Keistimewaan dan Kelebihan Solat Subuh


Tajuk nasyid : Peristiwa Subuh
Munsyid : Raihan

Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi
berkumandang suara azan
mendayu memecah sepi
selang-seli sahutan ayam
tetapi insan kalaupun ada hanya
mata yang celik dipejam lagi
hatinya penuh benci berdengkurlah kembali
begitulah peristiwa di Subuh hari
suara insan di alam mimpi
Ayuh bangunlah tunaikan perintah Allah
sujud mengharap keampunan-Nya
bersyukurlah bangkitlah segera
moga mendapat keredhaan-Nya
begitulah peristiwa di Subuh hari
setiap pagi setiap hari


Sahabat...

Anjang bawakan lirik nasyid di atas ini untuk mengingatkan diri anjang jua sahabat-sahabat sekalian tentang Fenomena Subuh. Mungkin ada yang tidak sedar atau buat-buat tidak sedar tentang perihal masjid dan suasananya ketika datangnya waktu Subuh. Anjang yakin sahabat-sahabat prihatin dengan suasana yang melanda umat ISLAM kini.. anjang yakin, sahabat semua lebih "masyi" (arif) tentang ayat yang ke-216 daripada surah Al-Baqarah yang bermaksud :

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia terbaik untukmu,dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu tetapi ia bukan yang terbaik untukmu"
(Al-Baqarah ayat : 216)

Sahabat-sahabtku yang kukasihi...

Cukup menyedihkan anjang bilamana melihat kebanyakan setiap jemaah Subuh yang selalu bertandang ke masjid. Dengan bilangan saff yang tidak seperti saff solat fardhu yang lain dan kadang-kadang 1 saff pun tidak penuh.

Ya Allah, ke manakah perginya pemuda-pemuda ISLAM??? Di manakah mereka bersolat??? Tidak kira mana-mana masjid pun kebanyakannya bilangan jemaah yang hadir dapat dikira dengan jari.. Malah "tahi cicak" lagi banyak jika dibilang.

Tepuk dada tanyalah hati, adakah aku termasuk orang yang selalu menghadirkan diri ke masjid ketika solat Subuh???

Sahabat...

Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. lebih-lebih lagi apabila dilakukan secara berjemaah :

"Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di Akhirat kelak.”
(Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)


Jagalah solat Subuh kerana ia menggerunkan kaum kafir kerana kesatuan kita dan menjadi lambang kekuatan kita umat Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah..

Rasulullah S.A.W. mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit, waktu yang sangat sukar dan terlalu payah untuk bangun dari tidur. Seseorang Muslim, apabila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh Gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul. Oleh sebab itu Baginda S.A.W. telah mengkhususkan solat Subuh dengan beberapa kelebihan yang tidak ada pada solat-solat yang lain.

Antaranya :

· Rasulullah S.A.W. mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis:

“Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya)..”
(Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

· Sabda Rasulullah S.A.W. :

“Seseorang mukmin yang mengerjakan solat Subuh selama 40 hari secara berjemaah, akan diberi oleh Allah S.W.T. dengan dua kebebasan, iaitu :

*dibebaskan daripada api neraka
*dibebaskan daripada nifaq(sifat munafik)"

· Diriwayatkan daripada Muslim daripada Uthman bin Affan berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh."
(Hadis riwayat Muslim)

· Jangan tinggalkan masjid terutama di kala waktu Subuh merupakan antara sunnah Rasulullah S.A.W. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkanlah kaki kita ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzzin tetapi itu adalah panggilan Allah S.W.T. yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah S.W.T.

Kita semua sudah makruf mengenai peribadi Rasulullah S.A.W. yang bersifat "ma’sum". Setiap hajat yang dipinta oleh Baginda S.A.W. pasti akan dikabulkan oleh Allah S.W.T. Tidak ada hijab antara Baginda dengan Allah S.W.T. kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara "jasadiyah" paling dekat dengan Allah S.W.T. Waktu Subuh adalah waktu yang "afdhal" untuk mendapatkan rahmat dan keredhaan Allah S.W.T. Tidakkah kita merasa ingin merebutnya???

Allah S.W.T. berfirman maksudnya:

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaan-Nya, dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.”
(Surah Al-Kahfi ayat : 28)

Sahabat-sahabatku yang dicintai Allah..

Hayatilah hikmah-hikmah yang terdapat di sebalik solat Subuh. Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seluruh isinya. Dalam hadis riwayat Imam At-Tirmidzi:

“Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah S.A.W., dua rakaat solat Fajar (solat Subuh) pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Begitulah keistimewaan solat Subuh. Jadi apakah yang menghalang kita untuk tidak bersolat Subuh secara berjemaah? Atau paling kurang kalau tidak secara berjemaah pun, bukanlah kita jadikan solat Subuh tersebut dengan ‘Subuh Gajah’ setelah terbangun selepas pukul 7 pagi lebih atau tujuh setengah atau entahlah... "Retorik" kah kita???

Jangan hanya kerana ada program "GERAKAN SUBUH" baru-baru ini atau seumpama dengannya barulah solat Subuh secara berjemaah di masjid dijaga dengan bilangan jemaah lebih seribu orang anjang rasakan. Sebaliknya, tanamlah dalam diri untuk istiqomah dalam mengerjakan solat Subuh berjemaah atau solat Subuh awal kerana kenikmatan tersebut tidak dapat diungkapkan melainkan hanya kepada si pelakunya. Ketenangan dan kedinginan suasana di saat matahari hendak terbit, hanya Tuhan yang tahu.

Betapa besarnya ganjaran Allah S.W.T. yang menanti bagi mereka yang solat Subuh berjemaah khususnya di masjid. Apakah alasan yang hendak diberikan oleh mereka yang tidak hadir ke masjid di waktu Subuh?

Cuba sahabat-sahabat bayangkan jika hari tak hujan pun bilangan jemaah yang bersolat Subuh sudah sedikit apatah lagi jika hari hujan? (jawab sendirilah ye..) Anjang cukup kagum dan terharu dengan golongan ‘istimewa’ yang masih boleh melangkahkan kaki untuk sama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid tak kira hari hujan ataupun tidak tapi... Kita???!!!

Ketahuilah, solat Subuh merupakan sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Pada hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, hanya ibadat yang akan menerangi pelakunya. Seperti yang telah diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Muhasabahlah diri, kenalilah diri, perbaikilah diri. Peliharalah solat kerana solat merupakan tiang agama. Alasan apakah lagi yang ingin diutarakan? Jika kita di hadapan Allah S.W.T. nanti, dengan alasan yang bagaimanakah akan kita hendak menjawabnya?

Tepuk dada tanyalah iman. Jadikanlah permulaan hidup kita pada setiap hari permulaan yang membawa berkat, rahmat, kepuasan, kebahagiaan dan ketenangan.

Apabila terasa diri diawasi Tuhan, diri akan merasa berdosa setiap waktu, jiwa menderita dengan dosa, rasa syukur dengan nikmat-Nya, rasa hina diri dengan Tuhan dan itulah tandanya diri kita sudah memiliki sifat kehambaan yang sebenar. Berusahalah menjadi muslim yang sejati. Setiap usahamu akan dinilai di akhirat kelak dan menjadi saksi kepada Allah Taala. Insya-Allah.

Anjang tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana individu . Semoga kita sentiasa berada dalam pandangan-Nya dan jiwa sentiasa mendapat tarbiyah daripada-Nya. Semoga barakah dan rahmat Allah S.W.T. kembali menyinari diri kita, Ameen...

Kajian demi kajian :

Lihatlah sahabat...mengikut kajian CVT pada waktu Subuh, alam ketika itu berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain terjaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya akan berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ????

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu ...). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita (",) ...

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib la dulu ya...) kerana banyak "interferens" berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki Fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah dikurniakan melalui pensyariatan solat oleh Allah S.W.T. tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah S.W.T. mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya ... Waspadalah!!!!

1 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud:

Anonymous said...

salamaleykum.. terima kasih... saye dapat mengetahui banyak perkara tentang kebaikan bersolat... sorry..saye copy n share d facebook profile saye supaya kawan2 saye dpt manfaat.. tq