Penghuni Syurga


Suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W sedang duduk-duduk di dalam masjid dan berbincang dengan para sahabatnya. Tiba-tiba terpancul daripada mulut baginda sambil berkata : "Sebentar lagi akan tiba seorang penghuni syurga yang akan masuk ke mari melalui pintu itu". Semua mata hadirin pun tertuju ke arah pintu masjid dan fikiran mereka masing-masing membayangkan akan hadirnya seorang yang mempunyai perwatakan yang luar biasa.

"Penghuni syurga, penghuni syurga...," begitulah gumam hati mereka bersuara.

Beberapa saat dan detik ditunggu kemudiannya ternyata hadir seorang yang datang dengan air wuduknya masih lagi membasahi wajahnya sementara ditangannya menjinjing sepasang alas kaki. Apakah gerangannya dan keistimewaan orang ini sehinggakan mendapat jaminan oleh Rasulullah memasuki syurga? Tidak seorang pun yang berani untuk menyuarakan pertanyaan itu walaupun masing-masing terlalu merindukan jawapannya.

Keesokan harinya peristiwa ini berulang lagi apabila Rasulullah S.A.W memberitahu hadirin di dalam masjid akan hadir "Si Penghuni Syurga" dan dia berkeadaan seperti semalam. Begitulah hari berikutnya, pada hari ketiga pun terjadi perkara yang sama.

Maka Abdullah ibnu 'Amr tidak tertahan lagi sabarnya. Namun tidak berani dia untuk menyuarakan pertanyaan itu dan khuatir dia mendapat jawapan yang tidak memuaskan hatinya. Dia merancang untuk pergi mengunjungi "Si Penghuni Syurga" itu.

Sesampainya di rumah "Si Penghuni Syurga" tersebut, lalu dia terus menyatakan hasratnya dengan menyuarakan : "Saudaraku, telah terjadi salahfaham antara aku dengan orangtuaku, dapatkah aku bermalam dan menumpang di rumah kamu selama tiga hari?"

"Sudah tentu boleh wahai saudaraku..," jawab "Si Penghuni Syurga" itu.

Rupanya Abdullah bermaksud ingin melihat secara dekat bagaimanakah amalan yang telah menjamin "Si penghuni Syurga" masuk ke dalam syurga oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Tiga hari tiga malam dia memerhatikan gelagat "Si Penghuni Syurga" itu dan mengamati malah mengintip disetiap gerak-gerinya namun tidak ada sesuatupun yang luar biasa dan terlalu istimewa. Tidak ada pun "Si Penghuni Syurga " itu melakukan ibadah khusus. Tidak ada pula dia bersolat malam. Tidak ada pula dia berpuasa sunat. Malah dia (Si Penghuni Syurga) itu bahkan hanya tidur dengan nyenyak sehingga beberapa saat sebelum fajar.

Ya, memang sesekali terlihat, dia terbangun daripada tidurnya dan ketika itu terdengar dia menyebut nama Allah di pembaringannya tetapi sejenak sahaja dan kemudiannya dia menyambung tidurnya.

Pada siang harinya pula, "Si Penghuni Syurga" itu bekerja dengan tekun. Dia pergi ke pasar sebagaimana halnya orang lain yang pergi ke pasar.

"Pasti ada sesuatu yang disembunyikan atau yang tidak sempat aku melihatnya. Aku perlu berterus-terang saja kepadanya...," demikianlah bertalu-talu suara hati Abdullah ibnu 'Amr berkata.


"Wahai saudaraku, apakah yang telah kamu lakukan sehinggakan kamu mendapat jaminan oleh Rasulullah untuk masuk ke syurga?" tanya Abdullah.

"Apa yang kamu lihat itulah," jawab "Si Penghuni Syurga" itu.

Dengan rasa kecewa, Abdullah memutuskan untuk pulang sahaja ke rumahnya. Sebaik sahaja dia ingin pulang dan melangkah, tiba-tiba tangannya dipegang oleh "Si Penghuni Syurga" itu seraya berkata kepadanya : "Wahai saudaraku Abdullah, apa yang telah kamu lihat itulah yang saya lakukan dan saya tidak pernah merasa iri hati dengan segala kelebihan dan ni'mat yang telah dianugerahi oleh Allah kepada seseorang. Tidak pernah pula saya melakukan penipuan dalam segala aktiviti seharian saya."

Abdullah merasa rendah diri mendengar jawapannya, dia dengan menundukkan kepalanya meninggalkan "Si Penghuni Syurga" itu sambil berkata : "Wahai saudaraku, rupa-rupanya kelakuanmu inilah yang menjadikan kamu mendapat jaminan syurga oleh Rasulullah.."

2 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:

Anonymous said...

subhanAllah, memang menakjubkan kisah hidup golongan mukminun pada zaman Rasulullah saw. tapi kalau kita iri hati nak jadi macam mereka, bagaimana pula?

Mohd Daharudin Haji Daud said...

hehehe..
nak jugak iri hatinya tu yer..
tak ada masalah jika kita nak menjadi seperti mereka yang telah dijamin syurga..

lihatlah dan laksanakan sebagaimana kelakuan mereka..
insya-Allah, jika kita ikut..
kita tak akan menyesal selama-lamanya..

bagi saya, saya tidak suka untuk mengertikan "iri hati" dalam perkara2 kebaikan seperti ini..

cuma mengubah sedikit sebutannya iaitu "berusaha" untuk menjadi seperti mereka kerana perkataan "iri hati" itu hanya sesuai untuk perkara yang tidak baik sahaja (ini adalah pendapat saya)..

tetapi perkataan "usaha" pula adalah sesuai digunakan untuk perkara2 kebaikan..

apapun halnya di sini..
berusahalah bersama-sama menjadi kekasih dan hamba Allah yang taat yang diredhai-Nya...

Maka selamatlah kita dinia dan akhirat..