Wanita Muslimah Mukminah Yang Solehah...


Sungguh beruntung bagi wanita solehah kerana dia akan menjadi cahaya bagi keluarganya dan berperanan melahirkan generasi dambaan ILAHI. Malah di negeri akhirat, Allah akan menjadikannya bidadari syurga. Oleh kerana itu, para pemuda jangan sampai tersalah dalam memilih pasangan hidup. Pilihlah wanita solehah untuk dijadikan isteri dan pendamping hidup yang teramat setia malah sentiasa menjaga akhlaknya di mana jua dia berada.

Siti Khadijah r.'anha. adalah merupakan "figure" iaitu contoh terbaik seorang isteri solehah di mana dia yang menjadi penenteram batin, pendukung setia, dan penguat semangat suami dalam berjuang dan beribadah kepada Allah S.W.T. Beliau telah berkorban dengan harta, kedudukan, dan diri beliau demi membela perjuangan suaminya iaitu Rasulullah S.A.W. Begitu kuatnya kesan kesolehan Khadijah r.'anha., sehingga nama beliau banyak disebut-sebut oleh Rasulullah S.A.W. walau beliau telah meninggal.

Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah An-Nuur pada ayat 30-31, "Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara farji (kemaluan) - nya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara farji- nya dan janganlah mereka menampakkan perhiasan kecuali yang biasa nampak daripadanya.

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah." (Hadis Riwayat Muslim).

Ciri khas seorang wanita solehah ialah di mana dia mampu menjaga pandangannya. Ciri lainnya pula ialah dia senantiasa taat kepada Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Make up- nya adalah basuhan air wudhu' sahaja. Lipstiknya pula adalah dia memperbanyakkan zikir kepada Allah S.W.T. di mana pun dia berada. Celak matanya adalah dia sentiasa memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Jika seorang muslimah menghiasi dirinya dengan perilaku taqwa maka akan terpancar cahaya kesolehan daripada dirinya.

Wanita solehah tidak mahu kekayaan termahalnya berupa iman akan diputar-belitkan oleh fitnah dan juga godaan-godaan syaitan terkutuk. Dia juga sangat memperhatikan kualiti dalam setiap butiran kata-katanya. Tidak ada dalam sejarahnya, seorang wanita solehah suka menjerit-jerit saat mendapatkan sesuatu kesenangan. Dia akan sangat menjaga setiap tutur katanya agar bernilai bagaikan untaian intan yang penuh makna dan bermutu tinggi. Dia sedar benar-benar bahawa kemuliaannya itu adalah bersumberkan daripada kemampuannya menjaga diri (iffah).

Wanita solehah itu murah senyumannya kerana senyuman itu sendiri adalah sedekah. Namun, tentu saja senyumannya itu adalah pada tempatnya. Tidak setiap lelaki yang dijumpainya akan diberikan senyuman manis. Maksudnya, senyumannya itu adalah senyuman ibadah yang ikhlas dan tidak menimbulkan fitnah bagi orang lain. Cubalah bayangkan jika kaum wanita bekerja keras berlatih memberikan senyuman manis semata-mata untuk meluluhkan hati lelaki...bukankah itu merupakan fitnah yang besar dan impaknya dapat mengucar-kacirkan iman setiap pemuda atau lelaki yang melihatnya?

Wanita solehah juga harus pintar dalam bergaul dengan sesiapapun agar di sana dia mampu menjauhkan dirinya dari fitnah dan godaan syaitan laknatullah. Dengan pergaulannya itu akan bertambah ilmunya terus-menerus sebab dia akan selalu mengambil hikmah daripada orang-orang yang dia temui. Kedekatannya kepada Allah S.W.T. semakin baik sehingga hal itu membuahkan kebaikan bagi dirinya mahupun orang lain yang berada di sekelilingnya. Pendek kata, hubungan kemanusiaan dan taqarrub kepada Allah dilakukannya dengan sebaik mungkin.

Dia juga selalu menjaga akhlaknya. Salah satu ciri bahawa imannya kuat adalah dari kemampuannya memelihara rasa malu. Dengan adanya rasa malu, segala tutur kata dan tindak-tanduknya akan selalu terjaga dan dikawal. Tidak akan sama sekali dia berbuat sesuatu yang menyimpang daripada bimbingan Al-Quran dan As-Sunnah. Dan tentu sahaja godaan syaitan bagi dirinya akan semakin dan sangat kuat. Jika dia tidak mampu melawan godaan tersebut, maka kualiti imannya itu akan berkurang. Semakin kurangnya iman seseorang wanita, maka semakin kurang rasa malunya. Semakin kurang rasa malunya, maka semakin buruk kualiti akhlaknya.

Pada prinsipnya, wanita solehah itu adalah wanita yang taat kepada Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Rambu-rambu kemuliaannya bukan dari beraneka aksoseri yang dia gunakan. Justeru, dia selalu menjaga kecantikan dirinya agar tidak menjadi fitnah bagi orang lain. Kecantikan satu saat mampu menjadi anugerah yang bernilai tetapi jika tidak hati-hati, kecantikan itu mampu menjadi sumber masalah yang akan menyulitkan pemiliknya sendiri.

Saat mendapat keterbatasan fizikal pada dirinya, wanita solehah tidak akan pernah merasa kecewa dan sakit hati. Dia yakin bahawa kekecewaan adalah sebahagian daripada sikap kufur nikmat. Dia tidak akan merasa rendah diri dengan keterbatasannya. Peribadinya begitu indah sehingga make up apa pun yang dipakainya akan memancarkan cahaya kemuliaan. Bahkan, kalaupun dia tanpa make up sedikit pun, kecantikan jiwanya akan tetap terpancar dan menyejukan hati tiap-tiap orang yang berada di sekitarnya. Kerana dia yakin betul bahawa Allah tidak akan pernah mengurangi dalam memberikan kurniaan kepada hamba-hamba-Nya. Makin dia menjaga kehormatan diri dan keluarganya semakin Allah akan memberikan kurniaan terbaik baginya di dunia dan di akhirat.

Jika ingin menjadi wanita solehah, maka banyak-banyakkanlah belajar dari lingkungan sekitar dan orang-orang yang soleh dan berilmu yang anda temui. Ambillah ilmu-ilmu agama daripada mereka. Bahkan anda mampu mencontohi isteri-isteri Rasulullah S.A.W. Seperti Siti Aisyah yang terkenal dengan kecerdasannya dalam berbagai bidang ilmu. Dia terkenal dengan kekuatan pemikirannya. Seorang isteri seperti beliau adalah seorang isteri yang mampu dijadikan gudang ilmu bagi suami dan anak-anak.

Boleh jadi wanita solehah itu muncul dari sebab keturunannya. Apabila kita melihat seorang pelajar yang baik akhlaknya dan tutur katanya senantiasa sopan, maka dalam bayangan kita tergambar diri seorang ibu yang telah mendidik, mengasuh dan membimbing anaknya menjadi manusia yang berakhlak iaitu puteri yang mempunyai tahap keperibadian yang tinggi dalam budi pekertinya. Adalah sulit untuk membayangkan, seorang wanita solehah munculnya tanpa didahului sebuah proses yang memakan waktu dalam sudut didikan dan asuhan. Di sini faktor keturunan memainkan peranan penting. Begitu pun dengan pola pendidikan, lingkungan, keteladanan dan lain-lain adalah faktor-faktor penyebabnya. Apa yang nampak adalah merupakan satu gambaran bagi sesuatu yang tersembunyi.

Banyak wanita boleh sukses. Namun tidak semua mampu menjadi solehah. Solehah atau tidaknya seorang wanita bergantung ketaatannya kepada aturan-aturan yang Allah pimpinkan. Dan aturan-aturan tersebut berlaku universal, bukan sahaja berlaku bagi wanita yang sudah menikah, tetapi juga bagi remaja puteri yang belum berumahtangga. Tidak akan rugi jika seorang remaja puteri menjaga sikapnya saat mereka berinteraksi dengan lawan jenis yang bukan mahramnya. Bertemanlah dengan orang-orang yang akan menambah kualiti ilmu, amal dan ibadah kita. Ada sebuah ungkapan mengatakan, Jika kita ingin mengenal peribadi seseorang maka lihatlah teman-teman di sekelilingnya. Usahakanlah kita mampu memberikan warna yang baik bagi orang lain, bukan sebaliknya di mana kita sendiri yang diwarnai oleh pengaruh buruk orang lain. Awas situasi sebegini berlaku kepada kita. Maka berhati-hatilah dalam menjaga kualiti akhlak kita.

Jika para wanita mampu menjaga diri dan memelihara akhlaknya, maka iman kaum lelaki akan semakin kuat. Cahaya kesolehan wanita mukminah akan menjadi penyejuk sekaligus peneguh hati orang-orang yang beriman. Apalagi bagi kaum muda remaja yang sangat selalu digoda dengan godaan nafsu syahwat dan bisikan-bisikan iblis laknatullah. Mereka harus dibantu dalam melawan godaan-godaan tersebut atas keperibadian yang ditonjolkan oleh wanita solehah.

Peranan wanita solehah sangat besar dalam keluarga bahkan dalam negara. Kita pernah mendengar, bahawa di belakang seorang pemimpin yang sukses atau berjaya ada seorang wanita yang sangat hebat. Jika wanita solehah ada di belakang para lelaki di dunia ini. Maka mampu kita bayangkan, berapa banyak kesuksesan dan kejayaan yang akan diraih. Selama ini wanita hanya ditempatkan sebagai pelengkap saja iaitu hanya mendukung dari belakang, tanpa peranan tertentu yang serius. Dalam sebuah keterangan dinyatakan bahawa jika buruknya akhlak wanita mampu menjadi penyebab yang akan menghancurkan sesebuah negara. Bukankah wanita itu adalah penguat negara? Bayangkanlah, jika tiang-tiang yang menjadi penompang kepada bangunan itu rapuh, maka sudah pastinyalah bangunan tersebut akan roboh dan rata dengan tanah. Sehingga tidak akan ada lagi yang tersisa kecuali puing-puing yang nilainya tidak seberapa.

Jadi andalah wahai para wanita..puteri-puteri Islam untuk memilihnya... apakah anda akan menjadi tiang yang kuat atau tiang yang rapuh? Jika ingin menjadi tiang yang kuat,anda seharusnya terus berusaha menjadi wanita solehah dengan mencontohi keperibadian isteri-isteri Rasulullah S.A.W. Dengan terus berusaha menjaga kehormatan diri dan keluarga serta memelihara farji, maka pesona wanita solehah akan terus melekat pada diri anda. Maka Yakin dan Percayalah pada kata-kata ini!

1 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:

Ummul Mukminin said...

syukran kathiir ats kata nasihat. moga sntiasa dkurniai hikmah amiin