Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam :
خيركم خيركم لأهله وانا خيركم لأهلى
“ Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap ahli keluarganya dan aku merupakan orang yang terbaik daripada kamu terhadap keluarga” .
(Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 3892 dan Ibn Hibban).
خيركم خيركم لأهله وانا خيركم لأهلى
“ Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap ahli keluarganya dan aku merupakan orang yang terbaik daripada kamu terhadap keluarga” .
(Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 3892 dan Ibn Hibban).
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”
Ayat di atas merupakan siri sifat mulia yang Allah SWT senaraikan di dalam surah al-Furqan sebagai sifat “Ibaad ar-Rahmaan” atau “hamba-hamba bagi Tuhan yang Pengasih”. Ia meliputi sifat-sifat mukmin secara individu, mukmin sebagai da’ie, mukmin yang mentaati Allah sesempurnanya dan mukmin yang mencegah dirinya dari sifat-sifat keji dan perlakuan jenayah yang mencela Tuhan lagi mendatangkan mudarat kepada sesama manusia.
Namun, salah satu daripada sifat keutamaan hamba-hamba Allah ini, adalah sifat dan peranannya sebagai pemimpin kepada keluarga. Bukan sahaja beliau berusaha gigih membentuk diri sebagai seorang mukmin yang sejati, beliau juga tidak lupa untuk membawa keluarganya ke gerbang kejayaan yang hakiki. Ini adalah sifat sebenar bagi orang yang berjaya, kerana mereka yang berjaya bukanlah dari golongan yang berjaya sendirian. Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersama-sama dengannya. Dan sudah tentulah orang lain yang paling utama untuk dibawa bersama ke mercu kejayaan adalah isteri dan anak-anak.
Walau bagaimana pun, doa seorang mukmin yang bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya ini, mestilah diteliti dengan cermat kerana terdapat banyak sentuhan halus al-Quran yang wajar dijadikan bahan penitipan tarbiah.
Mungkin bagi seorang suami dan bapa yang ‘biasa’, doanya bersahaja. Dia akan memohon kepada Allah SWT supaya menjadikan isteri dan anak-anaknya sebagai orang-orang yang bertaqwa. Mungkin beliau akan berkata “Ya Allah, jadikanlah diriku, isteri dan anak-anakku sebagai orang yang bertaqwa”.
Namun kehalusan al-Quran (Lathaa’if Qur’aaniyyah) mengolah doa seorang suami dan bapa yang bersifat dengan sifat Ibaad ar-Rahmaan dengan cara yang lebih teliti. Renungi kembali ayat al-Quran tersebut:
“Serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”
Doa tersebut menggunakan konsep Imam dan Makmum di dalam pengendalian peranan suami dan bapa. Ia lebih kukuh kepada mendatangkan makna seorang mukmin yang sejati kerana doa ini adalah doa yang di dalamnya ada amali. Ia bukan doa yang miskin usaha, sebaliknya doa yang disertai dengan pengorbanan, kesusahan dan ikhtiar. Mana mungkin begitu mudah kita memohon agar Allah mengurniakan ‘penyejuk mata’ melalui isteri dan anak-anak tanpa terlebih dahulu kita berikhtiar, sebagai memenuhi Sunnatullah yang memberi kepada yang berusaha?
Sesungguhnya doa ini amat besar maknanya. Ketika menadah tangan memohon hidayah dari Allah, mohonlah dengan sedar supaya Allah menjadikan kita terlebih dahulu sebagai insan paling bertaqwa, kerana yang paling bertaqwa itulah sahaja yang layak menjadi imam bagi makmum yang bertaqwa.
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu. Di atasnya ada malaikat yang amat keras dan mengerikan. Mereka tidak sekali-kali membantah apa sahaja yang Allah perintahkan, bahkan mereka terus melaksanakan apa yang diperintah (oleh Allah)” [At-Tahrim 66 : 6]
1 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:
Anak merupakan hadiah yang berharga buat seorang yang bergelar suami dan isteri, bagi mereka yang bergelar ibu dan bapa..tapi ingatlah bahawa anak juga adalah ujian dari Allah.
Jika anak dididik dengan baik dan diasuh dengan ajaran agama, maka hadiah atau pemberian itu akan menjadi rahmat.
Sebaliknya jika anak tidak dididik dengan baik ia akan menjadi fitnah yang menyusahkan.
Firman Allah dalam surah asy-Syura ayat 49-50 maksudnya :
"Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakinya. Atau Dia kurniakan mereka kedua-duanya lelaki dan perempuan dan Dia jadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa."
Anak juga menjadi pengikat dan penghubung antara suami dengan isteri. Hubungan dan ikatan suami isteri menjadi lebih kukuh dengan kehadiran anak dalam rumah tangga.
Anak akan menjadi fitnah kepada ibu bapanya jika anak itu tidak dididik dengan didikan yang sempurna terutamanya didikan agama.
Apabila mereka dibiarkan tidak diajar sembahyang dan tidak dititikberatkan untuk menunaikannya. Disiplin mereka tidak dikawal sehingga mereka membesar menjadi remaja liar yang hanya tahu berfoya-foya tanpa akhlak dan ibadat.
Lebih malang lagi apabila mereka terlibat dalam kancah maksiat, dadah dan jenayah. Ia bukan hanya buruk untuk dirinya sendiri tetapi akan mengheret sama ibu bapa dan keluarga.
Apabila generasi ini berumahtangga dan membentuk keluarga, maka akan terbentuklah keluarga yang rosak dan pincang seterusnya melahirkan pula generasi yang rosak dan pincang dari segi agama dan integriti.
Post a Comment