Bersabarlah dengan ujian Allah..

Biarlah apapun jenis ujian buat kita sama ada ia berbentuk cubaan mahupun penderitaan. Kita mesti ingat bahawa sebenarnya ia adalah sebahagian daripada hidup kita.

Namun kadang-kala kita antara sedar atau tidak, sebenarnya cubaan itu dan penderitaan itu adalah sebuah proses menuju sebuah keindahan dan kebahagiaan hakiki.

Percaya atau tidak? Nilailah sendiri..

Thabat hati dan istiqomah walaupun secangkir dalam hati itulah mampu menangkis semua mehnah di hadapan.

Allah swt membentuk kita malah memang penderitaan yang Allah berikan pada kita membuatkan kita sakit, terseksa, penuh penderitaan. Kekadang menyebabkan aliran air mata dan hilangnya harta. Mungkin dengan cara itulah Allah SWT merubah dan bentuk diri kita menjadi baik dan terbaik dan dapat memancarkan cahaya hidayah-Nya.

Jika sekarang ini Allah SWT masih uji kita dengan cubaan dan penderitaan yang cukup membuatkan kita sakit, pedih dan terseksa. Anggaplah cubaan dan penderitaan itu adalah sebuah proses kita menuju kebahagiaan hakiki di Akhirat.

Ingatkah sahabat dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mulk, Allah berfirman yang maksudnya :

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji siapa di antara kamu yang baik amalannya"

Cubaan itu adalah sebuah kenikmatan yang diberikan Allah SWT untuk membentuk dan menjadikan kita lebih maju dan lebih hebat, Allah nak melihat siapa di antara hamba-hamba-Nya yang kuat kesabaran dan kuat beramal soleh walaupun dia ditimpa bermacam-macam ujian yang berat.

Kita tahu bahawa cubaan itu akan menghasilkan sebuah keberanian, ketekunan, kesungguhan, dan pengalaman.

Biarlah keberanian, ketekunan, kesungguhan dan pengalaman memperoleh buah yang matang. Apabila kita mengalami penderitaan dan cubaan, maka betapa indahnya jika berlapang dada dan tidak kecil hati kerana seorang kekasih untuk melihat kesetiaan kekasihnya adalah dengan melihat bagaimana dia mampu sabar dalam menderita. Anggaplah penderitaan itu sebagai ujian kerana kasih dan sayangnya Allah terhadap diri kita itulah maka Allah memberikan penderitaan itu di dalam hidup kita.

Ujian itu memang menyakitkan tapi setelah proses itu selesai maka kita akan melihat betapa cantiknya Allah membentuk kita dengan cubaan dan penderitaan yang kita hadapi.

Sahabat!

Percaya dan yakinlah bahawa seluruh cubaan yang diberikan Allah itu pasti ada hikmahnya, kerana Allah tidak berbuat sesuatu perkara itu dengan main-main kepada hamba-hambaNya. Dan pastilah ada di sana suatu kemanfaatan disebalik ujian itu buat diri kita.

Kalau kita belum dapat merasakan hikmah itu maka kita harus selalu bermuhasabah diri. Mungkin kita tidak selalu menyelami apakah hikmah dan balasan yang akan diberikan Allah buat kita di Akhirat kelak. Allah sayang akan hambaNya yang ada tersimpan perasaan kasih dan sayang dalam hatinya.

Ingatlah dan percayalah sahabat...selama mana kita benar-benar yakin dengan ketentuan Allah dan beriman akan adanya suatu hari di mana manusia yang patuh dan taat pada semua perintah Allah akan mendapat ganjaran yang sebaiknya di sisi Allah.

Percayalah..percayalah dan percayalah!!!

Allah sentiasa kasihkan hamba-hambaNya yang beriman dan redha terhadap segala ujian.

Peringatan Buat Diriku

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam :
خيركم خيركم لأهله وانا خيركم لأهلى
“ Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap ahli keluarganya dan aku merupakan orang yang terbaik daripada kamu terhadap keluarga” .

(Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 3892 dan Ibn Hibban).


Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”

Ayat di atas merupakan siri sifat mulia yang Allah SWT senaraikan di dalam surah al-Furqan sebagai sifat “Ibaad ar-Rahmaan” atau “hamba-hamba bagi Tuhan yang Pengasih”. Ia meliputi sifat-sifat mukmin secara individu, mukmin sebagai da’ie, mukmin yang mentaati Allah sesempurnanya dan mukmin yang mencegah dirinya dari sifat-sifat keji dan perlakuan jenayah yang mencela Tuhan lagi mendatangkan mudarat kepada sesama manusia.

Namun, salah satu daripada sifat keutamaan hamba-hamba Allah ini, adalah sifat dan peranannya sebagai pemimpin kepada keluarga. Bukan sahaja beliau berusaha gigih membentuk diri sebagai seorang mukmin yang sejati, beliau juga tidak lupa untuk membawa keluarganya ke gerbang kejayaan yang hakiki. Ini adalah sifat sebenar bagi orang yang berjaya, kerana mereka yang berjaya bukanlah dari golongan yang berjaya sendirian. Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersama-sama dengannya. Dan sudah tentulah orang lain yang paling utama untuk dibawa bersama ke mercu kejayaan adalah isteri dan anak-anak.

Walau bagaimana pun, doa seorang mukmin yang bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya ini, mestilah diteliti dengan cermat kerana terdapat banyak sentuhan halus al-Quran yang wajar dijadikan bahan penitipan tarbiah.

Mungkin bagi seorang suami dan bapa yang ‘biasa’, doanya bersahaja. Dia akan memohon kepada Allah SWT supaya menjadikan isteri dan anak-anaknya sebagai orang-orang yang bertaqwa. Mungkin beliau akan berkata “Ya Allah, jadikanlah diriku, isteri dan anak-anakku sebagai orang yang bertaqwa”.

Namun kehalusan al-Quran (Lathaa’if Qur’aaniyyah) mengolah doa seorang suami dan bapa yang bersifat dengan sifat Ibaad ar-Rahmaan dengan cara yang lebih teliti. Renungi kembali ayat al-Quran tersebut:





“Serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”


Doa tersebut menggunakan konsep Imam dan Makmum di dalam pengendalian peranan suami dan bapa. Ia lebih kukuh kepada mendatangkan makna seorang mukmin yang sejati kerana doa ini adalah doa yang di dalamnya ada amali. Ia bukan doa yang miskin usaha, sebaliknya doa yang disertai dengan pengorbanan, kesusahan dan ikhtiar. Mana mungkin begitu mudah kita memohon agar Allah mengurniakan ‘penyejuk mata’ melalui isteri dan anak-anak tanpa terlebih dahulu kita berikhtiar, sebagai memenuhi Sunnatullah yang memberi kepada yang berusaha?

Sesungguhnya doa ini amat besar maknanya. Ketika menadah tangan memohon hidayah dari Allah, mohonlah dengan sedar supaya Allah menjadikan kita terlebih dahulu sebagai insan paling bertaqwa, kerana yang paling bertaqwa itulah sahaja yang layak menjadi imam bagi makmum yang bertaqwa.

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu. Di atasnya ada malaikat yang amat keras dan mengerikan. Mereka tidak sekali-kali membantah apa sahaja yang Allah perintahkan, bahkan mereka terus melaksanakan apa yang diperintah (oleh Allah)” [At-Tahrim 66 : 6]

Chu..moga kau bahagia di sana..

oleh : anjang_dahar

4 April 2008
4:22 pagi

Ketenangan bayu yang menghembus sepoi-sepoi bahasa, meniup mesra ke tubuhku di ketika suasana dingin dinihari pagi di awal bulan April ini telah menambahkan lagi kesayuan dan sebak di lautan jiwaku. Apa tidaknya, sesaat diriku mengingati kembali pemergian seorang yang amat kukasihi dan kuhormati. Ya, mak saudaraku, Allahyarhamah Siti Khadijah Binti Mustafa. Kesemua keluargaku memanggilnya dengan panggilan 'Chu', mak saudaraku yang bongsu sebelah ayah.

Walaupun 'Chu' sudah hilang di ruang anak mataku. Namun memori bersamanya seolah-olah begitu sukar dan amat payah diluputkan oleh mindaku , masih segar di dalam ingatan. Gambaran demi gambaran masih terlukis kemas di kotak fikiran. Kata-katanya dan nasihat-nasihatnya yang telah lama terpahat dikotak fikiranku masih lagi cermat untuk kusimpan. Tanpa sedar ianya membuatku bersemangat untuk terus melangkah ke depan.

Ya, segala nasihat dan kenangan bersama dengannya masih tersemat dan kekal menetap di satu tempat yang dihuni oleh hati dan perasaan. Dia merupakan 'Mak Su' ku yang teramat prihatin di setiap gerak-geriku. Memang teramat sukar sekali bagiku untuk meluputkan kenangan itu yang masih aktif bermain-main di ruang mindaku hingga ke saat ini.

Air mata yang kutahan sejak dari tadi tak dapat kubendung lagi daripada terus mengalir apabila bayangan raup wajahnya itu menyelinap ke ruang mataku. Pelik sendiri. Aku seakan-akan tidak dapat menerima pemergiannya buat selama-lamanya di saat dia yang kuharapkan untuk memberi kata-kata semangat dan dorongan buatku meneruskan agenda yang belum selesai untuk kuperlihatkan kepadanya.

Namun aku pasrah dan redha dengan ketentuan daripada Pemilik jiwanya. Mungkin ada rahmah disebalik apa yang telah tersurat ke atas dirinya dan diriku.

Aku cepat-cepat mengesat dan menyeka manik-manik halus dari terus-menerus jatuh ke cadar kusam pipiku yang lesu. Walaupun aku bukanlah orang yang suka menangis, namun disebabkan dirinya tak lagi kumampu untuk menghalang air mataku ini daripada terus mengalir.

Sebenarnya, aku tak mahu dianggap sebagai seorang hamba Allah yang tak mampu menerima qada’ dan qadar-Nya. Serasa gontai segenap langkahan kakiku ketika menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwudu’. Subuh pun kian hampir dan waktu imsak sudah melambai-lambai untuk mengisi ruangnya. Aku tak mahu terlepas untuk bersolat tahajjud, lagi pula suasana pagi sebegini yang penuh kerahmatan dan keberkatan telah mentarbiyyah diriku supaya sentiasa beriltizam untuk membiasakan diri bangun malam.

Seelok-eloknya aku perlu istiqomah untuk sentiasa bangun di waktu-waktu sebegini, lagi pula aku baru saja dengar kuliyah maghrib di masjid Muttaqin..ustaz ada berpesan..jangan tinggal solat..lebih-lebih lagi solat jemaah..malah, jauhkan diri dari sifat munafiq..kerana orang munafiq sukar bangun subuh dan menunaikan solat isya'..apatah lagi pergi bersolat jemaah di masjid di kala waktu subuh. Kini aku tak mahu terlepas untuk kupenuhi malam-malamku dengan kuisi sepenuhnya program-program kerohanian. Apatah lagi aku sekarang cuba untuk menghafal 30 juzuk al-Qur'an..Maka perlu kujaga adab-adab seorang yang ingin menjaga kalam-kalam-Nya yang mulia.

Oh! Memori itu datang menjengah lagi ke ruang-ruang mindaku. Amat sukar untuk kulupakan segala kenangan yang begitu bersama-samanya kerana Chu selalu mengingatkan aku dengan kenikmatan yang akan dikurniakan Allah Taala kepada hamba-hamba-Nya yang soleh.

Pada waktu sebegini jugalah doa yang dipohon sangat mustajab dan selalu diangkat. Malah banyak kenikmatan yang akan diganjarkan Allah kepada mereka yang bangun malam berqiamullail di saat orang lain sedang enak dibuai mempi-mimpi indah yang mengasyikkan. Sejak kebelakangan ini aku selalu berazam untuk cuba bangun bertahajjud walaupun ianya amat sukar sekali dalam rutin hidupku seharian.

Sejak aku bekerja ni, aku cuba untuk tidak mengabaikan tahajjud. Jika ada waktu luang seusai solat maghrib, aku akan bermuhasabah diri agar aku senantiasa dalam keadaan diberi peringatan sementara mengulangkaji setiap ayat-ayat hafazanku.

Chu merupakan seorang mak saudaraku yang sangat prihatin dan mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi kepadaku. Selalu dia akan menasihatkan aku agar selalu bersolat tahajjud. Chu sememangnya mak saudaraku yang baik budi pekertinya. Masih teringat pada sayup-sayup satu suara yang selalu membisikkan dan menukilkan kata-kata semangat buat membangunkan diriku..

" Kejayaan sebenar terletak pada kesanggupan diri seseorang menempuhinya selepas dia mencuba membaikinya di setiap kesilapan yang dilakukan..kerana manusia mana yang terlepas daripada melakukan kesalahan. Oleh itu kejayaan yang sebenar-benarnya adalah kesanggupan diri untuk bangun malam sesudah berkali-kali jatuh berdengkur"

Sudah menjadi kebiasaan Chu menggunakan uslub yang berbaur muhasabah jika aku lemah dilanda badai ujian syaitan yang ketika itu memang terlalu liat untuk bangun di tengah-tengah kesejukkan yang amat menusuk isi dan tulangku. Ya, kata-katamu itu membuatkan aku tersenyum sendirian, Chu!

Astaghfirullahal ‘azim, berkali-kali aku beristighfar. Kenapa aku masih belum dapat menerima ketentutan Allah terhadap dirimu. Walaupun aku tahu, itu kerana Allah lebih menyayangi dirimu. Sebab itu Allah mengambil dirimu dahulu daripada diriku jika itu yang terbaik buatmu, Chu. Moga engkau bahagia di sana..amin.

Ya Allah! Engkau tempatkan 'Chu' bersama-sama hamba-hamba-Mu yang soleh. Chu, aku berjanji akan kuteruskan hidup ini walaubagaimana sekalipun ujian melanda. Namun, ketahuilah Chu bahawa kenangan bersamamu bukan sahaja di dunia ini malah akan terus kekal ke alam akhirat nanti...

Aku terus membentangkan tikar sejadah dan mula menunaikan solat sunat tahajjud. Takut-takut nanti tak sempat pula menunaikannya. Di saat itu, aku tak putus-putus mendoakan kesejahteraan dirinya di dalam solatku bersama-sama doaku terutamanya buat ayah dan ibuku yang tercinta, berserta doaku buat keluargaku tersayang, ustaz dan ustazahku, teman-teman seperjuangan dan kaum muslimin seluruhnya.

Aku terus bermonolog sendirian di depan Khaliq dalam keadaan air mataku tak mampu lagi kutahan daripada terus menitis laju mencurah-curah jatuh menimpa pipiku..

Percayalah Chu!

Walaupun siang dan malam datang silih berganti, setitis demi setitis titik-titik kenangan antara kita yang dibina dahulunya masih kusimpan semua takungannya dalam tempayan rumah hatiku. Malah ianya seperti sebatang pohon yang rendang sedang membesar mahu menggamit awan.

Saat demi saat, hari demi hari walaupun ianya sudah berlalu pergi bersama impian kita. Segala harapan demi harapan yang pernah kita ungkapkan bersama, sudah pastinya akan termaktub dalam keredhaan Allah yang selamanya kita cari dan dambakan.

Di sebalik tirai persaudara yang telah lama Allah bangunkan, ingin kuungkapkan bahawa engkau merupakan di antara mak saudaraku yang paling istimewa. Kau diibaratkan sebutir bintang, selalu sahaja membantu musafir yang lemah seperti diriku ini untuk berjalan dan berkelana di malam hari.

Chu, kaulah yang telah banyak mencetuskan semangat diriku yang kian luntur dari jiwa ketika itu. Itu kerana kau memiliki sebuah hati yang mulia lagi suci.

Sepertimana yang telah diungkapkan oleh Imam Al-Ghazali dalam kata-katanya :

"Yang paling mulia dalam diri manusia itu ialah hati kerana melalui hati seseorang itu mampu mengenal Allah, beramal kerana-Nya dan berusaha menegakkan hak-Nya"

KUSELUSURI PUTARAN TAKDIR

Tuhan
Dalam detik dan saat putaran bumi
Bersamanya kitaran hidup setiap jiwa
Tersemat indah dalam ayat-ayat cinta-Mu
Penuh dengan alamat dan tanda
Peringatan untuk difahami dan dimengertikan
Tentang takdir semalam yang kutemui
Yang telah keluar dari persembunyiannya
Di sebalik hikmah kejadian manusia.

Kini yakinlah diriku bahawa
Kasih sayang-Mu masih ada sisanya
Di rerumputan jatuhnya embunan pagi
Di saat dinihari yang menghuni segala memori
Pada nyawa yang masih berkalang dijasadku.

Tuhan
Betapa aku masih tetap merindu
Betapa diriku masih tetap seperti dulu
Seperti bintang timur
Selalu menunjukkan arahnya
Pada setiap jalan untukku selalu bersama-Mu.

Tuhan
Kau biarkan diriku masih mengembara di bumi
Menanti saat berjumpa dengan-Mu

Percayalah!
Rinduku masih tiada tepinya
Meskipun kujelajahi putaran takdir
Betapa Dikau sahaja kekasih hati

Namun hendaklah Kau tahu
Aku jua mencintai setiap insan soleh
Yang Engkau cintai dan redhai.

-Hanya menyata apa di hati, 4 April 2008-

Aku terus bermonolog lagi..

Tuhan..

munajat hamba-Mu ini penuh bersulamkan kasih dan pengharapan. Walaupun aku tahu setiap insan yang bernyawa akan Kau badaikan dirinya dengan gelombang ujian-Mu. Namun, janganlah Kau uji diriku dengan sesuatu ujian yang tak mampu untuk kutanggung dan kupikul.

Chu..

Walau sesukarnya aku menerima pemergian dirimu. Namun terpaksalah kupasrah jua. Barangkali suatu hari nanti aku akan bersyukur dengan adanya perpisahan kita yang sementara ini. Malah ianya telah memberi ruang dan waktu untuk aku terus mengingati dan mensyukuri nikmat yang berharga itu kerana mengurniakan kepadaku seorang mak saudara yang baik seperti dirimu suatu ketika dahulu. Maka Dialah yang berhak mengambilnya kembali daripada sisiku.

Chu..

Kini barulah aku tahu...kadang-kala hidup ini sekeras mangkuk pijar kerana ianya disulami detik-detik suram yang begitu menyeksakan. Bagai air yang tetap mengalir di dalam sungai, hidup ini juga punyai detik-detik air bahnya. Seperti putaran musim yang senantiasa berubah, hidup ini juga punyai kehangatan musim panasnya yang tersangat terik dan kesejukkan musim dinginnya yang terlalu menusuk ke kulit.

Aku tahu..

Jika kita cuba menikmati hidup yang masih tersisa ini dengan penuh daya dan usaha. Jika kita masih mampu mengukir sebuah senyuman di bibir mulut dan meletakkan setinggi langit harapan dan impian. Walau masa sudah banyak mengubah hala tujunya dan umur sudah berapa banyak diterbangkannya. Yang pasti, aku masih ada peluang untuk menagih sisa-sisa kasih sayang dan menggamit keredhaan Tuhan.

Ya Allah!

Perkenankanlah kesemua permintaanku, biarpun lambat atau cepat, biarpun tak kukecapnya di alam dunia namun kuharap akan kuterimanya di Akhirat..kerana Diri-Mu sahaja yang mampu untuk mengangkat segala permintaan setiap permohonan semua hamba-hamba-Mu yang meminta.

Ya Allah!

Jadikan diriku ini hamba-Mu yang taat pada setiap suruh perintah-Mu dan abadikanlah diriku di kalangan mereka yang taat pada ibu dan ayah selamanya sebagai penyejuk hati dan seluruh insan yang berada disekeliling mereka berdua.

Allahumma Amin.