Sejenak Bersama Hidangan Al-Qur'an


Segala pujian dan lafaz kesyukuran hanyasanya layak bagi Allah S.W.T yang telah meninggikan panji-panji ilmu pengetahuan serta mengukuhkan syari'at ISLAM.Dialah yang mengutuskan para nabi dan rasul sebagai penyampai dan pembimbing ke jalan yang benar. Dialah yang menurunkan al-Qur'an sebagai mukjizat terbesar kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Dia yang melahirkan ulama' sebagai penerus dan pewaris para nabi dan rasul dalam menyeru ke arah kebaikan dan melarang dari melakukan perkara yang dilarang Tuhan.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Allah Subhanahu Wa Taala yang telah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang beramal soleh kepada beberapa darjat yang lebih tinggi dan menjadikan mereka berjalan di atas jalan yang menuju ke syurga atas berkat dan kurnia-Nya.

Aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah, yang menyeru umat manusia untuk menuntut ilmu, yang menerangkan keutamaan-keutamaan ilmu, yang telah memberikan amaran kepada mereka tentang bahaya kebodohan dan kejahilan serta padahnya yang buruk.

Semoga Allah Subhanahu Wa Taala akan melimpahkan selawat dan salam kepada kekasih-Nya, kepada keluarga baginda S.A.W serta para sahabat baginda yang terpilh dan juga orang yang mengikuti sunnah di merata dunia selama siang dan malam yang silih berganti.

Siapakah orang yang telah dianugerahi ni'mat oleh Allah?

Melalui firman Allah, kita akan dapati di dalam surah An-Nisa' dalam ayat yang ke-69 yang maksudnya:

"....bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi ni'mat oleh Allah iaitulah golongan nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.
(surah An-Nisa' : 69)

Mereka itulah yang dikatakan hizbullah (golongan Allah) dan dikatakan bahawa merekalah para wali Allah (penjaga Allah). Inilah sifat mereka yang mana mereka itu adalah orang-orang yang berjalan atas landasan syariat yang dipimpin Allah Subhanahu Wa Taala.

Jadi, bagi kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. ini seharusnya membaca dan menghayati peninggalannya yang mana ianya mu'jizat teragung iaitu kitabullah, Al-Qu'anul Karim.

Sebagaimana yang telah disarankan baginda S.A.W kepada Ibnu 'Amr bin Al-'Ash Radhiyallahu 'Anhu dengan sabdanya yang bermaksud :

"Bacalah (khatamkan) Al-Qur'an dalam sebulan. " Ibnu 'Amr bin Al-'Ash menjawab : "Aku dapat melakukan lebih daripada itu". Rasulullah S.A.W bersabda lagi : "bacalah (yakni khatamkanlah Al-Qur'an) dalam sepuluh hari". Ibnu 'Amr bin Al-'Ash menjawab : "Aku dapat melakukan lebih daripada itu." Rasulullah bersabda lagi : "Bacalah (khatamkanlah al-Qur'an itu) dalam masa tiga hari dan jangan lebih"

Maksud "jangan lebih" dalam hadis di atas ialah berdasarkan hadis nabi S.A.W yang bermaksud :

"Tidak akan faham orang yang mengkhatamkan Al-Qur'an kurang daripada tiga hari"

Ertinya : Tidak akan faham dan tidak akan mungkin dapat menghayati dan mentadabburinya. Bukan bererti dia tidak dapat pahala, insya-Allah dia akan dapat pahala bacaannya tetapi dalam hal ini tentu sahaja berbeza dengan orang yang mengikuti sunnah.

Selebih afdhal bacalah dan khatamlah al-Qur'an dalam masa sebulan, iaitu satu juzuk satu hari itu lebih baik kerana dia semestinya mampu untuk menghayatinya dan tidak terlalu tergopoh-gapah dalam bacaannya, iaitu dia akan membacanya dengan tartil dan tertib sekali.

Wallahua'lam.

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: