Keselarasan Antara Do'a Dan Usaha


Kali ini anjang kembali untuk memperingatkan lagi tentang Iman dan Taqwa kita kepada Allah SWT. Ini adalah kerana dua unsur penting iaitu Iman dan Taqwalah yang akan mewarnai dinamika ibadah kita kepada Allah S.W.T.

Iman secara batin, Taqwa secara lahir...

Lihatlah kepada kehidupan kita yang adanya batin dan adanya lahir. Begitulah juga jika kita nak merealisasikan tentang do'a dan usaha kita. Do'a tanpa usaha adalah sia-sia, sebaliknya usaha tidak disertai do'a kurang berkatnya. Iman secara batin maka sukar untuk dilihat kerana adanya di dalam sanubari.. hanya yang nampak adalah Taqwanya...

Iman seseorang itu tak mungkin dapat kita lihat sekiranya tidak dilihat dari sudut taqwanya di dalam ibadahnya, solatnya, zakatnya, dan hajinya. Begitulah kira-kira ibadah seseorang itu, digerakkan dari batin maka akan dizahirkan oleh lahirnya atau tingkahlakunya.

Yakin dan percayalah hanya dengan do'a dan usaha dapat mengisi Iman dan Taqwa seseorang hamba kepada Khaliqnya.

Dengan Iman kita berdo'a,
Dengan taqwa kita berusaha.
Do'a dan Usaha untuk merealisasikan Iman dan Taqwa... Ya, supaya mudah mengingat rangkaiannya, disingkat ayat ini dengan "DUIT" (ia juga di antara perkara yang sangat penting yang harus dimiliki)...

Termasuk membina dan membentuk keluarga yang bahagia, do'a dan usaha harus dipanjatkan selalu dan merupakan faktor yang tersangat penting dalam pencapaiannya. Di dalam Al-Qur'an Al-Karim diajarkan oleh Allah S.W.T melalui tiga jenis do'a khusus untuk keluarga, banyak do'a di dalam Al-Qur'an, semuanya ada 66 ayat, daripada 66 ayat inilah terdapat tiga jenis do'a yang khusus untuk keluarga.

Pertama di dalam surah Ali Imran pada ayat ke-38, yang kedua di dalam surah Ibrahim pada ayat yang ke-40, yang ketiga di dalam surah Al-Furqan pada ayat ke-74, inilah konsep do'a yang diajarkan oleh Allah S.W.T., di dalam Al-Qur'an untuk membentuk dan membina keluarga yang bahagia, sejahtera, aman di dunia dan akhirat.

Yang pertama di dalam surah Ali Imran pada ayat 38 :

" Di sanalah Zakaria berdo'a kepada Tuhannya seraya berkata " Wahai Tuhan, kurniakanlah kepadaku zuriat keturunan yang baik daripada Engkau, Engkau Maha Mendengar akan segala do'a ".

Jadi ibubapa atau bakal menjadi ibubapa seharusnya meminta kepada Allah S.W.T. supaya diberi anak ( keturunan atau zuriat ) yang baik.

Yang kedua di dalam surah Ibrahim ayat yang ke-40 :

"Wahai Tuhanku ! Jadikanlah aku orang yang tetap mendirikan solat, juga di antara keturunanku, Ya Tuhan kami ! Kabulkan do'a ku " !

Kalau yang pertama tadi meminta keturunan yang baik, yang keduanya berdoa meminta menjadi ahli ibadah yang taat dan patuh supaya yang baik tadi menjadi benar kerana banyak orang yang baik belum tentu lagi benar. Maka perlulah kita meminta kepada Allah S.W.T. supaya jadikan kita berkeadaan baik lagi benar.

Dalam do'a di atas yang kita minta supaya menjadi ahli ibadah ( yang selalu mendirikan solat ). Ini adalah kerana pokok ibadah itu merupakan solat. Maka jenis ibadah yang lainnya kalau dihitung bahkan tidak akan terhitung banyaknya. Dalam hal ini, solat merupakan ibadah paling pokok dan menentukan Taqwa dan Iman seseorang.

Yang ketiga, do'a buat keluarga ada di dalam surah Al-Furqan pada ayat ke-74 yang maksudnya:

" Dan orang-orang yang berdo'a itu (mereka meminta) : " Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata hati ( kami ), dan jadikanlah kami Imam bagi orang-orang yang bertaqwa ".

Sebagai keterangannya mereka memohon kepada Allah supaya diberikan mereka anak dan isteri yang akan menjadi Qurrata a'yunin atau yang selalu menyenangkan hati, nikmatnya bukan main lagi jikalau kita mempunyai keluarga atau anak yang menjadi Qurrata a'yunin itu. Seorang suami atau lelaki yang bakal mendirikan rumahtangga perlulah meminta kepada Allah S.W.T. supaya mempunyai isteri dan anak yang menyenangkan hati, menyejukkan perasaan, menenteramkan pemikiran. Di mana pengertian perkataan atau kalimah Qurrata a'yunin ini tersangatlah luas maknanya.

Tiga jenis do'a di atas itu mudah untuk kita membacakannya, maka bacalah ketiga-tiga do'a itu sekaligus di dalam do'a yang kita panjatkan kepada Allah S.W.T. Do'a ini memiliki maksud yang sangat luas daripada Allah S.W.T. Do'a sudah kita bicarakan hanya tinggal usahanya sahaja, maka bagaimanakah pula usahanya ?

Kita lihat dahulu bagaimana jalur dari intipati Taqwa yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam merealisasikan ayat "Qu anfusakum wa ahli-kum naaro". Menjaganya adalah dengan Taqwa, maka membina manusia itu tidak mampu seperti metode ilmu fekah. Ini adalah kerana jikalau metode ilmu Fekah, yang halal dimakan, yang haram dibuang.

Maka berlainan dalam metode kali ini kerana membentuk dan membina keluarga memakai metode Tasawuf, yang baik dipelihara, yang jelek diperbaiki. Jadi, sekiranya kita mempunyai atau memiliki anak atau suami/isteri yang jelek dan nakal, jangan dibuang.. tetapi harus diperbaiki. Perintah memperbaiki ini dalam Islam bukan ketika ditengah jalan, tapi sejak dari awal.. cuba kita lihat daripada intipati do'a-do'a di atas tadi... Do'a itu berlaku untuk masa kelahiran, sebelum kelahiran dan setelah kelahiran.

Sekiranya belum mempunyai anak, sudah meminta anak yang baik. Mungkin kita terlambat dalam mengetahui do'a ini. Tidak mengapa daripada tidak mengetahuinya sama sekali, sebab ini do'a Nabi Allah Zakaria. Baginda berdo'a sebelum baginda mempunyai anak, sampailah anak itu lahir. Baginda masih tetap berdo'a. Usaha membentuk anak yang baik harus mengikuti ajaran Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. sendiri pernah bersabda yang maksudnya, bagi anakmu yang lahir, bacakanlah Azan ditelinga kanannya, kumandangkanlah Iqamat ditelinga kirinya.

Memang betul Azan untuk memanggil orang solat, kalau di tempat atau di waktu solat itu sendiri. Menurut Tafsir Ibnu Abbas, kalimah Azan itu ada tujuan masing-masing. Yang tergantung waktu bila dan di mana ianya dikumandangkan. Kita lihat zaman Nabi Muhammad S.A.W., azan mengigati akan masuknya waktu subuh satu jam sebelum datang waktunya dikumandangkan Azan Subuh. Maka begitu juga apabila tiba waktu subuh, Azan lagi yang kedua kalinya. Pertama Bilal yang mengazankannya, keduanya pula oleh Ibnu Maktum.

Tujuan Azan yang pertama untuk membangunkan orang yang sedang tidur. Azan yang kedua sebagai pemberitahuan bahawa waktu solat subuh sudah datang, Uthman bin 'Affan radhiyallahu 'anhu mengumandangkan Azan Jum'at dua kali. Pertama, lebih kurang satu jam sebelum waktu Jum'at datang. Azan ini dikumandangkan di tengah pasar, maksudnya untuk mengingatkan orang yang sedang berdagang atau berniaga kemudiannya barulah Azan yang kedua masuk waktu Jum'at di dalam Masjid.

Jadi kalau kita meneliti kejadian-kejadian atau peristiwa-peristiwa ini, bererti tujuan Azan itu di mana ditempatkan di situ mempunyai maksud tersendiri. Waktu perang Rasulullah S.A.W. memerintahkan Azan untuk memohon kemenangan kepada Allah S.W.T.

Azan yang kita bicarakan tadi itu adalah sebagai rasa syukur kita kepada Allah S.W.T. kerana kebesaran Allah S.W.T. memberikan kita satu kurniaan ( iaitu anak ). Maka ungkapan syukurnya adalah dengan membesarkan Allah S.W.T. kerana anak adalah merupakan satu kurniaan dan nikmat daripada Allah S.W.T.

