Ketulusan Jiwa


Hati ialah tempat letaknya segala perasaan yang merupakan jentera yang menghidupkan rasa kemanusiaan di dalam setiap diri seseorang individu yang bernama insan. Hati tempat jatuhnya segala rasa sayang, rasa cinta, rasa marah, rasa benci, rasa takut, gelisah, gembira, kecewa dan segala macam perasaan yang mengakibatkan seseorang itu tersenyum girang, ketawa berdekah-dekah, menangis terisak-isak dan mengakibatkan dia mempamerkan bermacam-macam mimik muka atau tingkah -lakunya demi memperlihatkan perasaannya. Semuanya ini terjadi disebabkan peranan hati yang ada di dalam diri seorang insan tersebut. Hati memainkan peranan utama dalam memperlihatkan peribadi seseorang. Benar atau tidak, nilailah sendiri..

Adalah bertepatan dengan hati yang jika kita lihat daripada kalimah asal arabnya ialah qalb. Qalbun itu sesuatu yang selalu berubah-ubah..berbolak-balik dan tidak tetap. Apa tidaknya, jika kita lihat sendiri kepada diri kita. Kadang-kala dan ketikanya, ada masa kita tersenyum, ada kalanya kita ketawa dan ada waktunya kita bersedih sehingga air mata kita tumpah tanpa mampu kita menahannya. Itu semua merupakan peranan hati. Hati yang memainkan watak utama dalam diri mengakibatkan semua itu terjadi dalam kehidupan kita seharian.

Sebab itulah, berbetulan sebagaimana sabda junjungan besar nabi kita Muhammad S.A.W di mana baginda telah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud :

"..........Ingatlah! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika ia baik, maka baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ingatlah! Itulah hati."

(H.R.Bukhari & Muslim)

Memang sebuah nafas panjang itu selalu akan ditarik dan dihembuskan bersama berjuta-jutaan jeritan hati yang senantiasa menagih dan menanti suatu kepuasan. Dunia ini memang menawarkan berbagai-bagai macam kenikmatan yang melekakan. Kaki pula..hendak ke mana ia melangkah menurut kehendak hati? Antara syaitan dan malaikat bergelut....berebut menguasai diri. Tapi kepada siapakah akan kita ikut......?

Demikianlah peperangan itu berlaku. Kedua-dua belah pihak bertarung dan berebut dalam kancah peperangan, iaitu di lembah hati seorang insan. Jika iblis yang menang...manusia itu akan hilang segala sifat kemanusiaannya. Apabila agama (malaikat dan pemikiran yang didasari oleh Syari'at Allah) yang menang...maka manusia itu akan menjadi luhur dan bijaksana.Penuh dengan rasa kasih dan sayang.

Adalah suatu hal yang pasti bahawa setiap jiwa manusia terjadi pergelutan dan peperangan yang dahsyat. Dimana pergelutan itu yang menentukan apakah dia akan tetap sebagai manusia atau akan menjadi binatang yang berbadan manusia. Itulah peperangan antara rayuan syaitan dan seruan agama. Antara kebatilan dan kebenaran........

Maka haruslah kita meletakkan nilai ikhlas itu di setiap amal perbutan kita semata-mata kerana Allah Yang Maha Esa...

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: