Rajin Berusaha, Sabar bila Susah dan Syukur bila Senang


Daripada Miqdad bin Ma'dikarib r.a daripada Rasulullah S.A.W, baginda bersabda :

"Tidak memakan seorang daripada kamu akan sesuatu makanan yang lebih baik daripada makanan yang diusahakannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud a.s adalah seorang yang memakan makanan hasil daripada titik peluhnya sendiri"

(Hadis riwayat Bukhari)

Allah Taala telah menundukkan langit dan bumi malah segala isinya untuk memenuhi keperluan hidup manusia yang bertugas di atas muka bumi ini sebagai khalifah-Nya. Diciptakan-Nya awan yang membawa hujan, pepohonan yang menghijau, gunung-ganang yang menjulang tinggi, sungai-sungai yang mengalir airnya dan berbagai-bagai jenis binatang, baik yang melata di atas muka bumi atau yang hidup di dalam laut atau yang terbang di udara. Maka segalanya ini ditundukkan oleh Allah untuk kepentingan manusia yang ditugaskan sebagai khalifah yang bertanggungjawab mengatur segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini.

Oleh kerana itu hendaklah manusia melaksanakan tanggungjawabnya dengan mengatur kehidupannya di permukaan bumi ini dengan sebaik-baiknya dan mengusahakan atau memproses segala sesuatu yang telah ditundukkan Allah kepadanya. Maka dengan itu akan majulah kehidupan manusia ini dan akan bertambah banyaklah faedah yang didapati dari segala bahan mentah yang telah disediakan di hadapannya.

Jadi, hendaklah manusia itu rajin bekerja atau memproses bahan mentah yang telah disediakan di hadapannya seperti halnya Nabi Daud a.s. yang berusaha sebagai tukang besi, Nabi Nuh a.s. sebagai tukang kayu, Nabi Sulaiman a.s. sebagai raja yang mengatur pemerintahan dan Nabi kita Muhammad S.A.W yang berusaha memelihara kambing pada waktu kecilnya, berniaga pada waktu remajanya dan memimpin negara setelah baginda berhijrah ke Madinah dan seterusnya.

Begitu pula kita lihat di kalangan para sahabat. Ada yang berniaga seperti Abu Bakar r.a, Umar r.a. , Uthman bin Affan r.a dan Abdurrahman bin 'Auf r.a. Ada yang bertani seperti kebanyakakn orang-orang ansar dan begitu dengan yang lain.

Orang mukmin adalah orang yang bertuah dalam hidupnya walaupun dia terpaksa berhadapan dengan berbagai-bagai ujian hidup yang penuh dengan liku-likunya. hidupnya selalu tenang dan tidak punyai banyak masalah. Dia memiliki ketenangan jiwa yang diburu oleh orang-orang yang mencari kepuasan hidup dalam dunia ini.

Namun, mereka pasti tidak menjumpainya kalau bukan dengan iman. Kepuasan hidup dan ketenangan jiwa hanya akan dinikmati oleh orang yang benar-benar beriman. Di mana hatinya tenang dalam menghadapi berbagai-bagai keadaan. Apabila dia berada dalam kenikmatan dan kesenangan, dia akan bersyukur kepada Allah dan menggunakan nikmat itu untuk mencari keredhaan Allah S.W.T, baik untuk kegunaan dirinya sendiri atau untuk kebaikan orang lain sebagai sedekah atau pertolongan. Dia memahami dunia ini hanyasanya tempat ujian dan kesusahan dan akhirat nanti adalah tempat kebahagiaan yang sebenarnya.

Mereka yang beriman itu tak mudah lupa daratan dan sentiasa bersyukur atas nikmat pemberian Allah. Tidak mudah mengikut hawa nafsu dan bertindak sesuka hati kerana mereka yakin dengan janji Allah buat mereka selepas masa yang di nanti akan tiba sewaktu mereka dibangkitkan semula di padang Mahsyar kelak...

Ya Allah..Kau takdirkanlah diriku ini mati dalam husnul khatimah..dan janganlah Kau matikan diriku dalam su'ul khatimah..Kau golongkanlah aku bersama-sama mereka yang solihin dan 'abidin yang mukhlisin.. Amien..

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: