Kasih Sayang @ Cinta : Taqwa


Salam Sejahtera.. Salam Kemesraan.. Salam Ukhuwwah..

Anjang menulis lagi hanya kerna mahu melebar-luaskan rasa kasih dan cinta Allah S.W.T sebagaimana "Bapa Manusia" iaitu Nabi Adam selepas beliau diciptakan. Allah S.W.T telah memintanya menyebarkan salam buat semua malaikat atas rasa kasih dan sayang iaitu salam sejahtera..

Antara perkara-perkara penting yang perlu kita lakukan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini ialah saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan perkara-perkara kebaikan. Bercerita tentang kasih sayang, sudah tentu ianya berhubung kait dengan fitrah hati. Kasih sayang ini umpama tali yang mengikat hati-hati manusia. Apabila wujudnya kasih sayang, maka lahirlah perasaan kemesraan dan apabila wujudnya kemesraan maka terbitlah kesejahteraan dalam hidup.

Ke manakah hilangnya perasaan kasih sayang dalam masyarakat kita?? Seringkali dada-dada akhbar di negara kita dihiasi dengan berita-berita yang menggemparkan kita. Lihatlah bagaimana dengan kisah 2 orang adik beradik Muhamad Shafril Shamir, 4 tahun, dan Nor Ameelia Syafiqah, setahun, yang ditemui mati dipercayai diracun bapa mereka, Shaari Hamid, 34, sebelum menggantung dirinya. Apa sudah jadi???

Sudah tentu, kita tersentuh hati apabila membaca kisah-kisah sebegini. Inilah nikmat hidup yang semakin hilang dalam masyarakat kita hari ini. Institusi keluarga yang sudah mulai layu kasih sayangnya. Ingat, kekuatan kasih sayang inilah yang membawa kepada kemenangan dakwah Rasulullah S.A.W dan kegemilangan Islam di muka bumi ini.

Sebagai pembaca, apa komen anda tentang nilai kasih sayang. Apakah langkah-langkah yang anda rasakan perlu dilakukan oleh pihak atasan, masyarakat mahupun anda sendiri. Keprihatinan anda menunjukkan anda seorang yang menitik-beratkan kasih sayang dalam kehidupan. Suburkan kasih sayang!!!

Anjang katakan di sini.. Semua faktor yang terjadi adalah disebabkan hilangnya rasa kasih sayang manusia di dalam dirinya. Malah, kebanyakan orang Islam sudah hilang rasa beriman dan taqwa. Ini kerana, taqwa akan hadir apabila perasaan ingin memelihara bercampur dengan rasa bertuhan yang berkait-rapat dengan ilmu agama yang kuat dan kukuh di dalam hatinya.

Namun, cinta tak akan hadir.. dan rindu tak akan berbunga... kasih sayang tak akan muncul.. jika sekiranya tidak ada taqwa di dalam hatinya.. Maka "Ittaqullah", iaitu bertaqwalah kamu kepada Allah hendaklah disemai dengan subur di dalam hati kita.

Oleh sebab itu, suruhan supaya bertaqwa itu seringkali disebut dalam setiap khutbah sembahyang Jumaat yang merupakan rukun khutbah. Kalau tidak disebut taqwa, tidak akan sah solat Jumaat walaupun sembahyangnya khusyu'. Taqwa bukan setakat melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Bukan setakat menunai ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan. Bukan setakat membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bukan juga setakat meninggalkan apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu. Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat kepada Allah. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa yang akan menjauhkan diri kita daripada Allah. Bukan setakat menghadkan diri kepada yang halal sahaja dan bukan setakat itu semua. Namun yang menyedihkan anjang adalah masih terdapat ramai orang tidak faham apa pengertian yang sebenarnya di dalam taqwa.

Walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang taqwa tidak pernah diajar. Jalan untuk mendapatkan taqwa beramal untuk menjuruskan ketaatan kepada Allah semata-mata. Inilah kupasan dan kefahaman tentang taqwa yang dibawa oleh para ustaz, para muallim, orang yang hafaz Quran dan Hadis bahkan juga para mufti dan qadhi. Taqwa itu tersangat dipermudahkan sehingga orang tidak merasakan bahawa taqwa itu penting dan perlu diperjuangkan demi untuk mendapat keselamatan di dunia dan Akhirat. Maksud taqwa sebenarnya lebih dalam dan lebih luas dari itu. Taqwa adalah antara perkara pokok dalam agama.

Orang membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang atau orang menunaikan ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan, tidak semestinya berasaskan taqwa. Mereka taat mungkin kerana ada sebab-sebab lain. Mungkin mahu upah, mahu dipuji, mahu pengaruh atau untuk mengambil hati orang. Mereka meninggalkan apa yang dilarang pun mungkin ada sebab-sebab lain. Mungkin kerana mahu dihormati, mahu menjaga nama dan kedudukan, takut dihukum, takut orang mengata dan menghina atau takut dipulaukan orang.

Apabila disebut taqwa, orang terjemahkan sebagai takutkan Tuhan. Itu tidak betul. Taqwa bukan bererti takut. Taqwa pada Tuhan bukan bererti takutkan Tuhan. Takut kepada Tuhan hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya.

Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Hujahnya ialah ayat Al-Quran seperti berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.” (At-Tahrim: 6)

Di dalam Al-Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah "ittaqu" atau "yattaqi". Di mana, ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna. Di sini "ittaqullah" membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu hendaklah jadikan Tuhan itu pelindung.

Jadikan Tuhan itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari kejahatan. Usaha untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah lahir dan batin. Dengan kata-kata yang lain, perkara yang disuruh itu ialah membina sifat-sifat mahmudah. Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah taqwa.

Taqwa atau wiqoyah telah disalah-ertikan. Maksudnya telah disempitkan. Ia sebenarnya adalah lebih global dan luas. Ia adalah gudang mahmudah dan merupakan himpunan segala sifat-sifat mahmudah. Di situ ada sabar, redha, pemurah, berkasih sayang, pemaaf, memberi maaf, meminta maaf dan sebagainya. Seluruh sifat mahmudah itulah taqwa. Jadi, besarlah erti taqwa. Ia membawa keselamatan dunia dan Akhirat.

Oleh itu, kalau dikatakan ittaqullah, maknanya yang sebenar ialah ‘hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara’. Oleh sebab istilah-istilah Islam telah banyak disalah guna dan disalahertikan, maka hilang berkatnya. Apabila disebut istilah-istilah Islam, tidak terasa apa-apa. Contohnya ialah perkataan ‘khalwat’. Maksudnya mulia iaitu menyendiri dengan Tuhan. Ia satu bentuk amalan sufi. Tetapi maksudnya itu telah diselewengkan dengan membawa erti 'berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi’. Begitulah juga istilah ittaqullah ini. Setiap minggu pada hari Jumaat, dilaung-laungkan di mimbar masjid tetapi para jemaah tidak terasa apa-apa. Berkatnya telah hilang kerana maksudnya telah disalah-ertikan.

Untuk menjadi orang yang bertaqwa ertinya menjadi orang yang berada dalam perlindungan Tuhan atau dalam pemeliharaan Tuhan. Orang yang berada dalam benteng dan kubu Tuhan. Dia selamat dari serangan luar. Serangan luar tidak lut dan tidak mengenai dirinya. Orang bertaqwa itu seolah-olah telah dipakaikan baju besi atau jaket kalis peluru.

Taqwa adalah pakaian jasad batin atau roh. Ia adalah amalan jiwa atau roh. Taqwa adalah perkara dalaman dan banyak melibatkan amalan hati. Kalau sungguh-sungguh diamalkan dan dihayati, akan lahir sifat-sifat mahmudah seperti jujur, adil, benar, berkasih sayang, lemah lembut, pemurah, tawadhuk, pemalu, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, pemaaf, amanah, tekun, rajin, lapang dada, bekerjasama, simpati, belas kasihan dan sebagainya.

Orang yang bertaqwa adalah orang yang luar biasa. Sebab dia manusia yang sudah bersifat malaikat. Sifat malaikat sudah ada dalam dirinya. Dia sudah jadi orang Tuhan. Sebab itulah dia dibantu dan dibela oleh Tuhan. Orang bertaqwa sahaja yang akan selamat di dunia dan di Akhirat.

0 bisik bicara untuk Mohd Daharudin Haji Daud: