Ibu Yang Pertama Tapi Ayah Bukan Yang Kedua


Bercerita tentang ibu dan ayah, macam-macam cerita boleh saya kisahkan. Masing-masing ada peranannya. Apabila bercerita tentang kasih, tentang sayang, ayah jarang disebut-sebutkan.

Cuba kita teliti lagu-lagu yang ada sama ada lagu balada atau nasyid, amat sukar kita menemui lagu yang berbicara tentang ayah. Kalau di televisyen sekalipun, jarang sangat diraikan hari ayah secara ekslusif, tetapi apabila hari ibu, macam-macam tayangan sempena meraikan ibu. Tidak pentingkah seorang ayah atau siapakah ayah sebenarnya kepada kita?

Saya pernah bertanyakan sahabat-sahabat saya..saiful dan mad sebelum ini tentang erti kasih dan sayang seorang ayah terhadap mereka bila duduk jauh diperantauan orang. Sejauh mana kepentingan ayah untuk mereka atau dalam erti kata mudah, waktu bilakah ayah diperlukan dalam kehidupan mereka?

Rata-rata sahabat saya menjawab kasih sayang mereka untuk ayah, tidak berbelah bagi, tetapi apa yang boleh saya simpulkan bahawa rata-rata daripada mereka sangat memerlukan ayah apabila dalam kesusahan, apabila inginkan wang dan apabila memerlukan sesuatu untuk diri sendiri.

Bagi mereka, ayah bukan tempat mereka meluahkan masalah. Mungkin benar mungkin juga tidak. Seorang sahabat saya berceritakan tentang ibubapanya. Katanya, dia kurang rapat dengan ibu berbanding ayah kerana ibunya garang dan ayahnya sangat penyayang, memahami dan selalu memberikannnya semangat. Baginya, ayahnya sangat istimewa. Apapun terpulang kepada setiap individu untuk menilai dan menghargai ayahanda dengan cara apa dengan syarat, jangan dilupai dan jangan dibandingi jasa ayah.

Saya percaya ramai akan mendahulukan ibu dalam setiap apa jua perkara, walhal untuk meminta wang daripada ayah sekalipun, ibu sebagai tawassulnya. Percaya atau tidak kebanyakan kita memang begitu. Namun tidak dinafikan masih ada yang mendahului ayah dalam hal-hal yang tertentu dan dalam bahasa mudahnya menyamakan hak ayah dan ibu.

Bahz bin Hakim dari ayahnya dari neneknya berkata: "Saya telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, siapakah harus saya taat terlebih dahulu?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu." Kemudian siapakah? tanya saya lagi. Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu." Saya bertanya sekali lagi dan Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ibumu." "Kemudian siapa?" tanya saya lagi." Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ayahmu, kemudian yang terdekat dan yang dari kerabat."


Ayah; insan istimewa yang jarang kita sedari

Sebenarnya sedar atau tidak, ayah sangat penting dalam kehidupan kita. Percayalah tanpa seorang ayah, kita sudah tentu tiada di bumi ini. Ayah insan istimewa yang jarang kita sedari kepentingannya.

IBu.. Ibu... Ibu.. memang ibu ialah insan yang sentiasa penting dalam kehidupan kita. Kalau tanpa ayah kita masih boleh tabah dan gembira hidup di dunia ini, tapi tanpa kasihnya ibu, hidup kita terasa sunyi dan kosong. Ayah bukanlah insan yang melahirkan kita. Allah telah menetapkan si ibu adalah insan yang sesuai untuk melahirkan manakala si ayah dengan kudrat yang dianugerahi Allah padanya lebih bersifat kepada berkorban, mencari nafkah dan melindungi keluarga. Sedar atau tidak, jasa ayah tidak kurang hebat berbanding dengan ibu kita.

Cubalah kita teliti ayah kita bagi yang masih mempunyai ayah.

Ayah adalah insan kental yang tabah dan sabar mencari sesuap nasi dan keperluan untuk keluarganya. Ayah sekalipun penat tetap tabah dan teguh bekerja. Ayah jika dibandingkan, ketelitian terhadap anak-anak sedikit kurang jika dibanding dengan ibu.

Namun ayah sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk kita. Apa yang perlu kita sedar, ayah juga ada hati dan perasaan untuk meraih setitik perhatian keluarga. Ayah juga sebenarnya mengharapkan perhatian seperti mana yang ibu-ibu perolehi.


Ya..saya patut bersyukur dengan dilahirkan dalam keluarga saya sekarang ini..
Di dalam keluarga ini, saya mendapat kasih sayang yang tak berbelah bagi..

Terima kasih mak..
Terima kasih ayah..


Pesanku kepada kalian semua termasuk juga diriku sendiri..


Rendahkan diri kita kepada kedua ibubapa kita serendah-rendahnya dan doakanlah akan kedua-duanya:


"Ya Tuhan, Kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana keduanya telah memeliharaku dimasa kecil. "
(Al Isra' :24)

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: