Alhamdulillah.. kini anjang bertandang ke teratak buruk ini sekali lagi demi untuk berkongsi sedikit dengan sahabat-sahabat sekalian mengenai khutbah Jumaat pada hari ini. Di mana anjang telah mendengarnya di Masjid Tanjong Pauh, Jitra. Ya, khutbah kali ini telah disampaikan oleh Ustaz Wan Muhammad Dzul. Ustaz Wan Muhammad Dzul sebenarnya akan berpindah ke negeri lain.. anjang tak pasti lagi ke mana Ustaz Wan akan berpindah... malah inilah khutbah beliau yang terakhir di Masjid Tanjong Pauh ini..
Anjang sertakan bagaimana dialog anjang dengan beliau sebaik sahaja selesai menunaikan solat fardhu Jumaat. Anjang menunggu beliau menyudahkan solat sunat, sejurus beliau bingkas bangun untuk pulang. Anjang mendekati beliau dan terus menyatakan hasrat anjang untuk mengambil sedikit sebanyak apa yang disampaikan di dalam khutbahnya tadi.. tanpa banyak bicara, Ustaz Wan Muhammad Dzul memberikan artikel yang disusun olehnya kepada anjang.. anjang dengan keberatan menyambut artikelnya. "Ustaz, saya nak mengambil point-pointnya sahaja.." ulas anjang kepadanya. "Tak mengapa..ambillah..lagipun ustaz masih ada menyimpan artikel ini dalam komputer.. ambillah.." balasnya. "Terima kasih, Ustaz.." ujarku yang terharu ketika mengambil artikelnya. Beliau tersenyum.. anjang membalas senyumannya.
Sebaik sahaja anjang bersalaman dan beredar dari perkarangan masjid.. anjang teringat untuk membelikan hadiah buat sahabat baik anjang yang kini berada di Negeri Terengganu Darul Iman. Anjang bertolak dulu ke Pekan Jitra kerana ada hal dengan pihak bank. Sejurus sahaja selesai. Anjang terus pergi ke Bandar Alor Setar, menuju ke City Plaza dan mencari-cari satu kedai. Akhirnya anjang temui jua apa yang anjang cari itu.. Alhamdulillah..
Baiklah sahabat.. tujuan anjang menulis belum terlaksana lagi kan? Hmmmm... Sekarang anjang akan berkongsi dengan sahabat semua khutbah Ustaz Wan Muhammad Dzul.. selamat menghayatinya ya..
Alhamdulillahil Ladzi Anzala 'Alainal-Qur'an.. Hudan Lil 'Alamin.. Asyhadu An La Ilaha Illallah.. Wahdahu Laa Syariikalah.. Syahaadatan Tunjiina Biha Minasy Syirki Wal AaaFaat..
Wa Asyhadu Anna Muhammadan 'Abduhuu Wa Rasuuluh.. Arsalahu Bil Huda Wa Diinil Haq..
Allahumma Solli Wa Sallim Wa Baarik 'Ala 'Abdika Wa Rasuulika.. Sayyidina Muhammad.. Sayyidil Mursaliiin.. Wa 'Ala Aaalihi Wa Ashaabihi Ajma'iin.. Ammaa Ba'du, Fayaa 'Ibaadallah..
Uuusiiikum Wa Iyyaaa Bi Taqwallah.. Faqad Faazal Muttaquun..
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian..
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian. Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa sepertimana yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala dalam firmannya :
"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan kamu mati sebagai seorang yang muslim"
Sidang Jumaat Sekalian..
Khutbah Jumaat pada hari ini akan memperkatakan tentang faktor kejayaan seorang muslim.
Seorang sahabat Nabi S.A.W. iaitu Ibnu Mas'ud r.'anhu pernah berkata pada suatu hari kepada anak saudaranya : "Wahai anak saudaraku! Tidakkah kamu melihat alangkah ramainya manusia?". Jawab anak saudaranya : "Ya". Lalu berkatalah Ibnu Mas'ud r.'anhu : "Tidak ada kebaikan bagi mereka melainkan bagi orang yang selalu bertaubat/kembali kepada Allah dan orang-orang yang bertaqwa (iaitu takut hanyasanya kepada Allah Ta'ala)..
Kemudian beliau bertanya lagi kepada anak saudaranya : "Wahai anak saudaraku! Tidakkah kamu melihat betapa ramainya manusia?". Jawab anak saudaranya : "Ya". Lalu Ibnu Mas'ud berkata lagi : "Tidak ada kebaikan bagi mereka melainkan bagi orang yang berilmu dan mereka yang belajar".
Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.'anhu pernah bertanya kepada salah seorang sahabat Nabi S.A.W. yang bernama Ubay bin Ka'ab r.'anhu berkenaan dengan taqwa. Kata Umar r.'anhu : "Wahai Ubay! Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa?". Ubay bertanya kembali kepada Umar r.'anhu : "Wahai Umar, adakah kamu pernah melalui satu jalan yang berduri?". Jawab Umar r.'anhu : "Ya". Tanya Ubay lagi : "Apakah yang kamu lakukan semasa melalui jalan tersebut?". Jawab Umar r.'anhu : "Saya melangkah dengan berjaga-jaga dan berhati-hati". Lalu Ubay menjelaskan kepada Umar r.'anhu : "Demikianlah yang dikatakan taqwa itu".
Apa yang hendak dijelaskan oleh sahabat Nabi yang bernama Ubay r.'anhu itu ialah orang yang bertaqwa di dalam dia menghadapi kehidupan dunia ini yang penuh dengan godaan, penuh dengan tipu muslihat.. Dia amat berhati-hati agar tidak sama sekali terjebak dan tidak terjerumus di dalam perkara yang dimurkai Allah S.W.T. Dia amat memelihara dirinya dari tergoda dan termakan dengan godaan musuh-musuhnya yang terdiri dari :
1) Hawa Nafsunya Sendiri.
2) Syaitan dan Iblis.
3) Golongan Kuffar dan Munafiqin.
4) Golongan Penzalim dan Pembid'ah,
5) Dan Golongan Yang melakukan kemungkaran.
Saidina Umar Al-Khattab r.'anhu pernah berpesan :
"Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah Ta'ala dan timbanglah ia sebelum kamu ditimbang oleh Allah Ta'ala".
Muslimin, Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian..
Setiap daripada kita menginginkan kejayaan dalam hidup di dunia ini. Kita amat bimbang jika kita ditakdirkan gagal oleh Allah S.W.T. Namun harus kita sedari bahawa faktor kejayaan yang paling utama dalam kehidupan kita sebagai manusia malah sebagai hamba Allah ialah kita harus meyakini bahawa faktor asas kejayaan seseorang muslim itu ialah dengan dia berpegang teguh pada agama Allah S.W.T. iaitu Islam.
Apabila seseorang itu menganut Islam dan berpegang teguh dengannya. Maka dia memiliki asas yang paling utama untuk berjaya. Kejayaan yang kita impikan bukanlah kejayaan setakat di dunia sahaja tetapi juga kejayaan di alam akhirat yang kekal abadi. Lantaran pentingnya Islam inilah, Allah S.W.T. mengutuskan para rasul-Nya di mana mereka tidak datang melainkan dengan membawa agama yang satu iaitu agama Islam.
Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah S.W.T. untuk menjadi pegangan dan tatacara kehidupan manusia di setiap zaman. Agama yang lain dari Islam jika dianuti oleh manusia nescaya dia tidak mencapai keredhaan Allah Ta'ala dan kehidupannya di dunia seterusnya di negeri akhirat di mana seseorang itu akan berada di dalam kancah kerugian dan kemusnahan. Firman Allah Ta'ala :
"Sesungguhnya Ad-Deen (iaitu agama yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam".
(Surah Ali Imran : 19)
"Sesiapa yang mencari agama selain dari agama Islam. Maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi".
(Surah Ali Imran : 85)
Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. meletakkan faktor kejayaan manusia kepada 3 perkara iaitu :
1) Islam.
2) Rezeki yang mencukupi ( yang boleh difahami sebagai kemajuan material/kebendaan).
3) Sifat qana'ah ( iaitu redha dengan pemberian Allah kepadanya).
"Sesungguhnya berjayalah orang Islam dan dikurniakan rezeki yang cukup serta diberikan sifat qana'ah oleh Allah dengan apa yang dikurniakan kepadanya".
(Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Umar r.'anhuma)
Dalam hadis di atas Rasulullah S.A.W. tidak menafikan peranan material atau harta benda (yang diungkapkan dengan kalimah rezeki) sebagai salah satu faktor kejayaan dan kebahagiaan manusia. Namun baginda meletakkan Islam adalah syarat paling asas dan paling utama. Kemajuan material atau kebendaan jika tidak bertunjangkan kepada Islam nescaya kemajuan tersebut akan mendatangkan lebih banyak mudharat kepada manusia dari mendatangkan manfaat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian...
Mungkin ada dikalangan kita akan berkata : "Bagaimana boleh dikatakan bahawa Islam merupakan syarat kejayaan paling utama, sedangkan negara-negara maju pada hari ini seperti Amerika Syarikat, Jepun, Britain dan sebagainya ..mereka semua pun tidak menganut agama Islam malah mereka telah mencapai kejayaan?"
Memang benar negara-negara yang dikatakan maju itu telah berjaya dari sudut ekonomi dan material. Namun adakah mereka benar-benar mengecapi kejayaan hidup yang sebenarnya? Iaitu kejayaan dalam ertikata yang sebenarnya bukan hanya kejayaan dari satu sudut (iaitu ekonomi atau material semata-mata) tetapi kejayaan dari pelbagai sudut kehidupan manusia merangkumi rohani, kejiwaan (psikologi), akhlak/etika, hubungan sosial, kekeluargaan dan sebagainya.
Tidak guna sekiranya harta kita banyak dan ekonomi kita kukuh tetapi masyarakat kita porak-peranda lantaran dari berlakunya keruntuhan rohani dan akhlak, zina yang berleluasa dengan lahirnya anak luar nikah yang begitu membimbangkan, pembunuhan tanpa hak, musnahnya institusi kekeluargaan dan berleluasanya kes-kes jenayah dalam negara yang tidak terkawal. Namun inilah yang telah terjadi dalam masyarakat dunia hari ini terutamanya negara-negara maju bahkan telah menular dan berjangkit ke negara kita, Malaysia.
Menurut seorang ulama' dan ahli fikir Islam yang terkenal iaitu Dr. Yusof Al-Qardawi di dalam bukunya : "Islam dan Tamadun hari esok", Tamadun moden hari ini telah melahirkan beberapa akibat negatif.. hasil daripada sikapnya yang selalu meminggirkan agama. Di mana kecelakaan dan kepahitan darinya tidak putus-putus dirasai oleh manusia zaman ini. Kesan-kesan negatif tersebut ialah berlakunya : keruntuhan akhlak, krisis dalam rumahtangga (keluarga), keresahan jiwa (psikologi), kecelaruan akal fikiran, jenayah yang berleluasa dan lain-lain lagi.
Kesan-kesan buruk di atas tidak perlu kita buktikan lagi kerana ia juga sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Jika kita renung dan kita tilik sedalam-dalamnya, semua kesan negatif itu berpunca daripada sikap manusia hari ini yang meminggirkan agama dan memandang mudah kewajipan-kewajipan dalam beragama. Mereka merasakan cukuplah dengan duit yang banyak dan ekonomi yang kukuh untuk mencapai kejayaan dan kebahgiaan. Namun jangkaan mereka itu meleset sama sekali kerana kebahagiaan dan kejayaan sebenar adalah mustahil untuk dicapai tanpa agama Islam.
Inilah yang telah diperingatkan Allah Ta'ala kepada kita:
"Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkan dirinya pada hari Qiamat kelak dalam keadaan buta".
(Surah Thaha : 124)
"Peringatan Allah" yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah perintah Allah Ta'ala dengan apa yang terkandung di dalam Islam itu sendiri kerana Islam adalah satu-satunya agama daripada Allah Ta'ala yang diutuskan melalui para rasul yang membawanya.
Menurut Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya iaitu "Tafsir Al-Qur'an Al-'Aziem" ketika menafsirkan ayat di atas : "Ma'isyatan Dhanka" iaitu penghidupan yang sempit. Ini ialah dengan merasai kesempitan dunia di mana orang yang berpaling dari peringatan Allah Ta'ala itu tidak akan mencapai ketenangan di dalam jiwanya dan tidak akan merasai kelapangan dada.
Bahkan dadanya akan senantiasa merasa sempit dan resah walaupun zahirnya di mana kehidupan dunianya begitu mewah, walaupun dia dapat memakai pakaian yang dia sukai, memakan makanan yang dia gemari dan tinggal di rumah-rumah yang dia minati. Akan tetapi oleh kerana di dalam hatinya tidak ada keyakian kepada Allah Ta'ala dan tidak ada hidayah/petunjuk maka dia akan terus berada di dalam jiwa yang resah, fikiran yang bercelaru dan sentiasa terumbang-ambing dalam hidupnya. Inilah yang dimaksudkan kehidupan yang sempit di dalam ayat tadi.
A'uuzu billlahi Minasy Syaitoonir Rojiim.. Wal 'Asri.. Innal Insaanalafi Khusr...
Baarakallahu Lii Wa Lakum Fil Qur'aanil 'Aziem.. Wa nafa'anii Wa iyyakum bima fiihi minal Ayaati Wal Zikril Hakim.. Wa Taqabbala Minnii Wa Minkum Tilaawatahu Innahu Huwassamie'ul 'Aliem...
Aqulu Qaulii Haaza.. Wa Astaghfirullahal 'Aziem.. Lii Wa Lakum.. Walisaa iril Muslimien Wal Muslimaat..Innahuu Huwal Ghafuurur Rahiem...
Khutbah Kedua
Sidang Jumaat sekalian...
Marilah kita kembali kepada Islam dalam ertikata yang sebenarnya. Ramai di kalangan kita pada hari ini mengakui dirinya seorang muslim. Mereka mengatakan bahawa agama mereka adalah Islam. Namun adakah mereka benar-benar mengerti apakah sebenarnya Islam itu? Apakah makna sebenarnya kalau benar mereka seorang muslim?
Islam bukanlah semata-mata suatu penamaan atau satu slogan tetapi ia adalah pemahaman. penghayatan dan amalan. Seorang muslim yang sejati bukanlah orang yang hanya pandai mengakui yang dirinya menganut Islam atau menamakan dirinya dengan nama Islam tetapi juga dia hendaklah memahami apakah itu Islam dengan menghayati segala ajaran dan tuntutan serta beramal dengan syari'atnya.
Seorang muslim yang sebenar ialah orang yang menumpukan seluruh kehidupannya kepada Islam. Hanya, aqalnya dan perasaannya mestilah ditumpukan kepada Islam sepenuhnya iaitu dengan mempelajari Islam, memahami Islam, menghayati Islam seterusnya mengamalkan ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, dia yakin bahawa Islamlah satu-satunya peraturan hidup daripada Allah Ta'ala yang dapat mengekalkan fitrah (kejadian) manusia dan menjadi syarat kejayaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah Ta'ala), (dan tetaplah di atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya"
(Surah Ar-Rum : 30)
Marilah kita berdoa dengan sebanyak-banyaknya kepada Allah Ta'ala dengan memohon daripada-Nya agar kita senantiasa dikurniakan hidayah dan petunjuk, diberikan kesedaran untuk beramal dengan Islam dan dikurniakan kekuatan yang berpanjangan untuk memperjuangkan hukum-hakam-Nya di atas muka bumi ini.
Di hari yang mulia ini, di tempat yang diredhai maka marilah sama-sama kita mengucapkan selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W....
Allahumma Solli 'Alaa Sayyidina Muhammad Wa 'Alaa Aali Sayyidina Muhammad Kama Sollaita 'Alaa Sayyidina Ibrahiem Wa 'Alaa Aali Ibrahiem Fil 'Aalamien Innaka Hamidum Majied..
Allahummagh Fir Lil Muslimiena Wal Muslimaaat.... Wal Mu'miniena Wal Mu'minaat.. Al Ahyaa' iminhum wal Amwaaat... Allahum Anzil Rahmati 'Alaina.. Wa 'Alaa Sultoonina Sultan Abdul Halim MU'azzam Syah..
Allahumma A'izzul Islama Wal Muslimin.. Wa Ahlikil Kafaroti Wal Munaafiqien.. Wa Ahliki A'daaa Aka Ad-Deen..
Rabbana Laa Tuzigh Quluubana Ba'da Izhadaitana Wa hablana min Ladun Ka Rahmah..
Innaka Antal Wahhaab...
'Iebaadallah.. Innallaha Ya'muru Bil 'Adliwal Ihsaan.. Wa Ieetaa Izil Qurbaa Wa Yanhaa 'Anil Fahsyaa' iwal Munkar Wal Baghy.. Ya 'iezukum la 'Allakum tazakkaruun..
Fazkurullahal 'Aziem yazkurkum... Was Aluunamin Fadhlikum Yu'tikum Wa Lazikrullahu Akbar... Wallahu Ya'lamu Maa Taths Na'uuun...
Wa Aqiemus Solah..
0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:
Post a Comment