Khutbah Juma'at 13 Januari 2012


Khatib : Haji Daud bin Haji Yusoff

Sidang Juma'at yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah dan taatlah kepada Allah, Pencipta 'Alam Yang Maha Berkuasa di dalam segala sesuatu.. Semoga Allah memberi kesempurnaan kepada diri kita bagi mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan yang boleh mendekatkan kita untuk mengenal Khaliq Rabbul Jalil.. Malah mendorong kita mentaati-Nya dengan melaksanakan segala suruh perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya..

Sesungguhnya Allah telah berfirman di dalam surah An-Nahl, ayat ke-78 :

Yang bermaksud : 
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepadamu pendengaran dan penglihatan serta hati (iaitu aqal fikiran) supaya kamu bersyukur".

Di dalam surah Az-Zumar, ayat ke-9, Allah berfirman :

Yang bermaksud :
"Katakanlah lagi (kepadanya) : Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang yang memiliki akal yang sempurna".

Pujangga pernah berkata :
"Fa-izzu bi 'ilmin wa laa bi jahlin abadan, An-naasu mautaa wa Ahli 'Ilmi ahyaa"

Bila kita renung kejadian diri kita, dikandung oleh ibu kemudian dilahirkan dan dibesarkan di dunia tanpa kita mengetahui apa-apa pada mulanya. Hanya tahu menangis apabila lapar, dahaga dan takut.. Senyum  dan ketawa ketika kenyang dan suka. Malah Allah telah membekalkan buat kita beberapa pancaindera untuk mengerti dan mempelajari, merasa dan bertindak. Mata dan telinga untuk melihat dan mendengar, akal pula membuat penafsiran dan penjelasan ketika mendalami sesuatu perkara baru..

Sidang Juma'at yang dimuliakan,

Maka, lebih-lebih lagi mendalami ilmu Fardhu 'Ain, ilmu yang menjadi asas bagi Agama Islam dalam mempersahkan segala amal ibadah yang dilakukan kepada-Nya di setiap saat dalam kehidupan seharian kita. Allah telah menjelaskan bahawa darjat seseorang itu akan dinaikkan martabatnya apabila bertambahnya ilmu pengetahuan seiring dengan amal kebaikan yang dilakukannya kepada Khaliq.

ILMU, IMAN dan AMAL adalah tiga perkara yang tidak boleh dipisahkan. Ketiga-tiga aspek ini perlu berada pada setiap individu muslim agar amalannya diterima di sisi Khaliq. ILMU yang tinggi tanpa IMAN membuatkan manusia hilang pertimbangan. IMAN merupakan batu asas yang menjadikan landasan dalam menentukan ILMU dan AMAL yang dilakukan tidak tersasar dari kehendak ISLAM.

Sempena tahun 2012 ini, marilah sama-sama kitamemberi penumpuan kepada diri kita, anak-anak kita, ahli keluarga kita, kawan-kawan kita serta orang di sekeliling kita untuk mendapatkan ilmu pengetahui yang berguna dan bersepadu. Tekankan kepada ilmu agama kerana ia adalah asas kepada segala ilmu yang ada. Timbulkan minat mempelajarinya. Beri galakan kepada semua agar mendalaminya. Semoga ia mampu menjadikan kita masyarakat yang bermaklumat demi mengembalikan semula kegemilangan umat ISLAM yang lampau.

Di dalam surah Al-Ankabuut, ayat ke-69, Allah berfirman :

Yang bermaksud :
"Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (iaitu jalan yang Kami redhai) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang sentiasa berusaha memperbaiki amalannya".

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: