Hadis ke-98 Kitab Riyadhus Solihin
Maksud hadis :
" Daripada Anas r.a. , daripada Nabi S.A.W. meriwayatkan apa yang diterangkan dalam hadis qudsi, { jika seseorang hamba menghampiri-KU sejengkal, maka AKU menghampirinya sehasta, jika dia menghampiri-KU sehasta maka AKU menghampirinya sedepa dan jika dia datang kepada-KU dengan keadaan berjalan maka AKU datang kepadanya dengan berlari } "
[ Hadis Riwayat Bukhori ]
Sahabat-sahabatku Fillah! Apabila kita renung sedalam-dalamnya kandungan hadis di atas..betapa kita sangat-sangat digalakkan untuk mencari keredhaan Allah..bukti galakkan itu ialah di mana Allah telah membuat bayangan betapa dekatnya diri-NYA dengan kita apabila kita ingin mendekati diri-NYA. Lalu, kita seharusnya mempertingkatkan amalan dari hari ke hari, dari masa ke masa dan dari baik kepada lebih baik seperti dinyatakan dalam maksud hadis di atas. Ingatlah! Ganjaran Allah akan ternanti buat kita di dunia yang kekal abadi ( iaitu negeri akhirat ) yang tidak dapat ditandingi oleh apa-apa jua yang kita dapati di dunia yang sementara ini.
Hadis ke-99 Kitab Riyadhus Solihin
Maksud Hadis :
" Daripada Abdullah bin Abbas r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. ada bersabda { dua jenis ni'mat yang kebanyakkan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan } "
[ Hadis Riwayat Bukhori ]
Ya Ashaabiy Al-Kiraam! Ingatlah selalu...Betapa pentingnya kita menjaga kesihatan tubuh badan yang mana kesihatan itu adalah satu ni'mat daripada Allah. Maka kita hendaklah juga menggunakan masa sihat itu dengan amalan kebaikan dan amalan soleh sebelum ditimpa sakit yang menyebabkan kita tak terdaya melakukan ibadah itu dengan sesempurnanya.
Malah Rasulullah memperingatkan kita supaya jangan mensia-siakan masa lapang yang ada dengan begitu sahaja. Masa lapang itu hendaklah diisi dengan melaksanakan semua perintah Allah demi merebut redha Allah yang berkekalan.
Sepatutnya kita memerhati, kedua-dua ni'mat ini..masa sihat dan masa lapang ini adalah ujian dan cubaan Allah buat kita semua. Oleh itu, hendaklah kita gunakan masa sihat dan masa lapang ini untuk memerangi hawa nafsu supaya kita tidak mensia-siakan kedua-dua ni'mat yang telah Allah berikan kepada kita ini.
Hadis ke-100 Kitab Riyadhus Solihin
Maksud Hadis :
" Daripada Aishah r.ah. bahawa Nabi S.A.W. bangun di waktu malam ( bersolat tahajjud ) sehingga bengkak kedua-dua kaki baginda. Lalu aku ( Aishah ) bertanya kepada baginda : kenapa engkau lakukan sebegini wahai Rasulullah?... Sesungguhnya Allah Taala telah mengampunkan dosa-dosamu yang telah lalu dan terkemudian. Jawab baginda S.A.W. kepada isterinya Saidatina Aishah : ( Wahai Aishah ) Tidakkah aku ini seorang hamba yang bersyukur? "
[ Muttafaqun 'alaih ]
Ingatlah sahabatku seISLAM! setiap daripada kita wajib berjuang melawan hawa nafsu dengan sentiasa beramal soleh untuk menjadi hamba Allah yang lebih diredhai dan lebih dicintai-NYA.
Maka dengan memperbanyakkan melakukan amal ibadah akan meletakkan kita dikalangan hamba-hamba-NYA yang sedikit. Kerana hamba-hamba-NYA yang tahu bersyukur itu sangat sedikit bilangannya. Sepatutnya kita berebut-rebut untuk mengucap syukur kepada Allah tanda betapa bersyukurnya kita dengan ni'mat pemberian Allah buat kita selama ini.
Pernah suatu ketika ada seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W. ketika dia sudah pun berada di zaman Saidina Umar Al-Khattab, semasa dia berdoa..dia memohon agar dijadikan dirinya di kalangan orang yang sedikit..dengan doanya : Ya Allah, Kau jadikan aku dikalangan orang yang sedikit. Maka pelik dan bertambah hairanlah Saidina Umar Al-Khattab mendengar doanya itu..lalu ditanya kepadanya : mengapa engkau memohon kepada Allah agar dijadikan engkau dikalangan orang yang sedikit..maka dijawab oleh sahabat baginda itu kepada Saidina Umar Al-Khattab : Bukankah aku ini ingin menjadi dikalangan hamba-hamba Allah yang bersyukur..bukankah hanya sedikit sahaja hamba-hamba-NYA yang tahu bersyukur?. Saidina Umar terpegun dengan jawapan sahabat itu.
Hadis ke-101 Kitab Riyadhus Solihin
Maksud Hadis :
" Daripada Aishah r.ah. katanya : Kebiasaan Rasulullah S.A.W. apabila masuk malam yang sepuluh terakhir ( malam yang ke-21 daripada bulan Ramadhan ) baginda akan menghidupkan malam tersebut ( dengan banginda memperbanyakkan amalannya ) , membangunkan ahli keluarganya serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah dan menjerut tali pinggangnya ( iaitu menjauhi perempuan ) .
[ Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim ]
Sahabat....Hadis ini juga meminta kita berjuang dengan bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu. Islam menggalakkan ahli keluarga turut sama beramal dengan bersungguh-sungguh semata-mata kerana mengharapkan ma'firah dan mardhotillah dengan mengerjakan amal-amal soleh di akhir bulan Ramadhan kerana di situlah letaknya satu malam yang sukar dicari ganti iaitu malam lailatul qadr. Di mana malam lailatul qadr ini datangnya hanya sekali pada setiap tahun yang silih bertukar ganti.
Hadis ke-102 Kitab Riyadhus Solihin
Maksud hadis :
" Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. ada bersabda : Orang mu'min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang mu'min yang lemah. Masing-masing ada mempunyai kebaikannya. Bersungguh-sungguhlah mengerjakan sesuatu yang berguna ( di dunia dan untuk bekalan ke akhirat ) , hendaklah selalu meminta pertolongan daripada Allah dan jangan berasa lemah iaitu dengan berputus asa dan merasa hampa. Jika engkau ditimpa sesuatu musibah janganlah engkau mengeluh dengan berkata : Andainya aku berbuat demikian tentu akan jadi begini dan begitu...akan tetapi katakanlah : ini takdir Allah S.W.T. dan Allah berbuat sekehendak-NYA. Sesungguhnya perkataan ' andainya ' hanya membuka jalan bagi syaitan untuk berbuat sesuatu " .
[ Hadis Riwayat Muslim ]
Sahabat! Ingatlah kepada hadis ini baik-baik...kita memang wajib berjuang untuk meningkatkan amal kebaikan dan membaik pulih keimanan kita kepada Allah S.W.T seikhlas yang mungkin. Hawa nafsu tak akan dapat di atasi dengan iman yang lemah kecuali sesudah iman itu menjadi kuat dan kental.
Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya mengerjakan sesuatu yang bermanfaat sama ada di dunia apatah lagi untuk bekalan ke negeri akhirat kelak.
Islam juga senantiasa menggalakkan umatnya meminta pertolongan Allah dan tidak dibenarkan sama sekali untuk mengeluh dan berputus asa . Oleh sebab itu, apabila kita menemui sesuatu kegagalan maka hendaklah kita ungkap : Ini adalah takdir daripada Allah. Supaya kita tidak memberi ruang untuk syaitan merancang sesuatu strategi untuk merosakkan aqidah kita. Maka beringatlah selalu!
Wallahu a'lam bis Sowab..
0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:
Post a Comment