'Imarahkanlah Masjid-Masjid Anda...


IMARAH MASJID

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَءَاتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

“Hanyasanya... yang akan memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mereka yang sentiasa tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan bagi mereka tidak akan takut (kepada sesiapapun) melainkan hanya kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”

(Surah At-Taubah : 18)

Pengertian Masjid

Kata masjid diambil daripada kosa kata Bahasa Al-Qur’an (iaitu Bahasa Arab). Kata ini merupakan salah satu kata daripada perkataan sajada (ertinya sujud), yang juga bererti patuh, taat serta tunduk dengan penuh hormat dan takzim.

Melalui pengertiannya daripada pandangan syara', sujud adalah bererti meletakkan dahi, kedua tangan, lutut dan kaki ke bumi. Dari sini dapat pula diketahui bahawa secara semantik masjid bererti tempat sujud atau tempat solat. Hal ini sesuai pula dengan sabda Nabi S.A.W.:

“Di mana saja engkau berada, jika waktu solat tiba, maka dirikanlah solat, kerana di situ pun adalah masjid”

(H.R. Muslim).

Dalam erti kata, seluruh permukaan bumi ini merupakan masjid. Ertinya, orang Islam boleh mendirikan solat di mana sahaja (kecuali di beberapa tempat yang ditetapkan oleh Agama, seperti di kawasan perkuburan dan di dalam toilet) di muka bumi ini, sah solatnya.

Selain makna di atas, masjid juga memiliki makna syara’. Dalam pengertian ini, masjid adalah sebuah bangunan, tempat ibadah umat Islam, yang digunakan oleh umat Islam terutama sebagai tempat dilangsungkannya solat berjemaah. Tetapi, kerana akar katanya mengandungi makna tunduk dan patuh, maka hakikat masjid adalah tempat melakukan segala aktiviti yang mengandungi maksud kepatuhan kepada Allah S.W.T. semata-mata. Atas dasar inilah Allah S.W.T. menegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud:

َأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا

“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorangpun di dalamnya di samping ( kamu menyembah) Allah”

(Surah Jin : 18)

Berkenaan dengan ini, Nabi S.A.W. ada menegaskan dalam sabdanya:

“Telah dijadikan untukku (dan untuk umat-umatku) bumi ini sebagai masjid dan tempat penyucian diri”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Fungsi Masjid

Ia berfungsi sebagai baitullah (rumah Allah), masjid adalah tempat turunnya rahmat Allah S.W.T. Oleh sebab itu, masjid dalam pandangan Islam adalah tempat yang paling mulia dan baik di permukaan bumi.

Di masjid, umat Islam menemukan ketenangan hidup dan penyucian jiwa kerana di sana terdapat majlis-majlis dan kuliyah-kuliyah terhormat yang bermanfaat. Masjid bagi umat Islam adalah institusi paling penting dalam membina masyarakat yang terbilang, cemerlang dan gemilang dari sudut akhlak dan pekertinya.

Di masjid jugalah, rasa kesatuan dan persatuan ditumbuh-suburkan. Di masjid semua masyarakat bertemu berkeadaan darjat yang sama kerana Allah S.W.T. tidak memandang akan darjat satu-satu masyarakat di atas dunia ini.

Bagi Allah S.W.T., yang paling terhormat dan termulia di antara hamba-hamba-Nya adalah mereka yang paling bertakwa di antara kamu..

(Surah Al-Hujurat : 13)

Dalam bidang keagamaan masjid berfungsi sebagai tempat melakukan solat, yang mana di dalam hadis disebutkan ia sebagai tiang agama, baik solat fardhu mahupun solat sunat.

Al-Qur’an menyebutkan fungsi masjid antara lain ialah sepertimana di dalam firman-Nya:

“Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan sebutlah nama-Nya di dalamnya pada waktu pagi dan waktu petang, lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual belinya daripada mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang mana (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang”

(Surah An-Nur : 36-37).

Tasbih pula bukanlah hanya bererti dengan mengucapkan subhanallah, malah ia membawa erti yang lebih luas lagi. Sesuai dengan makna yang mencakupi kata tersebut beserta dengan konteksnya. Sedangkan erti dan konteks-konteks tersebut dapat disimpulkan dengan erti kata takwa itu sendiri.

Selain fungsi ibadah, masjid juga memiliki fungsi sosial. Di masjid dapat dilangsungkan proses pendidikan (tarbiyyah), terutama pendidikan keagamaan –seperti kuliyah-kuliyah tafsir, hadis, fekah, tajwid, wirid pengajian (seperti di ajarkan oleh imam Nawawi dalam bukunya "Al-Azkar") dan sebagainya.

Bahkan, masjid pada waktu hidupnya Nabi Junjungan S.A.W. merupakan pusat berbagai-bagai aktiviti. Sejarah mencatat tidak kurang dari sepuluh peranan yang telah dimainkan oleh masjid pada masa hidup Nabi (iaitu Masjid Nabawi), iaitu:

1). Tempat ibadah (solat dan zikir);

2). Tempat motivasi dan komunikasi (mengenai masalah ekonomi, sosial dan budaya);

3). Tempat pendidikan;

4). Tempat didikan sosial;

5). Tempat latihan ketenteraan dan persiapan alat-alatannya;

6). Tempat pengubatan para pejuang medan perang;

7). Tempat perdamaian dan pengadilan dalam permusuhan;

8). Tempat menerima tetamu;

9). Tempat menahan tawanan;

10). Pusat penerangan atau pembelaan agama.


Maka masjid dalam memainkan peranannya adalah begitu luas pada zaman Nabi Junjungan S.A.W., ini adalah disebabkan oleh beberapa hal iaitu:

Pertama, keadaan masyarakat yang masih sangat berpegang teguh kepada nilai-nilai, norma-norma dan jiwa agama..

Kedua, Kemampuan pembinaan masjid menghubungkan keadaan sosial dan permintaan masyarakat dengan kegiatan atau aktiviti masjid itu sendiri...

Ketiga, manifestasi pemerintah terlaksana di dalam masjid, baik pada peribadi-peribadi pemimpin di sesebuah pemerintahan yang menjadi imam atau khatib mahupun di dalam ruangan-ruangan masjid yang dijadikan tempat-tempat kegiatan pemerintah dan dalam aspek musyawarah dan perbincangan.

Keadaan di atas telah berbeza dengan saat sekarang ini, di mana telah muncul lembaga-lembaga baru yang mengambil-alih sebahagian fungsi dan peranan) masjid pada masa lalu, iaitu organisasi-organisasi keagamaan sama ada daripada lembaga-lembaga pemerintah ataupun di pihak swasta mahupun NGO. Mereka berperanan sebagai pengarah dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi umat Islam dalam beragama. Lembaga-lembaga itu selalunya memiliki kemampuan material melebihi kemampuan kewangan masjid.

Fungsi dan peranan masjid seperti pada masa Nabi S.A.W. itu tentunya sulit dan sukar untuk diwujudkan pada masa kini. Namun ini bukan bererti bahawa masjid tidak lagi dapat berperanan di dalam hal-hal tersebut.

Pada saat ini, masjid yang ideal adalah masjid yang memiliki ruangan dan peralatan yang setidak-tidaknya dapat difungsikan sebagai:

1). Ruang solat yang memenuhi syarat-syarat dalam bab kesihatan dan keselamatan..

2). Ruang-ruang khusus wanita yang memungkinkan mereka keluar masuk tanpa bercampur dengan kaum lelaki. Baik digunakan untuk solat mahupun untuk kuliyah-kuliyah agama..

3). Ruang pertemuan dan perpustakaan..

4). Ruang rawatan (seperti klinik) dan ruang untuk memandikan serta mengkafankan mayat..

5). Ruang bermain, berolahraga dan berlatih bagi remaja (perlu diwujudkan di luar masjid)...

Semua hal di atas ini seharusnya perlu diwarnai oleh kesederhanaan keadaan dari struktur bangunan. Namun harus tetap menunjangkan peranan yang masjid ideal seperti yang termaktub. Ketentuan-ketentuan di atas merupakan kesepakatan para ulama dari berbagai negara Islam dalam Muktamar Risalah Al-Masjid di Mekah pada tahun 1975.

Umat Islam yang memanfaatkan fungsi masjid ini sebagai tempat ibadah dan aktiviti sosial sebenarnya amyang mampu memberi impak kemashlahatan yang mana akan mampu diberikan ganjaran yang luar biasa oleh Allah S.W.T. Salah satu bentuk ganjaran itu dijelaskan dalam sabda Nabi Saw.:

“Siapa sahaja yang pergi ke masjid atau pulang dari masjid, maka Allah S.W.T. akan menyediakan untuknya jamuan daripada dalam syurga setiap kali dia pergi dan pulang itu”

(H.R. Bukhari, Muslim dan Ahmad ibn Hanbal).

'Imarah Masjid

Pada surah At-Taubah pada ayat yang ke-18 di mana Allah S.W.T menegaskan bahawa orang-orang yang akan memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada-Nya dan hari akhirat, serta mereka yang tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah.

Ayat ini menurut para ahli tafsir difahami sebagai penegasan Allah S.W.T. tentang perbezaan antara orang mukmin (iaitu orang yang beriman) dengan orang yang musyrik (iaitu orang yang mempersekutukan Allah). Sebabnya, pada ayat sebelum ini Allah S.W.T. menegaskan:


“Tidaklah akan orang-orang musyrik itu dapat memakmurkan masjid-masjid Allah, sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri adalah kafir. Itulah orang-orang yang sia-sia pekerjaannya dan mereka kekal di dalam neraka”

(Surah At-Taubah : 17).

Orang-orang yang beriman akan senantiasa memenuhi masjid dalam rangka beribadah kepada Allah S.W.T. Mereka akan mendatangi masjid setiap kali muazzin mengumandangkan panggilan azan untuk menunaikan solat berjamaah. Berbeza halnya dengan orang musyrik, mereka tidak akan menghiraukan panggilan azan tersebut. Dalam sebuah hadis ditegaskan oleh Nabi S.A.W.:

“Siapa yang mendengar panggilan azan untuk menunaikan solat lalu dia tidak memenuhi panggilan tersebut dan dia baru datang ke masjid (setelah orang lain usai solat berjamaah) untuk menunaikan solat, maka solatnya tidak sempurna. Sesungguhnya dia telah durhaka kepada Allah dan rasul-Nya –lantaran dia tidak memenuhi panggilan azan tersebut”

(Hadis Riwayat Mardawih daripada Ibnu Abbas).

Meng'imarahkan masjid bukan saja melalui ibadah mahdhah belaka, tetapi juga dapat dilakukan dengan cara memaksimakan fungsi-fungsi masjid yang telah dihuraikan di atas. Umat Islam yang meng’imarahkan masjid inilah orang-orang yang mendapat petunjuk . Hal ini jelas ditegaskan oleh Allah S.W.T. pada akhir ayat 18 surat At-Taubah di atas.

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: