Tetamu Yang Tak Diundang


Oleh : Anjang Dahar

Aku menanti waktu subuh sambil membaca beberapa ayat hafazanku. Gelap malam seakan liat melucutkan bajunya dari persada khidmatnya. Aku duduk bersimpuh sendirian di atas tikar sejadah. Di dada langit 15 Rabiul Awal dapat kusaksikan beberapa butir bintang tega bersinar, cahayanya gemilang dan cemerlang..bulan pula mengambang penuh. Apatah lagi disertai oleh angin malam berarak lembut, nyaman dan begitu menyegarkan, namun kedinginannya membuatkan aku semakin erat memeluk tubuhku. Malam-malam begini cuaca di kampung memang sejuk. Dinginnya kurasa bagaikan hingga ke dalam tulang.

“Ya Allah..aku datang menyembah-Mu!” suaraku bergetar menahan sebak.. “sukarnya jika Engkau tidak menolongku Ya Allah!!”, aku menahan sebak.. air mataku mengalir tanpa henti .

“Kenapa Engkau menguji aku Ya Allah?”, aku membiarkan air mataku terus mengalir. Wajah langit kutatap penuh sayu. Entahlah kenapa dalam hatiku ada perasaan terharu yang sukar aku gambarkan.

“Tiadakah kebahagiaan walaupun hanya sedikit Engkau campakkannya ke dalam hatiku ini Ya Allah” Ada keluhan di hujung getar suaraku. Aku memandang lagi langit malam dalam senduku merentakkan nyayiannya.

“Biarlah..apapun aku menerimanya Ya Allah..aku tak mahu dianggap hamba yang tidak pernah bersyukur..kerana telah banyak kurnia-Mu kepadaku selama ini.” aku teruskan lagi munajatku setelah agak lama berdiam.

“Ya Allah..aku teringatkan dia..! Kenapalah Engkau cabut rindunya kepadaku?” aku meluahkan perasaan...senyuman tiada hanya ada tangisan di wajahku yang sarat dengan perkongsian derita semalam.

Aku tahu punca sebenar dia merajuk denganku namun aku masih menyayanginya. Dialah satu-satunya sahabat dan teman di dunia ini yang memahami diriku. Sewaktu aku resah, dialah pengubatnya membuatkan diriku merasakan akulah insan yang paling gembira. Ya...tahun demi tahun berlalu begitu pantas. Selama ini hanya sekali aku ke sana. Aku akur dan aku amat pasti bahawa jauh di sudut hati ini aku memang terlalu rindukannya.

“Assalamualaikum...”. Aku sama sekali terkejut dari lamunanku. “Siapakah dia?”, aku bagai mimpi. Aku merenungnya. Berpakaian putih sebegini..

“Kau dah sampai masanya mengikut aku pulang sahabat..!”, Orang yang berpakaian putih itu cuba untuk mengingatkan aku bahawa aku hanyalah pinjaman. Baru aku teringat amanahku selama ini perlu kujaga.

“Adakah kau nak membawaku pada malam ini?”, balasku pendek..

“Begitulah sahabat”, dia menjawab sambil memandangku. Aku mengangguk dan mengerti bahawa inilah malam terakhirku.

“Kalau begitu bawalah aku, sahabat..aku rela sekarang untuk mengikutmu”, balasku perlahan.

Malam 15 Rabi’ul Awal inilah malam terakhir...

Bulan bercahaya terang. Cahayanya teramat indah. Garis-garis lurus biasan cahayanya membuatkan aku terpana memandang ke dada langit. Benarlah apa yang Allah jelaskan dalam Al-Qur’an perbezaan matahari dan bulan. Matahari bersinar dan bulan bercahaya. Tidak sama sesuatu yang bersinar dengan yang bercahaya. Lantas, segera aku teringat bahawa sinar mentari dan cahaya rembulan itu akan hilang setelah mataku tertutup rapat. Aku terbaring lemah di atas pangkuan lelaki tadi. Aku mahu tidur. Tidur untuk selama-lamanya.

Sahabat, biarkanlah aku pergi.. kerana aku banyak menyusahkan hidupmu.
Ketahuilah kasihku padamu tidak bertepi bagaikan laut gelombang..
Tetap ada dan tak pernah hilang.
Sahabat, aku pernah berkata padamu bahawa aku tak lama berada di dunia ini..
Allah telah merindui diriku.
Aku hanyalah pinjaman, Pemilikku telah datang untuk mengambilku..
Sahabat, aku akan pergi buat selamanya.

Min qalami...
-Anjang Dahar-

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: