Tahajjud Cinta - Fatih Watak Utama


Pagi tadi, di saat anjang sedang memilih-milih buku-buku untuk ke "Pameran Buku UUM" dan "Pameran di Sekolah Menengah Kebangsaan (Berasrama Penuh) Sultan Abdul Halim" sempena "Hari Kesenian Islam" keesokkan hari... Maka terlihatlah anjang sebuah buku iaitu "Tahajjud Cinta", yang mana seorang sahabat baik anjang telah membacanya dan menyarankan untuk anjang membacanya. Lantas anjang terus mengambil dan membelek novel Islamik itu supaya ia akan menjadi santapan rohani anjang di masa lapang. Yah! terpampang di atas kulit hadapannya : "Best Seller" di MPH Alamanda, sebuah buku kehijauan di mana tajuknya begitu menarik minat anjang untuk menyentuh dan membaca sinopsisnya.

Anjang memikirkan mungkin novel ini akan memberikan impak yang positif dalam diri anjang demi memahami apakah itu "Cinta Suci" dan perjuangan meneruskan kehidupan yang penuh dengan ranjau keperitan hidup.

Itulah dia "TAHAJJUD CINTA" karangan Muhammad El-Natsir, seorang penulis novelis berjaya dari Indonesia. Malah jualan melebihi 50000 unit di Indonesia, menyebabkan ia sangat mirip kepada novel "Ayat-Ayat Cinta", di mana anjang telah membacanya satu ketika dahulu.

Anjang memikirkan betapa perlunya anjang memotivasikan diri dalam mencari "Cinta Yang Diredhai Oleh Tuhan, Pemilik Hati Yang Hakiki". Maka hadirlah pula novel Pembangun Jiwa iaitu "Ayat-Ayat Cinta" dan "Tahajjud Cinta". Jazakallah khairan khathiira, anjang ucapkan kepada "sahabat baik anjang" yang telah memotivasikan dan mencetus minda anjang untuk memiliki novel yang berunsurkan cinta berlandaskan Islam.

Ada apa dengan "Tahajjud Cinta"?
Apa kaitan "Solat Tahajjud dan Percintaan"?
Adakah perlu dimainkan plot yang menggabungkan "Ibadat dan Cinta"?
Sudah tentu ia terlalu perlu! Bukankah kalau bukan kerana cinta kepada Rabb, maka kita perlu bersolat dan beribadat kepada-Nya?
Watak utama dalam novel "Tahajjud Cinta" adalah seorang pemuda Islam yang sangat menjaga solat dan agamanya. Pemuda yang mempunyai syakhsiah hidup mirip penakhluk Kota Konstantinople iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh. Fatih merupakan pemuda yang sangat warak, cergas mindanya dan mempunyai seni mempertahankan diri. Dirinya yang tegap gagah perkasa mencerminkan lahirnya Sultan Muhammad Al-Fateh versi Nusantara.

Fatih merupakan pemuda yang sangat unik. Menunaikan "Solat Tahajjud" pada sepertiga malam merupakan rutin harian wajib bagi dirinya. Dalam keadaan sesukar mana sekalipun, dirinya tetap mahu menunaikan solat yang amat dianjurkan dalam Islam. Ini kerana, bersihnya hati Fatih dari bergelumang dengan dosa sekitar Jakarta, maka secara tidak dia harapkan, 2 orang gadis Indonesia terpikat dengan kewarakan dan keikhlasan Fatih. Fatih bukanlah anak orang yang berada. Beliau merupakan pemandu kenderaan beroda tiga (Teksi) di Metropolitan Jakarta. Dengan pendapatan cukup makan, dia bersyukur memperolehi rezeki halal. Wang tersebut disimpan untuk diberikan kepada ayahnya di kampung untuk menyara persekolahan kedua-dua adik perempuannya yang bersekolah di Madrasah.

Fatih bukanlah ahli ibadat semata-mata. Dia merupakan siswa jurusan agama. Namun kekangan wang dalam membayar kos pengajian membantutkan dirinya daripada menuntut ilmu agama. Maka dengan kesedihan dia bercuti sebentar dari belajar di Universiti dan mencari wang saku melalui pekerjaan yang dianggap bawahan di Jakarta iaitu pemandu beroda tiga. Namun jiwa yang membara dalam menuntut ilmu, menemukan Fatih dengan Masjid Istiqlal. Di situlah dia menuntut ilmu agama secara percuma melalui ceramah oleh sheikh-sheikh. Dan di situ jugalah bertemunya dia dengan seorang gadis muslimah solehah bernama, Khairu Nisa'.

Insiden kemalangan kecil antara kenderaan beroda tiga milik Fatih dan kereta mewah Nisa' membawa pada pertemuan ilmuan. Mengapa pertemuan ilmuan? Kerana Nisa' kagum dengan ilmu yang dimiliki oleh Fatih ketika bertanya dengan sheikh dalam ceramah di masjid Istiqlal. Nisa' juga menyertai ceramah tersebut. Terkedu lidah Nisa' apabila pemuda yang dianggap murahan dan kuli Jakarta merupakan cendiakawan Islam yang bakal menyinar suatu hari kelak.

Dari detik itulah, Nisa' mula mengenali Fatih. Dengan persoalan yang timbul dalam dirinya, Nisa' terus menerus bertanya kepada Fatih tentang hal-hal agama. Lagak seperti ulama', memang Fatih seorang yang cerdas dan cergas dalam mengulas isu agama berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Itu yang membuatkan Nisa' selesa memperolehi ilmu dari Fatih. Dengan sikap Fatih yang tawadduk dan ikhlas dalam membantu, bermulanya saat rasa cinta Nisa' pada Fatih. Maka dibuatnya temujanji untuk slot soal jawab bersama Fatih pada masa akan datang.

Dalam keadaan dirinya perlu mengubah shif bekerja dan memberikan kereta teksinya beroda tiga kepada rakannya, tetiba naik seorang gadis cina yang sangat cantik dan ayu ciptaan Allah. Gadis tersebut bernama Lyceen Cee. Gadis Cina kacukkan darah Islam dan Kristian. Menjadi perkara biasa di Indonesia, perkahwinan campur agama di mana pasangan tidak perlu menukar agama ke Islam kerana bagi mereka tidak kira Islam atau agama lain, semua agama adalah benar dan membawa kepada kebaikan. Itulah fakta kehidupan perkahwinan campur di seberang yang menjadi sesuatu yang haram di dalam Islam.

Dalam perjalanan, dimintanya gadis ayu cina itu untuk berhenti sebentar untuk mengeluarkan wang di ATM, seusai hajat gadis itu menaiki kembali 'teksi' Fatih, mereka dikejar dan dirompak oleh dua orang penyamun yang menaiki motor. Lalu berlakulah aksi kejar mengejar antara Fatih dan dua orang perompak berkenaan. Walaupun baru dikenali sebentar tadi, Fatih dengan semangat perwiranya terus menerus mengejar perompak yang meragut beg Lyceen Cee. Lyceen Cee hanya mampu menjerit dan melihat akan aksi di tengah kota Jakarta itu. Dan akhirnya hilang kelibat penyangak tersebut di tengah hirup pikuk pasar. Kemudian muncul kembali penyangak tersebut dan dengan selambanya mencampakkan beg tangan Lycee Cee yang sudah kosong kepada Fatih. Seusai Fatih mengambil beg itu, maka jeritlah penyangak itu mengatakan bahawa Fatihlah menyangak tersebut.Maka tertegaklah batil di Jakarta. Fatih diserbu dan dibelasah secukup-cukupnya oleh penghuni pasar 'neraka' buat Fatih. Namun sebelum sahaja mahu dibakar Fatih, maka datanglah Lycee Cee dengan mempertahankan Fatih dan memberikan fakta sebenar akan hal yang berlaku. Dengan keadaan separuh mati, Fatih masih mampu menghulurkan beg tangan dari genggamannya lalu diserahkan pada tuannya.

Dari detik itulah, betapa terharunya Lyceen Cee terhadap seorang pemuda yang nampak kolot di luar namun lelaki sejati di dalam dirinya. Sebagai anak tunggal dalam keluarga berada, maka segala tanggungan perubatan Fatih ditanggung oleh Lycee Cee. Namun kerana tidak mahu menyusahkan orang lain, setelah beberapa hari di hospital, Fatih lari meninggalkan hospital dan mencari tempat persembunyian dengan harapan tidak mengharapkan belas kasihan dari sesiapa. Namun nasib tidak menyebelahinya. Dalam keadaan masih dalam lemah dibelasah 'binatang' Jakarta, dia jatuh pengsan setelah menelefon Nisa' untuk meminta maaf akan ketidaktepatan dirinya menepati janji dengan Nisa'. Dengan rasa risau mendalam, pergilah Nisa' mencari Fatih yang dikhuatirinya dalam keadaan sukar. Dan memang benar. Secara tidak sengaja, dia terserempak dengan Fatih yang lemah longlai di sebuah pondok telefon. Sebenarnya Nisa' mahu pergi ke Kuliah. Secara kebetulan Reno, orang yang berlagak alim semata-mata mahu memikat Nisa', mengajaknya menaiki kereta menuju ke kuliah. Secara terpaksa, Nisa' menerima juga. Dan dalam perjalanan itulah, dia ternampak kelibat tubuh manusia yang duduk keletihan. Dan itulah dia, Fatih.

Lalu diminta Nisa' kepada Reno untuk menumpang Fatih tinggal di rumah Reno. Reno adalah talam dua muka. Dihadapan Nisa', dia berlakon baik agar bisa menambat hati gadis solehah itu. Namun dibelakangnya, mahu sahaja dibunuhnya Fatih kerana dianggapnya sampah yang berjaya menambat hati Nisa'. Dan pada suatu malam ketika mana Nisa' sudah pulang ke rumah keluarganya, Reno bertukar menjadi syaitan ganas yang memukul dan meminta pengikutnya mencampak Fatih di sungai. Dan dalam keadaan sedar Fatih mengetahui bahawa 2 orang pengikut Reno itulah yang meragut Lycee Cee tempoh hari. Tanpa ada kekuatan dalam dirinya, maka pasrahlah dia kepada Allah. Dicampak ke tengah hutan belukar,dengan hanya beralaskan tanah dan berbumbungkan langit, dia berdoa agar diakhiri cepat dugaan yang mendatang bertalu-talu kepadanya.

Namun, Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Tumbukan Reno pada Fatih telah memperbaiki struktur saraf dalam kepalanya. Menjadikan Fatih kurang berasa sakit kepala. Ini memberikan kekuatan kepadanya untuk berjalan seperti biasa. Maka dalam perjalanan yang tidak diketahui di mana dia berada, ditemukan dia dengan sebuah rumah kecil di tepian jalan. Maka bertemulah dia dengan seorang nenek dan cucunya yang hidup dalam keadaan yang cukup daif. Kerana kelaparan yang amat sangat, Fatih meminta jua ihsan nenek untuk memberikan dia sedikit air dan makanan. Nenek yang terkejut dengan keadaan Fatih, mempelawanya untuk tinggal dan nenek sudi dalam mengubati luka pada diri Fatih.

Dan di situ juga, bertemulah Fatih dengan kelibat cucu nenek tersebut bernama Nariah. Nariah adalah anak kecil yang dicari-cari oleh Fatih untuk dipertemukan Nariah dengan ibunya. Ibunya kini bekerja sebagai orang gaji Lycee Cee. Namun, Fatih tidak ketahui akan hal itu. Dari situlah wujudnya semangat kasih sayang antara Fatih, nenek dan Nariah.

Pada masa yang sama, Lyceen Cee bersama sahabat Fatih, Debul dan Rusman mencari seharian Fatih yang lari dari hospital. Setelah dihamparkan dengan kekecewaan, maka Lycee Cee sangat berduka cita akan pemergian Fatih yang masih dalam keadaan tidak stabil kesihatannya. Namun disebut oleh sahabat Fatih bahawa Fatih ada temujanji dengan Nisa'. Maka Lycee Cee cuba mengingat siapakah Nisa' itu? Dan setelah disoal selidik dan dicari jejak kesan, barulah Cee mengerti bahawa Nisa' adalah teman lamanya di bangku sekolah dulu.

