berlumba-lumba mendampingiNya..

Amin..

Tahun Baru Hijrah 1429

Sekarang kita sudah beberapa hari menjejakkan kaki ke tahun baru hijrah 1429. Masalahnya, adakah kita sedar ataupun masih tak sedar akan kehadiran tahun baru hijrah ini..

Di sini, anjang ingin menarik perhatian entum semua dengan satu pertanyaan..apakah kita semua benar-benar menghayati erti kata sebenar hijrah itu? Fikir-fikirlah sendiri..di masjid banyak mengisi program-program tertentu untuk sambutan ma'al hijrah ini..hari ini hari jumaat, anjang masih lagi mendengar perkataan hijrah daripada mulut Khatib..jadi betapa pentingnya hijrah itu..

Baiklah, anjang juga tak mahu terlepas pandang untuk menulis artikel pendek mengenai hijrah tahun ini..

Erti sebenar Hijrah dari segi bahasa adalah berpindah manakala dari segi istilah berpindah kepada yang baik dari yang buruk.

Namun orang lebih memandang maksud bahasa dari maksud istilah.Perjuangan hijrah tidak diterapkan kedalam hati sanubari insan yang hanya hidup berlatarkan pentas leka. Mereka terus bermimpi dalam mimpi ciptaan mereka.

Apakah pengisian kita pada tahun ini.?Apakah seimbang hal dunia akhirat yang kita lakukan pada tahun ini?Apakah sudah memadai amalan kita pada 1428 untuk memartabatkan kita semua sebagai muslim sejati?Apakah semua yang dilakukan pada 1428 kerana Allah?Apakah semua yang dilakukan berdasarkan syariat atau pun melalui pemikiran liberal semata-mata?

Walaupun kali ini merupakan Hijrah ke-1429 tetapi masih kita sedar perilaku sesetengah golongan masih lagi seperti zaman jahiliyah. Zaman di mana mereka bertindak menggunakan nafsu dan tidak berasaskan akal fikiran.

Walaupun Malaysia diisytihar sebagai negara Islam, tetapi pengisytiharan itu bagaikan tiada kesan sehingga sekarang.Masyarakat masih melakukan larangan Allah.Pihak tertentu mengambil kesempatan.Pihak tertentu juga menggunakan pangkat sebagai penyelesaian segala-galanya.

Berbalik tentang pengertian sebenar hijrah yang perlu hadir dalam perubahan diri individu yang bergelar muslim mukmin itu ialah daripada lima sudut penting :

Pertama : Peningkatan iman kita kepada Allah Taala
Kedua : Peningkatan dari sudut ilmu agama
Ketiga : Peningkatan dari sudut amal kebaikan dan ibadah yang ikhlas
Keempat : Perubahan nafsu ke arah kebaikan iaitu nasfu yang muthma'innah
Kelima : Perubahan akhlak, peribadi muslim yang kamil.

Jangan jadikan diri umat Islam yang jumlahnya ramai pada hari ini hanya seumpama buih-buih di lautan, tidak dapat berbuat apa-apa dan mudah diperkotak-katikkan oleh musuh, sesuai dengan peringatan daripada hadis Nabi saw.

Biarlah kita di antara umat Nabi Muhammad yang masih ada semangat pemuda-pemuda islam terdahulu yang telah beriman dengan sebenar-benar iman bangun untuk berjihad di jalan Allah demi mengembalikan keagungan Islam.

Dalam konteks yang lebih luas lagi, hijrah kita sekarang lebih membawa erti berpindah daripada kejahiliahan Barat kepada keIslaman yang sebenar, daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kesesatan kepada hidayah, daripada kekufuran nikmat kepada keimanan hakiki, daripada syirik kepada tauhid, daripada kebatilan kepada kebenaran, daripada kejahilan kepada keilmuan, dari pada kepalsuan kepada kebenaran, daripada kehinaan kepada kemuliaan, dan daripada kemungkaran kepada kemakrufan. Dengan kata lain, aspek hijrah yang penting ialah yang berasaskan ilmu agama yang mantap dan telus (ikhlas) semata-mata kerana Allah Taala.

