Rahsia Tujuh Bagi Allah S.W.T. Disetiap Penciptaan-Nya..


Anjang bertandang lagi ke teratak ini dengan membawa sahabat semua untuk mengetahui bahawa Zat Pencipta Yang Maha Tinggi Kalimat-Nya serta bersinambungan nikmat-Nya telah menghiasi TUJUH perkara dengan TUJUH perkara. Dia menghiasinya pula bagi tiap-tiap yang TUJUH perkara itu dengan TUJUH perkara yang lainnya, untuk memberitahu kepada golongan yang berilmu pengetahuan bahawasanya angka TUJUH itu mempunyai rahsia yang sangat besar dan kedudukan yang agung di sisi Allah S.W.T., Maharaja dan Pemimpin yang memiliki kemudharatan dan kemanfaatan.

Pertama

Allah S.W.T. telah menghiasi udara dengan TUJUH lapis langit. Firman Allah S.W.T. di dalam Surah An-Naba' ayat yang ke-12 bermaksud :

"Dan Kami telah membina di atas kamu TUJUH petala (langit) yang kuat kukuh"

Kemudian Allah S.W.T. menghiasi langit dengan TUJUH bintang. Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Hijr ayat yang ke-16 bermaksud :

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaannya) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya"

Kedua

Allah S.W.T. telah menghiasi padang yang lapang dengan TUJUH lapis bumi. Firman Allah S.W.T. di dalam Surah At-Talaq ayat yang ke-12 bermaksud:

"Allah yang menciptakan TUJUH petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu."

Kemudian Allah S.W.T. menghiasi bumi itu dengan TUJUH lautan. Sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Luqman ayat yang ke-27 bermaksud:

"Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tintanya), dengan dibantu kepadanya TUJUH lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Ketiga


Allah S.W.T. telah menghiasi neraka dengan TUJUH tingkat iaitu Jahannam, Sa'ier, Saqar, Jahiim, Hurhamah, Ladhaa dan Hawiyah. Kemudian Allah menghiasinya dengan TUJUH pintu, sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Al-Hijr ayat yang ke-44 bermaksud:

"Ia mempunyai TUJUH pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)"

Keempat

Allah S.W.T. telah menghiasi Al-Quran dengan TUJUH surah yang panjang, kemudian munghiasinya pula dengan TUJUH ayat pembuka kitab (faatihatul-kitaab). Firman-Nya di dalam Surah Al-Hijr ayat yang ke-87 bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) TUJUH ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya"

Kelima

Allah S.W.T. menghiasi manusia dengan TUJUH angggota badan iaitu, dua tangan, dua kaki, dua lutut dan satu wajah. Kemudian Allah swt. menghiasinya dengan TUJUH peribadatan iaitu dua tangan dengan doa, dua kaki dengan berkhidmat, dua lutut dengan duduk dan muka dengan sujud. FirmanNya di dalam Surah Al-Alaq ayat yang ke-19 bermaksud:

"Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!"

Keenam

Allah S.W.T. menghiasi umur manusia dengan TUJUH peringkat. Pada masa lahir disebut "radli", kemudian farhim, kemudian kuhul, kemudian syaikh. Dan menghiasi TUJUH peringkat umur ini dengan TUJUH kalimat iaitu Ucapan : Laa Ilaaha Illallaah Muhammad Rasuulullaah..

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Fath ayat yang ke-26 bermaksud:

"(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) - perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada "Kalimah Taqwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan "kalimah Taqwa" itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu"

Ketujuh

Allah S.W.T. menghiasi dunia dengan TUJUH negeri yang besar iaitu :
1)Pertama: Hindustan,
2)Kedua: Hijaz,
3)Ketiga: Bashrah, Badiyah dan Kufah,
4)Keempat: Iraq, Syam, Khurasan sampai ke Balakh,
5)Kelima: Roma dan Armenia,
6)Keenam: Negeri Yajuj dan Majuj,
7)Ketujuh: China dan Turkistan

Kemudian Allah S.W.T. menghiasi TUJUH negeri itu dengan TUJUH hari iaitu:
1)Jumaat,
2)Sabtu,
3)Ahad,
4)Isnin,
5)Selasa,
6)Rabu,
7)Khamis.

Malah Allah swt. memuliakan dengan ketujuh-tujuh hari itu dengan para Nabi iaitu Allah memuliakan Nabi Musa as. dengan hari Sabtu, Nabi Isa bin Maryam a.s. dengan hari Ahad, Nabi Daud a.s. dan Nabi Syith a.s. dengan hari Isnin, Nabi Sulaiman a.s. dengan hari Selasa, Nabi Salleh a.s. dengan hari Rabu, Nabi Yaakub a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. dengan hari Khamis dan Nabi Muhammad S.A.W. dan umatnya dengan hari Jumaat.

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: