Alhamdulillah..Saya kembali ke sini untuk meluahkan apa yang sekian lama terpendam dilubuk jiwa ini. Ya, kembali apabila diberi kesempatan oleh Allah sekali lagi untuk menulis di teratak anjangdahar yang rasanya sudah dua bulan kiranya ditinggalkan tanpa ada tulisan-tulisan terbaru yang tertulis mengikut rentak jari-jemari yang ada di kedua-dua belah tangan saya ini.
Kembali ke sini bukan sekadar ingin berkongsi tetapi ingin mengatakan bahawa tajuk di atas terlalu bererti dan bermakna di setiap sudut jiwa raga saya.
Pengorbanan.Ya, pengorbanan itu bukan sekadar sebuah pengorbanan kosong yang tidak punyai nilai apa-apa. Pengorbanan itu punyai ertinya dan erti sebuah pengorbanan itu dapat dinilai apabila timbulnya rasa kasih dan sayang terhadap sesuatu yang amat dia cintai yang dilakukannya dengan penuh kerelaan tanpa ada sebarang paksaan.
Seorang ibu sanggup berkorban dengan mempertaruhkan nyawanya demi melahirkan anak yang dikandungkannya. Walaupun sehingga nyawanya melayang, dia tetap sanggup untuk menyelamatkan nyawa anaknya daripada nyawanya sendiri. Ya Allah..terlalu besar jasa seorang ibu dan sememangnya tidak akan mampu untuk seorang anak itu membalasnya kembali. Walaupun dikumpulkan semua harta bendanya untuk membalas jasa ibu yang melahirkannya..tidak akan mampu untuk dia membalasnya.
Seorang ayah pula sanggup memerah segala kudrat malah kesemua tenaga dalam usahanya untuk menyara keluarganya tercinta. Begitu juga bagi seorang kekasih. Dia akan melakukan apa sahaja demi melihat temannya itu bahagia walaupun dirinya sendiri menderita. Kesemuanya ini disebabkan timbul rasa kasih dan sayang yang teramat mendalam kepada anak, kekasih dan orang yang amat dicintainya.
Rasa kasih itu memang wujud dalam setiap diri manusia. Kasih sayang itulah yang membentuk diri manusia itu sanggup berkorban dan melakukan pengorbanan terhadap diri orang yang amat dikasihi dan dicintainya.
Namun, siapalah manusia ini yang mampu melawan takdir Ilahi. Takdir Allah tiada siapa dapat menduga. Kekadang seorang ibu itu tidak mampu untuk menerimanya apabila dikatakan kepadanya anaknya sudah tiada. Anaknya itu telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Seorang ayah pula akan lemah segala sendi tulang-belulangnya apabila melihatkan kehilangan keluarganya yang terlibat dalam satu kemalangan di depan mata kepalanya. Seorang kekasih juga akan hilang segala warasnya apabila adanya satu perpisahan yang terjadi di saat hatinya tidak merelakannya.
Peliknya..peliknya kasih..semua yang dilakukan itu tanpa ada sedikit pun paksaan..kesemua yang dilakukan itu penuh dengan rasa kerelaan.
Aku menulis bukan kerana nama
Aku menulis bukan mahu dipuja
Tetapi kerana rasa kasih dan rasa cinta
Menulis kerana sayang itu menuntun jiwa
Ini bukan sekadar tulisan
Ini bukan sekadar tontonan
Bukan jua sekadar kata manis
Bukannya puitis yang indah perkhabarannya
Tetapi suara hati yang selalu
Ingin memberikan erti kepada sebuah pengorbanan
Rasa cinta
Rasa sayang
Tidak perlu dikempenkan
Biarpun arus pemodenan memamah diri
Biarpun mengaburkan pandangan orang
Sayangku tidak akan luntur
Kasihku selalu menunas
Cintaku senantiasa berputik
Tersemat kukuh di lubuk hati
Terpaku kemas di dalam jiwa
Tak lapuk dek hujan
Tak kering dek kemarau berpanjangan.
0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:
Post a Comment