"Maksud daripada sebuah hadis baginda S.A.W : Dari ‘Aisyah, beliau berkata : Rasulullah S.A.W bersabda :Tidak ada hijrah setelah penaklukan kota Mekkah, akan tetapi hijrah dari sudut jihad dan niat, dan jika kalian diminta untuk pergi berjihad maka pergilah"
[Dikeluarkan oleh al-Bukhari No. 2783 kitab al-Jihad wa as-siyar dan Muslim No. 1864 , kitab al-Imaarah]

Wallahua’lam

Bab Bersungguh-sungguh Mengerjakan Amalan...

Hadis ke-98 Kitab Riyadhus Solihin

Maksud hadis :

" Daripada Anas r.a. , daripada Nabi S.A.W. meriwayatkan apa yang diterangkan dalam hadis qudsi, { jika seseorang hamba menghampiri-KU sejengkal, maka AKU menghampirinya sehasta, jika dia menghampiri-KU sehasta maka AKU menghampirinya sedepa dan jika dia datang kepada-KU dengan keadaan berjalan maka AKU datang kepadanya dengan berlari } "

[ Hadis Riwayat Bukhori ]

Sahabat-sahabatku Fillah! Apabila kita renung sedalam-dalamnya kandungan hadis di atas..betapa kita sangat-sangat digalakkan untuk mencari keredhaan Allah..bukti galakkan itu ialah di mana Allah telah membuat bayangan betapa dekatnya diri-NYA dengan kita apabila kita ingin mendekati diri-NYA. Lalu, kita seharusnya mempertingkatkan amalan dari hari ke hari, dari masa ke masa dan dari baik kepada lebih baik seperti dinyatakan dalam maksud hadis di atas. Ingatlah! Ganjaran Allah akan ternanti buat kita di dunia yang kekal abadi ( iaitu negeri akhirat ) yang tidak dapat ditandingi oleh apa-apa jua yang kita dapati di dunia yang sementara ini.

Hadis ke-99 Kitab Riyadhus Solihin

Maksud Hadis :

" Daripada Abdullah bin Abbas r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. ada bersabda { dua jenis ni'mat yang kebanyakkan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan } "

[ Hadis Riwayat Bukhori ]

Ya Ashaabiy Al-Kiraam! Ingatlah selalu...Betapa pentingnya kita menjaga kesihatan tubuh badan yang mana kesihatan itu adalah satu ni'mat daripada Allah. Maka kita hendaklah juga menggunakan masa sihat itu dengan amalan kebaikan dan amalan soleh sebelum ditimpa sakit yang menyebabkan kita tak terdaya melakukan ibadah itu dengan sesempurnanya.

Malah Rasulullah memperingatkan kita supaya jangan mensia-siakan masa lapang yang ada dengan begitu sahaja. Masa lapang itu hendaklah diisi dengan melaksanakan semua perintah Allah demi merebut redha Allah yang berkekalan.

Sepatutnya kita memerhati, kedua-dua ni'mat ini..masa sihat dan masa lapang ini adalah ujian dan cubaan Allah buat kita semua. Oleh itu, hendaklah kita gunakan masa sihat dan masa lapang ini untuk memerangi hawa nafsu supaya kita tidak mensia-siakan kedua-dua ni'mat yang telah Allah berikan kepada kita ini.

Hadis ke-100 Kitab Riyadhus Solihin

Maksud Hadis :

" Daripada Aishah r.ah. bahawa Nabi S.A.W. bangun di waktu malam ( bersolat tahajjud ) sehingga bengkak kedua-dua kaki baginda. Lalu aku ( Aishah ) bertanya kepada baginda : kenapa engkau lakukan sebegini wahai Rasulullah?... Sesungguhnya Allah Taala telah mengampunkan dosa-dosamu yang telah lalu dan terkemudian. Jawab baginda S.A.W. kepada isterinya Saidatina Aishah : ( Wahai Aishah ) Tidakkah aku ini seorang hamba yang bersyukur? "

[ Muttafaqun 'alaih ]

Ingatlah sahabatku seISLAM! setiap daripada kita wajib berjuang melawan hawa nafsu dengan sentiasa beramal soleh untuk menjadi hamba Allah yang lebih diredhai dan lebih dicintai-NYA.

Maka dengan memperbanyakkan melakukan amal ibadah akan meletakkan kita dikalangan hamba-hamba-NYA yang sedikit. Kerana hamba-hamba-NYA yang tahu bersyukur itu sangat sedikit bilangannya. Sepatutnya kita berebut-rebut untuk mengucap syukur kepada Allah tanda betapa bersyukurnya kita dengan ni'mat pemberian Allah buat kita selama ini.

Pernah suatu ketika ada seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W. ketika dia sudah pun berada di zaman Saidina Umar Al-Khattab, semasa dia berdoa..dia memohon agar dijadikan dirinya di kalangan orang yang sedikit..dengan doanya : Ya Allah, Kau jadikan aku dikalangan orang yang sedikit. Maka pelik dan bertambah hairanlah Saidina Umar Al-Khattab mendengar doanya itu..lalu ditanya kepadanya : mengapa engkau memohon kepada Allah agar dijadikan engkau dikalangan orang yang sedikit..maka dijawab oleh sahabat baginda itu kepada Saidina Umar Al-Khattab : Bukankah aku ini ingin menjadi dikalangan hamba-hamba Allah yang bersyukur..bukankah hanya sedikit sahaja hamba-hamba-NYA yang tahu bersyukur?. Saidina Umar terpegun dengan jawapan sahabat itu.

Hadis ke-101 Kitab Riyadhus Solihin

Maksud Hadis :

" Daripada Aishah r.ah. katanya : Kebiasaan Rasulullah S.A.W. apabila masuk malam yang sepuluh terakhir ( malam yang ke-21 daripada bulan Ramadhan ) baginda akan menghidupkan malam tersebut ( dengan banginda memperbanyakkan amalannya ) , membangunkan ahli keluarganya serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah dan menjerut tali pinggangnya ( iaitu menjauhi perempuan ) .

[ Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim ]

Sahabat....Hadis ini juga meminta kita berjuang dengan bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu. Islam menggalakkan ahli keluarga turut sama beramal dengan bersungguh-sungguh semata-mata kerana mengharapkan ma'firah dan mardhotillah dengan mengerjakan amal-amal soleh di akhir bulan Ramadhan kerana di situlah letaknya satu malam yang sukar dicari ganti iaitu malam lailatul qadr. Di mana malam lailatul qadr ini datangnya hanya sekali pada setiap tahun yang silih bertukar ganti.


Hadis ke-102 Kitab Riyadhus Solihin

Maksud hadis :

" Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. ada bersabda : Orang mu'min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang mu'min yang lemah. Masing-masing ada mempunyai kebaikannya. Bersungguh-sungguhlah mengerjakan sesuatu yang berguna ( di dunia dan untuk bekalan ke akhirat ) , hendaklah selalu meminta pertolongan daripada Allah dan jangan berasa lemah iaitu dengan berputus asa dan merasa hampa. Jika engkau ditimpa sesuatu musibah janganlah engkau mengeluh dengan berkata : Andainya aku berbuat demikian tentu akan jadi begini dan begitu...akan tetapi katakanlah : ini takdir Allah S.W.T. dan Allah berbuat sekehendak-NYA. Sesungguhnya perkataan ' andainya ' hanya membuka jalan bagi syaitan untuk berbuat sesuatu " .

[ Hadis Riwayat Muslim ]

Sahabat! Ingatlah kepada hadis ini baik-baik...kita memang wajib berjuang untuk meningkatkan amal kebaikan dan membaik pulih keimanan kita kepada Allah S.W.T seikhlas yang mungkin. Hawa nafsu tak akan dapat di atasi dengan iman yang lemah kecuali sesudah iman itu menjadi kuat dan kental.

Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya mengerjakan sesuatu yang bermanfaat sama ada di dunia apatah lagi untuk bekalan ke negeri akhirat kelak.

Islam juga senantiasa menggalakkan umatnya meminta pertolongan Allah dan tidak dibenarkan sama sekali untuk mengeluh dan berputus asa . Oleh sebab itu, apabila kita menemui sesuatu kegagalan maka hendaklah kita ungkap : Ini adalah takdir daripada Allah. Supaya kita tidak memberi ruang untuk syaitan merancang sesuatu strategi untuk merosakkan aqidah kita. Maka beringatlah selalu!

Wallahu a'lam bis Sowab..