Pertemuan Lycee Cee dan Nisa ditakdirkan Illahi atas nama pemuda soleh Fatih. Dua sahabat ini bertemu setelah sekian lama mencari haluan hidup masing-masing. Nisa' memberitahu pada Lycee Cee bahawasanya Fatih berada di rumah rakannya Reno. Maka berkejarlah mereka ke rumah Reno.Reno merupakan "dajjal" yang memang sengaja menempah "tiket neraka". Dia cuba menipu dengan mengatakan Fatih lari meninggalkan rumahnya. Dan nafsu syaitan Reno pada Nisa' dan Lycee Cee diteruskan dengan bantuan Iblis. Namun Allah menyelamatkan gadis-gadis itu. Reno terminum minuman yang dicampur bahan keghairahan. Maka terbaliklah kesannya. Maka gilalah Reno mencari tempat melepaskan nafsu kotornya itu. Perubahan Reno menakutkan gadis-gadis itu. Maka larilah mereka meninggalkan Reno yang jelas sama sekali kecewa akan umpanannya tidak menjadi kenyataan.

Bertambah sedihlah Lycee Cee mengenangkan sikap Fatih yang sering melarikan diri darinya. Lyee Cee hanya mahu membalas budi pekerti pemuda itu yang sanggup menggadaikan nyawa dalam menyelamatkan barangnya. Namun Fatih seperti tidak mengenali erti membalas budi. Mungkin itu kelemahan yang ada pada Fatih.Setelah sembuh dari sakit, Fatih meminta izin dari nenek dan Nariah untuk pulang ke kampung halaman untuk berjumpa ayahnya. Dan dia menziarahi dahulu pusara ibunya yang meninggal sebulan yang lalu. Setelah selesai ziarah kampung halaman, kembalinya dia ke tempat kerjanya. Sahabatnya semua gembira mendengar kembalinya Fatih ke pangkuan mereka. Fatih sangat dihormati rakan sekerja akan sikapnya warak, berani dan petah berkata-kata. Debul dan Rusman memarahi Fatih kerana tidak menghargai Lycee Cee. Mereka mengatakan adanya suatu perasaan kasih Lycee Cee dengan Fatih. Fatih tidak mengiakan kerana baginya, Lycee Cee hanyalah teman yang baru dikenalinya. Setelah didesak, akhirnya Fatih bersetuju untuk menghubungi Lycee Cee untuk meminta maaf. Dalam hatinya, terdetik juga rasa bersalah.

Dan berlakulah satu konflik dimana apabila Fatih menelefon Lycee Cee, Lycee Cee berubah sikap menjadi kasar kepadanya. Lycee Cee begitu kecewa dengan tindakannya yang menghilangkan diri dari Lycee Cee. Maka terasa bersalahlah Fatih akan tindakannya. Bukan apa, Fatih hanya mahu mengucapkan terima kasih atas jagaan Lycee Cee ketika berada di hospital. Namun semuanya berubah apabila Lycee Cee begitu membenci Fatih. Memang dalam hati Lycee Cee, dia rasa terpanggil untuk mengetahui Islam. Dan dia lihat Fatih contoh pemuda Islam yang mampu membimbingnya menjadi wanita muslimah yang solehah. Namun dia tidak mampu meluahkannya kerana dia bakal disatukan dengan Kuang Lung, anak jutawan yang membantu perusahaan ayah Lycee Cee.

Kerana diperjodohkan oleh keluarga, Lycee Cee menerimanya dengan hati berat. Cintanya tidak pada Kuang tetapi pada Fatih yang tulus ikhlas. Kuang mengajak Lycee Cee ke villanya. Niat dihati mahu merobek kesucian gadis itu di Villanya. Lycee Cee yang masih perawan menafikan niat Kuang lalu ditampar oleh teman lelaki yang ganas itu. Lycee Cee pun melarikan diri ke jalan raya untuk meminta tolong. Ditakdirkan Allah, Lycee Cee mengalami kemalangan. Maka kalutlah Kuang menghadapi situasi ini. Apa yang berlaku selepas itu?

Sila memilikinya sekarang...mari sama-sama kita membaca dan menghayatinya..!!!

1 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:

EYA ZAMANI ZAITEE said...

salam singgah suka dgn blog ni ...