Kalau kita meneropong lebih jauh lagi, setiap diri kita manusia akan didampingi oleh syaitan ketika mana dia dilahirkan sampailah sekarang. Syaitan ini telah pun memohon kepada Allah S.W.T. sebelum manusia berkembang biak dengan banyaknya. Dia telah memintanya kepada Allah dan permintaannya antara lain:

"Wahai Tuhanku, anak Adam kau beri rumah, maka berikanlah aku rumah. Kata Allah, rumahmu adalah kamar atau bilik mandi. Oleh itu, Nabi Muhammad S.A.W. mengajarkan kita apabila kita ingin menjejakkan kaki ke kamar mandi ada do'anya, kerana ia adalah rumah syaitan. Kemudian syaitan meminta lagi...Anak Adam Kau beri mereka tempat duduk, maka berikanlah aku tempat duduk. Kata Allah, tempat dudukmu ialah di pasar-pasar. Maka sekiranya kita mahu masuk ke pasar diajarkan berdo'a, kerana ia merupakan tempat duduk-duduknya syaitan. Lalu syaitan meminta lagi, Anak Adam Kau beri kitab sebagai pedoman dan petunjuk. Kitabmu kata Allah, adalah syair-syair lagu yang menyesatkan. Maka kalau kita selalu menyanyikan lagu-lagu barat yang sensual dan lagu Dangdut ...maka yang sangat asyiknya bukan main itu adalah merupakan petunjuk syaitan sampai kita lupa kesemuanya. Tetapi syaitan akan lari tercirit-birit kalau mendengar laungan azan. Ini antara lain manfaat Azan. Setelah dikumandangkan Azan kepada bayi yang baru dilahirkan, kata Rasulullah S.A.W., berilah dia makanan yang "halalan thayyiban" ( iaitu dimaksudkan air susu ibunya ).

Yang ketiga, berikanlah dia nama iaitu berilah anak dengan nama yang bagus dan baik pengertiannya, yang ada identiti Islamnya. Ini kerana daripada sabda Nabi S.A.W. yang maksudnya, nama itu mempengaruhi keperibadian seseorang.

Islam tidak kekurangan nama, sumber atau rujukan nama boleh diambil daripada nama Allah (cuma diletakkan hamba atau 'abd di depannya). Begitu juga nama Nabi, nama Rasul, nama sahabat Nabi, nama daripada Wali, daripada ayat Al-Qur'an, pokoknya ialah sumber pengambilan nama-nama di dalam Islam ini tidak akan pernah habis, cabangnya dan sumbernya banyak sekali.

Persoalannya, mungkin kita belum mengenal atau mengetahui nama-nama daripada Islam itu sendiri. Memberi nama yang baik kepada anak, sesuai dengan permohonan kita kepada Allah, seperti tertera dalam do'a yang berasal daripada ayat Al-Qur'an di atas. Ini sebagai langkah usaha kerana nama merupakan panggilan dan seruan iaitu bermaksud do'a yang sering kita laungkan panggilan buat anak-anak kita.

Kewajipan yang ke-empat mengaqiqahkan anak sebagai ungkapan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T. Dua ekor kambing kalau mendapat anak lelaki, seekor kambing kalau anak perempuan. Aqiqah tidak terikat oleh waktu, berbeza dengan ibadah Qurban. Aqiqah boleh dilakukan bila-bila saja, asal anaknya belum akil baliqh. Memang utama jika kita lakukan di masa kelahiran iaitu hari ke-tujuh. Kalau kita mendidik anak dimulai dengan cara-cara seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W., insya-Allah kita digolongkan sebagai orang yang selalu bersyukur. Iman itu kata Nabi ianya memiliki dua sisi. Sisi yang pertama ialah sabar dan sisi yang kedua ialah syukur.

Malah bukan saja ia mensyukuri anak kerana ia baru lahir tetapi mensyukuri nikmat yang lebih jauh dan panjang lagi, iaitu rezeki, usaha dan lain-lain. Hakikat syukur itu kalau menurut Imam Ghazali ialah sekiranya mahu melihat orang yang selalu bersyukur itu memiliki tiga syarat.

Pertama, dia mengenal apakah itu nikmat, ertinya : yakin nikmat itu datangnya daripada Allah S.W.T bukan daripada yang lainnya.

Kedua, dia mengetahui manfaat nikmat itu sendiri, kita sering lupa akan kemanfaatan nikmat.

Kita tidak selalu ingat...
Nikmat mata untuk apa?
Nikmat telinga untuk apa?
Nikmat memiliki gigi untuk apa?

Jarang sekali kita menyedari kemanfaatan pemberian-pemberian Allah S.W.T. yang sangat berharga dan tak dapat ditukargantikan itu. Kita selalu akan ingat apabila sebahagian kecil daripada pemberian-pemberian Allah itu sudah berkurang fungsinya kerana terkena penyakit atau mengalami gangguan.

Yang ketiga, orang menggunakan nikmat itu sesuai dengan kehendak yang memberi nikmat. Ini yang sering dilupakan dan tidak dipedulikan oleh manusia kerana umumnya manusia itu menggunakan nikmat Allah S.W.T. kepada tujuan yang tidak sesuai dengan kehendak-Nya. Seharusnya semua pemberian Allah S.W.T. ini digunakan sesuai dengan kehendak-Nya. Begitulah juga apabila memperoleh rezeki, maka gunakanlah sesuai dengan kehendak Allah S.W.T.

Kembali kepada do'a yang kedua iaitu untuk dapat menjalankan kewajipan solat ini. Maka kewajipan di masa kanak-kanak, sepatutnya kita mampu melihat berilmunya anak-anak itu adalah disebabkan ilmu yang sering dipertontonkan kepadanya daripada perbuatan-perbuatan kita sebagai ibubapa.

Jadi dalam hal ini orang tua punyai kewajipan menyekolahkan anaknya. Kata Nabi Muhammad S.A.W., tidak ada yang paling utama pemberian orang tua kepada anaknya selain pelajaran akhlak yang baik sejak dia masih kecil. Pendidikan lain, ajarilah anak kamu tentang solat sejak umurnya tujuh tahun. Petunjuk mendidik anak ini sesuai melalui do'a di atas tadi agar kita memperolehi zuriat keturunan yang baik.

Cara mengajari anak mengerjakan solat dengan baik, sesuai dengan do'a di atas. Apa tidaknya dengan permulaan daripada perbuatan kedua orang tuanyalah, maka barulah anak tadi mengikuti apa yang diperbuatkan oleh kedua orang tua mereka. Jadi kalau kita menyuruh anak bersolat, maka semestinyalah kita sebagai orang tua perlu mendahulukan dalam mengerjakan solat itu. Barulah kita mampu menyuruh anak-anak kita bersolat. Sekiranya ingin menyuruh anak mengaji, mestilah orang tuanya terlebih dahulu mengaji.

Biasanya anak yang berumur tujuh tahun ini, mereka akan mengambil apa yang dilihat dan didengari oleh mereka seterusnya akan diikutinya. Apa yang dilihatnya akan terus disimpannya, malah akan diikutinya dengan penuh semangat. Dalam hal pelaksanaan beribadah kepada Allah S.W.T. ini, anak umur tujuh tahun kalau melihat ayah dan ibunya mengerjakan solat atau membaca Al-Qur'an, dia akan mengikuti apa yang dikerjakan oleh orang tuanya. Jadi dengan anak kecil tidak perlu menggunakan dalil-dalil.

Dalam Tafsir Ibnu Katsir dijelaskan metode mengajar ada tiga.
1) Pertama, untuk mereka yang pintar iaitu pengajarannya dengan "bil hikmah". Iaitu dengan dalil.
2) Kedua, buat mereka yang sedang. Maka kita mestilah melalui pengajaran yang baik.
3) Yang ketiga, apabila bersama dengan anak-anak yang masih kosong ibarat kain putih. Maka kita mestilah bermujahadah dengan baik, iaitu : lebih banyak perbuatan seimbang dengan ucapan. Berikan contoh kepada mereka model begini dan begini. Jangan menggunakan dalil kerana mereka sudah tentu belum mengerti tentang dalil.

Mungkin akan menimbulkan salah faham atas disebabkan oleh gara-gara dalil yang diberikan. Oleh itu, kepada mereka seperti ini maka yang paling tepat adalah memperlihatkan banyak contoh amal yang baik (sifat mahmudah) agar ditiru dan diikuti. Inilah antara lain bentuk-bentuk usaha mendidik anak agar kita melahirkan zuriat keturunan yang baik, sesuai permintaan dan do'a kita kepada Allah S.W.T. sebagaimana yang tercantum di dalam tiga jenis do'a yang perlu menjadi ungkapan dan permohonan yang kita panjatkan setiap hari.

AMALKAN IA DAN LAZIMKANLAH DI DALAM DOA YANG KITA PANJATKAN KEPADA ALLAH!!!!.......

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: