21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh...

Anjang menjadi bertenaga apabila membaca buku ini.. makin bersemangat.. mengujakan.. mesti baca buat pembaca-pembaca tegar yang mementingkan keutamaan di awal-awal pagi.. yang merupakan pintu segala rezeki.. pintu segala rahmat.. pintu segala ni'mat...

Sultan Muhammad Al-Fateh


SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Pagi 22 April 1452 bersamaan dengan 852 Hijrah, penduduk Konstantinople dikejutkan dengan laungan takbir, paluan gendang dan irama nasyid. Demikian gema kemenangan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh. Sekali gus gema itu seolah-olah satu serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Penduduk Konstantinople seperti tidak percaya kekuatan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana tembok setebal 4 lapis, setinggi 25 kaki dan sejauh 160 kaki itu berjaya ditembusi oleh tentera Sultan Muhammad Al-Fateh?

Suatu yang menakjubkan, tentera Sultan Muhammad Al-Fateh telah membawa kapal-kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas merentasi bukit melalui jalan darat! Taktik peperangan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana tentera sebelum ini. Tentera Uthmaniyyah dengan semangat dan kekuatan yang luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari Selat Bosphorus ke Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Sedangkan mereka terpaksa melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak yang melebihi tiga batu. Sebahagian mereka menyangka bahawa tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mendapat bantuan daripada jin dan syaitan! (ternyata amat menyimpang anggapan ini)

Siapakah sebenarnya Sultan Muhammad Al-Fateh ini? Beliau ialah sultan ketujuh Khilafah Islamiah Uthmaniyah. Beliaulah pembuka kota Konstantinople atau yang dikenali hari ini sebagai Istanbul. Ketika itu beliau baru menjangkau usia 26 tahun. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari. Keadaan inilah yang pernah dibayangkan oleh Baginda S.A.W. ketika dalam perang Khandak. Antara lain baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Konstantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik pemimpin ialah ketuanya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”

Sultan Muhammad Al-Fateh ialah salah seorang daripada tokoh pemimpin kerajaan Islam yang masyhur tercatat dalam sejarah dunia. Beliau bukan sahaja hebat sebagai pemimpin malah nama beliau sebagai panglima perang, dikenali di benua Eropah. Mendengar namanya sahaja sudah mengundang gementar di hati musuh-musuhnya walaupun ketika itu beliau sudah 10 tahun meninggal dunia. Beliaulah pemerintah Islam pertama mendapat gelaran yang diberikan oleh Barat sebagai “Grand Seigneur” yang bermaksud pemimpin agung.

Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 26 Rejab 833 hijrah bersamaan 20 April 1429 Masihi dan dibesarkan di Adirnah. Ayahnya, Sultan Murad II merupakan salah seorang pemimpin yang hebat dan tokoh pemerintah kerajaan Uthmaniyyah yang masyhur. Ibunya dikatakan seorang puteri raja berketurunan Nasrani.

Ketika ayahnya menjadi sultan, beliau dilantik menjadi gabenor di Magnisa. Setelah kematian ayahnya, Sultan Muhammad Al-Fateh dilantik menjadi pemimpin kerajaan Uthmaniyyah iaitu pada bulan Februari 1451. Dengan pelantikan ini bermakna beliau merupakan seorang pemimpin termuda yang pernah dilantik. Walaupun baru berusia 22 tahun, beliau berjaya membawa kecemerlangan dalam pemerintahannya.

Kekuatan Sultan Muhammad Al-Fateh banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Hal ini demikian kerana ketika usianya kecil lagi sudah diajar menunggang kuda, memanah dan menggunakan pedang. Namun didikan rohani mendapat perhatian serius dan dorongan penuh daripada ayahnya. Beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulama' terulung antaranya ialah As-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani. Beliau mengajar Sultan Muhammad Al-Fateh ilmu-ilmu asas iaitu Al-Quran, Al-Hadith, fiqh, linguistik (Bahasa Arab, Parsi, dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain. Melalui tarbiyyah yang teliti dan penuh terhormat, tidak hairanlah lahir peribadi yang unggul seperti Sultan Muhammad Al-Fateh.

Sultan Muhammad Al-Fateh banyak meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Konstantinople. Beliau sering mengikuti ayahnya ke medan peperangan. Sebab itu ketika menaiki takhta pada tahun 855 Hijrah/1451 Masihi, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan. Dalam hal ini, beliau banyak mengkaji sejarah Islam zaman Muawiyah bin Abi Sufian r.a. Waktu itu telah ada usaha-usaha yang dibuat ke arah menawan Konstantinople. Usaha pertama yang pernah disusun adalah pada tahun 44 Hijrah, walau bagaimanapun usaha berkenaan gagal. Abu Ayyub Al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat nabi, syahid di medan perjuangan itu.

Setelah kemenangan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Konstantinople, beliau telah memerintahkan tenteranya mencari kawasan perkuburan Abu Ayyub Al-Ansari. Padanya, Abu Ayyub perlu disempurnakan jenazahnya sebagai seorang sahabat nabi. Setelah ditemui, Sultan Muhammad Al-Fateh meminta supaya kuburnya digali dan dipindahkan ke tempat yang lebih baik.

Setelah digali, akhirnya mereka menemui bahagian kakinya terlebih dahulu. Di sini Sultan Muhammad Al-Fateh memerintahkan seluruh rakyatnya mencium kaki Abu Ayyub al-Ansari yang fizikalnya masih segar itu. Walau bagaimanapun, beliau gagal menciumnya kerana tatkala hendak mencium tiba-tiba sahaja kaki itu tertarik semula ke dalam tanah. Kejadian itu berlaku berturut-turut sebanyak tiga kali. Pada malam itu, Sultan Muhammad Al-Fateh bermimpi bertemu dengan Abu Ayyub Al-Ansari. Abu Ayyub Al-Ansari menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku disebabkan rasa malu dan hormat kepada Sultan Muhammad Al-Fateh. Padanya, tidak layak orang yang telah berjaya menawan Kota Konstantinople mencium kakinya.

Selain itu, beliau banyak mengkaji dan mempelajari pengalaman Rasulullah S.A.W. dalam peperangan. Malah semangat kepahlawanan dan pengorbanan panglima perang Islam dahulu, banyak mempengaruhi jiwanya. Namun, Sultan Muhammad Al-Fateh mewarisi sifat keberanian, kegagahan, kesabaran dan semangat tidak putus asa ayahnya. Bahkan beliau juga mewarisi pengetahuan yang luas serta berkemahiran dalam menyusun strategi peperangan.

Di sini ternafilah tohmahan golongan orientalis Barat dan musuh-musuh Islam bahawa beliau menegakkan Islam dengan kekerasan. Walhal mata pedang digunakan sebagai jalan terakhir. Tujuan orientalis itu hanyalah untuk mengelirukan masyarakat terhadap Islam. Dr. Abd. Salam bin Abd Aziz dalam bukunya yang bertajuk "Sultan Muhammad Al-Fateh Pembuka Konstantinople Menundukkan Rom", menjelaskan bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh memiliki keyakinan diri yang kuat. Selain itu, dia juga mempunyai pandangan jauh serta kepintaran yang tinggi. Malah Sultan Muhammad Al-Fateh mampu menghadapi tekanan, keperitan dan bebanan yang dihadapinya. Beliau seorang pemuda yang warak. Malah, jarang sekali beliau menunaikan solat melainkan di masjid.

Sultan Muhammad Al-Fateh digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Beliau lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama'-ulama' dan ilmuwan. Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman. Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran. Oleh sebab itu, hidangan makanan dan cara berpakaiannya tidak terikat dengan peraturan-peraturan istana.

Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Sultan Muhammad Al-Fateh juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah. Melalui akhlak dan keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan penduduk Kristian Kota Konstantinople. Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan itu, menyebabkan ada dalam kalangan paderi terus menyatakan keislaman mereka.

Sepanjang pemerintahannya, beliau tidak lupa membangunkan aspek fizikal dan rohani rakyatnya. Beliau telah membina Masjid Al-Fath yang terkenal dengan gelaran "Blue Mosque". Selain itu, beliau juga telah memulihkan semula peranan Masjid Aya Sofia sebagai mercu dan syiar Islam di Turki. Sultan Muhammad Al-Fateh meninggal dunia pada bulan Mei 1481 dan jenazahnya dikebumikan di Kota Konstantinople.

Selangkah Yang Bermakna...


Anjang baru sahaja usai dari program "Motivasi Guru" di Suasana Permai, Bandar Darulaman,Jitra yang bermula pada pukul 2:45 petang kerana mengikut Tuan Haji Mohd Arif bin Haji Mat Noor menyampaikan slot motivasinya.

Sebelum itu, pada sebelah pagi pula Tuan Haji Mohd Arif bin Haji Mat Noor juga telah dijemput untuk menyampaikan slot motivasi "Selangkah Yang Bermakna" kepada 259 orang mahasiswa dan mahasiswi UUM Sintok di mana dibuat di Pusat Konvensyen Dewan Seminar A, UUM. Program ini merupakan bengkel yang sungguh menarik dan bermakna sekali.

Untuk pengetahuan sahabat, anjang telah berada di UUM selama 4 hari iaitu bermula pada Hari Ahad, 19, 21, 22 dan 23 Julai 2009 (Hari Khamis) kerana terlibat dengan "Pameran Buku" yang telah dianjurkan oleh MPP UUM dibuat di hadapan Library Sultanah Bahiyah UUM.

Pada hari Khamis, 23 Julai 2009, anjang mengikuti "Program Qiamullail" yang telah dianjurkan oleh ISMA Kedah bertempat di Masjid Muttaqin, Bandar Darulaman, Jitra, Kedah. Sungguh bermakna jika setiap langkahan kita semata-mata kerana Allah. Moga Allah mengistiqomahkan setiap langkahanku hanya kerana-Nya. Amin.

Langkahanku Masih Di Sini...


Langkah kakiku masih di sini
Syukurku atas nikmat kurniaan Ilahi
Sesungguhnya aku hargai
Segala kurniaan-Mu ini...

Namun...
Seringkali aku lupa akan diri
Lantaran keseronokan mengejar cinta duniawi
Walau cukup kusedari
Ianya cuma fatamorgana yang mengabui
Nafsu seolah melambaiku supaya mendekati
Syaitan pula membisikkan keindahan dalam naluri..

Ah!
Mampukah diriku menjauhi
Tanpa adanya petunjuk daripada-Mu Ya Ilahi
Dapatkah aku mengatasi
Tanpa hidayah-Mu Ya Rabbul-Izzati...

Oh Tuhan..
Kekalkanlah diriku dalam cahaya iman
Teguhkanlah diriku dalam panduan Al-Quran
Bantulah daku dalam menjadikan rasul sebagai ikutan
Kerana apa yang kuharapkan
Hanyalah kebahagiaan dan ketenangan
Melayari hidup dengan panduan-Mu Tuhan
Menangkis onak dan cabaran
Bagaikan merentangi perjalanan...

Oh Tuhan...
Andai tiada sebuah ketabahan
Andai terlucut mahkota keimanan
Pastinya diri dirundung seribu kekesalan
Kerana tidak dapat menatap-Mu Tuhan
Di hari kebangkitan yang penuh kenikmatan
Bagi mereka yang berjaya melawan godaan...

-anjang-dahar, jitra, 16 Julai 2009-

Abu Bakar Sahabat Sejati


Rasulullah S.A.W bersabda : "Orang yang sanggup berkorban dengan harta dan dirinya kerana aku ialah Abu Bakar.Sekiranya aku mahu mengambil kekasih, aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku tetapi beliau adalah saudaraku dalam Islam. Sesungguhnya di masjid ini terdapat jendela besar di antara dua rumah untuk Abu Bakar."
(Hadis Riwayat Abu Said r.a)

Anjang ingin membawa sahabat menelusuri sebuah novel Islam iaitu "ABU BAKAR SAHABAT SEJATI".Ia menceritakan hal kehidupan seorang sahabat Nabi S.A.W. yang begitu membenarkan segala perlakukan malahan tindakan Nabi S.A.W.

Abu Bakar As-Siddiq lahir pada tahun 570 Masihi. Nama sebenar beliau ialah Abdul Kaabah bin Uthman. Ibunya bernazar sekiranya mendapat anak lelaki dinamainya Abdul Kaabah yng bermaksud hamba Kaabah. Digelar Abu Bakar yang bermaksud ayah unta muda kerana pada masa mudanya suka memelihara anak-anak unta. Mendapat gelaran As-Siddiq iaitu yang membenarkan kerana beliau sentiasa membenarkan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Abu Bakar As-Siddiq dilantik menjadi khalifah Islam yang pertama selepas wafat Nabi Muhammad S.A.W. Abu Bakar As-Siddiq antara pemeluk Islam yang pernah mengalami penyeksaan daripada orang Quraisy. Semasa berhijrah dari Mekah ke Madinah, Nabi Muhammad S.A.W. memilih Abu Bakar As-Siddiq menjadi teman dalam perjalanan. Mereka bermalam di dalam Gua Thsur. Anak perempuan Abu Bakar As-Siddiq, iaitu 'Aishah yang merupakan isteri Rasulullah S.A.W.

Jasa Khalifah Abu Bakar As-Siddiq yang paling besar ialah mengumpulkan semua ayat-ayat Al-Qur'an. Ini berlaku selepas ramai yang menghafal ayat-ayat suciitu terbunuh dalam peperangan. Oleh kerana bimbang umat Islam kehilangan ayat-ayat suci itu maka Khalifah Abu Bakar As-Siddiq menyuruh Umar Al-Khattab dan sahabat-sahabatnya mengumpulkan semua ayat Al-Qur'an.

Indahnya Cinta...

Biasan cinta ibarat pisau bermata dua. Ia boleh mendatangkan keindahan dan pada masa yang sama jua, ia boleh mendatangkan padah dalam kehidupan. Cinta sejati sememangnya membawa kedamaian dan ketenangan bagi kehidupan si teruna dan dara yang menginginkan kehidupan bahagia selepas diijab kabulkan. Cinta sejati akan senantiasa sejahtera selagi difahami dan diamalkan mengikut aturan yang betul. Tanpa cinta, umat manusia pastinya hidup dalam kegersangan dan kehampaan. Sebaliknya, apabila cinta disalah-ertikan pasti membawa malapetaka bagi hidup manusia.

Islam datang sebagai agama yang syumul turut mendefinasikan cinta dengan sedemikian indah untuk dipraktikkan dalam setiap aspek kehidupan. Malah difahamkan bahawa seseorang yang kalis pada cinta tidak akan memasuki syurga. Ini kerana, munculnya perbalahan dan perselisihan adalah disebabkan kegersangan cinta dalam diri seseorang itu.

Apakah makna cinta yang sebenar dalam Islam? Sejauh manakah kebenaran cinta dapat menenteramkan jiwa umat manusia hingga membawa mereka masuk ke dalam syurga? Apakah batasan-batasan cinta dalam Islam? Inilah perbahasan yang dikupas dengan terperinci oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni, pengarang BEST SELLER "LA TAHZAN" dalam bukunya "INDAHNYA CINTA"...

"Moga kalian dapat memilikinya dan selamat membaca..agar kalian mendapat manfaatnya"

Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah...


Ada yang mengatakan perkahwinan ibarat pertaruhan. Ada pula yang mengatakan perkahwinan ibarat percaturan. Tidak kurang pula yang memberi definasi perkahwinan sebagai perkongsian hidup dua hati yang berasal daripada dua keluarga yang berbeza segalanya. Walau apapun definasi perkahwinan mengikut takrifan individu, namun Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah, menyingkap petua-petua cinta abadi alam perkahwinan, pengalaman sebenar, tip-tip berguna serta amalan doa-doa tertentu dalam mengemudi bahtera perkahwinan supaya kekal hingga ke akhir hayat.

- Bagaimana mahu menjadi isteri pujaan suami?
- Apakah petua kasih dan bahagia?
- Benarkah sekiranya sudah jodoh tidak ke mana?
- Sejauh manakah isteri berjaya mengurut ego suami?
- Adakah amalan doa dapat mengharmonikan hubungan suami isteri?
- Siapakah orang pertama yang pelu ditambat hatinya?

Buku ini mampu menjawab segala persoalan yang selalu bermain di minda si teruna dan dara yang masih mencari calon yang sesuai dan yang paling memahami hatinya mahupun yang sudah memiliki calonnya, termasuk pasangan suami isteri yang sedang melayari alam perkahwinan.

"Isteri mengimpikan suami sehebat Rasulullah, suami pula mengimpikan isteri setabah Khadijah..."

Serlahkan kehebatan cinta dan kekalkan kehangatan kasih dalam perkahwinan bagi mengabadikan kehidupan bersama yang disinari nikmat kebahagiaan duniadan akhirat..

Syamail Muhammad S.A.W.


Assalamu'alaikum sahabat-sahabat yang anjang kasihi...

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah S.W.T atas segala limpahan kurnia-Nya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad S.A.W. beserta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqomah mengikuti Baginda.

Sekali lagi anjang bertandang ke sini kerana ingin mengajak sahabat semua menghayati buku ini, iaitu "SYAMAIL MUHAMMAD S.A.W. : Keperipadian Rasulullah" yang merupakan satu karya terbaik mengenai keperibadian dan akhlak Rasulullah S.A.W. di mana ia adalah karya Imam At-Tirmizi. Karya ini singkat namun lengkap sehingga setiap orang yang membacanya seakan-akan menyaksikan langsung keindahan dan keagungan peribadi Rasulullah S.A.W. yang mulia itu.

Buku SYAMAIL MUHAMMAD S.A.W. ini ialah himpunan hadis-hadis oleh Imam At-Tirmizi tentang semua aspek kehidupan dan sifat yang dimiliki oleh Rasulullah S.A.W..

Ini merangkumi 5 aspek kehidupan Baginda S.A.W. iaitu :

1. FIZIKAL : Tanda kenabian, rambut, uban, celak, berbekam, pakaian, aksesori, cincin, kasut, sandal, pedang, baju besi, pelindung kepala, serban, sarung dan tempat idur.

2. PERILAKU : Cara berjalan, duduk, bersandar, bertopang, tidur, makan, jenis roti, lauk, gelas minuman dan buah-buahan.

3. IBADAH : Wudu', doa, wangi-wangian, solat Dhuha, solat sunat di rumah, puasa dan membaca Al-Qur'an.

4. PERHUBUNGAN & AKHLAK : Berbicara, ketawa, bergurau, bersyair, berbual, bersifat tawadduk, rasa malu dan tangisan.

5. PENGHIDUPAN : Nama-nama Rasulullah S.A.W., penghidupan, usia, kewafatan, warisan dan mimpi melihat Rasulullah S.A.W.

Profil Ringkas Imam At-Tirmizi

Nama lengkapnya ialah Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa Ibnu Adh-Dhahhak As-Silmi At-Tirmizi Adh-Dharir. Beliau juga mendapat julukan Al-Hafizh, Al-'Alim, Al-Imam dan Al-Wari'. Selain buku ini, beliau turut menyusun Kitab Al-Jami' (Sunan At-Tirmizi) dan Kitab Al-'Ilal.

Para ulama berbeza pendapat tentang kedudukan Imam At-Tirmizi semasa kecil. Sebahagian sejarawan menyatakan bahawa Imam At-Tirmizi buta sejak lahir. Sebenarnya, beliau menjadi buta setelah lanjut usianya. Beliau menjadi buta setelah beliau selesai melakukan perjalanan menuntut ilmu dan menulis karya-karyanya.

Imam At-Tirmizi lahir di Hudud pada tahun 214 Hijriyyah. Beliau melakukan perjalanan menuntut ilmu hingga ke Khurasan, Iraq, Mekah dan Madinah. Tidak benar kisah yang menyebut bahawa beliau pernah belajar ke Mesir dan Syam. Salah seorang gurunya ialah Imam Bukhari, seorang guru yang seringkali didatanginya untuk bertanya mengenai kesahihan hadis dan persoalan-persoalan akademik yang lain. Di dalam kitab Sunan At-Tirmizi, seringkali dijumpai pernyataan, "Aku tanyakan kepada Muhammad Ibnu Ismail (Imam Bukhari) tentang hadis ini. Dan beliau berkata..."

Imam At-Tirmizi meninggal dunia pada tanggal 13 Rejab tahun 274 Hijriyyah di Tirmidz.

Bagaimana Menggunakan Buku Ini???

1. Beli beberapa naskah dan hadiahkan untuk masjid, surau, pejabat dan kepada orang yang disayangi.

2. Dibaca setiap lepas solat 5 waktu terutamanya selepas Subuh dan Maghrib.

3. Suami isteri baca bersama-sama sebelum tidur.

4. Dibaca kepada anak-anak selepas solat berjemaah atau sebelum mereka tidur.

5. Bahan tazkirah, usrah dan halaqah.

6. Bahan untuk mengisi laman web atau blog.

Cinta Adam dan Hawa


Setitis tinta, seuntai kata daripada anjang buat semua sahabat yang dikasihi Allah Subhanahu Wa Ta'ala sekalian.. selautan rasa penuh kesyukuran anjang panjatkan di atas limpahan kurniaan-Nya..

Satu lagi santapan buat pembaca tegar jika ingin memiliki sebuah buku indah lakaran bahasanya iaitu : "CINTA ADAM DAN HAWA" yang merupakan himpunan beberapa kisah cinta yang telah diadaptasi dari Al-Qur'an Al-Karim. Bermula dengan kisah Ashabul Kahfi, Nabi Musa, Adam a.s. dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan banyak lagi.. Di mana ia memaparkan kesungguhan, pengorbanan, kasih sayang dan penyesalan untuk kita mengambil iktibar dari cerita yang dipersembahkan. Penuh dengan pengajaran, tauladan dan pedoman yang boleh diambil dan dihayati untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Didatangkan dalam bentuk cerita dan sajak menjadikan buku ini amat menarik, ringkas dan padat untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan seisi keluarga terutama pelajar sekolah dan remaja.

Buku ini telah ditulis dan dikarang oleh Puan Normala binti Kari merupakan seorang guru pendidikan Islam sejak 1998 hingga sekarang di Sekolah Kebangsaan LimPoon (1) Batu Pahat, Johor. Berasal dari Setiu, Terengganu. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (tingkatan 6) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dalam Pengajian Islam di Maktab Perguruan Kinta, Ipoh, Perak (1995-1997).

Selain bertugas sebagai guru, beliau aktif dalam pelbagai pertandingan termasuk pertandingan mencipta slogan, tilawah Al-Qur'an, berzanji, hafazan dan juga terlibat secara langsung dalam melatih dan menyediakan teks kisah-kisah dari al-Qur'an dan sajak. Sering muncul sebagai johan dalam kategori yang disertai sama ada di peringkat daerah dan negeri. Bermula dari tahun 1998 hingga 2009. Sekolah Kebangsaan LimPoon (1) telah mencipa rekod apabila tidak pernah tewas dalam setiap pertandingan bercerita (kisah nabi) dari Al-Qur'an di peringkat zon bagi kategori lelaki dan perempuan. Buku ini ialah hasil tulisan beliau yang terawal.

Penawar Hati


Assalamualaikum kepada semua sidang pembaca budiman yang sudi melayari ruangan ini..


Marilah bersama-sama saya mengucapkan rasa syukur kepada Allah S.W.T yang telah menjadikan hati seluruh manusia sesuai untuk dilimpahi nur hidayah sehingga layak bagi diriku menerima sekian banyak ilmu yang tercurah oleh-Nya kepadaku selama ini untuk mengetahui seberapa banyak rahsia-rahsia disebalik hati manusia. Walaupun begitu, ilmu yang kuterima itu amatlah sedikit dan terlalu kecil di sisi Allah jika dibandingkan dengan ilmu-Nya.


Syukur yang tidak terhingga kepada-Nya kerana memberi ruang buat saya untuk meneliti sebuah buku yang telah diterjemahkan iaitu "Penawar Hati Bersama Tadbir Dan Ikhtiar Allah Ta'ala" di mana judul asalnya ialah "Tanwirul Qulub". Buku ini disusun oleh Abu Fadl Ahmad bin MUhammad As-Sakandari di mana ia telah diterjemahkan oleh As-Sheikh Othman bin Syihabuddin dan disusun semula oleh Amdan Hamid.


Firman Allah Ta'ala di dalam surah An-Nisa' ayat yang ke-65 yang membawa maksud :


"Tidak demi Tuhanmu ( Ya Muhammad ) mereka ( pada hakikatnya ) tiada juga percaya ( beriman ) kepada engkau sehinggalah mereka menjadikan engkau sebagai hakim terhadap apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa di dalam diri mereka sesuatupun keberatan terhadap keputusan yang engkau berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya."

( Surah An-Nisa' : 65 )


Makam Yakin iaitu kedudukan yang membenarkan seseorang itu merasai akan sesuatu yang dia mempercayainya dengan sepenuh hatinya ialah dengan melalui sembilan cara iaitu :


1) Senantiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah S.W.T.

2) Senantiasa ada sifat zuhud di dalam tindakannya.

3) Senantiasa bersabar dengan segala ujian yang menimpanya.

4) Selalu bersyukur atas segala ni'mat yang telah dikurniakan kepadanya.

5) Khauf ( Takut ) hanyasanya kepada Allah bukan selain-Nya.

6) Raja' ( Harap ) selalu dihadapkan diawal-awal permintaannya kepada Allah bukan kepada makhluk.

7) Redha dengan segala yang ditentukan dan ditetapkan kepadanya.

8) Tawakkal sepenuhnya kepada Allah.

9) Mahabbah ( rasa kecintaan ) hanya akan timbul apabila dia bersama redha Allah kepadanya di setiap tindakan dan di setiap perasaannya.


"Selamat ber'amal dan beristiqomah dalam melaksanakannya"

Saksikan Bahawa Aku Seorang Muslim...


Menjadi seorang Muslim adalah ibarat menjadi sehelai kain putih bersih. Lalu Allah S.W.T akan mencelupnya menjadi warna ketegasan, kesejukan, keceriaan dan kecintaan. Ini merupakan rahmat bagi semesta alam. Aku merindui sang pelangi di mana sang pelangi itu yang sering memancarkan celupan sirna-sirna Ilahi. Kini tiba saatnya, deraian dan kilauan Islam tidak lagi dapat memisahkan dari menawan hati seorang Muslim. Maka saksikanlah, bahawa aku seorang Muslim!

"... Kau belum tahu yang aku mahu. Dan kau tidak tahu apa yang Allah mahu. Sedang aku melakukan apa yang Dia mahu. The show must go on! Baca buku ini agar kau tahu apa yang Allah mahu!" (Yoyoh Yusroh, Ibu dari 13 putra, Anggota DPR RI).

"Ini buku yang mencerdaskan dan mencerahkan. Ditulis dengan bahasa yang halus dan indah. Selain mengajak mencintai Islam, buku ini mengajak pembacanya menjadi muslim sejati yang cerdas." (Habiburrahman El Shirazy, Penulis Novel 'Ayat-ayat Cinta').

"Seorang muslim tak boleh malu menunjukkan identitinya walau terpaksa harus berhadapan dengan tuduhan 'teroris' atau lebih buruk dari itu. Buku ini membawa anda lebih Pe-De sebagai muslim." (Fauzan Al-Anshari, Ketua Dept Data dan Informasi Majelis Mujahiddin Indonesia).

"...Sungguh, buku ini sarat akan perenungan yang kontributif bagi setiap langkah kehidupan. Selamat menikmati." (Cahyadi Takariawan, Ketua Wilda DPP PKS).

Saksikanlah Bahawa Aku Adalah Seorang Muslim...

Di mana aku inginkan, beraqidahkan Islam sesuai dengan pemahaman salafus soleh..
Di mana akan ku ikuti kuliyah-kuliyah ilmu yang penuh dalil Al-Quran dan hadis di dalamnya..
Di mana aku ingin agar Islam ini tertegak di seluruh aspeknya..
Di mana akan ku ikuti usrah-usrah dan halaqah-halaqah ilmu penuh menceritakan keperibadian Nabi Junjungan Muhammad S.A.W...
Di mana aku ingin benar agar khilafah Islam berdiri tegak beserta syari'atnya..
Di mana aku ingin benar memakmurkan masjid-masjid dan mengajak agar lelaki-lelaki Islam memakmurkan juga masjid-masjid mereka..

Di mana aku ingin sekali berada dalam golongan-golongan yang Nabi juga sudah menceritakan bahawa di antara 73 golongan tersebut ada satu golongan yang tetap menjalankan ajaran agama Islam ini sesuai dengan syariat yang benar, tanpa menambah, dan menguranginya.

Setiap golongan mempunyai ciri khasnya tersendiri dan bagaimanakah ciri-ciri golongan yang dijamin oleh Nabi S.A.W. sebagai golongan yang benar dan selamat itu ? Inilah ciri-cirinya :

1) Berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam segala perkara khususnya ketika terjadi perbezaan pendapat.

Allah berfirman :
“Maka jika kalian berbeza pendapat dalam satu perkara, kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kalian beriman kepada Allah dan hari Akhirat”( Surah An-Nisa : 59 )

2) Memahami Al-Quran dan As-Sunnah dengan pemahaman para sahabat dan yang mengikuti mereka dengan sesuatu yang baik dan juga sesuatu yang tidak difahami sesuai dengan peribadinya.

Allah berfirman :
“Generasi pertama sahabat muhajirin dan anshor serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah meredhai mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah siapkan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya, itulah keberuntungan yang besar”( Surah At-Taubah : 100 )

3) Tetap beristiqomah di atas kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah walaupun dihina dan dijauhi oleh masyarakatnya,

Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Akan senantiasa ada sekelompok orang daripada umatku yang terang-terangan di atas kebenaran, tidaklah membahayakan mereka orang-orang yang menghina mereka sampai datang perintah Allah (angin dingin yang mencabut nyawa setiap orang yang memiliki keimanan menjelang Qiamat)”( Hadis Riwayat Imam Muslim )

4) Tidak bertaqlid kepada madzhab atau tokoh tertentu tetapi melihat dalil yang dipakainya. Apabila sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunnah, diterima. Apabila tidak, maka ditolak sesiapapun yang mengucapkannya.

Imam Malik Rahimahullah berkata :
“Setiap orang boleh diambil ucapannya dan boleh ditolak kecuali Nabi S.A.W.”
( Minhaj Al-Firqoh An-Najiyah : 10 )

5) Tidak pilih-pilih syari'at, semua perintah Allah dan Rasul-Nya dilaksanakan semampunya dan semua larangan ditinggalkan tanpa terkecuali.

Allah S.W.T. berfirman :
“Apa saja yang dibawa oleh Rasul untuk kalian maka ambillah dan apa saja yang dilarang maka tinggalkanlah”( Surah Al-Hasyr : 7 )

6) Hanya menggunakan hadis–hadis sahih dan tidak menggunakan hadis–hadis dhoif (lemah) dan maudhu’ (palsu), kerana yang dhoif (lemah) dan maudhu’ (palsu) itu merupakan bentuk pendustaan atas nama Rasulullah S.A.W..

Baginda S.A.W. bersabda :
“Barang siapa berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah menempati tempat duduknya di neraka”( Hadis Riwayat Imam Muslim dan lainnya )

7) Menegakkan seluruh jenis tauhid dan memberantas segala jenis syirik kerana ini adalah intipati dakwah para Nabi dan Rasul .

Allah S.W.T. berfirman :
“Sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang rasul untuk menyeru (kepada umatnya) beribadahlah hanya kepada Allah ( tauhid ) dan jauhilah sembahan selain daripada Allah ( syirik )”( Surah An-Nahl : 36 )

Menegakkan Sunnah ( ajaran Rasulullah S.A.W. ) dan membenteras segala jenis kebid’ahan (kesesatan atau perkara yang diada-adakan),

Rasulullah bersabda :
“Wajib atas kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa' Ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk setelah aku, gigitlah dengan gigi geraham ( pegang erat-erat dan jauhilah perkara-perkara baru yang tidak diajarkan agama kerana hal itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu adalah sesat )”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah disahihkan oleh syaikh Al-Albani dalam Sahihul Jami’ )

9) Mendidik generasi umat dengan pendidikan yang sesuai dengan pendidikan Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya.

10) Giat menuntut ilmu syari'at kerana mereka yakin dengan ilmu ini dapat mengetahui dan mencontohi segala ajaran Rasulullah S.A.W. secara terperinci.


Demi Allah, tidaklah saya dapati ciri-ciri golongan yang benar tersebut melainkan pada mereka yang menamakan dirinya sebagai golongan Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Sungguh!!! Di dalam golongan ini terdapat metode dan cara memahami Islam yang lengkap dan sesuai dengan sumber aslinya tanpa menambah ataupun mengurangi sesuai dengan pemahaman Nabi Muhammad S.A.W., Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, para imam dan para ulama' yang benar kesemuanya.

“Saksikan Bahawa Aku Seorang Muslim”

Kalimat ini mengandungi kata ikrar bahawa diriku adalah seorang yang mengakui beragamakan Islam maka seharusnya aku akan terus melaksanakan segala ajaran yang terkandung di dalam Islam kesemuanya, yang sesuai dengan Islamnya Nabi Muhammad S.A.W., Islamnya Abu Bakar As-Siddiq, Islamnya Umar Al-Khattab, Islamnya Uthman Al-'Affan, Islamnya 'Ali Karramallahu Wajhah dan Islamnya para ulama' yang mengikuti jejak langkah mereka.

Aku yakin bahawa tidak ada jalan lain untuk aku hidup kecuali dengan cara hidup Islam tonjolkan dengan meniti manhaj Ahli Sunnah Wal Jama'ah dan manhaj ini tidak akan terpesong sama sekali.